Friday, July 24, 2009

SEGERAKAN PETISYEN UNDI MANEK URAI DIKIRA SEMULA

Oleh S.M. DAHLAN

KENYATAAN Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan yang telah pun mula mengambil kira tentang kemungkinan ada kesilapan dalam pengumuman kemenangan Pas di pilihan raya kecil Manek Urai 14 Julai lalu melegakan ramai pihak yang sibuk bertanya apakah UMNO tidak berbuat apa-apa terhadap kesilapan yang didakwa berlaku di hari perkiraan undi.

Walaupun kita mempunyai masa untuk membuat bantahan dan meminta pihak SPR membuat kiraan semula terhadap kertas undi di Manek Urai itu, terutamanya di Manek Urai Lama, tetapi sangat diharapkan tidak memakan masa terlalu panjang kerana perkara ini adalah soal maruah dan ketelusan kerajaan (SPR).

Apa yang pernah didedahkan oleh bekas Ketua Bahagian UMNO Kuala Krai, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah sebelum ini, memang menimbulkan persoalan besar kepada bukan sahaja dari kalangan orang UMNO, tetapi juga penduduk di Manek Urai sendiri yang sedar bacaan yang menimbulkan was-was.

Lebih lagi apabila ada permintaan supaya dikira semula tetapi tidak diendahkan oleh SPR ramai yang merasakan sesuatu yang boleh menimbulkan pelbagai wasangka terhadap pegawai SPR bertugas pada ketika itu. Kalau dakwaan yang menyebut daripada majoriti 289 tetapi diumumkan 189 undi, ini bererti, angka tersebut telah selisih 100 undi yang kalau dikira pada jumlah besarnya, BN sudah tentunya mengatasi undi Pas.

Sebenarnya, perkara seperti ini tidak boleh timbul di dalam mana-mana pilihan raya kecil mahupun umum. Jika berlaku kesilapan atau mendapat teguran, perkara itu sepatutnya segera diperbetulkan oleh SPR supaya tidak timbul masalah di kemudian hari yang akan pastinya menghabiskan masa untuk mana-mana pihak membaut petisyen.

Sejak mengetahui hal ini, saya rasa cukup terkilan dengan apa yang telah berlaku kerana selama ini SPR merupakan satu badan yang sudah cukup matang dan berpengalaman dalam hal pilihan raya yang menjadi tugas dan tanggungjawab hakikinya. SPR lebih suka menyebut bahawa setiap keputusan dari SPR adalah muktamad daripada mencari kesahihan yang lebih tepat dan telus.

Dengan timbulnya masalah seumpama ini, peranan Mazlan untuk menyegerakan perkara ini memanjangkan petisyen bagi pihak UMNO adalah sangat-sangat memberi erti kepada pengundi Manek Urai yang mana kali ini mereka benar-benar mahu lihat BN memang hinggakan khabarnya, pengundi pun berkempen sesama pengundi lain bagi memastikan BN menang kerana mereka mahukan perubahan segera.

Walaupun nanti selepas disemak semula kelebihan BN hanya dua tiga undi sahaja, ia tetap satu kemenangan besar bagi BN kerana ia tetap majoriti yang mana BN lebih selesa menunaikan janji menjadikan Manek Urai sebagai anak emas dan membangunkan jambatan penting di situ.

Itupun kerajaan pusat sudah menyatakan kesediaan untuk meneruskan juga pembinaan jambatan di situ dalam situasi yang belum menentukan ini.

Kesilapan yang mendapat teguran spontan ketika pengumuman kemudian tidak diambil peduli oleh pihak SPR amat dikesalkan. Ia sekaligus menunjukkan SPR tidak mahu bekerja lebih untuk sama-sama membetulkan kesilapan pada ketika itu juga. Sikap buruk itu telah ternyata hari ini menimbulkan masalah masa dan tenaga, tentunya ia juga akan menjadikan antara UMNO dengan Pas akan berdepan dengan satu pergeseran yang cukup getir selepas ini.

Al-maklumlah apabila Pas sudah diumumkan menang, apabila kemudiannya nanti dikatakan pula selepas dikira semula SPR terpaksa umumkan itu satu kesilapan, dengan mudah sahaja Pas akan menuduh UMNO ada kong kali kong dengan SPR. Malahan macam-macam tuduhan mereka akan buat dan macam-macam hasutan akan timbul.

Mahu tidak mahu, daripada apa yang ditimbulkan oleh Wan Zaid itu, UMNO kena bertindak dengan kadar seberapa segera di mana Ahmad Maslan atas kapasitinya Ketua Penerangan UMNO kena update Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya perjalanan dari Ahamd Maslan ke meja Muhyiddin disingkatkan.

Dalam pada itu, sejak berita ini tersebar, UMNO juga kena pastikan semua peti undi berada dalam keadaan elok tanpa ada cacat celanya kerana walaupun ia sudah dibawa ke pejabat SPR untuk disimpan yang mana macam-macam boleh berlaku di situ apabila ia di dalam jagaan manusia.

Saya ingin ulangi kesalan saya kenapa SPR tidak terus mengira semula undi yang telah didapati ada bantahan dari pihak UMNO pada hari itu? Dengan banyak maaf saya pohon kepada SPR, benarkanlah saya menyimpan keraguan dan wasangka buruk ini kerana saya sangat berpegang kepada kata seorang sahabat bahawa kalau kita percaya kepada sesiapa, janganlah kita harap 100 peratus dan kalau kita harap kepada sesiapa, janganlah kita percaya 100 peratus.

Selagi SPR belum bersedia untuk mengira semula undi Manek Urai keseluruhannya atau di Manek Urai lama sahaja pun, saya hanya akan meletakkan 50 peratus kepercayaan dan harapan kepada SPR dalam menguruskan pilihan raya seterusnya nanti.

KENAPA WAN ISMAIL ASYIK TIDAK HADIR PERBICARAAN?

Sumber : Utusan Malaysia

Asyik menghilangkan diri daripada mahkamah.

Sebagai defendan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Melor, Wan Ismail Wan Jusoh seoatutnya tidak menganianya bekas isteri dan anak-anaknya.

Inilah perangai wakil rakyat PAS yang mahu saman akhbar kerana membuat liputan kesnya.
Bagaimanapun, hakim semalam memutuskan perbicaraan kes tuntutan nafkah anak oleh bekas isteri kedua Wan Ismail tetap diteruskan pada prosiding akan datang walaupun tanpa kehadiran defendan.

Hakim Syarie, Nik Najib Che Hassan memutuskan kes tersebut akan berjalan mengikut jadual setelah defendan tidak hadir perbicaraan dua kali berturut-turut walaupun selepas ditegur.

Nik Najib menyatakan demikian kepada plaintif, Siti Aishah Abdullah, 25, dan peguam Wan Ismail, Mohd. Zaki Zainal Abidin ketika sebutan kes berkenaan di Mahkamah Rendah Syariah semalam.

Berikutan peguam mewakili plaintif, Mohd. Sibri Ismail tidak hadir hari ini, hakim tersebut menangguhkan perbicaraan sehingga 19 Januari tahun depan.

Prosiding yang sepatutnya diadakan di mahkamah terbuka terpaksa dijalankan di kamar hakim gara-gara kerosakan pendingin hawa sejak sebulan yang lalu.

Biarpun begitu, para wartawan turut dibenarkan memasuki kamar hakim bagi mengikuti perjalanan kes tersebut.

Sementara itu, Siti Aishah yang merupakan mualaf berketurunan Cina Kemboja hadir ke mahkamah bersama dua anaknya, Wan Ahmad Firdaus, 4, dan Wan Nor Salwa, 3, kecewa kerana kes tersebut ditangguhkan lagi.

''Kali ini kes ditangguhkan dalam tempoh yang agak lama sedangkan saya memerlukan nafkah anak-anak untuk digunakan sebagai perbelanjaan.

''Walaupun pada perbicaraan bertarikh 18 Februari lepas, mahkamah telah memerintahkan bekas suami membayar nafkah sementara sebanyak RM500 sebulan kepada dua anak tetapi dia gagal memenuhinya mengikut turutan bulan,'' katanya.

Turut menemani Siti Aishah ialah adik, Abdul Halim, 22 dan bapanya, Kian Ti, 62.
Peguam defendan, Mohd. Zaki pula memberitahu, Wan Ismail telah mengetahui mengenai perbicaraannya pada hari ini tetapi memilih untuk mengemukakan keterangan melalui afidavit bersumpah.

''Sebelum ini Wan Ismail ada menghubungi saya mengenai perbicaraan hari ini dan memberitahu akan mengemukakan keterangan secara afidavit bersumpah pada perbicaraan akan datang,'' ujarnya.

Tuesday, July 21, 2009

LUAHAN ANAK JATI MANEK URAI

Oleh Anak Jati Manek Urai
(Forum Utusan Malaysia 21 Julai 2009)

PAGI 15 Julai 2009, hati saya terasa amat tidak sabar-sabar untuk mengetahui keputusan Pilihan Raya DUN Manek Urai. Harapan saya agar berlaku perubahan di Manek Urai, kampung halaman yang saya amat cintai. Namun harapan tinggal harapan.

Sekali lagi keputusan berpihak kepada parti penyandang di situ. Saya terima keputusan tersebut dengan hati yang reda.

Namun, jauh di sudut hati saya, terasa amat kecewa dengan pilihan rakyat Manek Urai dalam pilihan raya kecil kawasan itu. Saya merupakan penuntut di sebuah IPT di Lembah Klang.

Sanggup pulang ke kampung halaman pada malam 13 Julai 2009 dan tidak hadir ke kuliah, semata-mata ingin mengundi untuk mengubah nasib kami sejak sekian lama. Namun sekali lagi penduduk Manek Urai memilih untuk terus ketinggalan.

Di sini, saya bukan menolak syiar Islam yang dibawa oleh PAS. Dan bukan menerima 100 peratus ideologi UMNO.

Saya menyokong kedua-duanya. Namun ikhlas saya katakan hati saya lebih yakin pada kerajaan yang memerintah negara sekarang.

Buat pengundi Manek Urai, cuba renungkan tentang kemajuan yang terdapat di kawasan tersebut. Manek Urai hanyalah kawasan yang dikelilingi pohon-pohon getah dan kelapa sawit dan menjadi sebutan hanya kerana pilihan raya kecil ini.

Renungkanlah wahai penduduk Manek Urai, kita sudah jauh ketinggalan. Saya berkata demikian kerana saya sayangkan kampung halaman sendiri.

Renungkanlah sekali lagi wahai penduduk Manek Urai, adakah tepat calon pilihan anda? Adakah tepat perjuangan yang dibawa oleh sekutu mereka?

Jauh di sudut hati, saya tidak dapat menerima perjuangan yang dibawa oleh mereka. Saya langsung tidak dapat menerima kata-kata pemimpin mereka mengatakan sudah menjadi tanggungjawab Kerajaan Pusat untuk membantu rakyat.

Inikah jawapan seorang pemimpin yang tidak tahu berterima kasih? Dan seorang lagi sekutu mereka dengan angkuh dan sombong berkata: "Adakah UMNO menang 14 Julai, 15 Julai sudah boleh buat jambatan baru di Manek Urai?"

Dan izinkan saya nyatakan: "Adakah jika anda menjadi perdana menteri pada 15 September, 16 September anda boleh mengubah segala-galanya?"

Saya tidak mahu menjawab pertanyaan itu. Biarlah mereka yang mengundi pemimpin ini untuk menjawab persoalan tersebut.

Saya tidak bermaksud untuk menghina calon mereka yang menang. Saya akui calon ini seorang peniaga ikan yang berjaya dan seorang pemimpin yang amat mesra dengan penduduk Kuala Krai dan Manek Urai. Tetapi renungkanlah sekali lagi wahai penduduk Manek Urai, mampukah pemimpin ini membawa suara anda ke telinga atasan.

Saya memohon maaf jika luahan saya ini membuatkan penduduk Manek Urai marah dan tersinggung. Tetapi fikirlah sejenak, jika anda tidak fikirkan masa depan anda sendiri, fikirkanlah masa depan anak-anak dan generasi serta bangsa kita.

Monday, July 20, 2009

BERTUAHLAH MANEK URAI...BAIKI RUMAH DIBERI KEUTAMAAN

Tidak undi Barisan Nasional (BN) tidak mengapa...

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Sukry Mohd Salleh pasti gembira dengan pengumuman itu.

Sebanyak RM2 juta telah diperuntukkan bagi program membaik pulih 500 buah rumah golongan miskin tegar dan menurap semula beberapa jalan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Program yang melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan itu akan dilaksanakan oleh Barisan Nasional (BN) walaupun tewas dalam pilihan raya kecil kawasan itu pada 14 Julai lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata, pihaknya dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengenal pasti rumah yang perlu dibaik pulih dengan segera.

‘‘Sepanjang kempen pilihan raya tempoh hari, BN memperakui model yang digunakan iaitu tanpa protokol dan buat kerja bersungguh-sungguh hingga ke akar umbi telah berjaya membongkar pelbagai masalah penduduk.

‘‘Selepas dikenal pasti, sebanyak 500 buah rumah akan dibaik pulih melalui peruntukan sebanyak RM2 juta yang mana setiap rumah memerlukan perbelanjaan sebanyak RM3,000 dalam tempoh terdekat ini,’’ ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabat Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Kota Bharu, semalam.

Mustapa menambah, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM720,000 akan digunakan untuk memperbaiki dan menurap beberapa jalan kecil yang telah dikenal pasti kerana ia menimbulkan masalah kepada penduduk.

Beliau berkata, JKM juga telah mengenal pasti penambahan sebanyak 200 keluarga kepada 500 keluarga sedia ada yang layak menerima bantuan bulanan.

‘‘Selain masalah kemiskinan, terdapat keluarga yang mempunyai anak kurang upaya serta ahli keluarga yang telah uzur dan berhak menerima bantuan,’’ katanya.

Mengenai tuntutan royalti minyak oleh Pas yang digunakan dalam kempen pilihan raya, Mustapa berkata, Petronas dan Pejabat Peguam Negara sedang menyediakan kenyataan berhubung perkara tersebut.

‘‘Kita serahkan kepada pihak yang lebih berwibawa kerana melibatkan undang-undang dan berharap rakyat di negeri ini akan menerima apa jua penjelasan yang diberikan,’’ ujarnya.

Beliau berkata, terdapat undang-undang di bawah Akta Pembangunan Petroleum yang menetapkan semua minyak di negara ini diberikan kepada Petronas untuk mengusahakannya.

Syarikat itu juga diberi hak untuk mengadakan perjanjian konsesi dengan mana-mana pihak yang dilantik.

SEKS BEBAS PELAJAR SEKOLAH KB MEMBIMBANGKAN

Polis menyifatkan perlakuan seks bebas di kalangan pelajar di beberapa sekolah di jajahan Kota Bharu makin ketara dan membimbangkan.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, sekurang-kurangnya 40 kes dilaporkan sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
Salah siapa?

Salah Sekolah? Ibu bapa? Kerajaan Negeri atau Membangun Bersama Islam yang gagal?
Polis mengatakan kurang didikan agama.

Hairan sungguh kerana di negeri Serambi Mekah, tak kanlah didikan agama kurang kerana di mana-mana sahaja laungan Membangun Bersama Islam menjadi agenda utama pentadbiran negeri.

Sementara Kota Bharu pula ialah Bandaraya Islam. Di manakah kejadian ini berlaku?

Sudah pasti Kerajaan PAS Kelantan akan menyalahkan ibu bapa atau pelajar kerana masalah ini.
Namun, dengan slogan dan kepimpinan ulamak yang diagung-agungkan di Kelantan, apakah kerajaan negeri tidak merasa turut terpalit dengan keadaan ini.

Ini kes-kes yang dapat dikesan.

Bagaimana dengan kes tidak dilaporkan?

Zaharuddin mengakui tentunya banyak kes lagi tidak dilaporkan dan orang ramai juga sering memperkatakan dan merungut mengenai gejala itu.

Hasil siasatan polis mendapati, kurangnya pendidikan agama, pergaulan yang tidak terkawal serta masalah keluarga menjadi penyumbang utama gejala itu.

''Apabila berlakunya seks bebas di kalangan pelajar sekolah bawah umur, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

"Walaupun ia dilakukan secara suka sama suka, disebabkan mereka bawah umur, polis boleh menjalankan siasatan apabila menerima sebarang laporan yang dibuat oleh mangsa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Bulan Cakna Disiplin, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 2, di sini hari ini.

Zahruddin memberitahu, program berkenaan bertujuan menanam dan menyemarakkan semangat sikap cakna disiplin dan prihatin guru terhadap salah laku pelajar.

Beliau berkata, selain perlakuan seks bebas, ada pelajar yang dikesan terlibat dengan penyalahgunaan dadah, lumba haram dan kutu rayau.

Bagaimanapun, katanya, jumlah pelajar yang disyaki terlibat dengan penyalahgunaan dadah pada tahun ini berkurangan berbanding pada tahun lalu seramai 48 orang ditahan.

Beliau berkata, penurunan amat ketara sekali apabila pada tahun ini hanya hampir 10 orang pelajar yang ditahan kerana terlibat dengan penyalahgunaan dadah termasuk ada yang ditahan di sekolah kerana memiliki dadah jenis pil kuda.

Katanya, untuk mengatasi mengurangkan masalah sosial di kalangan pelajar, ibu bapa perlu memainkan peranan mendidik dan mengawasi pergerakan anak masing-masing, apabila mereka berada di luar sekolah.

"Ibu bapa yang mempunyai sikap 'tak apa' akan memberi peluang kepada mereka melakukan jenayah atau sebaliknya.

"Sebagai contoh, apabila anak mereka keluar dan tidak balik ke rumah, sikap tak apa itu ada pada ibu bapa, ia akan merosakkan anak mereka sendiri," katanya.

Zahruddin berkata, dalam usaha membantu pihak sekolah dan ibu bapa, polis sudah banyak mengadakan kempen-kempen di sekolah termasuk mengadakan ceramah atau pameran kepada pelajar agar mereka mempunyai kesedaran pada diri masing-masing.

"Kita tidak mahu melihat kejadian yang tidak diingini berlaku di rumah seperti berlakunya kes penderaan atau sumbang mahram,'' katanya.

Persoalannya, apakah kerajaan PAS Kelantan akan lepas tangan dan menuding jari kepada pihak lain apabila masalah sebegini menimpa mereka?

Kita tunggulah jawapan daripada kerajaan negeri.

MANEK URAI HIDUPKAN KEMBALI ROH UMNO

Daripada Harakahdaily.net





Kota Darul Naim Kini Sedang Melambai BN




Sama ada benar atau palsu janji dilafazkan dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Manek Urai, namun hakikatnya dari sudut fizikal Umno-Barisan Nasional (BN) telah berjaya mempengaruhi hampir 95 peratus pencapaian majoriti PAS pada pilihan raya umum (PRU) 2008.

Secara tidak langsung percaturan politik Tan Sri Muhyiddin Yasin selaku Timbalan Presiden Umno, seolah-olah hampir memberi pukulan maut tidak mampu disangkal oleh PAS.

Sebagaimana dilaporkan, BN mendominasikan seluruh jentera kerajaan sebagai senjata kempennya. Tetapi umpan dilihat paling berkesan ialah janji projek jambatan baru, kota agropolitan dan anak emas.

Selain itu taktik paling buruk dan kotor seperti mana didakwa pihak lawannya ialah sogokan rasuah bernilai tinggi sehingga mencecah ribuan ringgit.

Sejauh manakah kebenaran itu, tuhan saja yang maha tahu. Yang pasti kemenangan tipis PAS menggambarkan keupayaan Umno mengubah senario politik semasa di Manek Urai. Secara tidak langsung Umno boleh berbangga walaupun tewas di pertarungan kali ini.

Tinjauan The Malaysian Insider sepanjang tempoh berlangsungnya kempen pilihan raya ternyata PAS lebih terkehadapan menguasai keadaan berbanding Umno.

Hampir setiap tempat, bermula dari Sungai Sok hingga ke Laloh program PAS sentiasa sesak, laungan takbir tanda sokongan padu kepada parti itu tidak pernah menyepikan kesunyian malam.

Apatah lagi kalau melihat tiga malam terakhir, mengikut adat Umno sudah boleh gulung tikar dan angkat bendera putih. Kehadiran Anwar Ibrahim di kampung Peria disambut 5,000 penyokong. Tetapi program Umno yang diadakan bersebelahan cuma dihadiri penonton seramai paling tinggipun 50 orang. Betapa nazak sambutan diberi kepada BN.

Benar kata orang, di dalam politik serba kemungkinan. Sebab itu banyak telahan dan spekulasi jarang menepati sasaran hatta dari penganalisis politik hebat sekalipun.

Kehadiran ribuan audien tidak boleh dijadikan referendum kekuatan sesebuah parti kerana mungkin ia terdiri daripada penyokong-penyokong luar kawasan. Jadi, tidak wajar persoalan ke mana pergi ribuan penyokong yang pernah membanjiri ceramah PAS sebelum ini dikaitkan dengan kemenangan tipis dialaminya.

Sebaliknya PAS akan diihat lebih rasional sekiranya cuba beralternatif mencari di mana pengundi luar seramai lebih 1,000 orang dikatakan penyokong tegar PAS dilaporkan pulang dan memberi jaminan mengundi bulan?

Mengambil sikap berterusan menyelar parti lawan menggunakan rasuah selepas keputusan sudahpun muktamad bukan jalan penyelesaian sesuatu masalah. Jika benar dakwaan itu serahkan saja kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya. Mengadakan 'domestic inquiry' parti barangkali lebih utama.

Walau apapun, perspektif politik pasca PRK Dun Manek Urai 14 Julai menjadi momentum baru kepada kedua-dua parti menghadapi PRU akan datang.

Justeru PAS tidak wajar berbangga dengan bayang-bayang sendiri menjulang kemenangan tipisnya itu. Sebaliknya PAS mesti sedar bahawa roh Umno telah kembali pulih di Manek Urai bagi mengisi methodologi baru menjejaki rentak lawan.

Sunday, July 19, 2009

BIARPUN KALAH, BN TIDAK ABAI MANIK URAI

Inilah baiknya pimpinan UMNO Negeri Kelantan.

Tidak kira musim kempen atau kalah. Pada ketika orang PAS sedang merayakan kemenangan, pemimpin UMNO terus berjumpa penduduk dan berusaha meyakinkan mereka bahawa BN tidak pernah melupakan penduduk Manek Urai.

Pemimpinnya tetap turun padang dan bertemu dengan pekerja Barisan Nasional (BN) dan yang bertungkus lumus berusaha memenangkan BN.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed memberi jaminan BN tidak akan mengabaikan penduduk Manik Urai walaupun tidak diberi mandat pada pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu Selasa lalu.

Beliau berkata parti itu juga akan menunaikan janji yang dibuat sepanjang pilihan raya kecil tersebut berlangsung, terutama dalam aspek pembangunan di kawasan yang agak ketinggalan itu berbanding dengan kawasan lain.

"Kita akan menunaikan janji-janji yang kita buat bergantung kepada keupayaan kewangan kita."

"Sebulan sebelum pilihan raya kecil, kerajaan pusat sudah belanja RM11 juta untuk kawasan Manik Urai untuk baiki jambatan, baiki jalan dan sebagainya. Ini peruntukan biasa yang kita beri, kerana kita tahu kalau nak harapkan kerajaan negeri sikit sangat peruntukan daripada mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan penduduk Manik Urai di Kuala Krai.

Hadir sama, calon BN Tuan Aziz Tuan Mat, Ketua Umno Bahagian Kuala Krai Datuk Ramzi Abdul Rahman, bekas Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah dan jentera parti itu.

BN tewas dengan majoriti tipis 65 undi pada pilihan raya kecil itu di mana calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah, 50 mendapat 5,348 undi manakala Tuan Aziz memperoleh 5,283 undi.

Pilihan raya kecil DUN itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Ismail Yaacob daripada PAS pada 22 Mei lalu akibat sakit jantung.
Mustapa yang juga Pengarah Pilihan Raya BN DUN Manik Urai berkata beliau akan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memutuskan dalam masa terdekat projek yang dijanjikan atau yang diminta penduduk.

"Kita tak nak tinggalkan terus Manik Urai kerana pilihan raya kecil lalu buktikan rakyat sokong kita dan mahukan pembangunan," katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata semua sembilan peti undi DUN Manik Urai akan dijadikan anak angkat kepada menteri-menteri bagi memastikan kawasan itu terus mendapat perhatian walaupun ia dikuasai pembangkang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata BN menunggu keputusan pilihan raya kecil itu diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terlebih dahulu sebelum menimbang untuk mengambil tindakan susulan termasuk mengemukakan petisyen mengenainya.

Katanya BN juga meneliti maklumat yang diperoleh yang mendakwa pembangkang juga menggunakan wang untuk memancing undi pada pilihan raya kecil itu.

Beliau mengulas desas desus wujud keraguan pada keputusan pengiraan di peti undi Manek Urai Lama di mana BN sepatutnya dikatakan menang dengan majoriti 289 undi tetapi hanya diumumkan 189 undi oleh SPR.

Keputusan yang dibuat SPR itu dikatakan memberi kesan yang besar sehingga menyebabkan BN kalah pada pilihan raya kecil itu dengan majoriti 65 undi.

Sementara itu, Tuan Aziz ketika ditemui pemberita berkata beliau menyerahkan kepada pimpinan parti untuk memutuskan sama ada ingin membawa perkara itu ke mahkamah atau sebaliknya.

"Saya difahamkan perkara itu kini sedang dikaji, terpulanglah nanti apa keputusannya," katanya.