Wednesday, March 2, 2011

Tak Habis-Habis Kerajaan Selangor Pencilkan Sultan Sharafuddin...

Tindakan kerajaan negeri Selangor menerusi Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr. Halimah Ali mengumumkan pelantikan Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda sebagai Canselor Unisel sebelum majlis watikah pelantikan disempurnakan oleh Sultan Selangor semalam adalah tidak wajar kerana dilihat seolah-olah membelakangi bidang kuasa Sultan Selangor dalam soal itu kerana pelantikannya harus dibuat oleh Baginda berdasarkan perlembagaan Unisel.

Berapa kali Kerajaan Selangor perlu ditegur oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah?

Rakyat Selangor sepatutnya bangkit segera mempertahankan Sultan mereka daripada terus disisih dan dipencilkan peranan dan bidang kuasa Sultan mereka!

Dalam isu pelantikan Canselor Universiti Selangor (Unisel) – isu terbaru di Selangor - sekali lagi Sultan Selangor menyuarakan rasa tidak puas hati Baginda.

Nasib baik Baginda bersetuju dengan pelantikan, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda sebagai Canselor Unisel. Jika tidak, ia akan menjadi polemik baru pada ketika polemik mengenai pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri belum selesai.

Kerana itu amat wajar jika UMNO Selangor kesal dengan tindakan kerajaan negeri yang tidak menghormati Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila mendahului bidang kuasa baginda dalam isu pelantikan Canselor Universiti Selangor (Unisel).

Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata semalam, tindakan kerajaan negeri menerusi exconya, Dr. Halimah Ali mengumumkan pelantikan Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda sebagai Canselor Unisel sebelum majlis watikah pelantikan disempurnakan oleh Sultan Selangor semalam adalah tidak wajar.

Pada 14 Februari lalu, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr. Halimah Ali mengumumkan pelantikan Raja Arshad sebagai Canselor Unisel menggantikan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang menamatkan khidmatnya pada 5 Februari lalu.

Tindakan Halimah mengumumkan pelantikan Raja Arshad yang juga Pengerusi Ekuiti Nasional Bhd. itu dilihat seolah-olah membelakangi bidang kuasa Sultan Selangor dalam soal itu. Ini kerana, meskipun pemilihan Raja Arshad telah mendapat perkenan Sultan Selangor, pelantikannya harus dibuat oleh baginda berdasarkan perlembagaan Unisel.

Ia perbuatan cuba membelakangkan Baginda. Halimah tidak sepatutnya mengumumkan perkara itu terlebih dahulu kerana hanya Sultan Selangor sahaja yang berhak melantik Raja Arshad untuk mewakili baginda sebagai Canselor universiti milik kerajaan negeri itu.

Ini kerana berdasarkan perlembagaan Unisel, Canselor Unisel ialah Sultan Selangor atau wakil yang dilantik sendiri oleh baginda, bukannya kerajaan negeri apatah lagi Halimah. "Maka, kita lihat kerajaan negeri tidak menghormati kedudukan Sultan Selangor termasuk bidang kuasa yang ada pada baginda dalam pelantikan itu.

Sebagai rakyat Selangor, kita kesal akan perkara ini. Malah sikap tidak hormat kepada Sultan Selangor semakin berleluasa dilakukan oleh kerajaan negeri pada hari ini.

Abdul Shukor mengulas titah Sultan Selangor pada majlis penyerahan watikah pelantikan Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda sebagai Canselor Unisel yang baru di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam semalam yang mahu semua pihak mematuhi peruntukan perlembagaan Unisel yang menetapkan bahawa pemilihan dan pelantikan canselor universiti itu di bawah bidang kuasa baginda.

Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam menitahkan semua pihak agar mematuhi peruntukan perlembagaan Universiti Selangor (Unisel) yang menetapkan pemilihan dan pelantikan canselor universiti itu di bawah bidang kuasa baginda.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Titah Baginda, dalam perlembagaan Unisel, dinyatakan dengan jelas bahawa canselor universiti itu ialah Sultan Selangor atau wakil yang dilantik oleh baginda.

“Justeru adalah tanggungjawab beta untuk menggunakan segala kebijaksanaan beta untuk memilih mereka yang beta percayai, sesuai dan berpotensi untuk mewakili beta menerajui Unisel ke arah kemajuan serta kecemerlangan. Oleh yang demikian, beta berkenan menitahkan kepada seluruh rakyat Selangor agar perkara ini tidak disalahertikan dan dipolitikkan,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan Unisel supaya tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan politik kepartian yang akan menjejaskan kepercayaan pelbagai pihak kepada universiti itu. Penglibatan Unisel dalam politik kepartian hanya akan menimbulkan banyak masalah, malah merugikan universiti yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri sejak 1999.

‘‘Para ibu bapa juga akan merasa ragu-ragu untuk membenarkan anak mereka melanjutkan pelajaran di universiti ini. Beta tidak mahu perkara seumpama itu terjadi kepada Unisel kerana aset utama sesebuah universiti ialah pelajar-pelajarnya,” titahnya.

Pada masa sama, baginda meminta kepimpinan tertinggi Unisel menjalankan fungsinya dengan baik untuk kemajuan pendidikan dan pelajaran anak bangsa, selain mematuhi setiap prosedur yang ditetapkan oleh pihak berwajib, khususnya Kementerian Pengajian Tinggi.

Baginda juga mahu Unisel menumpukan kepada sukatan mata pelajaran terasnya untuk menghasilkan graduan berkualiti dalam bidang berkaitan perindustrian memandangkan Selangor merupakan negeri pertama yang mempunyai pembangunan industri pesat.

‘‘Oleh itu, keperluan untuk melengkapkan industri-industri ini adalah penting. ‘Maka, tugas Unisel untuk mengeluarkan graduan-graduan yang berkaliber adalah penting bagi memajukan lagi industri di Selangor, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi negeri ini,” titah baginda.

Dalam pada itu, Abdul Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kuang turut kesal dengan sikap kerajaan negeri yang didakwa cuba menerapkan unsur-unsur politik kepartian di dalam pengurusan termasuk para pelajar universiti itu.

Katanya, penerapan unsur sedemikian jelas dilihat apabila kerajaan negeri membenarkan ahli politik, termasuk Penasihat Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan ceramah di universiti itu selain mengheret pelajarnya mengadakan demonstrasi jalanan sebelum ini.

"Apakah yang cuba dilakukan oleh kerajaan negeri terhadap Unisel? Apakah mereka mahu menjadikan universiti ini pusat pendidikan atau tempat berpolitik kepartian?
Ketika ini Unisel difahamkan mengalami masalah kewangan yang teruk, termasuk bilangan pelajar yang semakin menurun.

Sekiranya kerajaan negeri terus bermain politik, Unisel akan terus berada dalam keadaan yang sukar, termasuklah hilang keyakinan para ibu bapa dan matlamat penubuhan university berkenaan akan gagal.

Jika berlaku sesuatu kepada universiti itu apakah kerajaan Selangor akan mempertahankannya atau lepas tangan?