Saturday, November 7, 2015

DEIG - Azmin Perlu Jawab 3 Perkara, Benarkan Siasatan Menyeluruh


Ini bukan asak sebarang asak. Ini asakan yang dibuat berfaktakan maklumat tepat.

Asakan bukan sahaja menuntut jawapan tetapi juga membenarkan siasatan termasuk oleh Jabatan Audit Negara.

Memang wajar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional dan ADUN Bebas menuntut penjelasan daripada Menteri Besar Selangor mengenai beberapa perkara meragukan membabitkan Darul Ehsan Investment Group (DEIG).

Malah Mohamed Azmin Ali juga digesa agar memberi perhatian serius terhadap semua isu yang dibangkitkan mengenai DEIG kerana ia sangat kritikal dan melibatkan soal ketelusan, tanggungjawab, kejujuran dan integriti.

Pada 4 November lalu Setiausaha Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Sela­ngor, Budiman Mohd. Zohdi menuntut Azmin memaklumkan kepada sidang DUN Selangor bahawa DEIG dan anak-anak syarikatnya masih belum beroperasi.

Bercakap  dalam sidang media di lobi bangunan Annex, Shah Alam,  ADUN Sungai Panjang itu mempersoalkan tiga perkara mengenai DEIG:

1.     Bagaimana DEIG dan anak-anak syarikatnya yang masih belum beroperasi boleh mendapat  mendapat pinjaman bank;

2.     Apakah pinjaman sejumlah RM 500 juta (setengah billion) itu untuk ‘menyelamatkan’ sebuah anak syarikat kerjaan negeri yang lain; dan

3.     Mana ‘kertas putih’ mengenai DEIG yang sepatutnya dibentangkan pada sidang DUN?

DEIG Land, anak syarikat DEIG ketika itu baru ditubuhkan dua bulan - 19 Mei – tetapi mendapat pinjaman daripada sebuah bank tempatan pada bulan Julai lalu.

Ketika DEIG Land mula ditubuhkan, syarikat itu hanya mempunyai dua lembaga pengarah, iaitu lembaga pengarah yang sama dengan DEIG.

Selain itu, apakah pinjaman yang diperoleh DEIG Land itu  bertujuan untuk melunaskan hutang Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) terhadap kerajaan negeri?

Azmin memberitahu DUN Selangor, sebanyak RM413.2 juta hutang masih belum dibayar KDEB terhadap kerajaan negeri. Jumlah pinjaman KDEB yang terkini termasuk caj pembiayaan empat peratus setahun ialah RM429.728 juta.

Ia menjadikan hutang KDEB kini sebanyak RM424.728 juta setelah ditolak RM5 juta jumlah yang dibayar sebelum ini.

Bukan Budiman sahaja mempersoalkan status DIEG ini, malah bekas Menteri Besar Selangor semalam turut mempersoalkan tindakan kerajaan PKR Sela­ngor menubuhkan DEIG.

Menurut Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, DEIG  mencetuskan pelbagai persoalan dan kontroversi.

ADUN  Pelabuhan Klang itu berpendapat siasatan menyeluruh oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan dan Kete­lu­san Selangor (Selcat), Jabatan Audit Negara dan Jawatankuasa Pi­li­han Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS) hendaklah diadakan, terutama isu tawaran pinjaman bank RM500 juta kepada satu anak syarikat kumpulan tersebut.

Abdul Khalid  berkata, menerusi siasatan itu, Selcat harus membuktikan tiada sebarang unsur salah guna kuasa atau perlanggaran tatacara serta etika pengurusan dan pentadbiran berlaku walaupun DEIG telah tampil mengaku kewujudan tawaran pinjaman tersebut yang kemudiannya ditolak.

Menurutnya, isu tersebut tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja malah sepatutnya menjadi satu alasan kukuh bagi Selcat untuk memulakan siasatan.

“Tidak dapat disangkal lagi bahawa wujudnya merit bagi Jabatan Audit Negara untuk menjalankan kajian secara mendalam demi menentukan ke­sa­hihan semua dakwaan yang telah dibuat terhadap DEIG.

“Di peringkat negeri pula, dalam bidang kuasa Selcat atau JP-ABAS untuk menghubungi Bank Negara dan memohon satu siasatan bagi mendapatkan kepastian bagaimana pihak bank komersial boleh menawarkan sejumlah pinjaman yang besar kepada sebuah syarikat (dan anak syarikatnya) yang didakwa masih belum bero­perasi,” katanya dalam kenyataan di Shah Alam semalam.

Menurutnya, melalui siasatan menyeluruh itu sahaja semua persoalan dan kontroversi itu  dapat diselesaikan.


Budiman berkata beliau dimaklumkan pada 22 Julai 2015, DEIG Land telah menerima daripada kumpulan perbankan utama di Malaysia tawaran pinjaman berjumlah RM500 juta untuk mengambil alih dan melunaskan hutang KDEB.

Hutang tersebut diluluskan DUN pada 2013 bertujuan bagi membiayai pengambilalihan sepenuhnya pegangan saham Kumpulan Hartanah Selangor Bhd (KHSB) yang gagal menguruskan lebih 7,000 ekar tanah di Selangor bernilai lebih RM6 bilion.

Pinjaman tersebut dilaporkan melibatkan aset negeri sebagai cagaran termasuk tanah. Semasa permohonan pinjaman bank tersebut dibuat dan diluluskan dengan kedudukan di mana DEIG Land hanya mempunyai dua orang ahli lembaha pengarah dan dua orang pemegang saham.

Selain itu persoalan menarik yang ditimbulkan Budiman ialah, kenyataan Azmin berhubung hutang KDEB itu menunjukkan seolah-oleh kumpulan tersebut tidak mampu menyelesaikan hutang pinjaman itu.

Kenyataan Menteri Besar sebelum ini menggambarkan seolah-olah KDEB tidak mampu menyelesaikan hutang tersebut sedangkan proses mengambil alih pegangan saham dalam KHSB masih berjalan.

"Kenyataan tersebut seolah-olah membawa maksud tersirat dan memberi kepercayaan kepada maklumat yang diterima bahawa DEIG bakal mengambil alih hutang KDEB dengan memindahkan DEIG Land Sdn Bhd - anak syarikat DEIG – terhadap kuasa dan kawalan ke atas bank tanah milik KHSB yang amat bernilai,” kata Budiman.

Berkaitan DEIG ini juga Budiman mempersoalkan ketelusan membabitkan pembentangan kertas putih yang disyorkan oleh Jawatankuasa Pilihan Mengenai Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat Kerajaan Negeri (JP-ABAS) dalam satu pe­nyata Bil. 48/2015 sebelum ini.

“Bagaimanapun, dalam sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini termasuk pembentangan Bajet Selangor 2016, Menteri Besar tidak menyentuh atau menyebut berhubung pembentangan kertas putih mengenai DEIG.

“Sedangkan, kertas putih tersebut merupakan salah satu daripada syor JP-ABAS. Apakah Menteri Besar tidak menghormati syor jawatankuasa berkenaan atau beliau membuat keputusan menubuhkan DEIG sebelum ini secara bersendirian bukannya secara kolektif?” soalnya.

Beliau berpendapat,  segala operasi dan aktiviti DEIG terutama dengan pihak swasta harus ditangguhkan selagi kertas putih itu tidak dikeluarkan manakala penstrukturan anak-anak syarikat boleh diteruskan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Isu penubuhan DEIG ini  mencetuskan kontroversi apabila syarikat bernilai RM2 itu didakwa akan menguruskan kira-kira RM30 bilion nilai aset yang kini di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor.


Ketika sesi DUN Selangor pada Ogos lalu, beberapa ADUN termasuk daripada DAP turut mendesak supaya penubuhan DEIG dikaji semula memandangkan syarikat tersebut ditubuhkan melalui Akta Syarikat yang sekali gus bermakna segala aktiviti, operasi dan pengurusan kewangan serta pelaburan tidak perlu dilaporkan kepada DUN.