Saturday, November 22, 2008

KOLEJ ISLAM PERTAMA DI SABAH

Nasib baik ada UMNO di Sabah.

Kerajaan berteraskan UMNO, meluluskan peruntukan kira-kira RM30 juta bagi membina sebuah kolej Islam di negeri ini.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Tun Sakaran berkata, kolej Islam pertama di negeri ini itu akan dibina berhampiran pekan Beaufort bermula awal tahun depan.
Katanya, pembinaan fasa pertama kolej ini yang melibatkan perbelanjaan kira-kira RM5 juta dijangka siap pada 2010.

"Apabila Kolej Islam ini siap, adalah diharapkan pelajar-pelajar keluaran sekolah menengah Islam di seluruh negeri Sabah akan dapat melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi di kolej tersebut tanpa perlu ke luar negeri," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Kamarlin Ombi (BN-Lumadan) pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, cadangan membina bangunan baru sekolah Sekolah Menengah Agama Beaufort telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Katanya, pembinaan bangunan baru sekolah berkenaan akan dibuat secara berperingkat berdasarkan peruntukan yang disediakan.

"Pada masa ini pelan projek telah siap termasuk persiapan-persiapan lain seperti mengatasi masalah-masalah teknikal yang melibatkan tapak bangunan," katanya.

Sementara itu, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) keseluruhan bagi negeri Sabah pada masa ini ialah pada kadar pendapatan RM960 sebulan.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Sairin Karno berkata, berdasarkan laporan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan, kategori miskin tegar di negeri ini pula kini pada kadar pendapatan RM540 sebulan.

Justeru katanya, pada masa ini kerajaan giat menjalankan usaha berterusan bagi mengesan golongan berkenaan dalam usaha meningkatkan pendapatan serta menyalurkan bantuan.

“Kerajaan Persekutuan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri kini menjalankan bancian isi rumah miskin tegar di seluruh negeri bagi membangunkan pangkalan data e-kasih,” katanya semasa menjawab soalan Datuk Liew Teck Chan (BN-Likas) pada sidang Dewan Undangan Negeri, di Kota Kinabalu semalam.

Menurutnya, bancian yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia itu telah berada di peringkat akhir penyemakan.

Wednesday, November 19, 2008

JANGAN SAMPAI SARAWAK TUKAR HALUAN

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim member amaran, apabila Sarawak mengubah haluannya, kerajaan Barisan Nasional (BN) akan runtuh.

Selepas tidak laku ‘menjual ubat’ di Semenanjung dan Sabah, Anwar beralih ke Sarawak dan mengharapkan ahli Parlimen BN di negeri itu menukar haluan.

Bercakap di Sibu pada malam 15November lalu, Anwar menyifatkan Sarawak yang mempunyai 30 anggota Parlimen sebagai kunci kepada kerajaan Pakatan Rakyat di negara ini.

Kedatangan Anwar ke Sarawak menguatkan khabar angin tentang kemungkinan wakil rakyat BN melompat parti di Sarawak sejak kebelakangan ini.

Sebelum ini 16 September telah dicanang oleh pembangkang kononnya akan mengambil alih Kerajaan Persekutuan apabila berjaya menarik ahli Parlimen dari Sarawak dan Sabah menyertai mereka.

Mulanya PKR dijangka mengumumkan kemasukan 'beberapa' Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak dan juga ahli Parlimen BN ke dalam pakatan pembangkang untuk berjuang bersama mereka.

Tetapi ternyata hanya seorang sahaja yang sanggup berbuat demikian. Ahli Parlimen Kanowit, Aaron Dagang dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) tidak berbuat demikian.

Pada satu majlis majlis di Pusat Perdagangan dan Pameran Sibu , Anwar menerima borang permohonan keanggotaan daripada Gabriel Adit Demong, seorang daripada dua anggota Dewan Undangan Negeri Bebas dan daripada 11,752 individu dari seluruh negeri itu.

Anwar berkata rakyat Sarawak kini sudah bersedia bagi perubahan, menyatakan Adit telah menawarkan diri untuk mengetuai kempen menarik keanggotaan bagi Pakatan Rakyat.

"Jangan terkejut jika apa yang berlaku di lima negeri di Semenanjung dalam pilihan raya umum Mac lepas akan berlaku di sini," katanya.

Anwar menegaskan, Pakatan Rakyat sudah membuat persediaan bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

Seperti biasa Anwar mendakwa beberapa orang dari negeri itu telah datang berjumpa beliau menyatakan minat untuk menyertai PKR.

Sementara itu, Adit berkata banyak anggota BN sedang "menunggu masa" untuk menyertainya dan keputusannya untuk menyertai PKR " adalah yang pertama daripada banyak ansuran" dalam beberapa bulan akan datang."

Semua ini berlaku pada majlis makan malam anjuran "Friends of PKR" di Sibu.
Gabriel dikatakan mengambil keputusan untuk menyertai PKR selepas BN enggan menerima permohonannya bagi menyertai mana-mana parti komponen di Sarawak.

ADUN Ngemah itu berjaya mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 1991 dan dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) 2006, beliau menewaskan Alexander Vincent dari PRS dan Richard Lias dari Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP).

Apakah kes ini menunjukkan gelombang tsunami politik di Semenanjung mula membadai ke Sarawak?

Yang pasti ia cabaran permulaan kepada BN di Sarawak yang berdepan dengan cabaran besar pada pilihan raya umum DUN pada 2010.

Seperti disebut oleh Pensyarah Fakulti Sains Sosial Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr. Jeniri Amir, PKR sebenarnya mengambil kesempatan daripada masalah dalaman PRS.
PKR kini cuba memancing sokongan kaum Iban untuk menyertai parti pembangkang itu setelah ditolak oleh kaum Melayu dan Malanau.

Ada beberapa perkara membabitkan tidak puas hati kaum Iban terhadap kerajaan, khususnya berkaitan isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang masih belum selesai sepenuhnya.
Dan jika benar pandangan bahawa kaum Iban semakin jauh dengan BN, sesuatu perlu dilakukan segera oleh parti komponen BN di Sarawak agar pilihan raya negeri 2010 tidak menjadi suatu beban kepada mereka.

Ini kerana Anwar sudah mengatakan, pemimpin dalam Pakatan Rakyat seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dari PAS, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng dari DAP dan diri beliau dan isternya akan terus mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan anggota Parlimen BN untuk memujuk mereka supaya berpaling tadah menyertai mereka.

Pada majlis di Sibu itu, kira-kira 3,000 tetamu hadir pada majlis itu, yang terbesar setakat ini bagi majlis PKR di Bandar itu.

Mereka yang hadir termasuk Naib Presiden PKR Datuk Seri Dr Jeffery Kitinggan, Ketua DAP Sarawak Wong Ho Leng, bekas anggota Parlimen Sri Aman Jimmy Donald, dan Baginda Minda, bekas ketua publisiti Parti Rakyat Sarawak cawangan Balleh, yang mencetuskan isu dengan kenyataannya mendakwa parti BN negeri yang dominan, Pesaka Bumiputera Bersatu, suka membuli.

Sunday, November 16, 2008

MEROKOK - SERUAN NIK AZIZ TIDAK DIPEDULIKAN

Parti Pas pernah mengatakan ia tegas dengan perbuatan merokok.

Malah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah memberi amaran mereka yang merosok akan ada masalah untuk dilantik sebagai wakil rakyat.

Tetapi selepas itu kenyataan Nik Aziz tinggal kenyataan semata-mata. Ada juga kalangan perokok yang terus mendapat tempat dalam kerajaan Pas Kelantan.

Jelas sekali kenyataan Nik Aziz dilihat sebagai kenyataan politik semata-mata bukan sebagai nasihat untuk kebaikan semua.

Yang dikempenkan oleh Musyridul AM Pas rupa-rupanya masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan.

Apakah nasihat ikhlas Nik Aziz turut dibelakangkan oleh sebahagian rakyat Kelantan yang masih merokok, termasuk yang menyokong Pas?

Namun yang jelas, kerajaan Pas Kelantan tidak pun berkempen secara serius mengenai bahaya merokok sama ada terhadap kesihatan, kebersihan mahupun keselamatan.

NGO Kelantan juga jarang melakukan perkara serupa, seolah-olah tiada sahutan terhadap kempen ‘anti-merokok’ yang ditaja Nik Aziz.

Yang berkempen banyak dilakukan oleh jabatan-jabatan Kerajaan Persekutuan, termasuk oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Jabatan itu menyedari bahawa perbuatan perokok membuang puntung rokok yang masih hidup dan mempunyai api, secara sesuka hati boleh mengundang banyak masalah.

Terbukti perbuatan tidak bertanggungjawab itu menjadi antara punca 22 kes kebakaran di Kelantan sejak awal tahun ini.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman, berkata sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini, 92 kebakaran membabitkan rumah berbanding 74 kes tahun lalu.

Setakat Oktober 2008, 493 kebakaran berlaku di seluruh negeri dengan 153 daripadanya membabitkan bangunan, manakala selebihnya iaitu 393 kes lagi membabitkan asrama, sekolah, kilang, hutan, gerai jualan serta kenderaan.

Punca kebakaran yang berlaku adalah disebabkan elektrik (148 kes), puntung rokok (22 kes), mercun atau bunga api (6 kes), ubat nyamuk (6 kes), dapur gas (32 kes) serta budak main mancis (17 kes).

Secara keseluruhannya, kebakaran yang berlaku setakat ini menurun berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak 530 kes dengan 137 bangunan," katanya.

Azmi berkata, walaupun kadar penurunan kes hanya sedikit namun angka terbabit membuktikan masyarakat kini prihatin terhadap keselamatan bagi mengelakkan kebakaran daripada berlaku terutama yang membabitkan kediaman.

Katanya, daripada jumlah kes kebakaran yang berlaku itu, nilai kerugian keseluruhan pada tahun ini meningkat kepada RM24 juta berbanding tahun lalu sebanyak RM13 juta.

"Daripada kes kebakaran yang berlaku, Bomba dan Penyelamat Kelantan berjaya menyelamatkan harta benda bernilai RM260 juta pada tahun ini berbanding RM72 juta pada tahun lalu," katanya.

Katanya, setakat ini, empat kebakaran besar iaitu kebakaran jentera penurap jalan bernilai RM8.8 juta, kedai perabot bernilai RM630,000; bot laut dalam di Tok Bali yang menyebabkan kerugian RM3.6 juta serta deretan kedai dekat Langgar menyebabkan kerugian RM555,000.

"Bagi membendung gejala kebakaran yang berlaku, pihak bomba sentiasa mengadakan aktiviti kesedaran kepada masyarakat dengan mengadakan pelbagai kempen mencegah kebakaran serta mengadakan latihan bersama dengan agensi kerajaan bagi menyedarkan orang awam bahaya kebakaran," katanya.