Thursday, October 30, 2008

PROGRAM LADANG RAKYAT GAGAL

Ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata program Ladang Rakyat yang diperkenalkan kerajaan negeri gagal mencapai matlamatnya membasmi kemiskinan tegar yang sebenarnya.

Beliau berkata jumlah peserta ladang itu yang berjumlah 4,810 yang kononnya diambil daripada kalangan mereka yang miskin adalah tidak selari dengan angka yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan iaitu seramai 3,864 orang.

"Saya ingin tahu mekanisme apa yang diguna pakai oleh kerajaan negeri dalam memilih peserta Ladang Rakyat ini," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri semalam.

Ketika menjawab pertanyaan Md Alwi itu, Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata Ladang Rakyat mempunyai mekanisme tersendiri dalam memilih peserta, antaranya mengambil kira kajian daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

Beliau berkata peserta itu mungkin terdiri daripada peserta miskin tegar dan dikategorikan sebagai miskin.

Katanya melalui program itu, peserta terbabit menerima dividen RM200 sebulan dan selain aspek kebajikan.

Ketika menggulung perbahasan Enakmen Perbekalan 2009 (Bajet 2009) kerajaan negeri di Persidangan Dewan Undangan Negeri semalam, Kerajaan Kelantan turut menafikan dakwaan wakil BN bahawa program Ladang Rakyat telah melibatkan penggunaan hutan simpan yang hasil balaknya sebelum itu digunakan bagi tujuan membayar dividen kepada lebih 4,000 pesertanya.

Ahmad Yakob berkata sebaliknya penggunaan ladang itu membabitkan kawasan tanah kerajaan yang lain dan dividen itu diberikan melalui bayaran tahunan syarikat swasta yang terbabit mengusahakan kawasan ladang itu.

"Ini tidak benar sama sekali program Ladang Rakyat ini telah melibatkan kawasan hutan simpan dan hasil balaknya kini gunakan untuk membayar dividen. Ini tidak benar," katanya.

Isu Ladang Rakyat itu turut ditimbulkan timbalan ketua pembangkang, Datuk Noor Zahidi Omar (BN-Pengkalan Kubor) yang sangsi dengan program itu dan mendakwa ladang itu telah membabitkan kawasan hutan simpan.

Ahmad Yakob (PAS-Pasir Pekan) juga menafikan hasil balak ladang itu seperti yang didakwa Noor Zahidi perlu dimasukkan ke dalam akaun wang yang disatukan.

"Sebaliknya wang tahunan itu tidak boleh dimasukkan ke dalam akaun wang yang disatukan kerana ia merupakan entiti program yang berbeza sama sekali. Keputusan mengasingkannya adalah pandangan audit," katanya.

Lebih 4,000 peserta Ladang Rakyat itu menerima dividen bulanan sebanyak RM200 seorang.

Sementara itu Ahmad berkata hasil penambahan pegawai dan kakitangan di Pejabat Tanah dan Jajahan sejak tahun lalu dan tahun ini, kerajaan negeri telah berjaya menyelesaikan banyak tunggakan permohonan tanah.

"Tambahan pegawai dan kakitangan ini disebabkan pengstrukturan semula pengurusan pejabat tanah di seluruh negara bagi mengurangkan tunggakan permohonan yang begitu tinggi," katanya.

Menurutnya kerajaan negeri telah berjaya memungut hasil tanah melebihi RM20 juta sepanjang tahun ini berbanding lebih RM13 juta pada tahun sebelumnya.

Dewan kemudiannya meluluskan Enakmen Perbekalan 2009 (Bajet 2009) dan persidangan ditangguhkan kepada satu tarikh lain.

Dewan juga diberitahu semakin ramai pelajar Melayu kini belajar di sekolah aliran Cina dan ini dianggap oleh kerajaan Kelantan sebagai baik untuk memupuk integrasi kaum.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Nik Mohd Amar Nik Abdullah berkata seramai 1,183 pelajar Melayu sedang belajar di sekolah aliran itu sehingga Ogos tahun ini yang menunjukkan peningkatan hampir 18 peratus.

"Pada 2006 seramai 1,014 pelajar, 2007 pula 1,107 dan Ogos tahun ini 1,183 pelajar," katanya ketika menjawab soalan Abdul Fatah Haron (PAS-Bukit Tuku).

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan negeri tidak bercadang untuk mengadakan program untuk menarik minat pelajar berbangsa Cina itu untuk belajar di sekolah agama.

SILAT HUSAM SUMBANG & TERSASAR?

Kerajaan negeri pimpinan Pas membayar RM204 juta hutang kepada kerajaan pusat sejak 1990, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa, berkata hutang pada 1990 adalah sebanyak RM718 juta.

“Kerajaan negeri membayar kira-kira RM11 juta hutang setiap tahun dan kini jumlah hutang yang tinggal adalah RM514 juta sahaja lagi.

“Ini adalah satu prestasi yang sangat membanggakan,” katanya menjawab soalan Datuk Noor Zahidi Omar (BN-Pengkalan Kubor).

Itulah sikap Husam. Asyik bangga saja. Kira mahu bandingkan dengan hutang ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) memerintah!

Ini jelas apabila beliau mengatakan hutang badan berkanun kerajaan negeri pula kini adalah sebanyak RM208 juta berbanding RM572 juta pada 1990.

Fakta mengenai hutang pada 1990 kerana banyaknya pembangunan dan kerancakan pembinaan termasuklah bangunan-banganan yang ‘ditakluki’ oleh Pas sekarang.
Tidak payah hendak dijelaskan satu persatu, lagipun memang sudah ‘terang lagi bersuluh’.

Di sebalik jawapan Husam itu, dia sebenarnya cuba bersilat apabila mengatakan jumlah hutang kerajaan negeri itu bagaimanapun tidak termasuk pinjaman bekalan air yang diterima sebanyak RM331 juta.

Jadi kalau campur RM514 juta dengan RM331 juta. Agak-agak berapa ya?

Kijang tak reti, tak sekolah tinggi macam Husam yang lulus luar negara.

Hutang sebenar berapa?

1. Perbezaan Angka. Jabatan Audit Negara Silap?

Menurut laporan Ketua Audit Negara, pada akhir tahun 2007baki hutang Kerajaan Negeri adalah berjumlah RM958.67 juta berbanding RM940.06 juta pada tahun 2006 iaitu meningkat sejumlah RM18.61 juta. Peningkatan hutang ini adalah disebabkan Kerajaan Negeri menerima sejumlah RM23.35 juta pinjaman baru daripada Kerajaan Persekutuan iaitu sejumlah RM9 juta Projek Bekalan Air yang baru dan RM14.35 juta bagi menggenapkan baki pinjaman 3 Projek Bekalan Air yang telah diluluskan sebelumnya.

Pada tahun 2007, Kerajaan Negeri telah menjelaskan hutang kepada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM4.86 juta.

Dua perbezaan angka di sini, iaitu jumlah hutang dan jumlah bayaran balik.
2. Prestasi Membanggakan?

Analisis Audit mendapati bayaran balik pinjaman yang telah matang tidak mengikut Jadual Bayaran Balik atau anuiti tahunan yang ditetapkan menyebabkan tunggakan bayaran balik agensi tersebut terus meningkat. Keadaan ini lebih ketara lagi apabila dasar Kerajaan Persekutuan tidak lagi menyalurkan geran keseimbangan Pihak Berkuasa Tempatan melalui Kerajaan Negeri.

Pada tahun 2007 Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan gagal menjelaskan anuiti tahunannya melalui sumber Persekutuan berjumlah RM9.36 juta menyebabkan tunggakan bayaran balik terkumpul mencecah RM40.88 juta. Manakala Majlis Perbandaran Kota Bharu gagal menjelaskan anuiti tahunannya berjumlah RM0.96 juta melalui pinjaman sumber Negeri dan sejumlah RM1.06 juta melalui sumber Persekutuan menyebabkan tunggakan bayaran balik pinjaman menjadi RM9.48 juta.

Berdasarkan kedua-dua perkara di atas, nyata sekali penjelasan atau silat Husam bukan sekadar sumbang tetapi juga tersasar!

Selain itu, Husam turut menjawab soalan mengenai kemiskinan tegar.
Husam berkata jumlah penduduk miskin tegar di seluruh Kelantan kini mengikut Jabatan Perangkaan adalah seramai 3,864 orang.

Beliau menyatakannya menjawab soalan ketua pembangkang Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas),

Husam mengakui jumlahnya mungkin lebih ramai berikutan kenaikan kos sara hidup ketika ini.
Kos sara hidup kerana semata-mata faktor minyak naik atau kerajaan negeri gagal mewujudkan peluang pekerjaan dan sebagainya?

Perkara lain turut dijelaskan oleh Husam ialah kerajaan negeri menerima permohonan daripada Syarikat Trans Nusantara Petroleum bagi membina laluan paip gas dari Bagan Serai, Perak ke Bachok.

Menjawab soalan Abdullah Ya'kub (PAS-Air Lanas), beliau berkata syarikat itu berminat untuk menjadikan Jeli dan Bachok sebagai tempat penyimpanan dan pendaratan gas.

Kerajaan negeri masih mengkaji permohonan syarikat berkenaan.

Monday, October 27, 2008

HUTANG KERAJAAN KELANTAN TERUS TINGGI

Wakil Barisan Nasional Datuk Noor Zahidi Omar berkata, adalah menghairankan apabila bajet kerajaan negeri Kelantan dimaklumkan peruntukan yang tidak pernah cukup sedangkan Kelantan kaya dengan hasil yang boleh memberi keuntungan kepada negeri.

Katanya, rakyat Kelantan terus "digula-gulakan" seperti Ladang Rakyat yang belum lagi ditanam dan mendatangkan hasil tetapi sudah diberikan dividen.

"Saya ingin bertanya adakah hasil penebangan balak untuk tanaman ladang rakyat itu dimasukkan ke dalam hasil wang yang disatukan," katanya.

Noor Zahidi (BN-Pengkalan Kubor) juga mempersoalkan skim penanaman getah klon balak di hutan simpan sama ada di hutan simpan itu tidak mempunyai balak atau sebaliknya.

"Apa yang dikhuatiri penanaman klon getah ini akan menjadi seperti penanaman sentang yang akhirnya perkara ini tidak berlaku," katanya.

Kerana itu Bajet Kelantan yang dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan (DUN) Kelantan semalam tidak mampu akan menjana peningkatan hasil kerajaan negeri yang terus menyaksikan jumlah hutang Kelantan terus tinggi.

Timbalan Ketua Pembangkang di Dun Kelantan itu berkata bajet yang bertemakan "Bajet Berimbang" itu sebenarnya langsung "tidak berimbang" dan banyak merugikan kerajaan Kelantan.

“Hutang awam Kelantan kini sudah melebihi aset iaitu sebanyak RM326 juta tahun lalu akan terus meningkat pada masa depan dan jika tidak ada usaha untuk berbuat sesuatu keadaan hutang Kelantan semakin membimbangkan.

"Titah Sultan Kelantan juga harus diambil kira apabila menegur ada beberapa hasil kerajaan negeri yang tidak dimasukkan dalam hasil wang yang disatukan," katanya ketika membahaskan Bajet 2009 itu.

Kerajaan Kelantan hari ini membentangkan bajet defisit bagi 2009 dengan anggaran hasil yang diperolehi sebanyak RM339.98 juta berbanding perbelanjaan mengurus sebanyak RM360.26 juta.

Walaupun kerajaan negeri menjangkakan jumlah defisit pada 2009 sebanyak RM20.28 juta, jumlah itu bagaimanapun berkurangan berbanding defisit bajet 2008 sebanyak RM23.73 juta.

Bajet itu dibentangkan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa (PAS-Salor) berikutan keuzuran Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Noor Zahidi berkata Beliau juga hairan mengapa kerajaan negeri memperuntukkan kos yang begitu tinggi untuk menyelenggarakan sekolah agama seliaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) sebanyak RM40 juta.

Katanya jika sekolah-sekolah agama itu diserahkan kepada kerajaan Pusat untuk ditadbir, kerajaan negeri akan dapat menjimatkan perbelanjaan.

"Sekolah YIK ini kebanyakannya sangat daif dan memerlukan peruntukan besar untuk menyeliakannya," katanya.

Menurutnya kerajaan negeri juga boleh menjimatkan lagi perbelanjaan dengan membenarkan kerajaan Pusat membina laluan bertingkat landasan keretapi di Pasir Mas.

Katanya, tidak ada faedah untuk kerajaan negeri berlumba-lumba membina laluan bertingkat itu sedangkan tidak mampu untuk berbuat demikian.

Beliau juga menyelar bajet itu meminggirkan terus manifesto PAS pada pilihan raya umum lalu seperti tiadanya tabung untuk peniaga wanita.

Sementara itu di luar dewan, ketua pembangkang Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) meminta kerajaan negeri supaya tidak memasukkan peruntukan pemberian baja sebanyak RM2 juta dalam bajet berkenaan.

Katanya kerajaan Pusat telah memberi baja kepada semua petani di Kelantan tanpa mengira fahaman politik dan peruntukan kerajaan negeri itu boleh disalurkan kepada perkara lain.

"Kerajaan negeri juga tidak melaksanakan manifesto PAS untuk memberikan cuti bersalin kepada 90 hari dan pembinaan kompleks sukan untuk wanita," katanya.

KERAJAAN PAS MEMANG TIDAK MAMPU

Cakap memang senang tetapi mahu melaksanakannya bagaimana?

Itulah janji Kerajaan Pas Kelantan kepada rakyat.
Semalam pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan, dua kes jelas menunjukkan bagaimana Kerajaan Kelantan tidak mampu melaksanakan janji dan amanah yang diberikan.
Tidak usah pergi jauh. Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat sebelum mini sana-sana mencanang cadangannya untuk memberikan cuti bersalin selama 90 hari berbanding 60 hari sekarang.

Kononnya kerajaan negeri prihatin kepada wanita yang melahirkan anak. Selain itu ia bagi membolehkan kakitangan terbabit menguruskan diri dan menjaga anak dengan sempurna semasa bersalin.

Ketika ini kerajaan negeri melaksanakan pemberian cuti bersalin selama dua bulan yang terhad kepada lima kali bersalin bagi setiap kakitangan wanita.
Untuk kempen pilihan raya dan memenangi hati rakyat supaya mengundi Pas memang mudah dilakukan.

Ternyata ia sukar dilaksanakan.

Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob mengakuinya apabila berkata Kerajaan Negeri Kelantan masih mengkaji cadangan pemberian cuti bersalin selama 90 hari berbanding 60 hari sekarang.

Ini kerana perkara itu memerlukan perancangan teliti kerana ia membabitkan prosedur Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Akta Pencen 1980.

"Kerajaan negeri mendapati melalui Akta Pencen itu akan menjejaskan skim tersebut kepada kakitangan terbabit jika dilaksanakan," katanya ketika menjawab soalan Mat Yusoff Abd Ghani (BN-Nenggiri) di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

Pada persidangan DUN Kelantan kali ini, isu penjualan Hotel Perdana oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) kepada Perbadanan Nasional Berhad (PNB) juga dipersoalkan.

Penjualan itu pernah dibangkitkan pada sidang lepas seolah-olah Pas mahu menggunakan mudah tunai dengan cepat dan jalan paling baik ialah menjual ‘harta kerajaan negeri’.
Nasib baik ia dijual kepada syarikat milik kerajaan Barisan Nasional. Bagaimana kalau jatuh ke tangan orang asing?

Namun dalam jawapannya kerajaan negeri berkata, ia menjual hotel berkenaan untuk menjadikan industri perhotelan di negeri itu terus berkembang pesat.

Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Negeri, Datuk Husam Musa berkata PNB mempunyai kemampuan untuk membangunkan industri perhotelan seperti yang dilakukan syarikat itu sebelum ini.

"PKINK memerlukan suntikan besar untuk membangunkan Hotel Perdana yang bidang perhotelan ini bukan merupakan perniagaan teras PKINK dan sebab itu kita yakin dengan PNB untuk membangunkannya.

"Kita telah meletakkan syarat hotel baru itu nanti mestilah berimej Islam," katanya ketika menjawab soalan Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga).

Hotel itu telah dijual kepada PNB membabitkan kos sebanyak RM24 juta dan telah membayar pampasan sebanyak RM4.1 juta kepada 130 kakitangan hotel itu dan kakitangan terbabit telah diberikan jaminan akan diambil bekerja semula selepas kembali beroperasi yang dijangka pada penghujung tahun depan.