Showing posts with label Amanah. Show all posts
Showing posts with label Amanah. Show all posts

Monday, May 14, 2018

Lantik Segera Pengganti Raja Bahrin Yang Lemah & Gagal...


Pada ketika negeri lain – Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Penang, Kedah serta Sabah  - menyambut meriah pembentukan kerajaan  Pakatan Harapan (HARAPAN), kepimpinan HARAPAN  di Terengganu menyepi seolah-oleh hilang punca.

Pemerhati melihat kegagalan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad mentadbir dan menggerakkan HARAPAN dengan jelas dan licin pada ‘musim Pilihan Raya Umum ke-14’ lalu menyumbang kepada kekalahan teruk parti itu di Terengganu.

Gaya pentadbiran beliau ialah mengharapkan semata-mata laporan ketua parti kepada beliau dalam setiap mesyuarat tetapi tiada pendapat dan perancangan khusus  untuk menggerakkan parti anggota HARAPAN - sebelum dan selepas datangnya pilihan raya umum lalu.

Malah selepas kalah teruk beliau bagaikan enggan mengambil tanggungjawab dan menyepikan diri.

Jangan salahkan orang lain akibat kekalahan teruk tetapi salahkan juga Ketua HARAPAN Terengganu terlebih dahulu.

Ketua HARAPAN Terengganu itu  gagal menyatukan parti dalam HARAPAN khususnya PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersamanya.

Walaupun beliau dilihat amat rapat dengan DAP, namun hakikatnya penglibatan DAP tidak besar dan penting dalam konteks politik dan pilihan raya Terengganu.

Dengan kata lain Raja Bahrin ibarat ‘seorang Raja yang mengelilingi kampung dengan memakai mahkota dan meminta rakyat sujud kepadanya’. Apakah cara ini berbaloi untuk mentadbir sebuah pakatan yang membabitkan dua parti lain?

Kenapa pertanyaan dan dikatakan demikian?

1.   Rajah Bahrin seorang pemimpin yang lemah dan tidak mampu membuat keputusan segera. Beliau perlu merujuk kepada dua tiga orang di kelilingnya walaupun perkara itu melibatkan HARAPAN.

2.  Raja Bahrin hanya melihat dan mementingkan AMANAH tetapi membiarkan pemimpin parti lain menentukan haluan sendiri.

3.  Raja Bahrin tidak berfungsi menggerakkan HARAPAN dan jelas gagal dalam konteks:
(a)   Mentadbir HARAPAN secara holistik dan mencapai kata sepakat dalam       keputusan;
(b)  Sering membuat ‘U-Turn’ dalam banyak perkara;
(c)  Tidak telus dan menggunakan kedudukan untuk kepentingan partinya semata.

4.   Pada musim PRU14, beliau gagal untuk mengenalpasti sumber dana untuk HARAPAN, malah gagal menyatakan dengan telus jumlah dana yang didapati daripada HARAPAN Pusat, selain tidak memaklumkan derma daripada orang persaorangan atau syarikat untuk HARAPAN (jika ada).
Nota: Bendahari HARAPAN, Eng Chai Heng mengatakan dana HARAPANU Terengganu memang ‘Zero’.

5.   Dengan bertanding dua kerusi – DUN Batu Buruk dan Parlimen Kuala Terengganu, beliau sebagai ketua HARAPAN terlalu sibuk dengan kempennya sehingga gagal untuk membantu menguruskan kerja pilihan raya dan TIDAK AMBIL TAHU persediaan untuk parti anggota HARAPAN, seperti:
(a)   Persediaan PACABA;
(b)   Bendera
(c)    Manifesto Negeri
(d)   Jentera Pilihanraya dan banyak lagi.

Sejak pembahagian kerusi selesai, Raja Bahrin hanya menumpukan kerja untuk partinya dan kedudukan dua parti lain yang turut bertanding tidak dipedulikan langsung.

Malah, beliau tidak kenal pun kebanyakan calon HARAPAN yang bertanding menggunakan logo PKR.

Beliau juga gagal menyelesaikan pertelingkahan yang berlaku kerana kelemahan diri beliau sendiri yang tidak mampu bermesyuarat lebih dua jam. Memasuki jam ketiga dan seterusnya beliau kelihatan hilang fokus.

Raja Bahrin sering membuat kenyataan persendirian mengenai perjuangan HARAPAN Terengganu, malah sehingga ke hari ini gagal memaklumkan kepada media dan orang ramai siapa sebenarnya menganggotai HARAPAN Terengganu.

Raja Bahrin menggunakan orang tertentu untuk menyerang pemimpinj PKR dan PPBM sebagai cara untuk melonjakkan dirinya. Sedangkan cara itu dan orang yang digunakan itu memang diketahui bukan ahli parti komponen HARAPAN PUN.

Namun dia dilihat berkeliaran bersama Raja Bahrin di semua tempat.

Ternyata beliau berjaya menggunakan pemimpin AMANAH di Kelantan dan Selangor untuk mendapatkan kerusi Ketua HARAPAN Terengganu. Namun selepas itu, apa yang b erlaku ialah seperti yang disebutkan di atas.

Dan apabila HARAPAN Terengganu mendapat ‘telur’ dalam konteks kerusi DUN dan Parlimen beliau berdiam diri seolah-olah tidak mahu bertanggungjawab terhadap kekalan teruk HARAPAN di Terengganu.

Beliau bukan pemimpin berjiwa besar yang berani mengakui kelemahan kepimpinannya seperti Najib Razak atau pemimpin BN yang kalah, sebaliknya membuat kenyataan kononnya AMANAH akan menjadi penghubung antara Terengganu dan Kerajaan Posit.

Tidakkah beliau wajar diganti dengan pemimpin lain selepas HARAPAN Terengganu dihukum  sedemikian rupa kerana kegagalan kepimpinannya?

Juga tidak malukah beliau bersuara kononnya AMANAH akan berfungsi sebagai penghubung antara Terengganu dengan Kerajaan Pusat?

Diharapkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi HARAPAN meneliti isu Ketua HARAPAN Terengganu.

Yang sudah gagal dan calon kalah teruk – Raja Bahrin dan AMANAH kalah di DUN dan Parlimen – tidak wajar lagi dipertimbangkan.

Malah, AMANAH kalah di tiga Parlimen – Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus, selain 11 DUN berbanding PKR kalah dua kerusi Parlimen dan 11 DUN diikuti dengan PPBM kalah tiga Parlimen dan 10 DUN.

Lantiklah orang lain di kalangan pemimpin HARAPAN Terengganu yang mampu merancang, melaksanakan tanggungjawab serta mempunyai misi untuk memulihkan HARAPAN di Terengganu.

Raja Bahrin jelas sekali  tidak mampu melakukan semua itu!!!

Tuesday, April 11, 2017

Pindahan Dana Ke Korea Utara – Pemimpin UMNO Bahagian Terlibat?


Semalam  Reuters memetik seorang pembelot Korea Utara Lee Chol-ho sebagai berkata Han Hun-il, pengasas dan ketua eksekutif Malaysian Korea Partners (MKP) menyalurkan wang kepada kepimpinan di Pyongyang sejak lebih dua dekad.

Cawangan bank MKP di Pyongyang turut disiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai larangan syarikat asing atau kerjasama asing dengan firma Korea Utara memiliki cawangan kewangan di negara itu.

Lebih mengejutkan, ia dikatakan ada kaitan rapat dengan seorang ketua Umno bahagian.

Kerajaan mengatakan akan menyiasat  pendedahan ini dan apakah ia tinggal kenyataan semata-mata seperti penyerahan sebuah memorandum kepada Ketua Polis Negara sebelum ini?

Kenyataan ini membawa kepada AMANAH mengulangi desakannya agar kerajaan mengeluarkan laporan lengkap berhubung dakwaan syarikat menjual senjata dari Korea Utara di negara ini.


Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub membuat desakan itu selepas tiada sebarang jawapan dikeluarkan kerajaan dan polis berhubung isu berkenaan walaupun satu memorandum diserahkan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 15 Mac lalu.

Laporan sebelum ini juga mendedahkan terdapat individu dan syarikat di negara ini dikesan menjual senjata dan peralatan ketenteraan di sebuah premis di Bangsar yang dikatakan pemiliknya seorang ketua Umno bahagian.

“Media antarabangsa melaporkannya dan memburukkan imej negara, jadi saya bertindak menghantar memorandum kepada ketua polis negara,” katanya pada sidang media di ibu pejabat AMANAH hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed menegaskan Malaysia perlu menyiasat dakwaan ketua eksekutif sebuah konglomerat Malaysia didakwa menyalurkan wang kepada kepimpinan Korea Utara.

Nur Jazlan berkata dakwaan tersebut menjejaskan reputasi Kuala Lumpur sebagai pusat kewangan.

Pada 15 Mac lalu, AMANAH melalui satu memorandum menggesa Khalid memberi penjelasan segera berhubung dakwaan terdapat syarikat dan individu yang menjual senjata dari Korea Utara.

“Saya bimbang jika tiada tindakan pantas menyebabkan negara kita menjadi seperti Mexico atau bandar di Amerika Selatan yang penuh dengan jenayah terancang.

Nur Jazlan...polis perlu siasat.
Beliau mendakwa ada aktiviti penjualan senjata oleh Global Communications Company (Golcom) yang kemudiannya menukar identiti kepada International Golden Services (IGS).

Dalam memorandum itu, Salahuddin memberi tempoh dua minggu kepada Khalid mengeluarkan kenyataan rasmi dan memulakan siasatan tetapi sehingga hari ini tidak ada sebarang maklum balas diterima pihaknya.

Salahuddin juga mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi membentang laporan lengkap melibatkan isu ini pada sidang Parlimen akan datang.

Pemimpin AMANAH itu, pada sama menggesa Bank Negara untuk menyiasat jika terdapat sebarang penyalahgunaan dalam sistem perbankan negara.

"Kita perlu siasat sekiranya antara lain Korea Utara menggunakan hubungan dengan Malaysia sebagai saluran untuk melakukan kegiatan haram," katanya.

Bank Negara juga diketakan masih belum memberi maklum balas kepada Reuters berhubung permintaan untuk mengulas mengenai perkara itu.


Nur Jazlan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu menjalankan siasatan mereka terhadap MKP dan Han untuk menentukan sama ada jenayah telah dilakukan.

Bulan lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihak berkuasa akan membantu PBB dalam siasatan terhadap MKP.

Friday, September 9, 2016

Khalid Dedahkan Kenapa DAP Akrab Dengan AMANAH, Tidak PAS...


Oleh KHALID SAMAD
(Ahli Parlimen Shah Alam)

Saya begitu tersentuh dengan tulisan YB Liew Chin Tong yang telah disiarkan di akhbar Amanah keluaran ke 12 iaitu untuk tempoh 14 – 20 Ogos 2016.

Dalam penulisan beliau amat jelas bahawa antara sebab utama DAP begitu selesa dalam berkerjasama dengan Amanah adalah kemampuan berkomunikasi dan kejujuran dalam berpakat.

Sebenarnya kedua-dua sifat ini sepatutnya merupakan sifat semulajadi bagi mana-mana organisasi, lebih-lebih lagi yang memperjuangkan Islam.

Tetapi malangnya cara ia dinyatakan oleh Liew seolah-olah ia merupakan sesuatu yang amat sukar dijumpai di kalangan organisasi politik dewasa ini.

Sememangnya persoalan komunikasi adalah penting bagi sebuah organisasi yang ingin membawa aspirasi Islam.

Dalam suasana Islam diberikan imej yang ganas dan buruk, kemampuan kita menjelaskan prinsip Islam dalam bahasa yang mudah dan meyakinkan adalah antara cabaran terbesar mana-mana jemaah Islam.

Kecenderungan untuk merempuh, mengugut, memaksa dan sebagainya, sepertimana yang ditunjukkan oleh sebahagian ‘gerakan Islam’ hanya berlaku apabila kurangnya kemampuan untuk memberi penjelasan dan pencerahan yang meyakinkan.

Akal dan komunikasi

Rasulullah (SAW) pernah berpesan, “bercakap dengan manusia mengikut kemampuan akal dan kefahaman mereka”.

Ini merupakan hadis masyur yang sering diguna-pakai dalam sesi tarbiah untuk membentuk para duat atau pendakwah.

Apabila dibicarakan maksud hadis ini, sering ditekankan bahawa tiada satu corak penjelasan yang sama untuk semua golongan manusia.

Tetapi kadang-kadang dilupai bahawa turut terkandung dan sama penting dalam hadis tersebut adalah bahawa tujuan penerangan ialah untuk memberikan kefahaman melalui akal orang yang mendengar.

Ini adalah kerana mengikut tanpa kefahaman atau ‘taqlid’ secara membabi buta bukan kehendak dakwah Islam. Oleh itu, kemampuan berkomunikasi, dalam bahasa yang difahami, melalui kaedah yang diyakini, secara logikal dan rasional yang boleh diikuti minda pendengar adalah sesuatu yang penting bagi semua pendakwah dan pejuang Islam.

Malangnya ramai yang terlibat dalam gerakan Islam diasuh dengan budaya “dengar dan patuh”.

Dan atas sebab kononnya usaha mereka berpaksikan ‘keimanan’ maka kefahaman melalui akal seolah-olah tidak diutamakan.

Malahan ada yang menganggap penggunaan akal sebagai sesuatu yang hina dan bercanggah dengan keimanan! Kerana iman adalah kepercayaan tanpa adanya bukti mahupun logik yang membawa kepada kefahaman.

Dan apabila sesebuah gerakan Islam diasuh dengan kefahaman sebegitu rupa, bagaimana ahli-ahlinya akan mampu berkomunikasi?

Selama ini ianya sekadar dilatih untuk “dengar dan taat”, “mereka ulama kamu jahil, maka ikut sahaja” dan “jangan banyak tanya, beriman sahaja”.


Maka tidak hairan bagi saya apabila Liew menyebut keselesaannya apabila berbincang dengan pimpinan Amanah, walaupun Amanah sebuah parti Islam.

Akal bukan musuh keimanan

Bagi Amanah, akal adalah antara pemberian Allah yang paling berharga. Pegangan ini terbukti benar apabila ‘Hifzul aqal’ atau ‘penjagaan akal’ disenaraikan sebagai salah satu dari lima perkara utama yang ingin dijaga syariah dalam ilmu Maqasid Syariah.

Akal yang dibebaskan dari pengaruh hawa nafsu mampu membawa manusia kepada kefahaman yang menghasil dan menambahkan keimanan. Akal bukan musuh keimanan. Akal sendiri boleh mengakui kewujudan yang ghaib yang diimani orang-orang yang beriman.

Melalui akal ini dapat juga dihasilkan perbahasan dan komunikasi yang baik samada dengan orang beriman mahupun yang tidak beriman akan sesuatu persoalan.

Oleh kerana ia berpaksikan logik dan rasional tanpa bergantung kepada keimanan, maka komunikasi yang logikal dan rasional seperti yang dinyatakankan di atas mudah difahami semua.

Oleh itu ia menjadi alat perhubungan, dakwah dan penerangan yang paling berkesan samada terhadap yang beriman atau yang sebaliknya.

Oleh itu, antara sebab mengapa pimpinan Amanah mampu berkomunikasi dengan baik dengan pimpinan DAP dan juga parti lain kerana Amanah tidak menuntut supaya ‘diimani’ apa sahaja yang di katakan.

Sebaliknya apa yang dikatakan dikupas dan dibentang secara logikal dan rasional sehingga yang baik terserlah kebaikannya dan begitu juga yang buruk untuk semua yang mendengar menilai.

Kata-kata atau hujjah yang dikemukakan tidak perlu ‘diimani’ walaupun diyakini ianya pandangan yang mantap dan tepat. Kerana ia tetap sekadar pandangan.

Dan sekiranya sebaliknya, iaitu sekiranya dibuktikan bahawa pandangan Liew atau sesiapa sahaja, secara logikal dan rasional, adalah lebih tepat, maka Amanah akan tetap sanggup juga menimbangkannya.

Pemimpin bukan qat’iyah

Perlu difahami bahawa yang sering dibahas adalah bukan persoalan aqeedah atau kepercayaan tetapi pendekatan untuk menyelesaikan masalah khusus yang dihadapi rakyat, iaitu persoalan muamalah dan siasah.

Banyak darinya merupakan persoalan ijtihadiyah atau pandangan. Namun semestinya ijtihad itu dipandu dan selari dengan kehendak dan matlamat syariah.

Dan di sini terletaknya kelemahan sebahagian gerakan Islam! Bagi mereka, semua pandangan pimpinan mereka adalah qat’iyah semuanya di mana ia tidak boleh dipertikai atau disoal oleh yang lain. Kerana apa? Kerana ia ‘pandangan ulama’.

Maka dengar dan patuh kerana “ulama adalah pewaris nabi”. Begitulah dilatihnya ahli-ahli mereka dan begitulah dikehendakinya dari pihak lain.

Kalau pandangan ahli sendiri tidak dihormati, apakah mungkin dihormati pandangan pihak lain?

Sedangkan Nabi sendiri membezakan antara pandangan peribadi Baginda (SAW) dan wahyu. Tetapi bagi sebahagian, pandangan ulama dianggap bagaikan wahyu yang wajib diimani!

Kejujuran dalam berpakat


Kejujuran berpakat juga dinyatakan oleh YB Chin Tong sebagai antara sebab utama mengapa DAP selesa berkerjasama dengan Amanah. Amanah dilihat berpegang kepada janji kerana dahulu, apabila pemimpin PAS melanggar janji, mereka yang sekarang ini berada dalam Amanah telah menegur pemimpin tersebut.

Apabila berlakunya peristiwa Kota Damansara, sebagai contoh, setelah bersetuju di semua peringkat ia ditandingi Keadilan, yang berada dengan Amanah sekarang ini telah menegurnya.

Dan begitu juga dalam begitu banyak keadaan dan situasi, apabila PAS melanggar janji, maka yang sekarang berada dengan Amanah jugalah yang telah menegurnya.

Maka bagi Liew, ini adalah bukti kejujuran dalam berpakat. Sedangkan yang lain sekadar berdiam diri dan mengikut sahaja.

Sehinggakan ada seorang Pesuruhjaya Negeri yang ditukarnya selepas muktamar 2013 kerana disyaki atas sebab beliau bersama dalam sidang akhbar menyokong Dr Nasir sebagai calon rasmi Pakatan Rakyat di Kota Damansara!

Rasulullah (SAW) pernah berpesan, “Orang mukmin berada atas (berpegang pada) janjinya”.

Samada berjanji dengan orang Islam atau yang bukan Islam, janji dipegang dengan tepat. Dan apabila janji dilanggar, maka orang beriman mesti bersuara membantah sambil menjauhkan diri mereka dari pihak yang melanggar janji dan mengutuk tindakan melanggar janji itu.

Ada yang menganggap janji kepada yang bukan Islam boleh dilanggar begitu sahaja kerana mereka bukan Islam. Sikap sebegini bukan dari Islam.

Mungkin ia dari ajaran Yahudi yang menganggap selain berbangsa dan beragama Yahudi adalah manusia yang tidak berhak dan boleh dizalimi mereka?

Kalau dilihat dari sudut ajaran Islam, bertindak khianat terhadap rakan yang bukan Islam adalah dikutuk dan diancam Allah dengan azab seksaan yang amat pedih!

Ini adalah kerana tindakan sebegitu menyebabkan yang bukan Islam terhalang dari melihat kebenaran Islam. Akhlak yang hodoh dan rosak di kalangan orang Islam menjadikan yang bukan Islam lari dari Islam.

Kesimpulan

Sebenarnya apa yang dijelaskan oleh YB Chin Tong bukanlah sesuatu yang pelik. Komunikasi adalah penting dalam semua jenis hubungan, dari hubungan antara dua sahabat sehingga ke hubungan antara organisasi.

Dengan adanya komunikasi yang jelas dan baik maka akan terjalin hubungan yang mantap. Komunikasi antara rakan merupakan bukti saling menghormati kerana yang diinginkan adalah keadaan saling memahami dan bukan dominasi satu pihak atas satu pihak yang lain.

Kedua-dua sifat yang diutamakan YB Chin Tong merupakan aspek yang pernah dipesan Nabi.

Sebagai sebuah parti Islam tiada panduan yang lebih utama selain Al-Quran dan Sunnah Nabi.


Saya yakin sekiranya dua sumber ini terus dipegang sebagai panduan Amanah, maka sokongan terhadapnya akan terus bertambah dan YB Chin Tong sebagai bukti akan kebenaran dakwaan ini.

Wednesday, June 15, 2016

Azmin Sokong AMANAH, Perang Psikologi Khairy Kantoi?


"...turun berkempen hari-hari adalah cara UMNO. Apabila ada pilihan raya kecil baru nak turun (padang), baru nak tengok orang kampung...kerajaan Selangor membantu rakyat negeri itu secara berkesan sejak 2008."

"Media tanya saya, Khairy Jamaluddin tanya saya mana pergi Azmin Ali dia tak datang maknanya dia tak sokong Amanah dan Pakatan Harapan.

""Itulah mentaliti Umno. Saya tak payah pulun kerja di Sungai Besar semata-mata kerana PRK. Kita dalam kerajaan negeri sebelum ini dari 2008, atas semangat Pakatan Rakyat dan sekarang Pakatan Harapan, kita kerja sepanjang masa sama ada pilihan raya, tak ada pilihan raya kita turun kerja beri khidmat kepada rakyat.”

Itulah penegasan yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjawab kritikan dan tuduhan mengenai ketidakhadirannya berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Kata Azmin, turun berkempen hari-hari adalah cara UMNO. “Apabila ada pilihan raya kecil baru nak turun (padang), baru nak tengok orang kampung," katanya.

Sebaliknya menurut  Azmin kerajaan Selangor membantu rakyat negeri itu secara berkesan sejak 2008. Pada majlis itu juga Azmin menyerahkan peruntukan bernilai RM30,000 untuk Masjid Binjai Jaya. Permohonan mendapatkan peruntukan itu dibuat sebelum musim pilihan raya kecil akan diadakan.

Kemunculan Azmin petang semalam adalah yang pertama untuknya sejak hari penamaan calon pada 5 Jun lalu.


Ketiadaan Azmin berkempen di kawasan berkenaan sebelum ini menyebabkan sesetengah pihak termasuk PAS dan Umno mendakwa ADUN Bukit Antarabangsa itu tidak memberikan sokongan padu kepada AMANAH.

Pada 10 Jun lalu, Khairy mengemukakan tanggapanya pada satu majlis: "Menteri Besar tidak menunjukkan komitmen kepada kawasan Sungai Besar.”

Sebaliknya, Khairy berkata perdana menteri, timbalan perdana menteri dan menteri-menteri lain datang ke Sungai Besar menunjukkan komitmen mereka terhadap pilihan raya kecil ini.

"Saya lihat tiap-tiap hari ada seorang menteri datang, saya rasa timbalan perdana menteri hampir setiap hari di Sungai Besar. Maka pilihan satu saja kalau kita nak pilih calon yang menunjukkan komitmen dengan kehadiran menteri, kalau kita menang akan terus menyokong rakyat Sungai Besar," katanya.

"Saya rasa selepas media melaporkan ucapan saya hari ini, esok menteri besar Selangor akan datang," kata Khairy lagi.


Berucap di Majlis Iftar Perdana Bersama Menteri Besar di Sungai Panjang di Sungai Besar semalam, Azmin berkata, beliau tidak turun berkempen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar disebabkan perlu mengiringi Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam program bersama rakyat hampir setiap malam pada bulan Ramadan.

"Sebagai menteri besar saya bertanggungjawab untuk mengiringi tuanku. Pada malam ini (semalam) tuanku di masjid Jeram. Saya bisik pada tuanku malam tadi izinkan patik turun ke Sungai Besar dan tuanku perkenankan saya turun. InsyaAllah Jumaat saya akan turun lagi, Khamis di Kuala Kangsar," katanya.

Lagipun, menurutnya, beliau sentiasa turun padang untuk bertemu rakyat walaupun tanpa pilihan raya.

Bukan sekadar turun padang, Azmin turut menegaskan sokongannya terhadap calon Parti Amanah Negara (Amanah), Azhar Ab Shukur.

"Saya percaya dengan latar belakang agama, kredibiliti dan latar belakang keluarga, Ustaz Azhar akan dapat menjadi suara kita di Parlimen Sungai Besar," katanya.

Kepada calon Pas beliau turut berharap dapat terus menyembung persahabatan.

"Dr Rani, jangan sedih, kita masih rakan di Dewan Undangan Negeri, anda telah menyumbang banyak saya berdoa agar anda akan terus berjaya dan menyumbang," katanya

Selain Dr Rani, Azhar berdepan saingan daripada calon BN Budiman Mohd Zohdi untuk mengisi kekosongan ditinggalkan arwah Datuk Noriah Kasnon.

Kini Azmin sudah menyatakan dengan jelas, beliau menyokong calon Pakatan Harapan dalam PRK itu selepas mengadakan perbincangan panjang lebar.

Bagaimanapun Azmin tidak mengetepikan terus lawan AMANAH dari PAS, Dr Rani Osman, yang dianggapnya seorang rakan di DUN Selangor.

"Saya doakan dia (Dr Rani) terus maju untuk sama-sama dalam satu tekad melawan kezaliman di Putrajaya," katanya. Di majlis anjuran Pakatan Harapan itu, Dr Rani turut hadir kerana beranggapan ia terbuka untuk semua.

Katanya, Dr Rani telah banyak membantu menyokong dasar-dasar kerajaan negeri sejak 2008.
Walaupun bersaing dalam pilihan raya kecil kali ini kehadiran Dr Rani disambut mesra oleh pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan.


Pilihan raya kecil Sungai Besar - dan Kuala Kangsar - akan diadakan serentak pada 18 Jun ini.

Wednesday, November 25, 2015

PAS Bakal Hilang Jawatan JKKK Di Selangor?


PAS dijangka bakal kehilangan beberapa jawatan sebagai anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Selangor apabila Parti Amanah Negara (Amanah) mahu jawatan itu turut dibahagikan kepada mereka pada lantikan akan datang.

Ini susulan kenyataan Pengerusi Amanah Selangor Izham Hashim bahawa pihaknya sedang mengadakan beberapa perjumpaan bersama pemimpin kerajaan negeri dan pemimpin daripada DAP bagi membincangkan kuota yang akan diberikan kepada parti itu dalam pembahagian jawatan JKKK dan jawatan Ahli Majlis Kerajaan Tempatan.

Katanya lantikan itu kelak adalah pengiktirafan kepada Amanah sebagai parti politik yang bersama-sama membentuk Pakatan Harapan dengan PKR dan DAP.

"Amanah mempunyai tiga Anggota Parlimen dan dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor.

"Bagaimanapun berapa jumlah kerusi ahli majlis dan JKKK yang akan diberikan kepada Amanah hanya ditentukan selepas perbincangan mengenainya selesai dalam masa terdekat ini," katanya dalam sidang akhbar di Shah Alam, semalam.

Kesemua Ahli Majlis Kerajaan Tempatan akan tamat kontrak perkhidmatan mereka pada penghujung tahun ini.

Ditanya sama ada jumlah yang diperuntukkan kepada Amanah akan diambil daripada kuota PAS, Izham berkata perkara itu belum ditentukan.

Sekiranya berlaku, ia merupakan satu lagi tamparan buat PAS susulan pada minggu lalu, semua anggota JKKK daripada kalangan anggota PAS di Pulau Pinang telah dipecat oleh kerajaan negeri kerana tidak menyokong Pakatan Harapan.

Tindakan pemecatan itu menyebabkan PAS mengisytiharkan untuk menjadi pembangkang di Pulau Pinang.

Sementara itu mengulas mengenai jumlah anggota Amanah di negeri ini, Izham berkata setakat hari ini sebanyak 4,000 orang telah berdaftar sebagai anggota parti itu dengan 20 peratus daripadanya terdiri daripada bukan Islam.

Tuesday, November 10, 2015

Lapan Kerusi PAS Di Selangor – DAP Pun Tidak Yakin Kepada AMANAH


Apa mainan Parti Amanah Negara (AMANAH) dan DAP dalam isu lapan kerusi PAS di Selangor?

Amanah yang mendakwa ia parti progresif Islam kini menggunakan DAP untuk menyerang PAS. Perbuatan seperti ini tidak wajar sama sekali.

Sanggup AMANAH melakukan kerja yang tidak sewajarnya dibuat,  jika benar ia sebuah parti Islam seperti PAS.

Malah dengan menjadi jurucakap dan menyokong tindakan DAP, pemimpin AMANAH Selangor ‘bermain api’ untuk membakar bukan sahaja PAS tetapi dirinya sendiri.

Memang tidak salah untuk ‘mengajar PAS’ supaya sedar diri tentang kedudukannya di Selangor, namun bersubahat dengan DAP adalah ‘game’ yang sangat berbahaya kepada orang Islam.

Benar apa yang dikatakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr Wan Nik Wan Yusoff pada Sabtu (7 November 2015) bahawa kenyataan DAP yang bercadang untuk bertanding lapan kerusi PAS di Selangor disifatkan sebagai taktik untuk memecah undi PAS di kawasan tersebut.

Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Kelantan itu mengulas mengenai tindakan DAP yang bercadang bertanding di lapan kerusi PAS di Dun Selangor pada PRU14.


Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua didakwa sebagai berkata, keputusan akan dimaklumkan kemudian selePAS perbincangan mesyuarat Pakatan Harapan Selangor diadakan, sama ada DAP akan bertanding untuk semua kawasan tersebut ataupun beberapa daripadanya.

Lapan Dun tersebut ialah Taman Templer, Lembah Jaya, Paya Jaras, Sri Serdang, Meru, Chempaka, Dusun Tua dan Tanjung Sepat.
                                                         
“Ia sangat difahami kerana PAS menang pada PRU13 lalu adalah sumbangan pengundi bukan Melayu. Jika DAP bertanding di kawasan itu, bagi DAP, mereka akan dapat undi itu dan pengundi tidak akan mengundi BN, maka PAS akan peroleh undi Melayu sahaja. Itu yang tersirat,” katanya.


Beliau mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara Khalid Samad yang menafikan tindakan DAP untuk bertanding di lapan kawasan di Selangor disebabkan oleh kurang keyakinan kepada rakan baru mereka iaitu Amanah, tetapi sebaliknya tidak yakin langsung dengan PAS.

“Bagi berdepan taktik DAP ini, PAS Selangor seharusnya menggunakan pendekatan yang mesra dan berkebajikan kepada pengundi tanpa batasan kaum.

“Malah peranan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) juga perlu lebih aktif bagi menawan hati budi pengundi bukan Melayu,” katanya.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh NikAbdul Aziz, menganggap kenyataan Khalid itu sebagai  “Tiada apa yang menarik,”.

Menurutnya, jika Khalid mengatakan DAP bertanding disebabkan oleh kurang keyakinan dengan PAS, maka PAS juga bertindak dengan alasan yang sama.

“PAS pun akan bertanding di kawasan DAP dengan alasan sama. DAP bukan lagi rakan tahaluf PAS. Bahkan bagi PAS, DAP terbukti sebuah parti yang panas, yang bersifat memaksa.

“Halau hudud masuk parlimen. Halau PAS dari Pakatan Rakyat (PR). Sekarang halau PAS dari kerajaan Selangor. Politik ‘big bos style Amerika’ ini orang tidak boleh pakai di Malaysia,”katanya pada Sabtu (7 November 2015).

Apakah PAS bimbang dan gentar dengan taktik yang dimainkan oleh dua sahabat dalam Pakatan Harapn ini?

Bagi Nik Abduh, PAS tidak gentar dengan apa sahaja halangan yang sedang didepani kini malah PAS sentiasa positif dengan polisi perjuangan sedia ada.

“Semakin hari PAS semakin positif di mata rakyat. Ini adalah hasil polisi sederhana yg dipraktikkan oleh PAS yang mengelak kepanasan politik yang tidak terkawal,”katanya.

Dalam isu ini, persoalan menarik yang dikemukakan  oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar NikAbdullah kelmarin (8 November 2015)  ialah kenapa  AMANAH tidak mahu bertanding di lapan kerusi di Selangor itu?

Kenapa biarkan DAP akan bertanding di kerusi berkenaan?

"Jika benar hilang keyakinan terhadap PAS, maka DAP sepatutnya membuat keputusan sebaliknya dan bekerjasama dengan rakan komponennya dalam Pakatan Harapan itu. Kalau hilang keyakinan, dia (DAP) patut bagi laluan kepada Amanah".

Bagi PAS, ia yakin dapat mempertahankan lapan kerusi DUN Selangor miliknya walaupun bakal ditandingi DAP pada pilihan raya umum akan datang.


Sebelum ini PAS telah berulang kali menyatakan tidak pernah berganjak daripada perjuangan mengekalkan kerusi milik parti itu termasuklah pada PRU14.