Wednesday, May 11, 2016

Isu Tambakan Tanah Di DUN Pulau Pinang - Adun Pakatan Kini Berpecah


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR Pulau Pinang berpecah dalam menyatakan pendirian berhubung usul penambakan tanah yang akan dibentangkan oleh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang sedang berlangsung.

Lima wakil rakyat yang memegang jawatan dalam kerajaan negeri mahu usul itu ditolak manakala baki lima lagi penyokong kerajaan menegaskan bahawa mereka akan berkecuali walaupun menyedari ia akan menimbulkan kemarahan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Sumber berkata, lima Adun yang berkecuali daripada mengundi berhubung usul yang sama pada persidangan November tahun lalu menegaskan bahawa mereka tidak akan menolak usul itu.


Mereka adalah Ong Chin Wen (Bukit Tengah), Dr Norlela Ariffin (Penanti), Cheah Kah Peng (Kebun Bunga), Dr T. Jayabalan (Batu Uban) dan Lee Khai Loon (Machang Bubuk).

Kumpulan itu mendakwa mereka bertindak mengikut suara hati pada pengundian lepas.

Difahamkan kumpulan wakil rakyat ini mengadakan mesyuarat di antara mereka berhubung isu berkenaan pada Isnin lalu.

Pada Selasa, Lim mempengerusikan mesyuarat pra-majlis Pakatan Harapan di pejabatnya di Komtar untuk membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan persidangan itu, termasuk usul penambakan tanah.

Bagaimanapun tidak diketahui mengenai kandungan mesyuarat itu.

Sumber berkata PKR Pulau Pinang akan menyerahkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali untuk membuat keputusan muktamad.

Dilaporkan bahawa Adun BN Pulau Betong, Muhammad Farid Saad akan membentangkan usul menggesa kerajaan negeri membatalkan penambakan tanah.

Pendapatan daripada penambakan tanah itu akan digunakan untuk membiayai cadangan Penang Transport Master bernilai RM27 juta yang melibatkan beberapa projek mega termasuk tiga projek jalan raya utama dan terowong yang menghubungkan pulau itu ke tanah besar.

Selain isu ini, sidang DUN kali ini akan turut dipanaskan oleh isu pembelian banglo oleh Ketua Menteri dan penjualan tanah Taman Manggis.

Dua isu yang mempunyai kaitan dengan ketua menteri iaitu penjualan tanah di Taman Manggis dan pembelian banglo dengan harga RM2.8 juta oleh Lim di Jalan Pinhorn, di George Town,  dijangka tetap akan dibangkitkan oleh anggota-anggota dewan.

Pembelian banglo pada harga RM2.8 juta oleh ketua menteri Pulau Pinang itu menjadi kontroversi apabila Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membangkitkan isu itu pada persidangan Dewan Rakyat, Mac lepas bahawa ia dibeli pada harga di bawah nilai pasaran.

No comments: