Friday, July 24, 2009

KENAPA WAN ISMAIL ASYIK TIDAK HADIR PERBICARAAN?

Sumber : Utusan Malaysia

Asyik menghilangkan diri daripada mahkamah.

Sebagai defendan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Melor, Wan Ismail Wan Jusoh seoatutnya tidak menganianya bekas isteri dan anak-anaknya.

Inilah perangai wakil rakyat PAS yang mahu saman akhbar kerana membuat liputan kesnya.
Bagaimanapun, hakim semalam memutuskan perbicaraan kes tuntutan nafkah anak oleh bekas isteri kedua Wan Ismail tetap diteruskan pada prosiding akan datang walaupun tanpa kehadiran defendan.

Hakim Syarie, Nik Najib Che Hassan memutuskan kes tersebut akan berjalan mengikut jadual setelah defendan tidak hadir perbicaraan dua kali berturut-turut walaupun selepas ditegur.

Nik Najib menyatakan demikian kepada plaintif, Siti Aishah Abdullah, 25, dan peguam Wan Ismail, Mohd. Zaki Zainal Abidin ketika sebutan kes berkenaan di Mahkamah Rendah Syariah semalam.

Berikutan peguam mewakili plaintif, Mohd. Sibri Ismail tidak hadir hari ini, hakim tersebut menangguhkan perbicaraan sehingga 19 Januari tahun depan.

Prosiding yang sepatutnya diadakan di mahkamah terbuka terpaksa dijalankan di kamar hakim gara-gara kerosakan pendingin hawa sejak sebulan yang lalu.

Biarpun begitu, para wartawan turut dibenarkan memasuki kamar hakim bagi mengikuti perjalanan kes tersebut.

Sementara itu, Siti Aishah yang merupakan mualaf berketurunan Cina Kemboja hadir ke mahkamah bersama dua anaknya, Wan Ahmad Firdaus, 4, dan Wan Nor Salwa, 3, kecewa kerana kes tersebut ditangguhkan lagi.

''Kali ini kes ditangguhkan dalam tempoh yang agak lama sedangkan saya memerlukan nafkah anak-anak untuk digunakan sebagai perbelanjaan.

''Walaupun pada perbicaraan bertarikh 18 Februari lepas, mahkamah telah memerintahkan bekas suami membayar nafkah sementara sebanyak RM500 sebulan kepada dua anak tetapi dia gagal memenuhinya mengikut turutan bulan,'' katanya.

Turut menemani Siti Aishah ialah adik, Abdul Halim, 22 dan bapanya, Kian Ti, 62.
Peguam defendan, Mohd. Zaki pula memberitahu, Wan Ismail telah mengetahui mengenai perbicaraannya pada hari ini tetapi memilih untuk mengemukakan keterangan melalui afidavit bersumpah.

''Sebelum ini Wan Ismail ada menghubungi saya mengenai perbicaraan hari ini dan memberitahu akan mengemukakan keterangan secara afidavit bersumpah pada perbicaraan akan datang,'' ujarnya.

Tuesday, July 21, 2009

LUAHAN ANAK JATI MANEK URAI

Oleh Anak Jati Manek Urai
(Forum Utusan Malaysia 21 Julai 2009)

PAGI 15 Julai 2009, hati saya terasa amat tidak sabar-sabar untuk mengetahui keputusan Pilihan Raya DUN Manek Urai. Harapan saya agar berlaku perubahan di Manek Urai, kampung halaman yang saya amat cintai. Namun harapan tinggal harapan.

Sekali lagi keputusan berpihak kepada parti penyandang di situ. Saya terima keputusan tersebut dengan hati yang reda.

Namun, jauh di sudut hati saya, terasa amat kecewa dengan pilihan rakyat Manek Urai dalam pilihan raya kecil kawasan itu. Saya merupakan penuntut di sebuah IPT di Lembah Klang.

Sanggup pulang ke kampung halaman pada malam 13 Julai 2009 dan tidak hadir ke kuliah, semata-mata ingin mengundi untuk mengubah nasib kami sejak sekian lama. Namun sekali lagi penduduk Manek Urai memilih untuk terus ketinggalan.

Di sini, saya bukan menolak syiar Islam yang dibawa oleh PAS. Dan bukan menerima 100 peratus ideologi UMNO.

Saya menyokong kedua-duanya. Namun ikhlas saya katakan hati saya lebih yakin pada kerajaan yang memerintah negara sekarang.

Buat pengundi Manek Urai, cuba renungkan tentang kemajuan yang terdapat di kawasan tersebut. Manek Urai hanyalah kawasan yang dikelilingi pohon-pohon getah dan kelapa sawit dan menjadi sebutan hanya kerana pilihan raya kecil ini.

Renungkanlah wahai penduduk Manek Urai, kita sudah jauh ketinggalan. Saya berkata demikian kerana saya sayangkan kampung halaman sendiri.

Renungkanlah sekali lagi wahai penduduk Manek Urai, adakah tepat calon pilihan anda? Adakah tepat perjuangan yang dibawa oleh sekutu mereka?

Jauh di sudut hati, saya tidak dapat menerima perjuangan yang dibawa oleh mereka. Saya langsung tidak dapat menerima kata-kata pemimpin mereka mengatakan sudah menjadi tanggungjawab Kerajaan Pusat untuk membantu rakyat.

Inikah jawapan seorang pemimpin yang tidak tahu berterima kasih? Dan seorang lagi sekutu mereka dengan angkuh dan sombong berkata: "Adakah UMNO menang 14 Julai, 15 Julai sudah boleh buat jambatan baru di Manek Urai?"

Dan izinkan saya nyatakan: "Adakah jika anda menjadi perdana menteri pada 15 September, 16 September anda boleh mengubah segala-galanya?"

Saya tidak mahu menjawab pertanyaan itu. Biarlah mereka yang mengundi pemimpin ini untuk menjawab persoalan tersebut.

Saya tidak bermaksud untuk menghina calon mereka yang menang. Saya akui calon ini seorang peniaga ikan yang berjaya dan seorang pemimpin yang amat mesra dengan penduduk Kuala Krai dan Manek Urai. Tetapi renungkanlah sekali lagi wahai penduduk Manek Urai, mampukah pemimpin ini membawa suara anda ke telinga atasan.

Saya memohon maaf jika luahan saya ini membuatkan penduduk Manek Urai marah dan tersinggung. Tetapi fikirlah sejenak, jika anda tidak fikirkan masa depan anda sendiri, fikirkanlah masa depan anak-anak dan generasi serta bangsa kita.