Thursday, March 6, 2014

PR Sekat Khalid Tandatangan Perjanjian Air Dengan Pusat


Nasib Memorandum Persefahaman (MoU) perjanjian pengstrukturan semula air di Selangor dan Wilayah Persekutuan kini menjadi tanda tanya selepas pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat (PR) semalam mengarahkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim tidak menandatangani sebarang perjanjian dengan kerajaan pusat tanpa kelulusan mereka.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Khalid perlu menjelaskan beberapa butiran perjanjian MoU serta mendengar pandangan-pandangan daripada Majlis Pimpinan PR sebelum menandatangani perjanjian tersebut.

"Kita minta Tan Sri Abdul Khalid lebih teliti terutama dalam kenyataannya tentang perjanjian yang bakal ditandatangani.

 "(Khalid) Harus diberikan penjelasan yang lebih terperinci tentang kesan (perjanjian) kepada Selangor, soal tarif dan beberapa aspek perjanjian termasuk Langat 2 kepada pimpinan Pakatan Rakyat sebelum ditandatangani...kalau lepas tandatangan (penjelasan) tak ada makna dah," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan PR di Ibu Pejabat PAS Pusat di Kuala Lumpur, semalam.

 Hadir sama Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Pengerusi Jawatankuasa Kongres Khas DAP, Anthony Loke.

Anwar berkata, tiga wakil PR telah dihantar untuk mengadakan perbincangan dan menyatakan pandangan mengenai perjanjian air dengan Khalid.

Mereka ialah Timbalan Pengerusi DAP Tan Kok Wai, AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang turut hadir pada mesyuarat sebelum sidang media diadakan.

"Ketiga-tiga mereka kini dalam perjalanan bertemu Tan Sri Abdul Khalid," katanya. Anwar berkata, ketika sidang media berlangsung, Khalid sedang memberikan taklimat terperinci kepada ahli-ahli Parlimen dan Adun-Adun di Selangor mengenai MoU penstrukturan air dengan Kerajaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan, PR secara dasarnya menyokong rundingan penstrukturan semula air di Selangor dengan kerajaan Persekutuan.

Beliau juga mengakui tanpa rundingan, kepentingan rakyat Selangor dari segi bekalan air akan terjejas dalam jangka masa panjang. "Tetapi kita juga ada kebimbangan dan faktor-faktor yang perlu dipertimbang "Pandangan bebas perlu dilihat. Ini bukan setakat MOU tetapi perjanjian dikepilkan bersama.

Persefahaman di antara Kerajaan Persekutuan dan negeri perlu, kita sokong secara prinsipnya," katanya. 

Mengenai MoU tersebut, Anwar mengakui belum melihat kandungannya. Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata beliau telah menasihatkan Khalid sebelum ini supaya berhati-hati dalam memeterai perjanjian kerana ia melibatkan kepentingan jangka panjang rakyat Selangor.

Tambahnya, PR tidak bermaksud untuk menyulitkan lagi keadaan.

"Jangan sulitkan lagi keadaan, bukan semua (perkara) kena rujuk (Majlis Pimpinan PR), kita tak pernah ganggu tetapi ini melibatkan manifesto, melibatkan Langat 2.

"Ada beberapa perkara perlu diteliti...peruntukan yang masih lagi samar-samar," tegasnya.

Dalam pada itu Anwar juga memberitahu bahawa beliau telah memaklumkan kepada Khalid supaya meminta tempoh daripada Kerajaan Persekutuan sebelum menandatangani perjanjian tersebut.

Katanya, Kerajaan Persekutuan perlu munasabah dalam menetapkan tempoh perjanjian.

"Takkan malam pukul 11 telefon, esok pagi pukul 10 suruh tandatangan dokumen perjanjian yang melibatkan nilai RM9.6 bilion atau 11 bilion," katanya.

Sunday, March 2, 2014

Amanah dan Dedikasi Senjata Khalid Lawan Azmin


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang akan menentang musuhnya, Azmin Ali bagi merebut jawatan nombor dua Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Mei, menganggap amanah dan dedikasi dirinya sebagai kekuatan peribadi.

"Saya mempunyai rekod prestasi dalam semua bidang. Saya jujur ​​dan sangat berdedikasi. Paling penting, saya bekerja untuk agenda reformasi dan saya tidak mempunyai agenda peribadi, "kata Khalid sinis kepada Azmin yang akan mempertahankan jawatan timbalan presiden bagi penggal kedua .

Khalid yang ditemui selepas merasmikan Karnival Silat Melayu Selangor, Senjata dan Warisan di Shah Alam hari ini berkata demikian selepas ditanya mengenai kekuatan beliau untuk menentang Azmin yang merupakan sekutu rapat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Khalid yang mengumumkan akan bertanding dalam pemilihan parti pada Jumaat memberitahu, beliau tidak akan membincangkan perkara itu sehingga 23 Mac iaitu tarikh pembuangan undi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.

Anwar yang merupakan penasihat parti itu akan bertanding dalam PRK Kajang bagi membuka laluannya ke Dewan Undangan Negeri Selangor.

"Saya hanya membuat pengumuman awal tetapi tidak mahu mengganggu tugas utama parti yang sedang berkempen untuk PRK Kajang," jelasnya.

Ditanya adakah Anwar telah memberikan restu untuk mengambil alih kedudukan Azmin, Khalid berkata penasihat PKR itu memahami usaha yang dilakukan demi mengukuhkan parti.

"Sebagai rakan sekerja parti, dia menggalakkan saya untuk bekerja lebih keras bukan sahaja sebagai pentadbir tetapi juga untuk parti," kata Khalid.

Katanya, keputusan untuk bertanding dibuat atas desakan ramai ahli parti itu sendiri.

"Mereka memerlukan menteri besar yang bukan sahaja boleh mentadbir negeri tetapi juga bertindak dalam parti," luahnya.

Mengenai kenyataan penasihat DAP Lim Kit Siang baru-baru ini bahawa PRK Kajang berlaku kerana pertengkaran dalaman PKR, Khalid menjelaskan, pergaduhan bukan sesuatu yang pelik dalam semua parti politik.

"Jika kamu mahu memberi saya satu contoh politik yang stabil, saya fikir kita masih bernaib baik," kata Khalid sambil menambah bahawa politik Malaysia adalah lebih baik daripada keadaan politik luar yang huru-hara termasuk Thailand, eropah timur , Venezuela dan Mesir.

Mengenai isu air, Khalid mengakui bahawa memorandum persefahaman (MoU) mengenai penyusunan semula industri air negeri tidak boleh ditarik balik seperti yang dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin.

"Ia satu perjanjian yang mengikat kedua-dua belah pihak," katanya sambil memberitahu kerajaan negeri telah meminta perkataan 'tidak boleh ditarik balik' untuk dimasukkan ke dalam MoU itu.

Beliau berkata, selain Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri juga menganggap MoU itu sebagai komitmen yang perlu dipatuhi.

Muhyiddin pada Jumaat berkata MoU itu tidak boleh dibatalkan walaupun terdapat perubahan dalam kepimpinan Selangor.

Menurut Khalid, sebagai wakil rakyat Selangor, misi kerajaan negeri adalah memastikan bahawa ia diterima demi kebaikan rakyat.