Tuesday, November 10, 2015

Lapan Kerusi PAS Di Selangor – DAP Pun Tidak Yakin Kepada AMANAH


Apa mainan Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP dalam isu lapan kerusi PAS di Selangor?

Amanah yang mendakwa ia parti progresif Islam kini menggunakan DAP untuk menyerang PAS. Perbuatan seperti ini tidak wajar sama sekali.

Sanggup AMANAH melakukan kerja yang tidak sewajarnya dibuat,  jika benar ia sebuah parti Islam seperti PAS.

Malah dengan menjadi jurucakap dan menyokong tindakan DAP, pemimpin AMANAH Selangor ‘bermain api’ untuk membakar bukan sahaja PAS tetapi dirinya sendiri.

Memang tidak salah untuk ‘mengajar PAS’ supaya sedar diri tentang kedudukannya di Selangor, namun bersubahat dengan DAP adalah ‘game’ yang sangat berbahaya kepada orang Islam.

Benar apa yang dikatakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr Wan Nik Wan Yusoff pada Sabtu (7 November 2015) bahawa kenyataan DAP yang bercadang untuk bertanding lapan kerusi PAS di Selangor disifatkan sebagai taktik untuk memecah undi PAS di kawasan tersebut.

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kelantan itu mengulas mengenai tindakan DAP yang bercadang bertanding di lapan kerusi PAS di Dun Selangor pada PRU14.


Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua didakwa sebagai berkata, keputusan akan dimaklumkan kemudian selePAS perbincangan mesyuarat Pakatan Harapan Selangor diadakan, sama ada DAP akan bertanding untuk semua kawasan tersebut ataupun beberapa daripadanya.

Lapan Dun tersebut ialah Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Sri Serdang, Meru, Chempaka, Dusun Tua dan Tanjung Sepat.
                                                         
“Ia sangat difahami kerana PAS menang pada PRU13 lalu adalah sumbangan pengundi bukan Melayu. Jika DAP bertanding di kawasan itu, bagi DAP, mereka akan dapat undi itu dan pengundi tidak akan mengundi BN, maka PAS akan peroleh undi Melayu sahaja. Itu yang tersirat,” katanya.


Beliau mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara Khalid Samad yang menafikan tindakan DAP untuk bertanding di lapan kawasan di Selangor disebabkan oleh kurang keyakinan kepada rakan baru mereka iaitu Amanah, tetapi sebaliknya tidak yakin langsung dengan PAS.

“Bagi berdepan taktik DAP ini, PAS Selangor seharusnya menggunakan pendekatan yang mesra dan berkebajikan kepada pengundi tanpa batasan kaum.

“Malah peranan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) juga perlu lebih aktif bagi menawan hati budi pengundi bukan Melayu,” katanya.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh NikAbdul Aziz, menganggap kenyataan Khalid itu sebagai  “Tiada apa yang menarik,”.

Menurutnya, jika Khalid mengatakan DAP bertanding disebabkan oleh kurang keyakinan dengan PAS, maka PAS juga bertindak dengan alasan yang sama.

“PAS pun akan bertanding di kawasan DAP dengan alasan sama. DAP bukan lagi rakan tahaluf PAS. Bahkan bagi PAS, DAP terbukti sebuah parti yang panas, yang bersifat memaksa.

“Halau hudud masuk parlimen. Halau PAS dari Pakatan Rakyat (PR). Sekarang halau PAS dari kerajaan Selangor. Politik ‘big bos style Amerika’ ini orang tidak boleh pakai di Malaysia,”katanya pada Sabtu (7 November 2015).

Apakah PAS bimbang dan gentar dengan taktik yang dimainkan oleh dua sahabat dalam Pakatan Harapn ini?

Bagi Nik Abduh, PAS tidak gentar dengan apa sahaja halangan yang sedang didepani kini malah PAS sentiasa positif dengan polisi perjuangan sedia ada.

“Semakin hari PAS semakin positif di mata rakyat. Ini adalah hasil polisi sederhana yg dipraktikkan oleh PAS yang mengelak kepanasan politik yang tidak terkawal,”katanya.

Dalam isu ini, persoalan menarik yang dikemukakan  oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar NikAbdullah kelmarin (8 November 2015)  ialah kenapa  AMANAH tidak mahu bertanding di lapan kerusi di Selangor itu?

Kenapa biarkan DAP akan bertanding di kerusi berkenaan?

"Jika benar hilang keyakinan terhadap PAS, maka DAP sepatutnya membuat keputusan sebaliknya dan bekerjasama dengan rakan komponennya dalam Pakatan Harapan itu. Kalau hilang keyakinan, dia (DAP) patut bagi laluan kepada Amanah".

Bagi PAS, ia yakin dapat mempertahankan lapan kerusi DUN Selangor miliknya walaupun bakal ditandingi DAP pada pilihan raya umum akan datang.


Sebelum ini PAS telah berulang kali menyatakan tidak pernah berganjak daripada perjuangan mengekalkan kerusi milik parti itu termasuklah pada PRU14.

No comments: