Thursday, November 12, 2015

Rakyat Selangor Tanggung Rugi RM800 Juta, Tarif Air Tetap Naik…


"Bila akhirnya kerajaan negeri setuju ia (Langat 2) diteruskan, rakyat akhirnya juga terpaksa tanggung (kerugian) RM800 juta (untuk pembinaan loji rawatan air baharu)."
- Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar

Apakah nasib rakyat Selangor...

Mereka bukan sekadar akan dibebani dengan kos sara hidup apabila Kerajaan Selangor tetap akan menaikkan tarif air setelah proses pengambilalihan keempat-empat syarikat konsesi air di negeri itu selesai.

Tidak setakat itu sahaja, tindakan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali yang sering menangguhkan pelaksanaan projek Langat 2 menyebabkan negeri itu kerugian RM800 juta.
 
Ini kerana, dua loji rawatan air baharu terpaksa dibina sementara menunggu projek Langat 2 siap pada 2019.

Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar, hanya disebabkan politik dan kerajaan negeri tidak mahu bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan sebelum ini, projek Langat 2 yang sepatutnya boleh siap pada 2014 terpaksa tertangguh sehingga 2019.

"Bila akhirnya kerajaan negeri setuju ia (Langat 2) diteruskan, rakyat akhirnya juga terpaksa tanggung (kerugian) RM800 juta (untuk pembinaan loji rawatan air baharu)," katanya kepada pemberita semalam.


Noh berkata demikian mengulas kenyataan Azmin pada Isnin lepas, bahawa kerajaan Selangor akan membina dua loji rawatan air baharu bernilai RM800 juta mulai tahun depan, sementara menunggu projek Langat 2 yang dijangka siap pada 2019.

Dua projek berkenaan ialah Loji Rawatan Air Semenyih 2 di Jenderam Hilir dan Loji Rawatan Air Labohan Dagang di Kuala Langat.

Mohamed Azmin dilaporkan berkata projek berkenaan bagi mengurangkan krisis kekurangan bekalan air terawat untuk keperluan rakyat dan industri di negeri itu.

Langat 2 adalah sebahagian daripada Projek Pemindahan Air Mentah yang akan merawat 1.89 bilion liter air mentah untuk disalurkan ke Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 2025.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili sebelum ini dilaporkan, berkata kelewatan projek Langat 2 kerana kerajaan Selangor mengarahkan agensi dan pihak berkuasa tempatan menangguhkan pengeluaran segala kelulusan dan permit untuk pembinaan loji itu sehingga penstrukturan semula industri air di Selangor dimuktamadkan.

Penstrukturan semula industri air di Selangor dimuktamadkan pada 8 September lepas.


Dalam konteks tarif air, walaupun Azmin memberi jaminan kenaikan tarif ini tidak akan membebankan rakyat negeri Selangor, ia tetap memberi kesan besar bukan sahaja rakyat biasa tetapi juga kilang dan premis lain yang menggunakan kemudahan itu.

Semalam Azmin berkata, pasti  akan ada kenaikan tarif air ini kerana kos bagi proses pengambilalihan itu adalah untuk memastikan perkhidmatan air berkualiti dan efektif.

Pengerusi Majlis Belia Daerah Kuala Langat, Hafez Shuriddin semalam meminta kerajaan PKR Selangor menimbangkan semula cadangan menaikkan tarif air kerana tindakan itu hanya akan membebankan golongan rakyat berpendapatan rendah.

Tindakan itu katanya, juga tidak sejajar dengan konsep Negeri Berkebajikan yang dilaungkan sebelum ini.

Beliau berkata, tindakan kerajaan negeri itu hanya akan menyusahkan rakyat yang kini dibelenggu dengan kos hidup yang tinggi.

“Skim air percuma yang dilaksanakan sebelum ini juga dilihat gagal kerana banyak golongan sasar yang tidak menikmatinya, kini dibebankan pula dengan kenaikan tarif air,” katanya kepada SelangorPost.

Sehingga kini hanya Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) masih dalam proses rundingan pengambilalihan, manakala proses bagi tiga lagi konsesi iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Konsortium ABBAS Sdn Bhd (ABBAS) dan Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB) berjaya diselesaikan.

"Bagaimanapun kita jamin kenaikan tarif ini tidak akan membebankan rakyat negeri Selangor," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di Shah Alam semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Mat Nadzari Ahmad Dahlan (BN-Batang Kali) berkaitan kenaikan tarif air di Selangor.

Katanya, sebelum ini, kerajaan negeri telah menawarkan RM250 juta kepada SPLASH namun jumlah tersebut ditolak syarikat berkenaan.

"Tempoh rundingan untuk pengambilalihan SPLASH akan berakhir September 2016 dan kerajaan negeri akan pastikan proses tersebut selesai dalam tempoh tersebut.

"Berhubung perkara itu, kerajaan negeri telah melantik penilai bebas untuk melihat apa nilai yang adil untuk mengambil alih syarikat konsesi air berkenaan," katanya.

Azmin berkata kos pengambilalihan tiga syarikat konsesi lain adalah berjumlah RM1.68 bilion yang mana Puncak Niaga Holding Berhad (PNHB) sebanyak RM1.07 bilion, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) (RM0.52 bilion) dan Konsortium ABBAS Sdn Berhad (ABBAS) (RM0.09 bilion).

No comments: