Friday, November 26, 2010

PEMIKIRAN SEMPIT PEMIMPIN PKR DISERLAHKAN MELALUI AMK

Naib Presiden PKR, Azmin Ali, bersama barisan tertinggi PKR yang lain semasa menghadiri majlis perasmian Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya, 26 Nov 2010.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyatakan hari ini ia meletakkan perjuangan bagi membebaskan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan liwat sebagai misi utama sayap parti itu.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata bagi tujuan itu pihaknya akan menghantar wakil ke luar negara untuk memberi penerangan kepada masyarakat dunia dalam usaha membebaskan Anwar Ibrahim daripada tuduhan itu.

Kenyataan Samsul ini menunjukkan betapa Anwar dan PKR begitu terdesak untuk membersihkan dirinya yang semakin buruk di mata pemimpin luar.

Kenyataan Shamsul dengan jelas menunjukkan bahawa agenda melonjakkan Anwar adalah paling utama, bukan memperjuangkan keadilan seperti yang diwar-warkan.

Tuduhan liwat tidak mampu diselesaikan oleh masyarakat dunia sebaliknya hanya mahkamah Malaysia sahaja boleh memutuskan kedudukan Anwar.

Dengan bertindak ‘mengelilingi dunia’ bagi memberikan penerangan mengenai isu ini, AMK menunjukkan kepada masyarakat dunia ia tidak percaya kepada sistem kehakiman negara sendiri.

Inikah bentuk pemuda dan kepimpinannya yang diasuh oleh PKR?

Selain itu Shamsul menyamakan tuduhan terhadap Anwar kini dengan yang dihadapi pemimpinan dunia seperti Nelson Mandela dan tokoh demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, sebelum ini.

Sungguh lemah perbandingan ini sedangkan kedua-dua pemimpin – Suu Kyi dan Mandela - adalah yang berdepan dan ditekan oleh pemerintahan diktator dan junta.

Apakah Malaysia sebuah pemerintahan bercorak sedemikian?

Cetek dan rendah tahap pemikiran Shamsul ini sehingga tidak dapat membezakan sistem politik aparteid Afrika Selatan dan junta Myanmar dengan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia yang membolehkan Anwar menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat.

Apakah Mandela dan Suu Kyi berpeluang mendapat kedudukan seperti Anwar?

Menurut Shamsul beberapa pemimpin AMK akan ditugaskan untuk memainkan peranan secara aktif dan komprehensif di peringkat antarabangsa bagi memberi penerangan kepada masyarakat dunia mengenai kezaliman yang dihadapi Anwar.

"Usaha menuntut hak Anwar mendapat perbicaraan yang adil ini harus menjadi misi utama kita. Saya mahu melihat tenaga dan komitmen yang dipusatkan kepada misi ini lebih daripada komitmen dalam pemilihan yang baru lalu," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Kongres Nasional di Shah Alam, hari ini.

Saturday, November 20, 2010

SEMUANYA GARA-GARA SI ANWAR

Gambar kenangan pengasas parti Keadilan tahun 1999. Ramai pemimpin yang berjuang dalam PKR kini sudah meninggalkan parti itu.

Utusan Malaysia 20 Nov 2010 (Tajuk asal -'Angkat kaki' kerana Anwar)

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) yang ditubuhkan pada tahun 1999 dengan hasrat kononnya untuk menegakkan keadilan dan memperjuangkan nasib rakyat kini menghadapi situasi politik yang tidak menentu.

Walaupun parti itu yang diketuai oleh Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan didampingi oleh isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail serta disokong oleh insan kesayangan Anwar, Azmin Ali dan anak Anwar, Nurul Izzah baru sahaja menyelesaikan pemilihan tetapi ia boleh dianggap sekadar pemilihan semata-mata.

Tiada apa-apa signifikannya kerana semua orang tahu bagaimana pemilihan berlangsung di peringkat cabang-cabang, yang pasti semua orang Anwar menang.

Bagi mereka yang ikhlas berjuang untuk memperkasakan PKR yang dilihat sudah lari daripada matlamat perjuangan asal, mereka terpaksa angkat kaki.

Mereka tidak mahu hanya menjadi perkakas politik kepada Anwar bagi mencapai cita-citanya ke Putrajaya.

Kalau pun mereka berhasrat melakukan perubahan apatah lagi menentang orang kesayangan Anwar seperti Azmin maka mereka perlu bersedia menerima akibatnya.
Demokrasi dan kebebasan yang dilaung-laungkan hanyalah hipokrit Anwar dan konco-konconya, berikutan itu maka seorang demi seorang meninggalkan parti tersebut.

Terbaru yang berbuat demikian atas nama prinsip ialah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim. Puncanya, beliau muak dengan masalah dalaman PKR.

Langkah Zaid akan menambahkan lagi senarai panjang mereka yang meninggalkan parti itu atas nama kebenaran.

Malah lebih menarik Zaid bukanlah sebarangan pemimpin, ia terbukti apabila tidak sampai beberapa bulan menyertai PKR, beliau telah dipilih bertanding sebagai calon parti itu dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

Hakikatnya, sejak tahun 2007, PKR tidak pernah sunyi daripada tindakan pemimpin-pemimpinnya meninggalkan parti itu.

Antara yang paling awal berbuat demikian ialah Chandra Muzaffar yang memegang jawatan Timbalan Presiden. Kemudian ia diikuti pula dengan orang-orang yang dianggap rapat dan sanggup mati demi Anwar.

Ia termasuklah, kawan baik Anwar, Datuk S.Nallakaruppan, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd. Noor, Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari, Ketua PKR Negeri Sembilan, Ruslan Kassim, Setiausaha AMK, SD Mohamad Johari Yassin.

Pemimpin-pemimpin wanita juga tidak ketinggalan mengucapkan selamat tinggal kepada PKR dan Anwar, mereka yang agak terkenal ialah Nell On (Ketua Wanita PKR), Marina Yusuff (Naib Presiden Parti Keadilan), Roshanita Mohd.Basir (Timbalan Ketua Wanita PKR Bagan Serai), Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak ( Naib Presiden PKR), Aminah Abdullah (bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang) dan beberapa orang lagi di peringkat bahagian.

PKR juga turut menerima tamparan hebat apabila mulai tahun lalu seorang demi seorang wakil rakyat 'angkat kaki'.

Bermula dengan peletakan jawatan V.Arumugan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, ia diikuti oleh Mohd Radzi Salleh (Lunas), Jamaluddin Mohd.Radzi (Behrang), Kapten (B) Mohd.Osman Jailu (Changkat Jering), Tan Wei Shu (Bakar Arang), Badrul Hisham Abdullah (Pelabuhan Klang).

Biarpun pelbagai tuduhan dilemparkan oleh PKR terhadap tindakan wakil-wakil rakyat berkenaan namun ia belum mampu menghentikan fenomena meninggalkan parti.

Bagi mereka yang berprinsip dan melihat PKR penuh dengan kepincangan, kepalsuan serta pembohongan, mereka tidak mahu terus bersekongkol dengan Anwar dan konco-konconya.

Justeru wujudlah tindakan keluar parti oleh beberapa ahli Parlimen PKR. Mereka ialah Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohd.Hashim, Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Baharu), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai).

Jika mahu disenaraikan satu persatu siapa yang sudah mengucapkan selamat tinggal kepada PKR ia sememangnya ramai. Tetapi apa yang jelas ia belum juga menginsafkan Anwar dan pemimpin-pemimpin PKR lain.

Sebaliknya, mereka dengan dibantu oleh pemimpin-pemimpin DAP dan Pas terus melemparkan pelbagai tuduhan kepada pemimpin yang meninggalkan PKR.

Paling hebat apabila Anwar mengatakan ahli Parlimen yang keluar dibayar berjuta-juta ringgit tetapi sampai ke hari ini tiada satu pun bukti diketengahkan.

Pembohongan, memutar belit fakta dan memperalatkan siapa juga demi kepentingan politik yang menjadi agenda Anwar apabila beliau memimpin PKR selepas keluar dari penjara telah menimbulkan perasaan muak di kalangan pemimpin dan ahli parti itu.

Tetapi Anwar, Dr. Wan Azizah, Azmin dan Nurul Izzah tidak mahu mengakuinya. Malahan Anwar lebih suka meneruskan 'hobinya' memburuk-burukkan Malaysia di luar negara.

Anwar tahu bahawa tiada sesiapa pun dalam PKR termasuklah Dr. Wan Azizah yang menjadi Presiden, tidak akan berani menegur cara berpolitik yang beliau amalkan.

Namun apa yang jelas perjuangan politik PKR kini semakin kelam-kabut dan tiada hala tuju, malahan PKR yang diterajui Anwar sekarang tidak lagi dilihat berjuang untuk rakyat, sebaliknya lebih kepada politik merebut kekuasaan semata-mata.

'' Sebagai sebuah parti, hala tuju PKR sudah jauh terpesong daripada asas-asas penubuhannya. Ia sudah menjadi parti anak beranak dan kroni Anwar sahaja,'' kata seorang penganalisis politik terkenal di sebuah universiti tempatan.

Menurut beliau, ramai rakan lama Anwar sudah mula tinggalkan Penasihat PKR itu kerana tidak sanggup bersubahat dengan penyelewengan dalam perjuangan yang Anwar bawa sekarang.

Kita tidak hairan jika selepas ini ramai lagi yang akan meninggalkan PKR kerana tidak semua di dalam parti itu yang rela diperbodoh atau menjadi 'pak turut' kepada cara berpolitik Anwar.

PKR hakikatnya semakin kehilangan pengaruh di kalangan rakyat. Selain daripada masalah dalaman yang semakin meruncing, tindakan parti itu terutamanya Anwar yang tidak menunaikan janji ketika pilihan raya umum lalu turut akan menghancurkan perjalanan politik PKR.

Mungkin Anwar dan pemimpin-pemimpin yang masih kekal di dalam PKR boleh berhujah apa sahaja mengenai situasi parti itu.

Tetapi apa yang jelas segala keburukan PKR semakin terdedah dan ia bukannya dilakukan oleh mainan politik sesiapa tetapi oleh pemimpin-pemimpin PKR sendiri.
Dalam situasi ini juga, maka tidak keterlaluan jika kita bertanya kepada Pas, kapal siapakah sebenar yang hendak karam?

Ia kerana sebelum ini parti itu menolak kerjasama dengan UMNO dengan mengibaratkan UMNO seperti kapal yang mahu karam tetapi ketika parti terbesar Melayu itu semakin pulih daripada kejutan Pilihan Raya Umum 2008, PKR pula yang terumbang-ambing dan paling malang ia mungkin akan menyeret Pas bersama-sama.