Saturday, June 20, 2009

DUA PENDAPAT MENGENAI NIK AZIZ

Seronok membaca dua pendapat mengenai Nik Aziz yang ditulis oleh Bashir Ahmad (Malaysia Aktif) dan The Revolution (bypass308).

Baca dan fikir apakah Nik Aziz ini benar-benar Tok Guru dan layak menduduki kerusi Musyridul Am PAS.

Juga apakah layak untuk Nik Aziz mengatakan orang UMNO sebagai sesat dan hanya PAS sahaja layak masuk syurga.


Nik Aziz bukan pewaris nabi

BASHIR AHMAD
19 Jun 2009

Para perwakilan Muktamar Pas baru sahaja memilih Nasharuddin Mat Isa menjadi Timbalan Presiden Pas, tapi Tok Guru Nik Aziz telah mendesaknya meletakkan jawatan kononnya kerana tidak sehaluan dalam isu kerajaan perpaduan.

Menimbulkan pertanyaan sama ada beliau marahkan Nasharuddin benar-benar kerana isu kerajaan perpaduan yang disyorkan oleh Presiden Pas, Dato’ Seri Hadi Awang. Atau beliau berdendam kerana orang kesayangannya Datuk Husam Musa tewas kepada Nasharuddin dalam pemilihan Timbalan Presiden Pas?

Jika kerajaan perpaduan yang menjadi isu, Hadi Awang juga patut digesa meletakkan jawatan kerana beliau yang melontarkan idea tersebut dan mempertahankannya pada Muktamar Pas awal bulan ini. Nasharuddin hanyalah penyokong idea tersebut.

Kita juga amat tidak faham dengan sikap Nik Aziz yang terlalu membenci UMNO sehingga melebihi perasaan geramnya terhadap DAP yang sering menghentam Pas apabila ditimbulkan perkara-perkara yang menyentuh tentang kerajaan Islam impian Pas.

Aneh sungguh! UMNO tidak membenci Islam kerana majoriti ahli-ahli dan pemimpinnya beragama Islam (kecuali bumiputera di Sabah dan orang keturunan Siam). UMNO juga mempunyai rekod yang baik dalam memartabatkan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia serta sentiasa menegakkan syiar Islam.

Sebagai contoh di Indonesia yang dilabelkan sebagai negara umat Islam terbesar di dunia, tiada Jabatan Kemajuan Islam, Majlis Agama Islam Negeri dan tiada jawatan mufti seperti di Malaysia yang memartabatkan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama rasmi negara. Semuanya ini tidak berlaku tanpa usaha UMNO.

Nik Aziz tidak pula membenci DAP yang sejak lama dulu bertelagah dengan Pas yang mahu menubuhkan kerajaan Islam sehingga ada pemimpin parti cauvinis kaum itu yang berikrar `` langkah mayat saya dulu.’’

Sebaliknya Nik Aziz membenci UMNO seolah-olah parti yang beliau label sebagai sekular itu sebuah organisasi anti-Islam.

Difikirkan sepintas lalu, agak pelik perangai Nik Aziz. Apa yang sebenarnya beliau mahukan?
Tetapi jika disorot rekod kenyataan-kenyataan Nik Aziz, didapati beliau pernah menyatakan bahawa Pas sanggup bekerjasama dengan syaitan sekalipun untuk menegakkan kerajaan Islam.

Jadi, apa peliknya jika Nik Aziz sekarang sayang kepada DAP dan PKR, tapi sangat membenci UMNO. Malah Nasharuddin yang menyokong rundingan ke arah kerajaan perpaduan melalui perbincangan dengan UMNO turut menerima perasaan benci Nik Aziz.

Tidak pernah Nik Aziz meluahkan perasaan begitu terhadap Karpal Singh atau Lim Kit Siang. Tiba-tiba Nasharuddin yang sangat dibencinya.

Segala-galanya telah berubah sejak Pas bekerjasama dengan DAP dan PKR dalam pakatan untuk menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional. Apabila BN mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah pada pilihan raya umum 2008, Nik Aziz melihat bahawa peluang untuk menumbangkan UMNO dalam pilihan raya umum akan datang semakin cerah.

Betulkah UMNO dan BN akan tumbang dalam pilihan raya umum akan datang? Syaitankah yang membisikkan perkhabaran tersebut kepada Nik Aziz. Atau beliau mendapat nasihat yang salah daripada penasihat-penasihat politiknya sebagai dakwaan anaknya sendiri Nik Abduh tidak lama dulu.

Disebabkan Nik Aziz sangat yakin kononnya UMNO sedang membilang hari sebelum jatuh, maka Tok Guru itu telah menutup sebarang pintu untuk berbincang dengan UMNO mengenai masa depan umat Islam dan orang Melayu di Malaysia.

Maka kita fahamlah kenapa beliau tidak membenci DAP, sebaliknya sangat benci terhadap UMNO. Sebabnya, pada fikiran Nik Aziz, Pas tidak boleh menumbangkan UMNO tanpa bantuan DAP dan PKR. Bagi Nik Aziz, jika Pas boleh bekerjasama dengan syaitan, apa sangatlah untuk bekerjasama dengan DAP.

Yang penting bagi Nik Aziz ialah UMNO ditumbangkan. Soal sama ada Pas telah mengorbankan prinsip parti untuk menegakkan kerajaan Islam tidak penting lagi.

Nik Aziz juga sangat membenci UMNO (katanya) kerana pengalaman Pas disingkir keluar daripada Barisan Nasional dulu.

Nik Aziz menyalahkan UMNO kerana menyingkir Pas daripada Barisan Nasional. Pada hal UMNO telah menyingkirkan Pas kerana parti tersebut cuba memperluaskan pengaruhnya di kawasan UMNO. Faktor ini tidak pernah jadi perhitungan Nik Aziz.

Segala-galanya hanya menampakkan bahawa Nik Aziz adalah seorang yang pendendam. Adakah ini sifat pewaris nabi?

APA HAK NIK AZIZ NAFIKAN PILIHAN AKAR UMBI ?

oleh The Revolution
17 Jun 2009

Salam...
Salam Revolusi...

NIK AZIZ menyuruh Timbalan Presiden PAS, Ust. Nasharuddin Mat Isa meletakkan jawatan dalam PAS dan PARLIMEN sekiranya beliau setuju dengan KERAJAAN PERPADUAN...

Nampaknya, NIK AZIZ ni dah sewel agaknya...
Selama ini NIK AZIZ sibuk dengan laungan DEMOKRASI dan KEBEBASAN SUARA...
Tetapi apabila kenyataan beliau pasal letak jawatan ini dikeluarkan,
Kenyataan ini sebenarnya bertentangan dengan PERJUANGAN beliau...
Kenyataan ini sebenarnya bertentangan dengan LAUNGAN beliau...
Kenyataan ini sebenarnya bertentangan dengan FIRMAN ALLAH...
Kenapa???

Ini suara Ust Nasharuddin...
Kenapa Ust dihalang untuk bersuara???
Mana pergi perjuangan Nik Aziz???
Baru sahaja orang nak bersuara, dah disuruh letak jawatan...
Ust juga pilihan akar umbi dan akar umbi tahu perjuangan Ust pasal KERAJAAN PERPADUAN...

Ini bermakna perjuangan Ust juga disokong oleh akar umbi dan perwakilan seramai 400 lebih...Sebab itulah kenyataan Nik AZIZ cukup bertentangan dengan perjuangan DEMOKRASI dan KEBEBASAN BERSUARA beliau...
Kenapa pula saya katakan kenyataan ini bertentangan dengan FIRMAN ALLAH???

Firman ALLAH surah Al-Mâ'idah ayat 57:
Bermaksud:"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan ugama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan - dari orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu, dan orang-orang kafir musyrik itu: menjadi penolong-penolong; dan bertaqwalah kepada Allah, jika kamu benar-benar orang yang beriman."

Firman ALLAH surah al-anfaal ayat 73:
Bermaksud:"Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar."

Kepada Ust. Nasharuddin,
Teruskan perjuangan...
Lebih baik kita membelakangkan kuasa dan kata-kata Musyidul Am PAS daripada kita membelakangkan KUASA DAN KATA-KATA ALLAH...
Pilihlah sama ada KUASA ALLAH atau kuasa Musyidul Am PAS...
Pilihlah sama ada KATA-KATA ALLAH atau kata-kata Musyidul Am PAS...

Saya percaya ust akan pilih kuasa dan kata-kata ALLAH...
Saya harap perjuangan ISLAM oleh Ust akan berterusan...
Jangan kita mudah berputus asa dalam meneruskan perjuangan ISLAM...
Jangan kita mudah berputus asa dalam melakukan PERINTAH ALLAH...

Terima Kasih...
Salam...

Wednesday, June 17, 2009

NIK AZIZ BERANG, SURUH NASHA KELUAR PAS

Takkanlah sampai macam tu sekali.

Mungkin inikah sikap sebenar Datuk Nik Absdul Aziz Nik Mat jika terlalu marah?
Tak percaya Nik Aziz boleh marah dengan Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa begitu sekali.

Mursyidul Am Pas itu hari ini menyarankan, Nasharuddin supaya menyertai UMNO sebagai reaksi terhadap Nasharuddin yang terus "perjuangkan" Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, tiada makna lagi kalau Nashanruddin terus berada dalam PAS jika beliau terus mendokong hasrat untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO yang ternyata pernah "merosakkan" perpaduan PAS sebelum ini.

Apakah Nik Aziz berang kerana kerajaan perpaduan atau anak didiknya – Datuk Husam Musa kalah pada pemilihan parti baru-baru ini?

Apakah Nik Aziz jenis yang tidak boleh menerima kenyataan bahawa majoriti perwakilan PAS tidak dapat menerima Husam?

Kenapa tidak tanya Mohd Sayuti Omar kenapa Husam kalah. Jangan tanya penyokong atau pengampu Husam untuk tahu sebab sebenar.

Atau juga Nik Aziz merasakan pengaruhnya dalam PAS semakin mengecil?

Atau juga Nik Aziz merasakan dia sudah hilang pengaruh kerana sokongan kuat kepada kem Datuk Seri Abdul Hadi Awang + Nasharuddin + Datuk Mustapa Ali?

Kenyataan mengejut Nik Aziz itu turut menyifatkan Nasharuddin sebagai membuat sampah yang mengotorkan PAS dan menegaskan bahawa kerajaan perpaduan adalah boneka UMNO.

“Saya ulangi lagi ini (kerajaan perpaduan) kerja boneka Umno, jika benar Nasharuddin setuju terus terang saya sebut lebih baik dia masuk Umno dan letak jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok. Apa buat sampah…ini menyusahkan orang…biar dia masuk Umno seorang.

“Saya banyak terima panggilan dan orang datang jumpa saya sehingga ada yang sebak (tidak setuju) dengan isu itu. Dia masuk Umno senang, lebih baik..daripada duduk dalam Pas, nak bertenggek dalam Pas buat apa…tiada moral kita panggil,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di SUK, Kota Bharu hari ini.

Sambil menyifatkan idea kerajaan perpaduan bukan daripada PAS, sebaliknya ia merupakan pendapat individu tertentu sahaja.

"Kerajaan Perpaduan ni tidak pernah ada dalam agenda parti PAS selama ini dan ia juga tidak termasuk dalam perjuangan pakatan pembangkang"

“Jadi kerajaan pembangkang tidak tahu…PAS tidak tahu. Runding kerjasamapun PAS tidak bincang dan PR tidak bincang. Isu kerajaan perpaduan sebenarnya adalah boneka Umno,"katanya.

Di ALOR SETAR, Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak mahu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendapatkan maklumat lebih jelas daripada Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung idea penubuhan kerajaan perpaduan sebelum membuat kenyataan melulu.

Azizan berkata, adalah tidak wajar Nik Abdul Aziz membuat kenyataan melulu dan meminta Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa meletak jawatan jika masih menyokong idea mewujudkan kerajaan perpaduan.

"Perkara ini (penubuhan kerajaan perpaduan) bukan boleh diputuskan satu atau dua orang pemimpin saja, sebaliknya ia adalah keputusan ahli parti.

"Berilah Presiden menjelaskan dulu bagaimana idea sebenarnya konsep kerajaan perpaduan yang dicadangkan itu dan jangan terlalu awal membuat kesimpulan atau mengeluarkan kenyataan melulu.

"Komen beliau, termasuk meminta Nasharuddin meletak jawatan jika menyokong idea itu boleh mengelirukan penyokong parti," katanya hari ini.
Nasharuddin hari ini berkata tidak timbul isu PAS masuk UMNO dan tidak pernah ada pada mana-mana pemimpin PAS untuk masuk UMNO dan Barisan Nasional (BN).

”Yang ada sekarang ini adalah kita (PAS) tidak menutup ruang untuk mengadakan perbincangan dengan sesiapa pun,”katanya kepada wartawan di Lobi Parlimen semalam.

Katanya pendirian PAS bersedia untuk berbincang dengan sesiapa pun merupakan keputusan muktamar kerana dengan perbincangan itu PAS boleh berperanan untuk membantu membangunkan negara.

“Macam yang saya sebut, Ini pendirian yang kita ambil, sedia berbincang dengan sesiapa pun dan itu pun keputusan muktamar, sudah tentulah kalau kita tutup ruang untuk adakan perbincangan ini, sedangkan kita rasa kita ada peranan yang boleh mainkan untuk bantu bangunkan negara ini,” jelasnya.

Beliau menerima baik respon Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak yang mengatakan UMNO sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk mendengar dan menimbang apa-apa cadangan yang dikemukakan oleh PAS.

Namun katanya, beliau akan memaklumkan perkara tersebut kepada Presiden PAS yang berada di luar negara dan meminta pihak media menunggu respon dari Presiden PAS.

”Hari ini, sudah ada respon dari Perdana Menteri, saya terima dengan terbuka hati, tapi Presiden PAS berada diluar negeri, kita tunggu respon daripada beliau,”katanya.

Kata Ustaz Nasharudin, beliau tidak boleh bercakap bagi pihak parti tentang perkara tersebut kerana ia merupakan perkara yang besar.
Selain itu, katanya, PAS tidak boleh mebuat keputusan secara individu kerana PAS sebuah parti yang meletakkan kepada Muktamar untuk menentukan sesuatu keputusan besar dalam parti.

Ditanya tentang perbezaan pendapat dalam PAS berkaitan isu ‘engagement’ dengan UMNO, Ustaz Nasha berkata ianya perlu dijelaskan kepada semua ahli dan proses penerangan sedang dilaksanakan.

Katanya, dalam menghadapi krisis yang melanda Negara masakini, semua pihak terkesan dan setiap orang perlu memberikan pandangan.

Oleh itu, katanya, bukan hanya PAS yang bercakap dan berbincang dengan kerajaan tentang soal perpaduan atau sebagainya, bahkan pihak lain juga melakukan perkara yang sama.
Mengenai pendirian Mursyidul Am PAS Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan bahawa sesiapa yang menyokong kerajaan perpaduan adalah boneka Umno, Ustaz Nasha tidak memberikan sebarang komen.

Namun dengan tegas beliau menolak menolak sebarang dakwaan yang beranggapan bahawa idea kerajaan perpaduan adalah usaha untuk membawa PAS masuk UMNO/BN.

“Saya tidak dapat nak ulas apa yang dimaksudkan oleh Tok Guru Nik Aziz, saya sebutkan tadi, kepada umum kalaulah ’unity talk’ ini atau ’unity government ini konon-konon usaha untuk bawa PAS masuk BN atau Umno,

”Saya boleh berikan jawapan sekarang, iaitu tidak ada sebarang niat dalam diri kita (untuk masuk UMNO).”

Tuesday, June 16, 2009

MANEK URAI – SERLAHKAH LAGI PERGESERAN PIMPINAN PAS

Jangan nak sorok-sorok lagi.

Perbalahan antara puak yang menyokong dan membantah kerajaan perpaduan semakin sengit.
Apabila Kelab Penyokong PAS (KPP) Kelantan semalam meminta pemimpin PAS yang menyokong cadangan pembentukan kerajaan perpaduan, supaya tidak menyertai kempen parti itu dalam pilihanraya kecil DUN Manik Urai pada 14 Julai ini, menjelaskan segala-galanya.

Bak kata orang Kelantan, “mu tok sah marilah ke Manek Urai”.

Timbalan Presiden KPP, Yap Kok Seng berkata ini kerana penglibatan sesetengah pemimpin itu hanya akan mengelirukan pengundi dan penyokong PAS di kawasan itu berhubung isu berkenaan, lapor Bernama.

"Kami Kelab Penyokong PAS tidak mahu pemimpin yang bersetuju dengan pembentukan kerajaan perpaduan itu turut berkempen dalam pilihanraya DUN Manik Urai kerana ia boleh mengelirukan rakyat, khasnya pengundi PAS kawasan itu jika mereka memperkatakan isu itu.

"Jadi, lebih baik mereka jangan datang berkempen dalam masa kempen pilihanraya DUN Manik Urai kali ini," katanya.

Beberapa persoalan. Pertama, apakah ini suara KPP atau PAS Kelantan?
Jelas pertelingkah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat + Husam melawan Datuk Seri Abdul Hadi Awang + Nasarudin Mat Isa + Datuk Mustapa Ali begitu sengit sehinggakan seolah-olah Manek Urai adalah milik PAS Kelantan.
Kedua, apa jadi dengan Nasarudin – Ahli Parlimen Bachok – apakah beliau juga tidak ‘diingini’ di Manek Urai?

Khamis lalu, Nik Aziz membidas pemimpin parti itu yang mempertahankan saranan membentuk kerajaan perpaduan dengan menyifatkan mereka "boneka Umno".

Nik Aziz dilaporkan berkata beliau tak boleh lari daripada keputusan Muktamar PAS di Ipoh tahun lalu untuk menyokong pakatan pembangkang.
Beliau juga dilaporkan berkata suara sumbang dari PAS untuk buat kerajaan perpaduan ini adalah boneka Umno.

Laporan minggu lalu itu turut memetik Nik Aziz sebagai berkata, isu kerajaan perpaduan ini ditimbulkan oleh presiden PAS, bukannya menggambarkan kehendak PAS.

"Presiden ini ketua bagi pertubuhan, dan pertubuhan tidak buat keputusan, itu kenyataan peribadi," katanya dalam laporan tersebut.

Sementara itu 1Utama 1Ismud-Semarak pula menganggap KPP Kelantan bukan setakat beri warning kepada puak yang sokong kerajaan perpaduan (terutamanya Abdul Hadi dan Nasharudin - walau tak sebut nama) supaya jangan turun berkempen di Manik Urai selain KPP membuat kenyataan yang lebih kedepan iaitu mendesak puak Pas yang sokong UG ni supaya masuk Umno terus.

Desakan itu dikira melampau. Beliau bertanya siapa sebenarnya di sebalik KPP Kelantan (termasuk KPP mana jugaklah). Mulai sekarang PAS kena ambil tahu latar belakang puak INI, mana tau mafia ke atau agen bn bongok.

Jarang anak Melayu mahu herdik orang tua macam ni (setahu saya puak Cina dan India pun tahu jugak hormat orang tua), tapi ini geng dari mana yang tidak reti status diri, kancil nak telan gajah?

Kalau pun betul ada cadangan baik, bagitaulah ikut saluran betul, cakap sama pemimpin PASlah, bukannya cakap kepada reporter untuk siarkan seluruh negara, ni saje nak memalukan PAS ke apa?

Jangan terkejutlah kalau satu hari nanti, KPP desak Nik Aziz serah kerusi MB kepada pemimpin KPP. Kalaulah begini keberanian anak kecil menyergah bapa, alamatnya kena halau keluar rumah lepas ni. Buat perabis beras je kalau dok pelihara lagi.

Katanya: “Seperti tulisan semalam, saya nak sebut sekali lagi bahawa kpp hanya satu kelengkapan seperti aksesori buat PAS, adanya aksesori ini maka pas nampak segak sikit dan dapat sokongan bukan Islam.”

Tapi kalau dibuang eksesori ni pun, PAs bukannya boleh lingkup pun. Sokongan bukan Islam terhadap pas kini jauh lebih baik berbanding 70an dulu, malah dalam PAS sendiri ada mualaf Cina yang boleh jalankan kerja seperti yang dibuat oleh KPP.

Sepatutnya, pimpinan PAS kena bagi kata dua kepada KPP supaya jangan buat kenyataan yang bukan dalam kawalan mereka. KPPkena ingat, KPP dan PAS hanya MoU, kerjasama tanpa ikatan hitam putih. oleh itu toksahlah nak tunjuk pandai sampai naik belang.

Sunday, June 14, 2009

ZAID IBRAHIM SERTAI PKR

Hambali1.blogspot.com (Saturday, June 13, 2009)

Akhirnya. Datuk Zaid Ibrahim menunjukkan ‘warnanya yang sebenar’. Selamat memilih jalan politik yang difikirkan terbaik olehnya.

Akan melantun kembalikah Zaid dalam politik selepas ini?

Saya berpendapat peranan Zaid di Kelantan dan pusat akan semakin terserlah. Cuma bersediakan mereka yang tersedia ada membuka jalan atau ruang kepadanya?

Bagaimana dengan orang kuat Zaid di Kota Bharu? Akan ikutkah mereka meninggalkan UMNO?
Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi ternyata tidak berjaya pujuk Zaid supaya jangan meninggalkan UMNO.

Kalau ‘Pak Lah’ pujuk mungkin Zaid akan teragak-agak.

Ini kerana Zaid berterima kasih kepada Abdullah kerana melantiknya menjadi menteri walaupun tidak bertanding pilihan raya dan gagal pula dalam usahanya menjadi Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu.

Perlantikan Zaid dipertikaikan oleh ramai pemimpin UMNO Kelantan yang melihat Zaid sering ‘bersendirian’ dan bukan menyertai saf UMNO Kelantan untuk menumbangkan PAS. Malah, kehadiran Zaid dalam UMNO Kelantan sering dilihat menyukarkan UMNO ‘menyerang PAS’.

Kini Zaid boleh duduk semeja dengan lebih akrab dengan Datuk Nik Aziz Nik Mat dan Datuk Husam Musa untuk menyekat UMNO Kelantan berkembang, selain ‘mengajar’ betul-betul Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Mustapa Mohamed.

Atau Zaid masuk PKR kerana marah dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Fatmi Salleh yang dikatakan beberapa pihak melakukan pelbagai ‘cara kotor’ dalam pemilihan UMNO Bahagian dan kini berjaya menjadi Ketua UMNO Bahagian kota Bharu.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang melepaskan jawatan itu dan senator akhir tahun lalu telah menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) secara rasmi.

Ia diumumkan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui wartawan sempena Kongres Nasional Khas parti itu di Kuala Lumpur hari ini.

Zaid juga hadir pada kongres hari ini yang diadakan untuk membincangkan pindaan perlembagaan parti.

Anwar berkata, penyertaan Zaid akan berkuat kuasa selepas penerimaan permohonannya ditandatangani oleh Presiden Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Malah Zaid juga akan dilantik sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi dan Biro Politik PKR, kata Anwar.

Zaid sebelum ini merupakan ahli Umno dan bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bahru dan pernah bertanding dalam pilihan raya umum 2004 atas tiket Barisan Nasional.

Beliau dilantik sebagai anggota Kabinet atas kapasiti sebagai senator oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi selepas pilihan raya umum Mac 2008.
Bagaimanapun beliau melepaskan jawatannya akhir tahun lalu.

Tahniahlah buat Zaid kerana kalau duduk dalam UMNO pun tiada apa, sekadar ahli biasa.

Lagipun, usaha mendekatkan dirinya dengan Datuk Seri Mohd Najib menjadi semakin sukar selagi Fatmi menjadi orang penting Najib.

NIK AZIZ TUNJUK TELADAN SANGAT TIDAK BAIK

http://melikapakjangak.blogspot.com/ (11 Jun 2009)

BERBANDING dengan tokoh-tokoh Pas yang lain, Mursyidul Am Pas Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih bernasib baik kerana tidak perlu berdepan dengan masalah sukar untuk mendapat tempat dalam kedudukan parti.

Bagi saya nasib baiknya itu lebih bersifat suatu bentuk ujian dari Allah s.w.t. bagi melihat kualiti ilmu amalnya yang sebenar. Jika beliau berjaya menghadapi ujian dengan penuh iman dan taqwa, maka selamatlah beliau dunia akhirat, jika sebaliknya, beliau akan lebih tahu ke mana sudahnya.

Saya mengharapkan apa yang dilakukan dianggap perbuatan ahli syurga memang benar-benar perbuatan ahli syurga, bukan sebaliknya kerana terlalu yakin bahawa tidak ada orang lain lebih Islam, lebih alim, lebih beriman dan bertaqwa dari kita.

Kerana itu saya ambil risiko menegur apa yang patut ditegur walaupun saya sangat jahil. Saya ambil panduan si pincang yang menegur Khalifah Umar Al-Khattab dalam membuat teguran orang yang standardnya jauh lebih tinggi dari saya.

Pengalaman perkhidmatan Nik Aziz selain dari sebagai ahli parlimen, ahli dewan undangan negeri dan menteri besar ialah sebagai guru sekolah buta (kelas) dewasa KEMAS dan guru Maahad Muhammadi.

Beliau tidak ada pengalaman politik pada peringkat akar umbi, tidak pernah jadi ketua cawangan (dulu dipanggil ranting) dan ketua kawasan. Beliau terus berada pada cagak yang tinggi dan selesa.

Kematian Ahli Parlimen Kota Baharu Hilir (kini Pengkalan Chepa) Ahmad Prai membuka laluannya untuk menduduki kerusi ahli parlimen sejak tahun 1972 apabila beliau dipilih sebagai calon mewakili Pas.

Tidak hairanlah kalau dia merasa dirinya serba mahal, serba perfect dan paling berpengaruh, tambah-tambah apabila apa yang keluar dari mulut beliau atau apa juga tindak tanduknya dianggap suci belaka oleh para pendukung dan penyokong Pas.

Beliau seakan-akan diBERHALAkan oleh pendukung dan penyokong Pas, terutama dari kalangan yang menjadi pendukung dan penyokong kelas 'ppokko angguk' dan malas merujuk al-Quran dan hadis sama ada apa yang dicakapkan dibolehkan atau dilarang oleh Islam, sebaliknya ditelan sebagai manis leting belako.

Bila beliau menyebut menatang (binatang) yang ditujukan pada mana-mana individu, menyamakan perokok dengan lembu atau apabila didoakan agar seseorang ditimpa bala, semua orang menerima sebagai kata-kata suci dan doanya diaminkan, tidak ada yang berani membetulkannya.

Saya sendiri sewaktu bertugas dengan Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan (UPKn) pernah dipanggil oleh seorang exco hanya kerana menegur Nik Aziz yang penulis rasakan tindakan dan apa yang diucapkan boleh membawa kepada kerosakan prestasi dan reputasi parti.

Teguran itu saya buat melalui majalah bulanan yang saya terbitkan atas sifat SEBAGAI penerbit dan ketua pengarang kepada majalah bulanan milik saya, bukannya atas kapasiti sebagai Pengarang UPKn ketika itu. Ikut perjanjian lisan, di samping bekerja dengan UPKn, saya boleh meneruskan penerbitan majalah saya.

Exco berkenaan semacam memberi amaran bahawa saya boleh digugurkan dari UPKn kerana menegur apa yang disifatkannya sebagai boss paling besar parti dan Kerajaan Membangun Bersama Islam.

Kepada exco berkenaan saya tegaskan bahawa Nik Aziz bukan nabi atau malaikat, beliau tidak maksum. Selain dari menegur, dia juga kena ditegur, malah tugas menegurnya adalah menjadi fardu kifayah kepada pendukung dan penyokong Pas.

Saya ambil risiko menegurnya kerana saya sayangkan dia, saya takut beliau akan takbur kerana syaitan yang menggodanya jauh lebih besar pangkat dan lebih pakar dalam menggoda berbanding dengan syaitan yang mengoda saya atau orang biasa yang tahap ilmu amalnya tak seberapa.

Saya tak mahu nasibnya akan sama dengan orang alim zaman dahulu, termasuk ulamak yang sangat alim dan masin mulutnya pada zaman Nabi Musa a.s. yang mati masuk neraka kerana menerima upah yang disalurkan melalui isteri agar berdoa supaya Nabi Musa a.s. sesat di padang pasir.

Kepada exco berkenaan saya tegaskan kalau kerana teguran itu menjadikan saya tidak layak untuk terus bertugas dengan UPKn, maka saya lebih rela tidak disambung kontrak dari berhenti menegur apa yang patut saya tegur menggunakan bakat kepengarangan yang Allah anugerahkan kepada saya.

Hakikatnya exco berkenaan lebih awal terpaksa nyah dari Kerajaan Membangun Bersama Islam apabila kalah dalam Pilihanraya Umum Ke-11. Saya dikeluarkan dari UPKn (tidak disambung kontrak) jauh terkemudian darinya.

Kini ketakburan Nik Aziz semakin menyerlah apabila sanggup menyanggah Presiden Pas yang mana dari sudut susunan kedudukan kepimpinan, Presiden lebih berpower berbanding dengan Mursyidul Am.

Rasanya kalau ikut prosedur beroraganisasi, beliau boleh dikenakan tindakan displin kerana menyanggap presiden sebagaimana Mat Iraq (bekas Ketua Dewan Ulamak) diancam akan diambil tindakan oleh seorang Naib Presiden Pas (kini bekas) kerana kenyataannya yang dianggap melanggar peraturan parti.

Oleh kerana tidak ada pengalaman berorganisasi pada peringkat akar umbi, walaupun untuk pencalonan presiden parti pada muktamar Pas ke-55 beliau hanya dapat satu pencalonan sahaja, beliau masih boleh redas dan redah apa sahaja, termasuk menyanggah presiden yang menang jawatan tanpa bertanding.

Kenyataannya yang menyanggah Presiden dan permintaan Pengarah Pilihan Raya Pas (kini bekas dan Setiausaha Agung Pas) yang dicarry oleh hampir keseluruhan media cetak merupakan suatu bentuk kenyataan bersifat 'tidak heran' dan tidak ada rasa hormatkan sesiapam nada dan gaya orang gedebe mamah mentah kepala keretapi.

Kenyataannya itu mahu tidak mahu akan membawa kepada perpecahan pendukung dan penyokong Pas antara yang berpolitik dan berparti politik secara rasional dengan pendukung dan penyokong yang berpolitik dan berparti politik dengan memBERHALAkan pemimpin atau tokoh tertentu.

Tidak mustahil pihak yang dibidas sebagai 'boneka Umno' kerana mempertahankan cadangan Presiden Pas untuk membentuk kerajaan perpaduan akan melastik balik beliau sebagai 'boneka syaitan' apabila beliau pernah berkata sanggup bekerjsama dengan syaitan.

Pada saya tindak tanduk Nik Aziz itu (saya memohon agar Allah ampuni saya jika tersilap persepsi) bersifat menunjukkan teladan yang sangat tidak baik dan boleh menyumbang kepada keleburan Pas.

Semacam ada dendam kesumat di hati sanubari beliau apabila boleh menganggap kalangan yang mempertahankan gagasan Presiden sebagai boneka Umno yang mana tanggapan itu turut tertuding kepada presiden dan setiusaha agung.

Saya yakin akhirnya apabila beliau tersepit, sebagaimana lazimlah, pihak medialah akan dipersalahkan, kononnya sengaja mengda-adakan benda yang tidak ada.

Sebagai orang yang sentiasa kemaruk, gigih dan ketagih berilmu amal dan membina benteng iman serta taqwa, mustahil beliau tidak tahu bahawa berbaik sangka dan menyambung serta memantapkan silatur-Rahim sangat dituntut oleh Islam.

Apakah orang Umno lebih syaitan dari syaitan atau lebih DAP dari orang DAP sehingga cadangan untuk membentuk kerajaan perpaduan, boleh ditentang oleh tokoh sehebat Nik Aziz?