Thursday, May 14, 2009

APAKAH HUSAM PUNCA KEHANCURAN PAS ?

MalaysiaHariIni (Monday, 04 May 2009)

PAS membantah keras keputusan kabinet Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kedudukan agama anak mualaf. Pendirian Pas itu disuarakan oleh Ketua Penerangan Mahfuz Omar. Pendirian Pas itu diselar oleh Karpal Singh, Pengerusi DAP, rakannya dalam pakatan pembangkang.

Perkembangan ini menyerlahkan lagi ironi Pas berada dalam pakatan pembangkang bersama DAP dan PKR. Ia memperkukuhkan lagi pertanyaan, berapa lama Pas boleh bertahan dalam muafakat yang sangat rapuh itu. Jika pun ada titik-titik keserasian dalam pakatan tersebut, ia adalah lebih kepada DAP dan PKR, dua buah parti sekular. Pas amat janggal dalam muafakat tiga parti itu.

Seperti yang pernah dikatakan, jika ada ruang keserasian antara parti, kemungkinan yang lebih besar adalah antara Pas dan UMNO. Ada banyak titik-titik yang boleh dijuruskan kepada persamaan.

Pas lahir daripada UMNO. Majoriti ahli mereka adalah Melayu dan lubuk kuasa politik mereka juga adalah di kalangan orang Melayu yang beragama Islam. Kedua-dua parti itu juga meletakkan kedaulatan Islam sebagai amanah besar dalam perjuangan. Hanya pendekatan terhadap proses memartabatkan Islam itu sahaja yang berbeza.

Pendekatan itulah yang menyebabkan kerenggangan yang kadang kala muncul sebagai permusuhan paling sengit sehingga mereka tidak boleh duduk semeja dan bertentang muka.
Namun jika ada keinsafan tentang mala petaka yang boleh menimpa orang Melayu dan Islam, sejarah telah menunjukkan bahawa kedua-dua parti Melayu itu boleh mengetepikan permusuhan dan bermuafakat dalam sebuah gabungan sebagaimana yang dilakukan di bawah pimpinan Datuk Asri Muda dan Tun Abdul Razak pada 70-an.

Bagaimanapun, permuafakatan itu berakhir dengan perpecahan yang menyebabkan luka lama berdarah semula dan lebih banyak pula darah yang keluar. Sebab itulah orang lama dalam Pas seperti Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat agak keberatan untuk menyokong muafakat baru Pas dan UMNO yang dianjurkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan disokong kuat oleh timbalannya Nasharuddin Mat Isa.

Hadi mulai nampak bahawa permusuhan antara Pas dan UMNO hanya akan merugikan orang Melayu dan Islam jika berpanjangan. Sebaliknya kedudukan sekarang yang banyak berpunca daripada putar muslihat Anwar Ibrahim dalam mengejar cita-cita yang terkulai untuk menjadi Perdana Menteri, hanya menguntungkan bukan Melayu dan Islam.

Betapa kumpulan bukan Melayu dan bukan Islam membuat pelbagai tuntutan dan desakan melalui parti-parti politik, NGO serta pertubuhan yang tidak sah. Tuntutan-tuntutan itu kelihatan pada mulanya hanya bersifat untuk keadilan bukan Melayu dan bukan Islam, tetapi akhirnya ia mengasak ke tepi kepentingan Melayu dan Islam pula.

Siapa pernah terfikir gereja Katolik Wilayah Persekutuan berani menuntut penggunaan perkataan Allah. Begitu juga isu-isu mualaf dijadikan bahan kritikan terbuka terhadap kerajaan yang memberikan keutamaan kepada nilai-nilai Islam bukan sahaja kerana Islam adalah agama rasmi yang diperuntukkan perlembagaan persekutuan, tetapi juga kerana majoriti rakyat Malaysia adalah beragama Islam.

Tetapi sejak Anwar Ibrahim mengatur muslihat dan akhirnya berjaya `meyakinkan' Pas dan DAP untuk menyokongnya menjadi Perdana Menteri, kedudukan Melayu dan Islam sudah tidak sestabil dulu lagi walaupun ada jaminan dalam perlembagaan persekutuan.

Selepas pilihan raya umum 2008, UMNO dilihat mulai beralah. Pas tidak boleh menyalahkan UMNO jika kabinet membuat keputusan bahawa anak-anak mualaf yang boleh menukar agama selepas berusia 18 tahun kerana Pas sendiri yang menyebabkan UMNO terdesak.

Secara jujur eloklah Pas bertanya kepada diri sendiri, adakah bukan Islam akan berani membuat tuntutan seumpama jika UMNO dan Pas bersatu hati dalam soal-soal yang melibatkan kedudukan Melayu dan Islam.

Sayangnya Pas telah menjual roh perjuangan Islam mereka kepada Anwar dan Lim Kit Siang. Apakah seluruh pemimpin Pas dan ahli-ahlinya berasa `perjuangan akhirat' mereka sudah tercapai hanya dengan kemampuan menubuhkan kerajaan pimpinan Menteri Besar dari Pas di Kelantan, Kedah dan seketika di Perak?

Percayalah bahawa jika Pas terus bergembira dengan kedudukannya dalam pakatan pembangkang, bukan Islam akan terus membuat tuntutan demi tuntutan. Percayalah bahawa bukan Islam tidak akan berpuas hati selagi kedudukan Islam tidak sama rata dengan kedudukan agama-agama lain.

Betapa pejuang-pejuang Katolik yang menuntut penggunaan perkataan Allah telah menjadikan Indonesia sebagai hujah mereka. Di Indonesia yang nisbah majoriti penganut agama Islam dikatakan melebihi 90 peratus, kedudukan agama-agama lain adalah setaraf. Suatu masa dulu, Majlis Gereja Sedunia turut memberikan sumbangan dana untuk rancangan pembangunan Indonesia.

Barangkali, atas kesedaran inilah terdetik hati Hadi Awang untuk mengusulkan kerajaan perpaduan BN-Pas, tapi syor tersebut ditentang kuat oleh Nik Aziz. Dan ia tidak berakhir setakat itu sahaja.

Kini wujud dua kem dalam Pas. Satu kem menyokong cadangan untuk mewujudkan semula rundingan dengan UMNO dan satu lagi menentang. Mereka yang menentang mahu Pas terus bersama Anwar, PKR dan DAP kerana mereka melihat melalui pakatan itu sahaja Pas boleh terus memerintah Kelantan, Kedah dan barangkali beberapa negeri lagi selepas pilihan raya umum akan datang.

Jelas sekali pemimpin Pas yang cukup kuat keyakinan untuk meneruskan pakatan dengan Anwar, Kit Siang, PKR dan DAP ialah Datuk Husam Musam, Naib Presiden Pas dari Kelantan. Di kalangan pemimpin Pas, Husam dilihat paling akrab dengan Anwar.

Husam yang lulus dari USM bukanlah golongan ulama. Kemunculan Husam serta Mohamad Sabu dan Datuk Hassan Ali untuk merebut jawatan Timbalan Presiden Pas daripada Nasharuddin Mat Isa dalam muktamar Jun ini telah menimbulkan kegelisahan di kalangan golongan ulama Pas. Sebab itulah Dewan Ulama Pas baru-baru ini menyatakan bahawa jawatan Presiden dan Timbalan Presiden mestilah dipegang oleh golongan ulama.

Nasharuddin yang fasih bertutur dalam banyak bahasa termasuk Inggeris dan Perancis, dianggap dari golongan ulama kerana turut mendapat pendidikan agama. Istilah ulama dalam Pas ialah seseorang yang berpendidikan sekolah dan pusat pengajian tinggi agama Islam.
Disebabkan Nasharuddin juga mempunyai latar belakang pengajian bukan agama, beliau juga dilihat sebagai pemimpin yang ideal bagi Pas. Beliau dianggap memiliki ciri-ciri ulama dan teknokrat.

Husam, Mohamad Sabu dan Hassan Ali tidak dianggap golongan ulama walau sepandai mana sekalipun mereka berceramah mengenai agama. Ini kerana mereka tidak memiliki kertas kelulusan agama.

Dalam keadaan biasa sudah pasti Husam, Mohamad Sabu atau Hassan Ali tidak akan berani menampilkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Pas. Tapi apabila Pas berada dalam keadaan yang tidak jelas lagi `identitinya' kerana semakin tunduk kepada PKR dan rapat sangat dengan Malaysian Malaysia DAP, maka golongan bukan ulama melihat ini adalah peluang untuk mereka mendaki tangga dalam Pas.

Di antara mereka, Husam yang paling akrab dengan Anwar adalah paling bercita-cita tinggi. Cita-citanya mungkin tidak berakhir dengan sekadar menjadi Timbalan Presiden Pas (jika menang). Mungkin dengan bantuan Anwar dan penyokong-penyokong kuat Anwar dalam Pas (termasuk Datuk Kamarudin Jaafar), Husam melihat bahawa satu hari nanti bukan golongan ulama juga boleh menjadi Presiden Pas. Dan bagi mereka detiknya semakin hampir.

No comments: