Thursday, December 29, 2016

Buka Semula Sisasatan Penyelewengan Dana 1MDB – AMANAH


Apakah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melayan desakan parti AMANAH agar dibuka semula siasatan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?

Parti Amanah Negara (AMANAH) semalam membuat desakan agar dibuka semula kertas siasatan tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak.

AMANAH berpendapat, sebarang kegagalan SPRM untuk membuka semula siasatan akan menguatkan lagi dakwaan bahawa badan ini sudah hilang integriti dan tidak lagi bebas. Malah, sekiranya benar ia  merupakan bencana yang cukup besar untuk masa depan Malaysia.

Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub berpendapat dengan wujudnya keterangan-keterangan yang belum disiasat sepenuhnya, adalah wajar sekali SPRM melakukan siasatan sekali lagi terhadap penyelewengan dalam 1MDB.

Salahuddin berkata ada banyak bukti baharu berhubung kes itu, selepas Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali Januari lalu memutuskan Datuk Seri Najib Razak tidak membuat sebarang kesalahan berhubung wang RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya.

Apandi ketika itu berkata wang itu sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi, sementara beberapa pihak lain mendakwa ia sebenarnya daripada 1MDB.

Lagipun, menurutnya wujud perkembangan baru termasuklah pendedahan dan saman sivil difailkan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, dan tindakan mahkamah di Singapura dan Abu Dhabi terhadap individu yang disyaki terlibat.

Yak...kena penjara 18 minggu.
Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Singapura pada November yang menjatuhkan hukuman penjara 18 minggu kepada bekas pegawai Bank BSI Yak Yew Chee, yang menguruskan akaun milik Jho Low berkaitan 1MDB, atas pertuduhan gagal melaporkan urus niaga mencurigakan.

Menurut laporan International Business Times pada 19 Ogos pula, pihak berkuasa Abu Dhabi menahan hartawan Khadem Al Qubaisi kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan berkaitan 1MDB.

“Dengan bukti baharu ini, wajar untuk siasatan diteruskan. SPRM perlu mendapatkan dokumen dan keterangan semua saksi penting termasuk perdana menteri,” kata Salahuddin pada sidang media selepas penyerahan memorandum.

“Amat wajar SPRM memulakan semula siasatan penyelewengan yang berlaku,” tegasnya selepas menyerahkan memorandum kepada SPRM di ibupejabat SPRM di Putrajaya semalam. Turut hadir ialah Setiausaha Agung Mohd Anuar Tahir dan Ketua Wanita Amanah Nasional (Awan) Dr Mariah Mahmud yang  mendesak SPRM membuka semula kertas siasatan.

AMANAH melihat isu dakwaan penyelewengan berkaitan 1MDB masih tergantung tanpa jawapan dan belum dapat diselesaikan oleh penguat kuasa undang-undang negara.

Penyiasatan kes tersebut yang turut melibatkan SPRM sebelum ini kelihatan tidak lengkap di mana masih ramai saksi-saksi yang didakwa terlibat dalam transaksi yang berkaitan 1MDB sama ada di dalam mahupun di luar negara belum disiasat kesemuanya.

Kata Salahuddin: "SPRM juga perlu mendapatkan kerangan dan dokumen daripada semua saksi-saksi penting dan suspek yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan ini termasuklah Perdana Menteri, untuk melengkapkan siasatan dengan sempurna.”

Beliau  yang juga bekas anggota Jawatankuasa Khas SPRM, berkata, adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memberi sumbangan ke arah memperkukuhkan lagi kewibawaan SPRM.

Salahuddin berkata beliau sedar dengan kekangan SPRM yang tidak memiliki kuasa untuk mendakwa.


Maka AMANAH akan membawa isu kuasa pendakwaan ini ke mesyuarat Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) agar ia dimasukkan ke dalam manifesto.

“Ini bagi membolehkan SPRM kembali menjadi badan berintegriti dan memiliki kuasa diperlukan untuk menjalankan tugas.

“SPRM tanpa kuasa, peguam negara boleh bertindak mengikut kemahuan dan eksekutif juga boleh masuk campur,” katanya yang pernah menganggotai panel SPRM pada 2009 hingga 2013.
"Di antara perjuangan besar yang masih belum selesai ialah memberikan semula kuasa pendakwaan SPRM untuk mendakwa terutama kes-kes yang berprofil tinggi," ujarnya.

"Cara penyiasatan ditutup dan rumusan penyiasatan dibuat (menyatakan dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi milik Datuk Seri Najib adalah dana sumbangan penderma dan bukannya dari 1MDB) gagal memberi keyakinan kepada rakyat malah menimbulkan lebih banyak persoalan.

Memandangkan  skandal 1MDB sudah menjadi perhatian dunia, Malaysia perlu membuktikan bahawa negara ini mempunyai sistem keadilan yang cekap, berintegriti dan mampu untuk menjalankan tugas tanpa rasa takut dan gentar serta bebas dari campur tangan pihak berkepentingan," ujarnya.

Salahuddin juga berkata, sekiranya rakyat memberikan mandat baru kepada Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara selepas PRU14, AMANAH  akan memastikan struktur urus tadbir SPRM akan diletakkan di bawah Parlimen Malaysia.

Ini bertujuan bagi mengangkat integriti dan memastikan peranannya benar-benar bebas dari campur tangan pihak eksekutif, tegasnya. 

Friday, December 23, 2016

Jamal Buat ‘Gila’ Kerana Ramai Yang ‘Naik Gila’ Kerana Air…


"Apa yang Jamal lakukan ini sepatutnya berlaku juga di Kelantan. Namun di Kelantan, mungkin kerana rakyatnya ‘waras’, mereka sanggup untuk minum dan mandi air ‘berkarat’ selain terpaksa menggali telaga sendiri."

Penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin menerusi laman Instagram miliknya dalam nada berseloroh menegur gelagat Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Jamal ditegur kerana hadir ke Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor dengan hanya bertuala dan berjaya mencuri tumpuan.

Memang tindakan Jamal itu dilihat ‘gila’, namun gilanya bersebab kerana ‘ramai rakyat Selangor menjadi gila kerana air’.

Kerajaan Selangor mesti terbuka dan menginsafi bahawa soal terputusnya berkalan air membuatkan rakyat marah berbanding terputus bekalan elektrik.

Hakikatnya, apa yang Jamal lakukan ini sepatutnya berlaku juga di Kelantan. Namun di Kelantan, mungkin kerana semuanya ‘waras’, maka mereka sanggup untuk minum dan mandi air ‘berkarat’ selain terpaksa menggali telaga sendiri.

Lagipun mungkin di Kelantan ‘haram memakai ihram’ seperti yang dibuat oleh Jamal.

Di Kelantan, isu air sudah tidak payah disbut lagi. Rakyat dah lali, malah kerajaan PAS Kelantan tidak tergugat dengan masalah itu.

Kalau isu air penting bagi rakyat Kelantan, sudah bergantilah kerajaan negeri, jika diikutkan dengan kemarahan rakyat. Namun kemarahan antara rakyat Kelantan dan Selangor berlainan.

Kelantan tidak menjanjikan dengan rakyat untuk berikan kemudahan ‘air percuma’.


Sebalinya di Selangor, rakyat  tidak akan peduli peruntukan RM170 juta di bawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor untuk membayar bekalan air percuma yang dinikmati 1.1 juta akaun meter individu dan 65,000 unit pangsapuri kos rendah setiap bulan.

Ingat kembali apa janji kerajaan negeri Selangor ketika bertukar tangan daripada UMNO/Barisan Nasional (BN) kepada gabungan PKR, DAP dan PAS pada tahun 2008?

Pakatan pembangkang berikrar untuk mengembalikan hak air kepada rakyat menjadi dasar yang paling popular dan menjadi bualan semua orang.

Dijaja di seluruh negeri  bagaimana rakyat Selangor mendapat 20m padu air percuma yang dibayar oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Setiap bulan, rakyat hanya perlu bayar RM6. Kadang-kadang enam bulan sekali baru bayar bil air.

Berikutan itu wujud konflik dan pertembungan antara kerajaan negeri dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) tidak pernah berkesudahan.

Tidak sukar untuk dimengertikan wujudnya konflik sedemikian, lebih-lebih lagi kerana pertalian istimewa antara SYABAS dan dan UMNO Selangor. Kedua-dua  entiti ini saling bersimbiosis. Pengasas Syabas itu bendahari UMNO Selangor.

Jadi apabila sehari  atau dua hari terputus bekalan air, rakyat akan persoal dan marah ‘gila-gila’ serta salahkan kerajaan negeri.

Yang mereka tahu ialah, air hak mereka. Bukan sahaja kerana memang itu keperluan asas manusia tetapi juga akibat janji kerajaan negeri sebelum ini.

Itulah yang diulang sebut sejak 2008 dan ia telah menjadi sebahagian daripada kelaziman sehari-hari.

Jadi apabila berlakunya aksi gila Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, merangkap panglima utama angkatan Baju Merah yang dilihat ‘lagaak samseng’, rakyat mungkin dapat lupakan kegilaannya dan menyokongnya kerana beliau perjuangkan hak rakyat.

Memang Jamal ‘gila’ kerana buat gila, namun gelagatnya menarik perhatian seluruh negara dan di luar negara. Yang ditujukan .kegilaannya’ itu kepada pimpinan Datuk Seri Azmin Ali.

Jamal menggunakan kesempatan ini untuk pertikaikan kemampuan kepimpinan PKR, DAP dan PAS di Selangor,  selain menggugat kepercayaan rakyat bahawa air percuma negeri Selangor kini bukanlah kekuatan amat besar bagi kerajaan negeri.


Dengan terputusnya bekalan air ini, maka akan semakin ‘kering dan terhakislah’  sokongan rakyat Selangor terhadap kerajaan negeri. Pemimpin UMNO turut menjadi gembira dengan kegilaan Jamal itu.

Walaupun kini bekalan air di semua kawasan yang terjejas akibat kerja penyelenggaraan pencawang masuk utama Bukit Badong, Hulu Selangor pada 19 Dis lepas telah pulih sepenuhnya sejak 1 tengah hari semalam, apa yang dilakukan oleh Jamal beberapa hari lalu memang menarik.

Menurut Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), bekalan air kepada pengguna secara berjadual mengikut dua zon telah menyegerakan pemulihan bekalan air.

Namum demikian, Syabas berkata beberapa kawasan di Gombak seperti Taman TAR, Ampang Jaya, Kampung Dato Mufti, Menara Mutiara Taman TAR dan Taman Bukit Indah sedang mengalami gangguan bekalan air sementara berikutan kes paip pecah di kawasan berhampiran.

Jadi , jangan anggap ‘Jamal’ gila tidak bertempat. Jamal ‘gila’ agar pembangkang merempat seperti yang dialami UMNO/BN selama ini.

Jamal berjaya tonjolkan keupayaannya untuk berlawaan dengan hanya memakai tuala yang tidakpun dilakukan dilakukan rakyat Kelantan terhadaap kerajaan PAS Kelantan, biarpun masalah air di negeri Cik Siti Wan Kembang itu lebih kronik.

Yang bertanya kenapa Jamal jadi begitu ‘bodoh dan gila’ sepatutnya malu pada diri sendiri kerana Jamal lakukannya dengan bersebab iaitu membantu rakyat Selangor tidak naik ‘gila’ kerana ketiadaan air.

Sedangkan air itu hak rakyat, yang memang dijanjikan kerajaan negeri.

Dan apabila tiba-tiba hak itu lenyap, apakah gelagat Jamal itu ‘bukan suara dan protes’ bagi pihak rakyat dengan sindiran tajamnya  melalui ‘perbuatan gilanya’ yang tidak pernah dibayang atau difikir sebelum ini?

Gilapun gilalah Jamal, gila bertempat untuk mengelakkan rakyat Selangor berterusan’gila’ kerana masalah terputusnya bekalan ar.

Malah, bukan rakyat sahaja, malah pengusaha, peniaga dan industry turut berterima kasih kepada Jamal kerana gilanya itu.

Dan jika ada anugerah untuk siapa paling ‘gila’, Jamal sewajarnya diberikan penghargaan kerana gilanya itu untuk kemudahan dan kesenangan rakyat, bukan menyusahkan rakyat gara-gara kegagalan pengurusan air dengan baik oleh kerajaan negeri.


Pada ketika Jamal membantu rakyat, penyanyi tersohor yang menegur gelagat ‘gila’ Jamal itu membantu apa?

Sunday, December 18, 2016

UMNO, BN Lahirkan Empat Lagi Pemimpin Muda Menentangnya...


Jangan kata kerajaan pimpinan UMNO/Barisan Nasional (BN) tidak mempengaruhi penggantungan pengajian aktivis siswa, Anis Syafiqah Md Yusof dan rakan-rakannya.

Beliau digantung pengajian satu (1)  semester, diberi amaran dan dikenakan denda RM400 kerana pembabitannya dalam himpunan #TangkapMO1 di ibu negara, Ogos lepas.

Himpunan #TangkapMO1 diadakan bagi mendesak pihak berkuasa mengesan, menangkap dan mendakwa Malaysian Official 1, yang disebutkan dalam siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat terhadap penggelapan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan sebelum ini mengakui  MO1 adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.


Selain Anis, Mohamad Luqman Nul Haqim Zul Razali dan Muhammad Luqman Hakim Mohd Fazli turut dikenakan hukuman yang sama, manakala Suhail Wan Azahar diberi amaran dan dikenakan denda RM400.

Tindakan menghukum ini secara tidak langsung melahirkan pemimpin muda yang akan menentang kerajaan berterusan, iaitu UMNO dan BN.

Mungkin keluarga mereka turut bersimpati dan ‘akan mengajar UMNO dan BN” dalam pilihan raya nanti.

Panel Tatatertib Universiti Malaya (UM) mendapati beliau bersalah kerana mengadakan tunjuk perasaan; merosakkan nama baik universiti dan memudaratkan keselamatan awam kerana menyertai himpunan tersebut.

Anis berkata, universiti yang telah dikawal oleh pihak berkepentingan melakukan sedemikian untuk terus menakut-nakutkan mahasiswa agar tidak lagi berani menyatakan suara dan pandangan terhadap isu dan masalah negara.

Yang nyata Anis dan rakan-rakannya itu tidak akan berhenti setakat ini. “Perjuangan kami sebagai mahasiswa dan rakyat perlu diteruskan,” katanya.

Anis akan merayu universiti agar membatalkan pertuduhan dan jika tiada sambutan, beliau dan rakan-rakannya tidak akan teragak-agak untuk bawa ke mahkamah.


Kalaupun tidak dapat melihat dengan nyata kesan tindakan ke atas mereka pada pilihan raya terdekat, pastinya gerakan mereka akan berpanjangan hingga ke pilihan raya umum akan datang dan memandangkan mereka masih muda, kesan jangka panjang akan dapat dilihat dengan jelas.

Berkaitan ini bekas Perdana Menteri yang berpengalaman sebagai Menteri Pelajaran, Tun Dr Mahathir Mohamad menulis surat kepada Anis serta  memuji keberanian beliau.

Dalam surat yang disiarkan di laman Facebook Anis, Dr Mahathir berkata beliau terganggu dengan tindakan tatatertib Universiti Malaya ke atas Anis kerana penglibatan beliau dalam perhimpunan #TangkapMalaysianOfficial1 (MO1).

“Seharusnya, pihak universiti tersohor di Malaysia menyokong keberanian dan keprihatinan saudari memperjuangkan masa depan negara dan anak bangsa.

Saya dapati saudari amat jelas di dalam tindakan yang saudari ambil iaitu saudari bimbang akan masa depan negara dan generasi akan datang akibat daripada salah laku MO1,” kata Dr Mahathir.

 “Saudari tidak bersendirian di dalam kebimbangan ini. Saya yang di penghujung usia mungkin akan terlepas menghadapi penderitaan angkara MO1.”

Beliau menyuarakan harapan agar Anis tabah menghadapi tindakan tatatertib yang dihadapi, sambil menambah perjuangan tanpa pengorbanan bukanlah perjuangan sebenar.


Dr Mahathir berkata beliau berharap belia lain mencontohi Anis dan UM akan menyedari penglibatan beliau dalam perhimpunan itu adalah demi tanggungjawab beliau terhadap masa depan negara, dan bukannya isu disiplin.

Pada 23 Ogos lalu, Majlis Presiden Pakatan Harapan menyuarakan sokongan penuh kepada program #TangkapMO1 anjuran anak muda dan mahasiswa yang akan berlangsung pada Sabtu 27 Ogos.

Dalam satu kenyataan media pada hari berkenaan,  badan tertinggi Pakatan Harapan itu menggesa seluruh rakyat Malaysia yang memegang teguh keadilan dan kebenaran untuk turut bersama-sama menyertai program berkenaan.

Menurut kenyataan Majlis tersebut, isu laporan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berkaitan dakwaan kecurian berbilion ringgit wang rakyat oleh beberapa individu termasuk ‘Malaysian Official 1’ serta kemasukan AS$731 juta ke dalam akaun peribadi beliau mesti dipandang serius

Sunday, December 11, 2016

Memalukan Apabila Najib Layan Surat Layang Dari ‘Jamban’...


Hanya sekeping surat layang boleh menggugat perpaduan dalam UMNO dan hubungan antara Perdana Menteri dan timbalannya?

Apakah surat seperti itu mempunyai kekuatan untuk menggugat UMNO dan kerajaan? 

Entahlah.

Anggota Majlis Tertinggi (AMT) UMNO, Tan Sri Noh Omar sudah menganggap  penyebaran viral itu tidak ubah seperti 'tindakan pelajar sekolah'.

Dengan kedudukan status seperti kata Noh itu, surat layang itu sewajarnya tidak diambil berat oleh seorang Perdana Menteri yang terbukti sudah mendapat sokongan lebih tiga juta ahli UMNO, selain penyokong parti komponen Barisan Nasional (BN).

Jika dilihat kepada ikrar serta walak pengikut UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 baru-baru ini, tiada siapa boleh menggugat perpaduan dalam parti Melayu itu.

Pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 baru-baru ini Dr Ahmad Zahid Hamidi dan hadirin sudah menyatakan ikrar taat setia mereka kepada Najib .

Malah Dr Ahmad Zahid turut meminta hubungan beliau dengan seorang lagi naib presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak dilaga-lagakan.

Najib pula dalam ucapan penggulungannya menyatakan tidak pernah meragui kesetiaan Zahid, malah tidak risau sama sekali jika naib presiden UMNO itu 'berdiri' di belakangnya.

Namun tiba-tiba sahaja hanya dengan sekeping surat layang yang entah dari mana datangnnya, negara heboh bahawa  pembangkang kini begitu terdesak untuk menggugat hubungan mereka, termasuk dalam UMNO dam kepimpinan tertinggi parti utama BN  dan kerajaan.

Sekeping surat yang didakwa ditulis Timbalan Perdana Menteri dikatakan mendesak Najib  supaya meletak jawatan yang menjadi viral di laman media sosial kelmarin dan semalam.

Najib berkata beliau percaya surat itu sengaja direka pembangkang yang didakwa 'iri hati' dengan solidariti kukuh yang diperlihatkan pada PAU 2016  baru-baru ini.

Najib menuduh pembangkang kini begitu terdesak dan berada dalam keadaan kucar-kacir sehingga mereka terpaksa bersekutu dengan orang yang memenjarakan pemimpin mereka sendiri.


“Mereka mencuba pelbagai cara dalam bidang kuasa mereka untuk memecahbelahkan kita. Tetapi mereka tidak kenal UMNO dan kesetiaan ahlinya iaitu mereka yang berdiri di dalam senang mahupun susah bersama parti dan kepimpinan parti yang dipilih secara demokrasi.

“Oleh itu, tidaklah menghairankan apabila mereka menyebarkan khabar angin dalam usaha untuk merosakkan hubungan rapat saya dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya dalam satu catatan di laman blog najibrazak.com, malam tadi.

Najib mengatakan  pembangkang mungkin tersalah anggap perwatakan timbalan perdana menteri dengan beberapa bekas pemimpin parti UMNO yang didorong oleh kepentingan peribadi dan bukannya kepentingan parti atau nasional.

Berikutan itu beliau menggesa  semua ahli parti UMNO untuk sentiasa berwaspada terhadap taktik kotor yang digunakan pihak lawan.

“Mereka mencemburui solidariti kukuh dalam UMNO dan Barisan Nasional,” tegas Najib.

Membaca reaksi Najib ini memperlihatkan betapa UMNO dan BN yang sebenarnya terdesak sangat untuk memulihkan perpecahan di kalangan mereka.

Betul juga kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu bahawa Najib kini  dilihat keliru dengan kedudukannya sebagai Perdana Menteri berhubung pendekatannya dalam memberikan reaksi kepada desakan tertentu.

Sebelum ini beliau menuntut keganasan terhadap etnik Rohingya dihentikan dengan menyertai perhimpunan solidarity, sedangkan pemimpin negara itu harus menggunakan kuasanya yang lebih wajar berbanding sekadar himpunan.

"PM juga bertindak ajak demo sedangkan dia pimpinan kerajaan, “ kata Mohamad, dan kini beliau menjawab surat layang.

Bukan serius sangatpun surat itu sehingga memerlukan jawapan balas daripada beliau.

Pada ketika pembangkang sehari dua ini tidak melayan pun surat layang itu jelas mereka menganggap surat itu tidak ada nilai langsung untuk kepentingan politik mereka.


Berikutan itu, apakah surat itu dibuat pembangkang? Kalau daripada pembangkang, kenapa mereka tidak riuh malah tidak ambil kisah langsung.

Yang melalak sana sini ialah pemimpin UMNO sendiri, malah mengejutkan apabila Najib yang beria-ia menjawab isu ini sedangkan yang diserang ialah Dr Ahmad Zahid.

Apakah Najib cuba melindungi Dr Ahmad Zahid atau Najib sendiri mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena dalam UMNO.

Malah isu surat palsu kononnya pemimpin UMNO mendesak Najib  supaya meletak jawatan bukanlah relevan sangat.

Tiada nilai langsung!

Ini kerana pembangkang dan rakyat sudah menyatakan kehendak mereka supaya Najib letak jawatan sebelum ini dan apa sangat ‘berpengfaruhnya’ dengan sekeping surat layang.

Pembangkang 'tak main' surat layang, mereka tunjukkan melalui himpunan BERSIH 5 yang dikecam oleh kerajaan.

Jelas, hakikatnya Najib yang takut kepada bayang-bayangnya sendiri.

Dengan ikrar Dr Ahmad Zahid yang tetap setia kepada Najib, apa lagi yang Najib bimbang dengan sekeping surat entah dari ‘jamban’.

Malah mengesyaki bahawa ia dibuat oleh pemimpin atau penyokong Parti Pribumi Persatu Malaysia (PPBM) mengeluarkan surat ini merupakan pendapat yang boleh dipertikaikan.

Najib menyatakan pendapatnya bahawa surat palsu itu mengandungi slogan "Demi Malaysia yang lebih baik".

“Ia merupakan slogan Parti Pribumi Persatu Malaysia (PPBM),” kata Najib.

Kenapa cepat menuduh sedemikian sedangkan siasatan belum dibuat.

Bagaimana jika pihak lain atau dalam UMNO sendiri yang melakukan ‘kerja bodoh’ menyediakan surat dari ‘jamban’ ini? 

Saturday, November 19, 2016

BERSIH 5.0 ‘Haram’ Kerana 'Tempat Untuk Diadakan Perhimpunan'?


Apa makna  ‘perhimpunan haram’ seperti ditegaskan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh?

Apakah ia ‘haram’ memang kerana perhimpuan seperti BERSIH 5.0  itu menyalahi perlembagaan atau ‘haram’ kerana tidak mematuhi peraturan atau akta tertentu.

Walaupun ada penjelasan malam semalam, namun ternyata banyak perkara masih kabur.

Ia bergantung kepada interpretasi dan pemahaman terhadap akta yang diperkatakan itu.

Tujuan penulisan ini bukan mencabar tindakan polis, sekadar mencari penjelasan atau penjernihan mengenai ‘haram’ yang dimaksudkan oleh Amar Singh itu.

Kata Amar Singh melalui kenyataan semalam, perhimpunan Bersih 5.0 dan badan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Gerakan Merah Malaysia (GNGMM) gagal memenuhi syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Beliau mengakui menerima notis daripada Bersih 5.0 pada 28 Oktober  untuk membuat perhimpunan di Dataran Merdeka manakala GNGMM pada 1 November untuk mengadakan perhimpunan di Padang Merbok.

Amar Singh menjelaskan, kedua-dua notis kumpulan ini tidak diproses kerana mereka gagal mendapatkan kebenaran daripada tuan punya tanah/tapak di mana perhimpunan diadakan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur seperti yang telah disyaratkan di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Menurut beliau malangnya sampai semalam kedua-dua kumpulan itu tidak dapat mengemukakan cadangan alternatif yang sesuai.

Mengenai perkara yang sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim turut mengakui telah menerima notis perhimpunan daripada kedua-dua kumpulan namun notis tersebut tidak disertakan dengan kebenaran daripada pemilik premis.


Oleh sebab itu, kita tidak dapat memberi kebenaran untuk mengadakan perhimpunan, tegasnya.

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘kebenaran daripada pemilik premis’?

Jika menurut keterangan Amar Singh, “ tuan punya tanah/tapak di mana perhimpunan bakal diadakan ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur seperti yang telah disyaratkan di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).”

Ini bermakna bahawa Dataran Merdeka dan Padang Merbok itu merupakan tanah/tapak yang dimiliki oleh DBKL.
Dan bagaimana pula dengan cadangan “tempat yang sesuai dan mendapat kebenaran daripada tuan punya” seperti mana kehendak Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012?

Jika di kawasan lain tetapi masih di Bandaraya Kuala Lumpur, apakah ia juga di bawah DBKL atau sebaliknya?

Untuk mengadakan perhimpunan mesti mendapat kebenaran DBKL.

Persoalannya, apakah memang BERIH 5.0 serta Baju Merah diberitahu lebih awal dan memahami perkara ini?

Jawapannya ‘ya’ jika menurut Amar Singh, sampai hari ini kedua-dua kumpulan itu tidak dapat mengemukakan cadangan alternatif yang sesuai.

Malah, dua lagi kumpulan lain yang  dijangka akan turut serta dalam perhimpunan hari ini iaitu kumpulan Baju Putih dan kumpulan Baju Hitam juga gagal mengemukakan sebarang permohonan/notis.

Berikutan itu, polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk melaksanakan tangkapan terhadap peserta Bersih 5.0 dan Baju Merah yang melanggar undang-undang ketika menyertai perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di ibu negara hari ini.

Kini semakin nyata, ‘haram’ yang dimaksudkan itu bukan perhimpunan itu sendiri tetapi TEMPAT PERHIMPUNAN yang akan diadakan berdasarkan kepada  Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Berikutan itu, bagi polis, dengan adanya keempat-empat kumpulan ini mengadakan perhimpunan di tempat yang sama, tarikh yang sama dan fahaman berbeza ada kemungkinan besar akan berlaku selisih faham.

Ini akan akan menimbulkan kekacauan pada masa perhimpunan itu bertembung.

"Jadi,kita nasihatkan agar himpunan ini tidak diteruskan setelah mengambil kira isu keselamatan dan ketenteraman awam," kata Amar Singh.

Beliau berkata, polis dengan kekuatan mencukupi akan tetap mengadakan kawalan bagi memastikan keselamatan terus terkawal.

Katanya, pihaknya tidak teragak-agak untuk melaksanakan tangkapan bagi mereka yang menimbulkan kekecohan dan melanggar undang-undang semasa himpunan itu.

Selain itu,  polis turut menegaskan dan melarang penggunaan dron sepanjang perhimpunan itu. Pihaknya sudah menghantar surat kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk tindakan susulan.


Polis menasihati orang ramai supaya tidak terlibat dengan perhimpunan haram dan mana-mana kumpulan ini baik kuning, merah, putih dan hitam.

Friday, November 18, 2016

Mahfuz Ini Siapa – Dedah Rahsia PAS Cari Pasal Atau 'Ejen Parti'?


Hari ini kita tertanya-tanya seperti ahli dan kebanyakan pemimpin PAS - siapa Datuk Mahfuz Omar ini sebenarnya?

Apakah beliau ‘dipasang oleh PAS’ untuk menyelinap masuk ke Pakatan Pembangkang untuk mengambil rahsia gerakan PKR, DAP, AMANAH dan juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau apa?

Apakah Mahfuz menyampaikan banyak rahsia kepada partinya – PAS – memandangkan sejauh ini sungguh menghairankan apabila PAS tidak mengenakan apa-apa tindakan terhadapnya.

Ketika PAS semakin menjauhkan diri dengan parti pembangkang, Mahfuz nampaknya bersaorangan bebas dengan pemimpin pembangkang ke sana ke mari.

Mengejutkan juga kerana pada ketika PAS membuat ketetapan melarang semua ahlinya menyertai BERSIH5, Mahfuz hadir pada himpunan BERSIH5 di Kedah baru-baru ini.

Malah tidak hairan jika Mahfuz muncul pada perhimpunan BERSIH5 di ibu negara esok.

Semua  orang tahu bahawa Mahfuz merupakan penyokong tegar Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Selain itu beliau bebas ke program parti AMANAH dan DAP yang kini menjadi musuh ketat PAS. Apa tujuan dan peranannya?

Atau apakah Mahfuz sebenarnya menunggu untuk dipecat oleh PAS?

Beliau antara pemimpin PAS yang bertindak keluar Dewan Rakyat membantah Bajet 2017 bersama Ahli Parlimen pakatan pembangkang yang lain pada ketika Ahli PAS lain kekal dalam Dewan Rakyat.

Malah semalam amat mengejutkan apabila beliau meminta Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diminta menjelaskan sama ada beliau terlibat atau tidak dalam perjanjian melombong bijih mangan di Gua Musang, Kelantan.

Anggaran jumlah sumbangan Vigorous Global Sdn Bhd kepada Pejabat Presiden PAS yang viral di media sosial.
Bekas Naib Presiden itu  berkata, sepanjang dirinya memegang jawatan berkenaan, beliau tidak pernah dimaklumkan tentang adanya agihan daripada projek tersebut kepada parti.

"Sejak saya menjadi Ketua Penerangan PAS Pusat juga saya tidak pernah mendengar adanya pembahagian hasil galian milik kerajaan negeri kepada parti.

"Tak tahulah selePAS saya tidak lagi berada dalam kedua-dua jawatan itu, hal sebegini berlaku pula. Jadi, elok kiranya Presiden segera buat kenyataan rasmi.

"Kalau tidak betul apa yang sedang viral sekarang boleh nafikan," ujarnya.

Beliau membuat komen kepada Malaysia Dateline semalam dalam keadaan sedar bahawa beliau melakukan sesuatu yang besar terhadap presiden partinya.

Pertanyaan itu dibuat Mahfuz  mengulas dokumen surat akujanji antara syarikat Vigorous Global Sdn Bhd dengan Pejabat Presiden PAS  beralamat di Taman Melewar, Gombak, Selangor yang berlaku pada 10 Oktober 2013 menjadi viral di media sosial.

Turut tersebar beberapa foto menyerupai Abdul Hadi sedang melihat pelan lokasi serta dikatakan melakukan solat hajat ketika lawatan ke tapak projek.

"Pihak syarikat bersetuju dan berjanji memberi sumbangan kepada Pejabat Presiden PAS sebanyak RM10 per metrik tan jika syarikat mendapat kelulusan dari kerajaan negeri," dipetik daripada dokumen tersebut.

Menurut laporan Malaysia Dateline semalam, dokumen itu juga menyenaraikan anggaran jumlah sumbangan syarikat terbabit kepada Pejabat Presiden PAS yang mencecah RM200,000 sebulan dengan anggaran jumlah sebanyak RM10 juta bagi tempoh 50 bulan.
Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Abdul Hadi tentu sekali perlu memberitahu apa yang sebenarnya berlaku agar pendedahan perjanjian itu tidak mencalarkan imej parti.

"Saya tidak fikir tandatangan bagi 'Pemegang Amanah Pejabat Presiden PAS' lengkap dengan saksi dibuat tanpa pengetahuannya.

"Jika sekarang baru tahu, Presiden harus ambil tindakan terhadap nama-nama yang memperakui mewakili dirinya.

"Ini juga berkait dengan imej, maruah dan integriti PAS itu sendiri. Sudah tentu rakyat Kelantan khasnya akan marah bagaimana hasil bumi negeri boleh diagih kepada pejabat presiden," tegasnya.

Tidak jelas apakah Mahfuz sengaja membuat kenyataan untuk mempersoalkan sumbangan syarikat berkenaan kepada PAS atau untuk ‘mempersoalkan kredibiliti’ Presiden PAS itu.

Surat Akujanji antara Vigorous Global Sdn Bhd dengan Pejabat Presiden PAS

Malah beliau turut mempersoalkan Kerajaan PAS dengan mengatakan mereka tidak harus berdiam diri terhadap projek melombong mineral itu yang terletak di Lot PT6728 Mukim Relai di Daerah Chiku dengan anggaran kawasan diluluskan seluas 600 hingga 800 ekar itu.

"Ini dalam negeri Kelantan. Agihan kepada kerajaan negeri yang hanya RM5 per metrik tan yang lebih rendah berbanding untuk parti politik akan dilihat ramai pihak sebagai tidak adil.

"Tentu rakyat Kelantan akan marah. Sepatutnya, kerajaan negeri yang mendapat hasil yang lebih bukan pihak lain.

"Bahkan, rakyat melihat ada unsur-unsur rasuah apabila seolah-olah pihak PAS yang menolong mendapatkan projek melombong itu dengan syarat beri RM10 per tan metrik kepada parti.

Malah dengan sinis beliau mengingatkan pemimpin PAS, “Jangan nanti orang kata oh inilah budaya politik matang dan sejahtera."

Persoalannya kalau bukan ‘spy PAS” apakah Mahfuz akan mendedahkan banyak lagi rahsia PAS selePAS ini?


Tidakkah Mahfuz kini semakin jelas juga menjadi ‘gunting dalam lipatan’ kepada PAS?

Thursday, November 17, 2016

MLA 1MDB – Mungkinkah Malaysia Berdepan Tindakan Sekatan Antarabangsa?


Apakah Malaysia boleh dikenakan tindakan umpamanya sekatan tertentu kerana enggan membantu Switzerland dalam siasat terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB)?

Walaupun Malaysia tidak boleh dihukum kerana enggan membantu Switzerland (Swiss)  di bawah bantuan undang-undang bersama (MLA) berhubung siasatan ke atas 1MDB, namun negara dan Pejabat Peguam Negara Malaysia mengundang pelbagai pertanyaan dan tindakan.

MLA adalah perjanjian persendirian antara dua negara berdaulat sama ada mereka boleh bersikap memilih apabila menghulurkan bantuan, atau menolak, tanpa memberi sebarang sebab.

Menghairankan ialah ketika Malaysia sebelum ini berdolak-dalik mengenai MLA dan kini enggan bekerjasama, kerajaan Republik Singapura menyatakan mahu bekerjasama dalam kadar yang amat segera ('expeditiously) bagi tujuan itu.

Pada 12 April lalu, Pejabat AG Singapura (AGC) berkata pihaknya menerima permintaan AG Switzerland (OAG) bagi kerjasama MLA dalam siasatan 1MDB dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama.

Peguam S N Nair,  mengulas keengganan Pejabat Peguam Negara melayan permintaan Switzerland itu, menjelaskan  secara diplomatiknya tidak betul kerana tidak menawarkan bantuan apabila diminta kerana terdapat perjanjian bersama antara dua  kerajaan.


Menurutnya,  di mana perjanjian antarabangsa atau konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu  (PBB) terlibat, Malaysia boleh menghadapi sekatan antarabangsa jika pihak berkuasa di negara ini gagal menghormatinya.

“Dalam kes itu, Malaysia perlu mematuhi kepada mereka kerana kita menandatangani dan mengesahkan perjanjian tersebut,” kata Nair.

Beliau hanya merujuk  kepada kedudukan undang-undang dalam perkara 1MDB.

Beliau menyatakannya mengulas kenyataan Peguam Negara Switzerland,  Michael Lauber (gambar atas) minggu lepas yang pihak berkuasa Malaysia tidak akan membalas permintaan negara itu untuk menyiasat penyelewengan dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB.

Mengulas keengganan Pejabat AG  bekerjasama dalam isu MLA dengan Swiss ini, bekas Hakim Mahkamah Rayuan hairan dengan keputusan Malaysia yang menolak permohonan perjanjian MLA  daripada OAG dalam siasatan ke atas 1MDB itu.

Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, yang berkhidmat dengan Mahkamah Rayuan sepanjang tempoh 2009-2015, mengakui beliau tidak berkongsi maklumat sulit yang mungkin dimiliki Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkaitan dengan siasatan 1MDB di negara ini.

Namun, Mohd Hishamudin mendapati sukar untuk memahami bagaimana bantuan kepada pihak berkuasa Switzerland boleh "menjejaskan" siasatan jenayah yang dijalankan oleh pihak berkuasa negara ini seperti yang didakwa oleh Apandi.


"Apa yang 'prejudis' bagi siasatan pihak berkuasa? Sebaliknya, Malaysia harus bersemangat memberi apa jua bantuan kepada pihak berkuasa Swiss, terutama sekali apabila pihak berkuasa Swiss berkata penyelewengan dana 1MDB mungkin melangkaui AS$4.8 bilion yang diumumkan (oleh pihak berkuasa Swiss) awal tahun ini.

"Sudah pasti pemberian bantuan oleh Malaysia, seperti yang diminta oleh pihak berkuasa Swiss, akan dilakukan dengan penuh rahsia.

"Kita juga seharusnya menyambut tawaran pihak berkuasa Swiss untuk berkongsi hasil siasatan ke atas 1MDB dengan pihak berkuasa Malaysia," kata Mohd Hishamudin kepada Malaysiakini ketika dihubungi14 Nov 2016 lalu.

Pada 11 November lalu, secara rasmi Malaysia sekali lagi menolak permintaan Switzerland mendapatkan MLA bagi menyiasat dakwaan rasuah berkaitan 1MDB.

Penolakan itu diumumkan oleh Peguam Negara Switzerland, Michael Lauber, malah berkata keputusan Kuala Lumpur itu tidak akan menghalang siasatan terbabit kerana mereka turut bekerjasama dengan negara lain dalam kes berkenaan.

“Kami hormat keputusan bebas Malaysia berhubung perkara ini. Bagaimanapun, pihak berkuasa Malaysia kekal bebas menggunakan maklumat yang diberikan dalam permohonan bantuan Switzerland untuk siasatan mereka,” kata Lauber yang mengesahkan laporan Financial Times (FT).

“Apa yang pasti ialah prosiding jenayah kami sendiri untuk mengekalkan integriti sistem kewangan Swiss akan diteruskan. Kami akan meminta bantuan negara-negara lain, contohnya Singapura yang kita sudah kerjasama dengan baik, bidang kuasa Eropah lain dan Amerika Syarikat.”

FT memetik Jabatan Peguam Negara Malaysia sebagai berkata, ia tidak boleh menerima permohonan Switzerland kerana siasatan jenayah berterusan Polis Diraja Malaysia ke atas perkara berkaitan 1MDB.

Malaysia komited bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa dan “tiada isu Malaysia menyekat siasatan jenayah Switzerland,” kata jabatan itu kepada FT.

Pejabat Lauber berkata, Januari lalu ia mengesyaki penyelewengan daripada 1MDB berjumlah kira-kira AS$4 bilion dan bulan lalu mendakwa skim Ponzi mungkin ditubuhkan untuk menyembunyikan dakwaan penipuan AS$800 juta.

Pendakwa raya persekutuan Swiss membuka siasatan jenayah terhadap duA bank swasta Switzerland dan empat individu tidak dikenali berhubung kaitan mereka dengan 1MDB.

S N Nair mengulas lanjut mengenai keengganan Pejabat AG Malaysia itu menjelaskan, walaupun berdepan risiko tindakan diplomatic, ia adalah budi bicara Malaysia dalam kes 1MDB untuk tidak melanjutkan bantuan kepada pihak Switzerland.

“Mereka hanya berkata di bawah rangka kerja undang-undang, mereka tidak dapat membalasnya,” Lauber memberitahu Financial Times UK (FT) dalam satu temu bual.

FT melaporkan Pejabat Peguam Negara Malaysia menafikan ia cuba menggagalkan siasatan Switzerland tetapi berkata negara “polis Malaysia meneruskan siasatan jenayah berhubung perkara berkaitan 1MDB”.

FT memetik Pejabat Peguam Negara sebagai berkata “Peguam negara berpendapat permintaan ini boleh menjejaskan perkara jenayah di Malaysia”, sambil menambah “tiada isu Malaysia menyekat siasatan jenayah Switzerland”.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada 28 Oktober, mulanya mengatakan pihaknya dalam proses menjawab permintaan ked-2 MLA oleh Switzerland.


Ini berlaku selepas Apandi berkata beliau tidak menerima permohonan pertama.

Sunday, November 13, 2016

Konvensyen Pakatan Harapan Memulakan Langkah Jitu, Semangat Tinggi Lawan BN


Semalam berbagai momen dan ucapan menarik berlaku  sempena konvensyen Pakatan Harapan 2016.

Antaranya, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilihat memakai lencana 'bebas Anwar sekarang' di bahagian  poket kirinya.

Mahathir yang ditemani isterinya Tun Dr Hasmah Mohd Ali dilihat duduk sebelah menyebelah sepanjang konvensyen berlangsung.

Terdahulu, Dr Mahathir dalam ucapannya mengesahkan hasrat parti itu untuk  menjadi sebahagian daripada parti komponen Pakatan Harapan.

Menurutnya, tidak ada sebab PPBM tidak bersetuju dengan perjuangan Pakatan Harapan memandangkan ia berpegang kepada dasar-dasar yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara. 
 
Malah, dilaporkan Sinar Harian, Suasana panas menyelubungi Konvensyen Pakatan Harapan 2016 hari ini apabila sesetengah peserta konvensyen berteriak melahirkan rasa tidak puas hati.

Ini kerana pandangan mereka terhadap Pengerusi PPBM  yang tiba tepat jam 11.47 pagi semalam dihalang oleh petugas media dan peserta ketika menyambut kehadiran bekas Perdana Menteri itu.


Rata-rata peserta teruja menyambut kedatangan beliau bersama isterinya, Dr Siti Hasmah. Kekecohan berterusan apabila peserta dan petugas media berterusan merakamkan foto Mahathir di bahagian tempat duduk VVIP.

Ia memaksa wakil Wanita Parti Amanah Negara (Amanah), Aiman Athirah Aljundi menghentikan pidatonya yang sedang berlangsung buat sementara waktu.

Selain itu, dalam ucapannya Dr Mahathir menuduh parti Islam itu makan “dedak”. Ini menyebabkan ada laporan bahawa sebarang kemungkinan PAS bergabung untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang musnah.

Berucap di hadapan lebih 1,000 orang di konvensyen Pakatan Harapan itu  bekas perdana menteri itu berkata mana-mana parti yang menghalang matlamat pembangkang untuk menewaskan BN – realitinya ia adalah penyokong kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dr Mahathir tidak menamakan parti mana, namun PAS yang masih belum bersetuju untuk sekutu pilihan raya dengan DAP, PKR dan Amanah bagi menentang BN.


Bagaimapaun, menurut FMI, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, selain bersama Pakatan Harapan, PPBM ) juga sedang menunggu untuk membentuk kerjasama secara rasmi dengan PAS.

Katanya, sebagai parti baharu, sudah menjadi dasar PPBM untuk menjalinkan kerjasama dengan semua parti politik.

Beliau berkata pertemuan pertama antara PPBM dengan PAS berjalan baik dengan pihaknya kini sedang menunggu untuk mengadakan perbincangan seterusnya.

“PAS juga menunjukkan kesanggupannya untuk berbincang dengan kita berhubung pilihan raya seterusnya, misalnya soal 1 lawan 1. Perbincangan pertama sudah diadakan.

“Sekarang (PPBM) menunggu isyarat bila kita akan dapat kembali duduk berbincang, sebelum memeterainya mungkin melalui perjanjian persefahaman. Saya akan menunggu respons mereka,” katanya pada sidang media selePAS konvensyen itu.


Pada 7 November lalu, Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengesahkan partinya memang berbincang dengan PPBM berhubung pilihan raya akan datang, namun perlu berbincang secara lebih lanjut.

Di sebalik kritikan terhadap PAS oleh Dr Mahathir itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan walaupun PAS tidak menyertai konvensyen Pakatan Harapan hari ini, namun beliau percaya bahawa parti itu 'bersama'  dengan  gabungan itu.

Ujarnya,  ini kerana menerusi kenyataan Mursyidul Amnya, Hashim Jasin yang sebelum ini telah menawarkan kerjasama politik dengan mana-mana parti dalam gabungan itu bagi menentang BN.

"Kita memang jemput PAS...mereka pilih tak datang  tapi saya baca kenyataan  akhbar Mursyidul Am PAS untuk pilih satu lawan satu," katanya dalam sidang media konvensyen berkenaan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas ketidakhadiran PAS ke konvensyen itu.  Sebelum ini, PAS menerusi kenyataan Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang  bertegas PAS  tidak akan menghadiri konvensyen tersebut.


Apapun cadangan Dr Mahathir bahawa hanya satu cara saja untuk menewaskan BN  iaitu dengan bersatu – pakatan pembangkang perlu berdaftar sebagai satu parti, guna manifesto dan logo yang sama tetap sebagai langkah jitu dan bersemangat tinggi menentang BN.

Menurutnya, pakatan pembangkang perlu bersatu dan meletakkan seorang calon dalam pilihan raya tanpa mengira daripada DAP, PKR, Amanah atau PPBM.

“Dia adalah calon kita dan kita akan sokong (dalam pilihan raya). Dengan itu kita akan dapat kemenangan.

  “Kalau kita teragak, (kalau) guna (logo) mana-mana parti mungkin ada yang tak sanggup undi. Mungkin dia sokong pakatan tapi (kata) ‘undi parti tu kami tak sanggup’,” katanya ketika berucap di konvensyen pertama pembangkang itu.