Oleh FAUZI IRWAN SHAH (bypass308.blogspot.com)
Adun manik Urai, Ismail Yaacob selamat dikebumikan. al Fatihah.
Yang hidup masih ada perjuangan, satu perjuangan yang bukan seperti biasa kerana ia lebih bermakna ketika senario politik agak bercelaru.
Perjuangan, yakni PRK yang lazimnya untuk rakyat beroleh seorang YB baru untuk terus membela nasib mereka, kini mempunyai nilai tambah (1)yang menggambarkan sokongan rakyat kepada parti yang menang,(2)menjadi modal besar untuk menang di PRK lain, (3)tiada respon semangat terhadap 1Malaysia, (4)kewibawaan Najib sebagai PM masih dipersoal.
Apa penting sangat dengan Manik Urai? Ia memang penting kerana inilah satu-satu PRK tahun ini yang bakal menjelaskan arah pemikiran Melayu dalam situasi politik Pakatan rakyat yang mencanangkan "kuasa perpaduan", manakala BN yang dilabel menjunjung kuasa bertunjangkan monopoli Umno.
Dengan jumlah 99.3% daripada 12,292 pengundi berdaftar merupakan Melayu, maka tiada sebab BN tidak turun main bersama, sekali pun BN tahu ia kawasan "keras", malah majoriti PRU 2008(1,352) jauh melebihi majoriti PRU 2004 yang cuma 53 undi.
BN (lebih tepat sebut Umno) ada alasan untuk beradu kali ini, kalau kalah sekali pun, ia sekurang-kurang mahu mengecilkan jumlah majoriti sebagai signal Umno mampu bernafas semula dalam degup yang yakin di bawah kepimpinan baru Tok Pa, selepas Umno dan BN dijahamankan oleh Annuar Musa.
Jangan lupa, Tok Pa merupakan hulubalang yang hampir membawa Umno memerintah Kelantan pada PRU2004, jumlah adun Pas dalam dewan negeri tinggal nyawa ikan. Cuma, kedudukannya tidak kekal sehingga saat akhir PRU tersebut kerana Pak Lah lebih yakin kepada Annuar. Pendek kata, ketika itu Annuar hanya duduk kerusi Pengerusi Umno Kelantan berbantalkan perancangan strategi serta kerja-kerja yang telah disiapkan oleh Tok Pa.
Kali ini, Tok Pa mempunyai peluang untuk buktikan bahawa beliau merupakan kemudi sebenar Umno Kelantan. Memang peluang untuk menang ada, tapi peluang untuk kalah pun agak besar juga. Seperti yang saya kata, jika kalah sekali pun, Tok Pa tidak mengecewakan Umno andai mampu kurangkan jumlah majoriti.
Percayalah, Umno tetap lawan dan usahlah langkah tersebut disamakan dengan PRK Penanti. Latarannya berbeza, yang di Penanti kerana letak jawatan, manakala Manik Urai adalah sebab "semula jadi". Sebagai pemerhati, seharusnya Penanti juga jadi gelanggang buat Umno, tetapi mereka ada alasan sendiri untuk tidak ikut, pandangan rakyat bukan urusan mereka.
Apakah Pas yakin menang mudah di manik Urai? Ia belum selesa sepenuhnya kerana beberapa faktor, termasuk kesan daripada pemilihan dalam Pas sendiri, akan ada yang suara yang bermacam rasa. Imej Tok Pa sendiri tidak menampakkan sangat dia "menentang" Pas, beliau adalah antara pemimpin Umno yang masih boleh "dibuat kira" dan dilayani dengan baik oleh kalangan pemimpin dan penyokong Pas.
Sentimen pengundi di kelantan yang sering dilihat sebagai "tegas" (boleh tukar kerajaan bila-bila masa)juga merupakan satu kelebihan kepada parti bertanding, mereka benar-benar manfaatkan kuasa di tangan mereka. kalau isu yang dibawa menyelerakan mereka,atau calon yang ditampilkan "belaga angin", maka Umno masih ada harapan. (tapi ingat, pemimpin Umno yang siang-siang lagi ditolak oleh rakyat tu diharap janganlah diturunkan untuk berkempen, takut harapkan tolong, tolong yang menumbangkan.)
Kalau media arus perdana menganggap Pas tidak kuat mana, cuma Umno sendiri bercakaran, maka apa persoalan yang amat wajar sekarang ialah adakah Umno sudah sembuh dari luka akibat bercakaran. Sudah bersatukah?
Umno lemah bukan setakat berlaga sesama mereka, malah yang jadi ketua pula tidak ambil peduli sangat, masing-masing jaga kawasan sendiri, jaga orang sendiri. Ada desir khabar mengatakan Annuar Musa ketika jadi Pengerusi Umno dan BN Kelantan lebih banyak buat program DUN Kok Lanas, pergerakan dan masalah kepimpinan dun lain buat dono je.
Dengar khabar juga, BN Kelantan duduk semeja bermesyuarat pun tidak sampai 3 kali sepanjang 2004 hingga PRU 13. Betul ke ni, sapa yang ada maklumat tolong perbetulkan kalau ini silap.
Yang agak menarik juga pada manik Urai ini ialah, tiada apa yang istimewa tentang kuasa undi orang Cina, sebab jumlah mereka hanya 50 orang, yang India tak payahlah kira. Bukan tidak penting, cuma jumlah tersebut jauh sekali untuk disifatkan sebagai undi penentu. Jadi, usahkan mereka harapkan "apa-apa janji" daripada kerajaan BN atau Pas sebagaimana PRK di tempat lain yang jumlah orang Cina agak ramai.
Apa pun, tugas MCA dan Gerakan tidaklah enteng, mereka tiada pilihan untuk memastikan pengundi Cina yang 50 orang ini mesti pangkah BN. Nyata dan jelas, kerja mereka belum tentu mudah kerana ada orang Pas yang lebih berprestij dan dihormati oleh sebahagian besar orang Cina kelantan - Datuk Anuar Tan, Ahli Exco Negeri Kelantan.
No comments:
Post a Comment