Saturday, June 25, 2016

Apakah Shafie Pilih ‘Rakan Seperjuangan’ Atau Buat 'U-Turn' Yang Bakal Dicemuh?


Datuk Seri Shafie Afdal akan mengeluarkan kenyataan media mengenai kedudukannya tidak lama lagi selepas digantung keahliannya oleh UMNO semalam.

Beliau yang kini sedang mengerjakan umrah di Arab Saudi digantung keahliannya oleh Majlis Tertinggi (MT) parti selepas mesyuarat di Menara Dato' Onn di Kuala Lumpur petang semalam (24 Jun 2015).

MT turut mengumumkan keputusan untuk memecat bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dari Umno.

Keputusan  pemecatan itu kerana kedua-duanya berada di atas pentas bersama-sama pemimpin pembangkang membuat ucapan dan menyerang pimpinan dan parti.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penggantungan keahlian Shafie sehingga MT menerima laporan daripada Jawatankuasa Disiplin Umno mengenainya.

Ada bebrapa persoalan untuk Shafie. Beliau ibarat Hang Lekir dalam Hikayat Hang Tuah – Tun Dr Mahathir Mohamad ialah Hang Tuah, Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah Hang Jebat dan Hang Lekiu ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mereka mulanya berjuang bersama-sama dalam satu isu asas iaitu 1Malaysia Development Baehad (1MDB). Namun akhir-akhir ini beliau nampaknya semakin menjauhi rakan-rakan ‘Hangnya’.


Malah di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar baru-baru ini, kemunculan Shafie menunjukkan mukanya di kawasan Barisan Nasional (BN) agak mengejutkan ketika Dr Mahathir dan Mukhriz berkempen untuk Pakatan Harapan.

kehadirannya  menjadi perhatian banyak pihak selepas menghantar gambar dirinya bersama anggota kempen BN semasa PRK Sungai Besar di Facebook.

Ia mencetuskan spekulasi sama ada beliau telah meninggalkan kumpulan yang memberontak terhadap UMNO yang telah berikrar untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Muhyiddin pula sekadar ‘lawat pasar’ di Sungai Besar dan pembantunya berusaha menjelaskan bahawa kehadiran Muhyiddin hanya untuk bertemu rakyat dan tidak bersaorangan, bukannya menyokong calon AMANAH.

Kes Muhyiddin sudah jelas. Walaupun tidak berkempen sepentas dengan pembangkang di PRK, perbuatannya sebelum ini dianggap bersekongkol dengan pembangkang.


Namun, bagi Shafie, ada beberapa persoalan untuk beliau dan penyokongnya menilai:

1.      Apakah sekiranya diterima kembali sebagai ahli UMNO, beliau akan      dikembalikan jawatan lamanya sebagai Naib Presiden?

2.      Apakah beliau akan dikekalkan sebagai calon untuk kawasan Parlimen yang diwakilinya sekarang?

3.      Apakah tidak akan ada mereka yang akan menentang beliau untuk jawatan Ketua Bahagian Semporna kalaupun beliau diterima semula menjadi ahli?

4.      Hubungan yang sudah berubah ‘masam’ dengan pemimpin UMNO sebelum ini sukar untuk menjadi ‘manis’, malah mungkin akan menjadi ‘pahit’ akhirnya.

Realiti yang harus dihadapinya, peluang untuknya bangkit dalam UMNO sudah sukar, apa lagi jika UMNO membuat keputusan ‘menutup pintu’ untuknya.

Mungkin juga jawatannya dalam Kabinet yang digugurkan pada 28 Julai 2015 tidak akan dikembalikan kerana dalam tempoh hampir setahun kini, ruangnya untuk kembali bagaikan sudah tertutup.

Sebaliknya jika dia kembali  bersama ‘kumpulan Hang’ nya, dia mungkin berpeluang, terutamanya di Sabah yang memerlukan pemimpin pembangkang yang kuat.

Dengan pengaruh dan pengalaman, dia mungkin boleh menyatukan kekuatannya dengan Datuk Lajim Okin yang kini Pengerusi PKR Sabah yang juga Ketua Pembangkang di negeri Di Bawah Bayu itu.

Malah, bukanlah sesuatu yang pelik untuk mereka berganding bahu, lagipun daripada bahagian dan kawasan Parlimen berlainan.

Shafie di Semporna sebaliknya Lajim di  Beaufort.

Ruang terbuka untuknya melalui Pakatan Harapan (PH) tetapi bukan lagi UMNO, kerana itu fikirkanlah...

Melainkan jika beliau dianugerahkan dengan kedudukan atau pendapatan yang baik, Shafie mungkin berada dalam dilema untuk memikirkannya.

Jika dia menyertai PH, tiada apa yang pelik baginya.

Tetapi jika Shafie berdiam diri dalam UMNO dan sanggup melepaskan jawatannya sama ada sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Bahagian dalam tempoh dua tahun dari sekarang, beliau bukan sahaja dilihat ‘bacul, tetapi meninggalkan rakan seperjuanganya di tengah jalan.

Malah dia dilihat mengakui kesilapannya mengkritik Najib selama ini. 'U-Turn' yang akan mendapat cemuhan.

Apapun, tiada siapa boleh mempersalahkan beliau jika membuat 'U-Turn' kerana ‘dedak’ berguni-guni sudah pasti disediakan untuk beliau mengambilnya!!!!

Thursday, June 23, 2016

Penceramah PAS Fitnah Kerajaan Pulau Pinang Halang Azan

Datuk Abdul Malik - kesal dengan fitnah...
Marah sangatkah? Apakah sebagai pemimpin parti Islam ia memang lesen untuk menuduh pemimpin orang bukan Islam kononnya sengaja berbuat salah kepada Islam?

Kalaupun marah kepada pemimpin parti politik daripada kalangan orang Cina dan bukan Islam, - walau dalam isu apa sekali pun - adalah tidak wajar untuk menabur fitnah seolah-olah ia suatu perbuatan yang sengaja dilakukan.

Memalu dan menjijikkan, fitnah dilakukan oleh ustaz pada tazkirah di masjid pada bulan Ramadan yang mulia.


Menurut laporan, Yang DiPertua (YDP) PAS Padang Serai, Shaharuddin Ibrahim menimbulkan kontroversi kerana melemparkan fitnah kononnya masjid-masjid di Pulau Pinang tidak boleh melaungkan azan.

Apakah gara-gara kerana PAS begitu marah dengan DAP yang ‘menyerang mereka’ selepas robohnya pakatan pembangkang lama - Pakatan Rakyat - dan digantikan dengan Pakatan Harapan, pemimpin PAS dengan begitu mudah menyerang parti pembangkang lain pimpinan orang Cina idengan begitu mudah?

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk  Abdul Malik Abul Kassim berkata, beliau amat kesal dengan kenyataan berunsurkan fitnah yang dilemparkan Shaharuddin itu.

Shaharuddin dilaporkan membuat dakwaan itu ketika menyampaikan tazkirah Ramadan di Masjid Jamek An-Najah, Padang Serai, Kedah pada 11 Jun 2016.

Berikutan itu pemimpin PAS berkenaan dituntut untuk memohon maaf secara terbuka dan menarik balik fitnah tersebut.


“Tazkirah Ramadan sepatutnya menjadi wadah penyebaran ilmu agama, menyingkap kisah-kisah nabi, kelebihan Ramadan dan bukannya dijadikan pentas politik kepartian dengan menabur fitnah,” katanya dalam satu sidang media di Komtar seperti dilapor Buletin Mutiara.

Menurut Abdul Malik, lebih dikesalkan adalah tohmahan dan fitnah yang dilakukan itu ‘dilontarkan’ ketika di dalam masjid dan di bulan Ramadan yang mulia.

“Justeru, Kerajaan Negeri Pulau Pinang menuntut supaya beliau (Shaharuddin) memohon maaf secara terbuka dan menarik balik fitnah tersebut dalam media massa.

“Beliau (Shaharuddin) juga perlu memohon maaf kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui kenyataan bertulis dalam tempoh seminggu. Sekiranya gagal, tindakan undang-undang akan dipertimbangkan,” jelasnya.

Pada 11 Jun lalu, Shaharuddin dipercayai mengeluarkan kenyataan yang berbunyi seperti berikut:
“Kalau DAP menguasai negara…nuu Pulau Pinang tuan-tuan, bang (azan) dah tak boleh dah, bang (azan) tak boleh dah, tuan-tuan..!”

Mengulas lanjut. Abdul Malik memberitahu, tazkirah Shaharuddin yang berdurasi sekitar 30 minit itu, jelas menyiarkan ucapannya pada minit 14:35.

Wednesday, June 22, 2016

Bantuan Khas, Kebajikan Penjawat Awam Ikut Telunjuk Najib?


“Tidak wajarlah sekadar ucapan terima kasih atas komitmen penjawat awam tanpa sebarang insentif. Maka, kita bersetuju memberikan tiga insentif termasuk bantuan kewangan aidilfitri, kenaikan gaji sebanyak dua kali bagi 2016 dan kenaikan imbuhan tetap perumahan.” 

Tahniah Selangor!

Pengumuman Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kelmarin (20 Jun 2016) bahawa bantuan khas sempena Aidilfitri sebanyak 1.5 bulan gaji kepada seluruh penjawat awam negeri Selangor satu tindakan yang memang dinanti-nantikan.

Ia pasti disambut baik oleh penjawat awam negeri berkenaan.

Dan pastinya terngangga dan terloponglah  penjawat awam di negeri-negeri lain, termasuk Terengganu yang kononnya Baget Negeri selalunya melebihi RM2 bilion.

Kerajaan Negeri Selangor akan membuat pembayaran mulai  1 Julai 2016.


Ituah sebaik-baiknya jika mahu menghargai bakti dan jasa penjawat awam, bukan sekadar bercakap menghargai tetapi terpaksa mematuhi jumlah seperti yang diumumkan oleh Putrajaya.

Logiknya Putrajaya ialah kerana ia terpaksa membayar kerpada jumlah yang banyak di kalangan penjawat awam.

Namun di negeri-negeri yang ‘berduit’ mereka sepatutnya melakukan yang berbeza.


Kenapa Menteri-Menteri Besar di negeri-negeri yang agak ‘berduit’ seperti Johor, Terengganu, Pahang, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka jelas  takut untuk mengumumkan bayaran yang lebih.

Kenapa mesti ikut Putrajaya? Takut kenapa Najib melebihi melakukan kebajikan kepada penjawat awam?

Atau sudah nyata negeri-negeri di bawah kepimpinan BN kini tidak berduit?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 6 Jun lalu  mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan RM500 kepada 1.6 juta penjawat awam sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata bantuan khas RM250 akan turut dinikmati 743,000 pesara kerajaan sebagai menghargai jasa perkhidmatan mereka.

“Pembayaran bagi bantuan khas ini dibuat pada 13 Jun lalu, melibatkan anggaran peruntukan kewangan RM1 bilion.

Jumlah itu adalah lebih kecil daripada permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang memohon kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus raya sebulan gaji.

Selain bantuan khas itu Perdana Menteri turut menarik perhatian bahawa penjawat awam akan menikmati satu kenaikan gaji tahunan (KGT) pada Julai ini yang melibatkan anggaran implikasi kewangan RM1.1 bilion.

Di Selangor pembayaran bantuan khas tersebut melibatkan seramai 17, 528 orang penjawat awam dengan peruntukan sebanyak RM45.6 juta.

Selain itu, bagi meringankan beban tanggungan di samping menghargai perkhidmatan penjawat awam, dua insentif lain turut diumumkan.

“Tidak wajarlah sekadar ucapan terima kasih atas komitmen penjawat awam tanpa sebarang insentif. Maka, kita bersetuju memberikan tiga insentif termasuk bantuan kewangan aidilfitri, kenaikan gaji sebanyak dua kali bagi 2016 dan kenaikan imbuhan tetap perumahan,” katanya di hadapan lebih 1,000 penjawat awam.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Rapat Ramadan Bersama Perkhidmatan Awam Selangor di SUK kelmarin.

Kerajaan negeri setuju beri dua kenaikan gaji tahun ini iaitu kenaikan biasa dan kenaikan khas yang melibatkan sebanyak RM6.83 juta bagi satu kenaikan.

Bayaran imbuhan tetap perumahan bagi penjawat awam Gred 41 ke bawah sebanyak RM180 turut dinaikkan hingga RM300 melibatkan peruntukan sebanyak RM11.2 juta.

Penjawat awam yang bijak akan bertanya diri sendiri, mana lebih baik pentadbiran antara Selangor dengan negeri mereka?

Kenapa Menteri-Menteri Besar sangat penakut dengan Najib sehingga membiarkan kebajikan mereka terbiar?


Kerajaan Pulau Pinang pula mengumumkan penjawat awam negeri akan menerima bonus 3/4 bulan atau minimum RM700 yang akan diberikan sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, 'Insentif Bantuan Istimewa' itu adalah sebagai mengiktiraf sumbangan penjawat awam ke arah transformasi dalam pelaksanaan dan perkhidmatan yang disampaikan melalui tugas-tugas harian mereka.

"Insentif ini akan diberikan kepada 4,178 kakitangan Perkhidmatan Awam negeri dan akan dibayar sebelum Hari Raya Aidilfitri," kata Guan Eng. Beliau berkata jumlah pembayaran bonus melibatkan jumlah RM7.95 juta.

Adalah tidak keterlaluan utuk dikatakan, jika pembangkang memerintah di negeri-negeri lain, selain Selangor, kecuali Kelantan yang memang PAS tidak mampu melakukannya, kebajikan penjawat awam dijangka akan lebih baik.

Mereka sudah membuktikannya pada ketika kerajaan negeri lain yang berduit memberi alasan masalah ekonomi dan mengikut langkah Putrajaya.

Persoalannya kalau ada duitpun, siapa berani menongkah arus Najib?