Monday, April 22, 2013

'Mat Tyson' - Yakin Hanya PAS Mampu Bimbing Malaysia Ke Arah Islam


Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib akhirnya secara rasmi menyertai PAS hari ini.

Muhammad berkata beliau akan berkempen di Lembang Klang dan kawasan bandar di negara ini dengan menerapkan nilai-nilai murni yang diajarkan dalam Islam.





Muhammad, 65, yang juga bekas Naib Presiden Umno berkata beliau mahu menyertai PAS tahun lalu namun terpaksa menangguhkan keputusannya untuk menunggu masa yang lebih sesuai


 "Saya bersetuju untuk menyertai PAS dua hari selepas penamaan calon supaya dapat dapat menghilangkan tuduhan yang saya melakukannya untuk mendapatkan kuasa dan mahu menjadi calon dalam pilihan raya kali ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur  hari ini.

Beliau berkata dia mahu menyertai PAS selepas menyedari pembangunan di Selangor kosong tanpa pembangunan jiwa dan rohani.

Muhammad menambah beliau akan memperjuangkan idea PAS dalam mengetengahkan nilai-nilai Islam dipraktikkan dalam setiap aspek kehidupan, terutamanya di Lembah Klang dan beliau berharap ia dapat menjadi contoh kepada kawasan lain untuk mengikutinya

Bagaimanapun, Muhammad tidak menjawab sebarang pertanyaaan daripada pihak wartawan apabila beliau bergegas untuk memberi ruang kepada mesyuarat pimpinan PAS pusat.

Bekas naib presiden Umno,  berkata beliau percaya PAS merupakan satu-satunya parti yang boleh membimbing Malaysia ke arah Islam.

"Hanya PAS boleh bawa kesedaran," katanya dalam satu sidang media selepas menyerahkan borang keahliannya kepada presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur hari ini.

"Saya mesti menyokong parti yang boleh membawa kepada panduan (Islam)," tambahnya.

Bekas menteri besar Selangor itu mengakui bahawa BN telah membawa pembangunan di Malaysia, namun pembangunan itu, menurutnya, dijalankan "tanpa roh."

"Islam mesti berkembang dari bandar-bandar, seperti Mekah dan Medinah menjadi pusat penyebaran Islam ketika zaman Nabi Muhammad.

"Sepatutnya bandar-bandar menjadi pemancar kepada agama Islam" "Lembah Kelang adalah Metropolis, sepatutnya menjadi panduan kepada (penduduk luar bandar)," katanya lagi.

Turut hadir di sidang media tersebut ialah timbalan presiden PAS Mohamad Sabu, timbalan mursyidul am Datuk Haron Din serta dua naib presiden parti itu, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Laporan hari ini menyebut, Muhammad yang berkempen untuk calon PKR di Hulu Selangor semalam juga dijangka akan tampil sekali lagi bersama ketua umum parti berkenaan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum pilihan raya umum 5 Mei.

Menurut laporan Sinar Harian, Muhammad hadir ke majlis itu untuk menyatakan sokongan ke atas calon PKR bagi kerusi parlimen Hulu Selangor Khalid Jaafar dan juga Datuk K Ramachandran, calon parti berkenaan untuk kerusi DUN Batang Kali.

"Beliau turut menjulang tangan saya bersama Datuk Ramachandran sebagai sokongan terhadap pencalonan kami di kawasan ini.

"Mat Taib turut dijangka menghadiri program bersama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Mei ini, insya-Allah," kata Khalid seperti dipetik dalam laporan Sinar Harian.

Laporan itu menyebut, Muhammad hadir bersama hampir 2,000 orang di majlis anjuran Persatuan Bengkulu Malaysia di Sungai Choh, di Batang Kali itu.

Penyertaan Muhammad ke dalam Pakatan dijangka akan memberi peluang kepada Pakatan untuk mengukuhkan lagi serangan ke atas pentadbiran BN – khususnya berhubung skandal tanah yang berlaku semasa pentadbiran Muhammad sebagai menteri besar.

Muhammad dijangka akan diperkenalkan secara rasmi sebagai anggota PAS hari ini. Penampilan bekas ketua perhubungan Umno Selangor itu mencuri perhatian ramai pihak selepas beliau memencilkan diri dari publisiti media selepas tewas dalam pertandingan untuk merebut jawatan timbalan presiden Umno pada 2009.

Tuesday, April 16, 2013

Muhd Taib Masuk PAS, Penyokong Bantah Pencalonan Tengku Riduan

 

Apa jadi di Selangor?

Negeri yang Datuk Seri Mohd Najib sendiri jaga sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO sedikit kecoh.

Bekas naib presiden Umno Muhammad Muhammad Taib memutuskan menyertai PAS.

Bagaimanapun, beliau hanya akan diperkenalkan secara rasmi oleh parti Islam itu pada Isnin depan, dua hari selepas penamaan calon.

Ia bagi mengelakkan dakwaan beliau mengambil langkah itu demi dicalonkan dalam pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei ini.

Difahamkan Muhammad menyerahkan borang permohonannya kepada Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din.


Anggota jawatankuasa Pusat PAS Kamaruddin Jaffar ketika dihubungi hari ini mengesahkan keanggotaann Muhammad tetapi enggan memberitahu di mana pengumuman itu akan dibuat.

Kamaruddin, bekas setiausaha agung PAS mengesahkan perkara itu ketika ditanya berhubung spekulasi bekas menteri besar itu akan bertukar parti.

Selain itu, ketika Najib serah watikah calon, sekumpulan penyokong BN semalam berhimpun di perkarangan bangunan ibu pejabat Umno dan "mengugut" tidak akan memberi sokongan kepada parti itu sekiranya calon pilihan mereka tidak terpilih bertanding dalam pilihan raya umum 5 Mei.

Kira-kira 30 penyokong BN dari DUN Kelana Jaya itu membantah pencalonan ahli jawatankuasa bahagian Tengku Riduan Tengku Mansor – adik kepada Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai calon.

Kumpulan berkenaan mengambil kesempatan untuk mengadakan perhimpunan tersebut ketika presiden parti Datuk Seri Najib Razak menyertai majlis menyerahkan watikah calon BN kepada pemimpin BN negeri di tingkat 8 bangunan tersebut.


 Penyerahan watikah tersebut bermakna BN telahpun memuktamadkan senarai calon masing-masing dan kini perlu mempersiap jentera mereka.

Kumpulan berkenaan bagaimanapun berpandangan sebaliknya dan mahu DUN Seri Setia ditandingi pemimpin pilihan mereka – Datuk Halim Abdul Samad atau pembantunya Datuk Yahya Bujang.

Menurut mereka, dua individu berkenaan "sering turun padang dan mempunyai jasa" kepada penduduk di situ.

"Selama lima tahun kita kecewa, nak pakai baju Umno dan BN pun malu. Tapi Datuk Halim dan Datuk Yahya buat rasa kami nak pakai. Kami sama-sama mengumpul kekuatan, tiba-tiba orang lain ambil alih.

"Kami tak kenal dia. Penduduk tak kenal. Dia tak pernah datang, tak pernah turun padang... Tak ada jasa," dakwa wakil kumpulan tersebut Norhaizal Ismail.

Mereka yang berhimpun di luar bangunan ini, juga membawa poster mendesak supaya calon pilihan mereka dilantik bertanding, dan menolak calon bukan pilihan mereka.

"Kami tak mahu keluar mengundi. Kami juga tak mahu masuk PKR," kata mereka pada perhimpunan tersebut.

Salah seorang peserta perhimpunan tersebut turut memberitahu Malaysiakini bahawa Tengku Riduan telah mengadakan pertemuan dengan ketua pusat mengundi di DUN tersebut malam tadi dan mengisytiharkan dirinya sebagai calon di DUN tersebut.

 Mereka mendakwa pertemuan itu, yang diadakan di Kelab Golf Subang itu, telah mendahului keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang akan membuat pengisytiharan calon BN hari ini. "BN dan Umno boleh menang besar (di DUN itu) kalau betul calonnya," kata Abu Hanipah Zahari.

 Mereka juga melaungkan bantahan bahawa mereka "bukan membantah BN tetapi membantah calon itu". "Kami sayang Umno, kami sayang BN," kata salah seorang peserta. DUN Seri Setia mempunyai 16 pusat daerah mengundi

Malaysiakini