Friday, July 29, 2016

Ketum - Nasib Baik 'Pendek Akal' Bukan 'Hilang Akal'...

Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Dr Che Ghazali Che Awang menunjukkan rampasan daun ketum seberat 181 kilogram yang cuba diseludup ke Langkawi, 4 Jul 2016.
“...seperti yang berlaku di Golden Triangle (sempadan tiga negara antara Myanmar, Laos dan Thailand) yang merupakan kawasan tanaman ganja di mana ia didakwa bagi tujuan perubatan namun akhirnya menjadi aktiviti mengaut keuntungan semata-mata.”

Kalau sudah pendek akal, nak buat macam mana?

Dah ‘putus asa’ atau tidak yakin dengan cadangan kakitangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) naikkan pendapatan pekebun kecil melalui hasil getah atau melalui kebun getah melalui tanaman kontan atau beberapa cara lain, Pengerusinya memohon kerajaan membenarkan pekebun kecil menanam ketum secara komersil sebagai sumber pendapatan tambahan.

Pengerusi RISDA, Datuk Zahidi Zainul Abidin macam tidak faham apa itu tanaman kontan yang digalakkan oleh Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk membantu pekebun kecil menambah pendapatan apabila mengatakan RISDA mahu perkenalkan tanaman ketum.

Menurut Zahidi, ketum yang dikatakan mempunyai nilai perubatan boleh dieksport ke Amerika Syarikat dan Eropah kerana terdapat permintaan tinggi dari farmasi di sana.

Pokok ketum menjadi terkenal pada awal tahun 2003 kerana dikatakan berupaya menjadikan seseorang itu ketagih kerana kandungan mitragininnya.


Semalam juga, Ketua Polis Negara membuat kenyataan mengelirukan dan bolehlah dianggap jenaka minggu ini apabila mengatakan, tidak salah untuk menanam daun ketum bagi tujuan komersial kerana ia tidak termaktub dalam peruntukan undang-undang.

Dalam undang-undang Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, tidak dinyatakan menanam daun ketum adalah salah.

Bagaimanapun, seseorang boleh dikenakan tindakan hanya jika wujud aktiviti memetik, memproses dan mengedar daun ketum.

Berikutan itu,  Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata cadangan RISDA untuk menanam pokok ketum bagi tujuan eksport adalah dibenarkan, namun perbincangan perlu dibuat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tujuan kawalan supaya ia tidak disalah guna.

Beliau mencadangkan kepada RISDA jika mereka mendapati daun ketum itu ada nilai dalam perubatan dan mahu mengeksportnya, mereka perlu dapat kebenaran dan pandangan daripada KKM kerana KKM saja yang dapat memutuskan perkara itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Wan Abdullah Ishak pula berkata penjualan atau pembelian air ketum walaupun untuk tujuan perubatan boleh diambil tindakan di bawah Akta Racun 1952.

Melalui Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, seseorang boleh didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dibimbangi ialah sekiranya kerajaan meluluskan cadangan menjadikan ketum tanaman kontan yang dibenarkan undang-undang dan dibolehkan eksport ke luar negara, penanaman cannabis (ganja) dikhuatiri akan berleluasa.


Penjualan atau pembelian air ketum merupakan sesuatu yang dilarang di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. Di bawah itu, seseorang boleh didenda maksimum RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kerana itu Presiden Persatuan Pengasih Malaysia, Datuk Mohd. Yunus Pathi semalam menggesa kerajaan menggubal segera undang-undang mengawal penggunaan daun ketum bagi mengelak ia terus disalahgunakan termasuk dalam kalangan pelajar.

Katanya,  selain itu pendidikan mengenai cara penggunaan yang betul daun berkenaan perlu dipergiatkan lagi.

Persoalannya apakah ada jaminan bahawa jika RISDA atau pihak lain menanam ketum – untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil – kawalan terhadap penjualannya secara haram dapat dikawal dengan baik.

Polis Perlis secara dasarnya tidak bersetuju dengan sebarang cadangan atau usaha mana-mana pihak untuk menjadikan ketum sebagai tanaman komersil dan dieksport ke luar negara.

Timbalan Ketua Polis Perlis ACP Noor Mushar Muhammad berkata pengeksportan tanaman itu pastinya melibatkan kuantiti yang banyak dan dikhuatiri akan memberi implikasi lebih buruk.

“Usaha tersebut dilihat hanya menguntungkan sesetengah pihak sahaja, sedangkan kesan mudarat itu lebih banyak berlaku dalam kalangan masyarakat,” katanya di Perlis kelmarin.


Noor Mushar turut mengambil contoh seperti yang berlaku di Golden Triangle (sempadan tiga negara antara Myanmar, Laos dan Thailand) yang merupakan kawasan tanaman ganja di mana ia didakwa bagi tujuan perubatan namun akhirnya menjadi aktiviti mengaut keuntungan semata-mata.

Exco Kesihatan negeri Kedah Datuk Dr Leong Yong Kong tidak bersetuju dengan cadangan Risda itu kerana bimbang segelintir masyarakat menyalahgunakannya untuk kegunaan peribadi.

Katanya Kedah masih dalam usaha untuk mengawal penanaman daun ketum dan kerajaan negeri telah mengambil langkah untuk merampas tanah-tanah yang dijadikan ladang ketum bagi mengekang penyalahgunaan air ketum dalam kalangan masyarakat negeri ini.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, cadangan menanam pokok ketum perlu mengambil kira kesannnya kepada institusi pendidikan, terutamanya murid dan pelajar sekolah.

Katanya walaupun belum ditanam secara meluas sudah ada pelajar sekolah yang terbabit dalam penyalahgunaan minuman berasaskan daun ketum.

Ditanya apakah cadangan itu seolah-olah mengundang masalah baharu secara tidak langsung kepada kementerian pendidikan, Mahdzir berkata: “Saya harap pilihlah tanaman lain sebab ia mengundang masalah.”

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata kerajaan negeri tidak bersetuju dengan cadangan penanaman pokok ketum untuk tujuan eksport. Ini kerana tiada kajian yang dibuat sebelum ini yang membuktikan manfaat kepada orang ramai sebaliknya banyak memberi kemudaratan kepada penggunanya.

“Penggunaannya sebagai ubat atau sebagai makanan tambahan untuk kesihatan juga tidak pernah dikaji dan tidak mendapat pengesahan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan.

http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/cadangan-tanam-ketum-komersil-ditentang-hebat#sthash.xhkSrXd0.dpuf

Gara-gara candangan ‘pendek akal’ Zahidi itu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sendiri mengakui pihaknya tidak menyedari RISDA  mempunyai rancangan untuk para pekebun kecil menanam mitragyna speciosa (ketum) sebagai sumber pendapatan tambahan.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata semalam perbincangan di kementerian ketika ini adalah penamanam tanaman kontan yang dibenarkan undang-undang di ladang-ladang seperti ladang getah.

“Kita memang menggalakkan tanaman tambahan di ladang getah seperti cendawan, tetapi tidak pernah kita sebut ketum,” katanya kepada pemberita seusai merasmikan seminar Gagasan Pemikiran Tun Abdul Razak di Dewan Lestari, KKLW di Putrajaya semalam.

Ismail mengingatkan penjualan air ketum boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Racun 1952 dan penanamannya secara besar-besaran perlu diteliti secara mendalam.

“Saya kena dapatkan laporan dulu, sebab perkara ini tidak dibincangkan di pihak kementerian. Saya tak boleh komen sebab saya tidak tahu,” tambahnya.

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) pula berpendapat cadangan membenarkan pekebun kecil menanam mitragyna speciosa (ketum) sebagai sumber pendapatan tambahan dianggap menjemput ‘malapetaka’.

Ini kerana cadangan penanaman ketum secara meluas seolah membuka ruang luas kepada penyalahgunaan dadah.

“Penggunaan daun ketum tidak seperti zaman dahulu. Jika dulu, zaman nenek moyang menggunakan daun sebagai minuman pemulih tenaga terutama wanita selepas bersalin dan buang angin.

“Bagaimanapun penggunaan daun ketum mula disalahgunakan. Ketagihan terhadap daun ketum yang mengandungi mitraginin membuatkan segelintir masyarakat secara ‘kreatif’ mencampurkan rebusan ini dengan ubat batuk,” kata Pegawai Perhubungan AADK Salehuddin Klewan kepada FMT.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa (AJK) Kluster Pertanian dan Makanan, Majlis Profesor Negara (MPN) Profesor Dr Abdul Shukor Juraimi menggesa kajian terperinci dilaksanakan sebelum ketum dibenarkan untuk ditanam secara komersial.

Ini kerana kefahaman dan penguatkuasaan menyeluruh adalah perlu bagi mengekang penyalahgunaan ketum yang boleh memudaratkan kesihatan jika tidak dikawal.


Sementara itu, polis berkata cadangan penanaman ketum secara komersil mengulangi kesilapan Segi Tiga Emas Asia Tenggara, yang pada awalnya merupakan ladang tananam papaver somniferum (popi candu) bagi tujuan perubatan, tetapi akhirnya menjadi pengeluar candu dadah dunia.

Wednesday, July 27, 2016

Walau Buat Kebajikan - Perompak Berkebajikan Tetap Perompak


Oleh  DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS.

A bayar ke B, B pula bayar ke C, C bayar ke D, dan D ialah kawan-kawan karib yang ada hubungan dengan pengurus besar A.

A dengan mudahnya menegaskan tiada salah laku dan tiada duit yang hilang. Bagi A, urusannya hanya dengan B, tak kisahlah sama ada B ini syarikat kosong ataupun tidak.

Pendek kata, apa yang B buat dengan duit A, bukan masalah A, walaupun duit yang dibayar ke B akhirnya pulang ke mereka yang rapat dengan pengurus besar A melalui C dan D. Akhirnya yang berhutang hanyalah A. Pihak B, C dan D menikmati gaya hidup termewah di dunia.

Meskipun demikian, masih ada yang memuji bahawa syarikat A banyak membuat kebajikan. Namun, perompak berkebajikan tetap perompak.

Tidak perlu saya menamakan siapa syarikat A, sebagaimana "Malaysian Official 1”.

Apa yang berlaku hari ini?

Kegagalan agensi-agensinegara, ditambah dengan kongkongan kuasa politik yang menyebabkan ada sebilangan mereka yang terlibat dengan penyiasatan diberhentikan, telah membuat rakyat terasa negara tidak berupaya membongkar kes 1MDB.


Akibatnya, apabila ada negara lain yang sudi membongkar isu 1MDB, seperti Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) dan juga negara-negara lain, rakyat terus mempercayai apa yang didedahkan penyiasatan mereka.

Jangan salahkan rakyat. Rakyat tiada pilihan kerana alasan-alasan yang bukan sahaja kurang logik malah tidak konsisten yang diberikan pihak berkuasa selama ini bercanggah dengan akal mereka.

AS mahu menjaga negaranya daripada dijadikan tempat mencuci wang haram, atau wang rompakan daripada negara lain. Mereka yang dinamakan perlu menjawab di mana datangnya sumber kewangan mereka, apakah sumber itu halal dan telah dicukai?

Sekiranya jawapan ialah hadiah, maka siasatan akan dilakukan kepada si pemberi hadiah, di mana soalan yang sama akan ditanya, di mana datangnya sumber hadiah tersebut? Semua ini akan disiasat berterusan sehingga lubuk, kerana masing-masing akan mencari jalan untuk menyelamatkan diri sendiri.

Sebagai contoh, bayangkan kalau tuduhan bahawa duit 1MDB disonglap sebagai modal perjudian beberapa individu terbukti betul? Bukankah ini satu penghinaan sedangkan ramai rakyat yang sedang bergelut membayar hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi (PTPTN)?

Namun begitu, ada yang was-was dengan siasatan DOJ, kerana sejarah dan sikap AS yang suka mencampuri urusan negara lain yang bermasalah dalaman. Apakah rasional pandangan ini terhadap isu 1MDB?

Walaupun begitu, jangan ada pihak yang mencemuh pihak yang was-was ini.

Kebimbangan mereka terhadap sikap suka campur tangan kuasa asing khasnya AS ke atas negara umat Islam ada asasnya perlu diberi perhatian. Kerana sejarah membuktikan permasalahan dalaman negara, penindasan dan kezaliman akan membuka ruang campur tangan asing.

Kerajaan yang bertindak zalim menyebabkan rakyat mula terasa ingin memberontak secara dalaman. Akan tetapi, dengan sistem demokrasi yang ditempangkan untuk menjaga kekuasaan kerajaan yang zalim, rakyat terasa tertekan dan hilang harapan untuk menukar kerajaan.

Ketika itu, kuasa asing akan mengambil kesempatan kerana sebarang bantuan yang datang akan disambut rakyat, termasuklah bantuan daripada pihak asing.

Presiden PAS di rumah Hari Raya  terbuka PAS di Kedah menyebut bahawa:

"1MDB ini satu kes yang perlu disiasat dan tidak boleh dibiarkan. Jangan dedah ruang kepada pihak asing untuk campur tangan. Kalau pihak asing campur tangan, itu silap kita sendiri. Apa yang penting kes ini perlu disiasat dengan adil dan telus oleh kita sendiri, jangan biar sampai orang boleh campur hal kita. Itu bukan kerja PAS, itu kesilapan pihak berkenaan..."

Teguran beliau mudah. Beliau mendesak agar mereka yang berkuasa hari ini mengambil tindakan sewajarnya menyiasat 1MDB dengan sendiri supaya pihak asing tiada ruang untuk campur tangan. Kalau pihak asing dapat campur tangan kerana kegagalan pihak berkuasa bertindak, dosa di tangan mereka yang berkuasa.

Penegasan presiden PAS dan beberapa pihak yang lain adalah peringatan penting bahawa sebarang campur tangan asing mesti dielak dalam apa jua kemelut yang berlaku dalam negara.

Saya dengan ini menyarankan agar Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali, bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, Gabenor Bank Negara Datuk Muhammad Ibrahim, bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar bersatu, dan menubuhkan satu suruhanjaya diraja yang turut dianggotai Majlis Raja-Raja bagi membuka balik segala siasatan terhadap 1MDB.

Kerajaan tidak harus berlengah lagi untuk menghidupkan suruhanjaya diraja ini, malah ia masih selari dengan seruan kenyataan Raja-Raja Melayu sebelum ini yang menggesa kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1MDB dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat.

Kepada pihak berkuasa tempatan, jangan dibiarkan kesilapan-kesilapan kerajaan zalim di serata dunia sehingga menyebabkan negara tergadai berulang di Malaysia. Hutang negara sudah pun mencecah RM847 bilion di 2015. Jangan biarkan keadaan ini melarat ke satu hari ini nanti, di mana Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menanti untuk menghulurkan bantuan. Ketika itu, sudah terlambat bagi negara untuk menghalang campur tangan asing.

Kepada yang bimbang dengan campur tangan asing dalam isu 1MDB, penyelesaiannya mudah - bersatulah mendesak agar suruhanjaya diraja terhadap 1MDB dibuka dan teruskan desakan sehingga agensi-agensi berkuasa berani berdikari dan melakukan pendakwaan kepada mereka yang terlibat dalam merompak harta negara, dan berusahalah untuk membuat pengorbanan ke arah menukar kerajaan.