Sunday, July 5, 2009

RAMZI IKRAR USAHA MENANGKAN BN DI MANEK URAI

Oleh: LUKMAN ABDULLAH (Agendadaily)

Percaturan politik dalaman UMNO sering dikatakan antara punca calon BN bertanding pilihan raya kecil (PRK) kecundang di tangan calon parti pembangkang.

Kalau di Parlimen Permatang Pauh, kita dibisik-bisikkan dengan masalah dalaman kepimpinan UMNO Bahagian tersebut, PRK Kuala Terengganu pula, biarpun calonnya adalah Ketua UMNO Bahagian itu sendiri, pun ada saja yang tidak kena.

Kemudian, PRK Bukit Gantang juga tidak kurang yang bercakap tentang kewibawaan calon dan mempersoalkan calon bukan dari barisan kepimpinan UMNO Bahagian.

Menyelak tabir UMNO Bahagian Kuala Krai di mana akan berlakunya PRK DUN N41 Manek Urai pada 14 Julai ini apakah persoalan sama wujud di situ?.

Semua orang di Kuala Krai tahu, apatah lagi rakyat di DUN Manek Urai tidak menafikan wujudnya calon pilihan puak-puak tertentu, ia telah menjadi perbualan umum.

Calon pilihan pimpinan UMNO Bahagian yang bermula dengan nama Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai Datuk Mohd Ramzi Abdul Rahman, Naib Ketua UMNO Bahagian Che Jalal Muda, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Rohani Abdul Majid dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tuan Aziz Tuan Mat.

Manakala calon ‘swasta’ yang disebut-sebut adalah bekas Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai Datuk Haji Wan Zaid Wan Abdullah, bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Datuk Sayed Ali Saifudin dan bekas calon BN PRU 11 tahun 2004 dan beliau menang dengan majoriti 53 undi, Zulkepli Omar.

Maka wujudlah lobi melobi untuk calon pilihan masing-masing.

Namun akhirnya, pucuk pimpinan UMNO Malaysia membuat keputusan setelah membuat penilaian berasaskan kepentingan ‘Mesra Rakyat’ kerana motto kempen BN di Manek Urai adalah ‘Rakyat didahulukan, Manek Urai diutamakan’ dengan memilih Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Krai Tuan Aziz Tuan Mat@Hamat, 39 tahun sebagai calon DUN N41 Manek Urai.

Adakah suasana ribut taufan dalam cawan akan reda dan kiambang kembali bertaut…persoalan ini dikupas Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai Datuk Mohd Ramzi Abdul Rahman, 51, dalam pertemuan ekslusif bersama Agendadaily baru-baru ini di Pejabat UMNO Bahagian Kuala Krai, Kelantan.

Menyedari hakikat bahawa Manek Urai telah dipilih sebagai tapak titik tolak kebangkitan semula UMNO Kelantan mahupun UMNO Malaysia, Datuk Mohd Ramzi melahirkan rasa amat dihormati oleh pucuk pimpinan malah menganggapnya satu tanggungjawab berat yang terpaksa dipikul bagi membuktikan bahawa segala keburukkan yang digambarkan pada UMNO pada setiap PRK adalah tidak benar belaka.

Sebagai gambaran awal bagi mengenepikan segala titik bengit dan percaturan politik dalaman, Ramzi meluahkan isihatinya di depan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan Datuk Mustapa Mohamed dan lebih 3000 khalayak umum semasa hari pengumuman Tuan Aziz sebagai calon di Pusat Operasi Bersepadu PRK DUN Manek Urai di Kampung Sungai Sok Luar.

Antara petikan ucapan komitmen beliau sebagai pucuk pimpinan UMNO Bahagian Kua Krai;

“Saya selaku kepimpinan UMNO Bahagian Kuala Krai, kita berikrar kepada Tan Sri Muhyiddin dan pucuk pimpinan parti bahawa sesiapa sahaja yang diumumkan sebagai calon, kita tetap memberi sokongan…kerana yang penting adalah kemenangan UMNO pada 14 Julai ini”
“Kita hendak sapu arang yang diconteng di muka kita, oleh itu dengan berkat kerjasama, perpaduan, kita kena meletakkan kepentingan parti melebihi segala-galanya, Alhamdulillah dengan semangat yang ditunjukkan semua penyokong pada petang ini, saya percaya, InsyaAllah, dengan semangat dan komitmen serta perpaduan kerja kuat kita semua, pada 14 Julai nanti kita akan mencapai kemenangan dan DUN Manek Urai akan menjadi milik kita”.

“Calon mana tidak penting, siapa saja yang diumumkan oleh Tan Sri Muhyddin…itulah calon kita, kita akan bekerja kuat, saya mohon kerjasama daripada semua pekerja-pekerja dan pengundi agar kita memberi sokongan padu pada BN…kita tidak mahu 90 peratus tapi kita mahu 100 peratus”

Berikut adalah transkrip penuh temubual Agendadaily dengan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai Datuk Mohd Ramzi Abdul Rahman…

AGENDADAILY : Sebagai Ketua UMNO Bahagian, apa pandangan Datuk tentang pemilihan calon DUN Manek Urai yang diumumkan.

DATUK MOHD RAMZI ABDUL RAHMAN : Kita sudah umum calon, menjadi tanggungjawab UMNO Bahagian Kuala Krai untuk memikul tanggungjawab itu terutama untuk memenangkan calon BN.

Ini tidak ada ‘compromise’… kita mesti ‘go all out’ untuk memenangkan calon kita.
Sekarang ini calon (Tuan Aziz) adalah imej kita, imej UMNO Malaysia, UMNO Kelantan dan juga imej UMNO Kuala Krai.

Itulah yang saya jelaskan depan semua kepimpinan, jentera dan ahli parti bahawa soal calon ‘STOP’…saya tidak mahu bincang, sekarang apa yang penting kita mesti ‘all out’ untuk kita menang PRK Manek Urai ini.

Mungkin ada yang tidak puashati serba sedikit tetapi kita kena ‘perbaiki’ perkara seumpama ini…tetapi apa yang penting ialah peluang di PRK Manek Urai memang ada, semangat di kalangan rakyat untuk berubah pun ada, ianya nampak berbeza ‘mood’nya berbanding semasa PRU 2008.

Tapi kita kena ‘go all out’…dari segi pemimpin dan jentera UMNO kena benar-benar fokus bekerja untuk memenangkan calon parti kita,

PRK Manek Urai ini, ‘result’nya akan beri kesannya bukan sahaja pada UMNO/BN negeri tetapi keseluruhan Malaysia.

AGENDADAILY : Datuk ulas tentang calon Tuan Aziz yang dikatakan bukan pilihan utama Datuk.

DATUK MOHD RAMZI ABDUL RAHMAN : Sekarang tidak timbul soal pilihan utama saya. Tak perlu dibangkitkan lagi dan saya sudah kata kepada umum supaya ‘STOP’.

Pucuk pimpinan sudah putuskan, sekarang masa kita kerja kuat…’all out’. Saya sudah nyatakan sikap bahawa kita kena patuh kepada keputusan pucuk pimpinan parti, itu lebih penting.

Semasa berceramah di Kampung Manjoi, saya sendiri mula memperkenalkan calon Tuan Aziz, kerana saya percaya dengan latarbelakang pendidikan dan ditambah lagi beliau adalah pegawai saya di Kesedar.

Saya rasa Tuan Aziz berkemampuan menunaikan tanggungjawabnya sekiranya rakyat pilih beliau sebagai Wakil Rakyat di Manek Urai.

Saya mahu semua jentera seluruh peti undi yang terdiri dari Wanita, Pemuda dan Puteri kena fokus sekarang ini untuk memenangkan calon kita, tidak timbul perkara lain kecuali calon kita ialah Tuan Aziz, kita kena menangkan, kita kena pikul amanah dan tanggungjawab supaya calon kita menang.

Saya sendiri akan bawa Tuan Aziz untuk diperkenalkan kepada rakyat Manek Urai. Kita harapkan ialah kemenangan.

AGENDADAILY : Bila pucuk pimpinan UMNO negeri Datuk Mustapa Mohamed meletakkan suatu harapan tinggi di PRK Manek Urai. Beliau letakkan Manek Urai merupakan tapak titik tolak kebangkitan semula semangat UMNO Kelantan dan UMNO Malaysia, apakah Datuk merasakan ianya suatu beban dan tanggungjawab besar bagi Datuk untuk melaksanakannya.

DATUK MOHD RAMZI ABDUL RAHMAN : Ianya merupakan satu tanggungjawab besar kerana dalam suasana PRU 12, banyak negeri kita kalah dan beberapa PRK yang melibatkan UMNO, rakyat seolah-olah menolak BN.

Permatang Pauh, kita kalah dan majoriti kita menurun. Parlimen Kuala Terengganu yang kita menang semasa PRU 12 tapi kita kalah pada PRK, begitu juga di Bukit Gantang pun kita menerima kekalahan.

Saya anggap, ianya merupakan satu tanggungjawab besar, bahawa untuk jaga dan menebus maruah parti, kita kena bekerja kuat dan menangkan parti.

Kalau kita hendak berjuang dalam parti, kita kena berjiwa besar.

AGENDADAILY : Di beberapa tempat PRK yang mana UMNO terlibat, dikatakan antara punca kekalahan adalah masalah dalam parti. Masalah calon tidak dapat sokongan dikalangan pemimpin kerana bukan pilihan pucuk pimpinan bahagian, bagaimana di Kuala Krai.

DATUK MOHD RAMZI ABDUL RAHMAN : Di Kuala Krai sebelum ini mempunyai pandangan tertentu tetapi sebagai ahli politik, pucuk pimpinan mempunyai pelbagai sumber dalam menilai dan memilih calon yang sesuai.

Kita perlu mengenepikan perbezaan pandangan dan pendapat dalam soal calon kerana pucuk pimpinan ada perkiraan yang menjurus pada kehendak akar umbi.

Peranan kita ialah mengarahkan semua jentera bekerja kuat sepenuh tenaga untuk pastikan calon pilihan parti kita menang. Ini imej kita, jentera dan semua pihak dalaman parti perlu bersatu dan bekerjasama.

AGENDADAILY : Selepas penamaan calon nanti, corak kempen yang Datuk utamakan.

DATUK MOHD RAMZI ABDUL RAHMAN : Sekarang ini kita fokus pada pengundi, saya tidak mahu terkeliru atau rasa ‘syok’ dengan pihak-pihak yang mewar-warkan bahawa akan menang besar, apatah lagi mereka yang tidak mengundi.

Kita dengan melihat pada fakta terutama dari segi jumlah atau angka kajian sikap berapa menyokong UMNO…berapa jumlah penyokong ‘atas pagar’ dan berapa ramai pula penyokong pembangkang.

Kemudian gerak kerja, saya bersetuju dengan pandangan Datuk Mustapa (Tok Pa) bahawa kita kena fokus pada pengundi dengan ‘direct’ pada pengundi dengan lawatan rumah ke rumah, ianya cukup berkesan.

Ceramah-ceramah besar kurang memberi kesan kerana belum tentu pengundi yang hadir.

Sekarang kita beri tumpuan pada konsep rumah ke rumah, kalau menteri dating pun kita lebih suka di bawa ke rumah untuk menemui pengundi berkenal mesra.

Masyarakat Melayu Kelantan terutama di luar bandar akan merasakan amat dihargai dan dihormati bila menteri datang ke rumah, inilah cara yang lebih berkesan.

Banyak PRK yang diadakan, ceramah besar diadakan…ianya dilihat tidak menepati sasaran, usaha kita dengan gerakan Wanita telah menampakkan hasil kerana mereka telah berjalan dengan baik, Puteri telah mula aktiviti dan Pemuda juga mulakan dengan program masuk kampong.

Saya berterima kasih dengan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Naib Ketua Datuk Razal Ibrahim sudah turun, Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Shahrizat dan Ketua Puteri Datuk Rosnah pun dah turun padang.

Kita harap tidak ada masalah besar dan kita fokus dengan tugas yang diamanahkan.

AGENDADAILY : Bagaimana dengan jentera parti, apakah mereka telah mendapat sokongan dan bantuan keperluan logistik serta perbelanjaan.

DATUK MOHD RAMZI ABDUL RAHMAN : Jentera parti telah diberi suntikan semangat dan menyediakan segala keperluan asas lebih awal lagi, dua minggu sebelum umum calon kita sudah siap sedia terutama dalam usaha menyediakan bilik gerakan.

Semuanya berjalan baik.

Bagi saya, paling penting dalam menghadapi PRK Manek Urai ini adalah ahli UMNO kena bersatu, kalau tidak bersatu, kita tidak akan capai kejayaan ini.

Lupakan kepentingan peribadi dan fokus pada kehendak parti untuk berjaya dalam pilihan raya ini.

Fokus, bersatu, kerja kuat amat penting.

Dalam PAS bukan calang-calang…mereka ada kerajaan negeri, kita kalah bukan sikit, penyatuan dan perpaduan merupakan tanggungjawab besar dalam menghadapi PRK Manek Urai ini.

''Saya menyeru ke arah bersatupadu untuk memastikan calon kita menang.

Bagi yang berpuak-puak kenalah lupakan, kita tengoklah orang PAS, mereka berbalah macamanapun, bila tiba musim pilihan raya, mereka akan bersatu.

Kita jangan emosi dan terbawa-bawa terutama dalam usaha untuk menangkan calon parti kita,'' katanya.

No comments: