Saturday, July 4, 2009

Pengundi perlu berfikiran bijak buat pemilihan: Dr Awang Adek

Sumber: Bernama Online

Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai perlu membuat pemilihan bijak dalam pilihan raya kecil itu pada 14 Julai ini bagi menentukan masa depan mereka, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, di tangan merekalah yang akan menentukan untung nasib masa depannya.

“Apa yang saya harapkan hasrat Kerajaan Pusat untuk menjadikan Manek Urai sebagai anak angkat apabila menang dalam pilihan raya nanti akan menjadi kenyataan,” katanya ketika melawat Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) DUN itu, hari ini.
Terdahulu, beliau melepaskan anak ikan keli di Projek Membasmi Kemiskinan Rakyat Kawasan Parlimen Bachok, di Kampung Telok Merbau, Perupok, Bachok.

Menurutnya, Kerajaan Pusat sebelum ini sudah bersetuju untuk menjadikan Bachok sebagai anak angkat, tetapi oleh kerana pengundi kawasan itu tidak memilih BN dalam pilihan raya umum lalu, hasrat tersebut gagal dilaksanakan.

“Kalau boleh saya mahu Bachok lebih dulu dipilih sebagai anak angkat kepada Kerajaan Pusat, tetapi oleh kerana rakyat kawasan ini menolak, maka kerajaan terpaksa membuat pilihan lain.
“Apa yang diharapkan pengundi kawasan Manek Urai kali ini membuat pilihan yang bijak dalam menentukan sikap mereka untuk melihat perubahan demi masa depan anak cucu mereka,” katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Bachok.

Mengulas pemilihan calon BN yang akan bertanding dalam pilihan raya DUN itu kali ini, katanya ini adalah yang terbaik pernah dikemukakan oleh Umno atas kehendak semua ahli di peringkat akar umbi.

“Soal ada suara-suara sumbang daripada mana-mana pihak kononnya wujud rasa tidak puas hati di kalangan sesetengah pihak dalam parti tidak berbangkit.

“Ia mungkin sengaja ditimbulkan pihak parti lawan yang sengaja menjadikan isu dan mencari kelemahan parti lawan dalam menghadapi kempen politik menjelang saat-saat akhir pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata, hampir separuh daripada jumlah pengundi kawasan DUN itu adalah pengundi muda yang bakal mewarisi pemimpin masa depan negara.

Katanya, inilah masanya kerajaan memberi perhatian kepada golongan itu untuk menyokong perjuangan parti demi menjamin masa depan agama, bangsa dan negara.

Awang Adek berkata, hampir 50 peratus pengundi kawasan itu adalah golongan muda yang berumur bawah 40 tahun dan pemilihan calon yang mempunyai pendidikan tinggi dibuat oleh Umno adalah tepat untuk berhadapan dengan golongan berkenaan.

“Calon BN adalah kalangan pemimpin yang berpendidikan tinggi dan golongan inilah yang menjadi pelopor kepada pemimpin masa depan generasi muda ke arah kemajuan dan pembangunan Negara,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya DUN itu ialah pada Isnin ini.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Pas, Ismail Yaakob akibat sakit jantung pada 22 Mei lalu.

Fitnah besar pembangkang - dakwa UMNO tolak Islam

Sumber: Utusan Malaysia Online

Dakwaan pemimpin pembangkang bahawa Umno menolak Islam adalah fitnah besar dan amat tidak bertanggungjawab, kata Pengarah Jentera Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, Datuk Mustapa Mohamed.

Menyifatkan apa yang berlaku sesuatu yang amat mendukacitakan, Mustapa berkata beliau kesal dengan tindakan pemimpin pembangkang yang membawa ’cerita’ kononnya Umno menolak Islam, menyeleweng dan membawa ajaran sesat dalam lawatan rumah ke rumah dan ceramah agama di kawasan itu.

“Kita telah berusaha bersungguh-sungguh melaksanakan Islam dalam kehidupan seharian. Apatah lagi dalam perbankan Islam, pendidikan Islam dan ekonomi Islam.

Kita mengakui ada sedikit sebanyak kelemahan, tetapi kelemahan ini sentiasa kita perbaiki. Kita harap rakyat tidak mudah terpedaya dengan dakyah dan fitnah seperti ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis khatam Al-Quran Parlimen Kuala Krai anjuran Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan di Dewan Utama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Laloh, Manik Urai, hari ini.

Sebagai sebuah parti yang mendokong Islam, beliau berkata Umno bertanggungjawab menegakkan perkara yang benar dan menangkis segala fitnah yang dilemparkan terhadapnya.

“Kenapa ini boleh berlaku? Saya hairan juga, saya solat di masjid, kiri kanan saya daripada macam-macam fahaman politik. Kita bersama sembah Tuhan yang sama, dalam masjid yang sama, (tetapi) keluar saja masjid, macam-macam fitnah ditaburkan. Ini amat mendukacitakan,” katanya.

Mustapa turut membidas Penasihat Pilihan Raya PAS Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang mendakwa parti itu sengaja membuka ruang untuk Umno dan Barisan Nasional (BN) menyerang pimpinan mereka terutama Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kerana itu akan memberi kelebihan kepada PAS.

“Tengok muka dapat pahala? Ini kira ajaran sesat. Pahala itu bergantung pada amal maaruf, pahala itu kita buat kebaikan, kita sembahyang dan buat kebajikan ihsan, itu pahala. Tapi tengok gambar... tidak ada nas dalam Al-Quran atau Hadis, saya tidak tahulah, saya bukan ulama besar dalam Malaysia.

“Saya tidak baca mana-mana kitab yang kata, tengok gambar dapat pahala. Ini macam puja, kira tidak betullah pada pandangan atau ilmu yang ada pada saya.

Saya tidak pernah dengar tengok gambar tokoh dapat pahala.” Penamaan calon pilihan raya kecil Manik Urai akan diadakan pada 6 Julai dan jika ada pertandingan hari pengundian ditetapkan pada 14 Julai.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lepas akibat serangan jantung.

Thursday, July 2, 2009

Lima adik-beradik calon PAS Manek Urai pangkah BN?


Oleh Dr Novandri Hasan Basri


Apakah kena mengena status pelajaran dan pangkat adik beradik dengan kemampuan sebenar calon PAS di PK Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah menjadi ADUN?

Laman web rasmi PAS tidak menyentuh latar belakang pendidikan calon mereka? Siapakah yang bertanding, Mohd Fauzi Abdullah atau adik-beradik beliau?

Apakah pengundi tidak perlu tahu latarbelakang pendidikan calon pemimpin mereka kerana pendidikan sangat penting untuk memastikan pemimpin tersebut boleh berfikir secara matang, berilmiah dan bervisi jauh?

Apakah tujuan di atas untuk mengaburi rakyat daripada tidak menilai taraf pendidikan calon PAS tersebut yang dikatakan rendah iaitu hanya sekadar SRP sahaja?

Dan apakah jentera PAS malu dengan status 'pemborong ikan' calon mereka sendiri sehinggakan mereka tidak sanggup meletakkan 'pemborong ikan' di dalam berita mereka?

Apakah 'pemborong ikan' terlalu rendah di mata jentera PAS?

Persoalan-persoalan di atas timbul apabila kita membaca pengenalan calon PASdi dalam laman web rasmi PAS

Walaupun penulis bukan ahli PAS tetapi tindakan laman web berkenaan yang tidak konfiden dengan taraf pendidikan dan pekerjaan calon mereka sendiri adalah amat memalukan!

Di antara kenyataan di dalam laman web tersebut :-

KUALA KRAI 27 Jun (Harakah) - Seorang peniaga Haji Mohd Fauzi Abdullah, 50 diumumkan sebagai calon PAS bagi mempertahankan Dun Manek Urai malam tadi.

.......Beliau merupakan anak keenam daripada lapan adik-beradik. Empat daripadanya mendapat pendidikan tinggi sehingga ke luar negara.

Seorang lagi kakaknya, Prof Dr Aminah pensyarah kanan di UKM; ketiga, Ibrahim seorang peniaga buah-buahan; keempat, Sabariah ketua jururawat di Hospital Temerloh.

Kelima, Mohd Yazid, pengarah jabatan kerajaan di Putrajaya. Manakala dua adiknya iaitu Razali memiliki syarikat perunding di Pulau Pinang dan adik bongsu, Zaidi lePASan bidang IT di universiti, Australia - Harakahdaily.

Dan jika kita merujuk kepada adik-beradik calon PAS, empat di antara mereka berkemungkinan besar telah mendapat bantuan dari segi biasiswa atau pun pinjaman daripada kerajaan Barisan Nasional.

Kakak calon PAS, Prof Dr Aminah pula bekerja di universiti yang dibiayai oleh kerajaan Barisan Nasional manakala yang keempat, Sabariah bekerja di hospital tajaan kerajaan Barisan Nasional.

Dan Mohd Yazid pula mendapat gaji sebagai pengarah jabatan kerajaan yang ditadbir oleh parti Barisan Nasional di Putrajaya. Di manakah jabatan itu ya?

Maksud mudah, majoriti daripada keluarga calon PAS terhutang budi kepada kerajaan pusat BN. Dan jika mereka benar-benar faham, lima daripada adik-beradik Mohd Fauzi akan memangkah calon Barisan Nasional.

Dan jika jentera PAS sendiri tidak konfiden dengan kemampuan intelek Mohd Fauzi, apakah penduduk di Manek Urai masih mahu memperjudikan masa depan kawasan mereka dengan mengundi calon PAS tersebut?

Penduduk beri maklum balas positif

Barisan Nasional (BN) mendapat maklum balas cukup positif daripada penduduk Manek Urai selepas 48 jam mengumumkan calonnya, Tuan Aziz Tuan Mat untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu.

Pengerusi BN negeri, Datuk Mustapa Mohamed berkata, calon diterima baik oleh seluruh warga UMNO Bahagian Kuala Krai menjadikan jentera parti semakin padu bagi memastikan kemenangan di kawasan yang dianggap kubu kuat Pas itu.

"Tuan Aziz dikenali umum dan disenangi penduduk kerana pernah bertugas di kawasan ini serta mempunyai pengalaman luas dalam tugas berhubung kait dengan masyarakat.

"Pengalamannya bertugas sebagai pengurus di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Wilayah Kuala Krai dalam kawasan ini dan syarikat swasta sebelumnya akan membantunya menjadi wakil kepada rakyat dengan berkesan," katanya semalam.

Mustapa berkata, pemilihan Ketua Pemuda UMNO Kuala Krai itu dilihat mampu menarik sokongan golongan muda di kawasan berkenaan untuk menyokong BN.

"Kalau pada tahun 2008, ramai anak muda tidak memihak kepada kita tetapi dengan pemilihan beliau saya melihat dia mampu untuk menawan hati anak muda," katanya.

Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Tuan Aziz, 39, yang juga Pengurus Pemantauan dan Penyelarasan Kesedar sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai.

Mustapa berkata, pemilihan Tuan Aziz merupakan salah satu strategi BN melatih dan mendidik lebih ramai pemimpin muda dari negeri ini.

"Sayang jika kita ada pemimpin muda tetapi tidak ditonjolkan, sebagai contoh Tuan Aziz mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan pengurusan yang baik berdasarkan pengalaman bertugas sebagai pegawai kanan kerajaan," katanya.

Menurut beliau, untuk memastikan kemenangan BN, semua jentera parti telah digerakkan sepenuhnya kerana tempoh masa yang ada semakin pendek.

Tambahnya, momentum akan terus ditingkatkan dari semasa ke semasa dan semua jentera parti akan bekerja habis-habisan.

"Kita juga ada pendekatan khas untuk mendekati golongan veteran kerana mereka juga akan menjadi faktor penentu disebabkan hari pengundian adalah pada hari bekerja.

"Saya juga menyeru pengundi luar di luar Kelantan supaya balik mengundi dan menggunakan kuasa yang ada, buat pertimbangan yang terbaik demi faedah saudara-mara yang masih tinggal di Manek Urai," katanya.

Wednesday, July 1, 2009

PERJUANGAN UMNO KEKAL UTUH WALAU 50 TAHUN BERLALU

Sumber: Bernama

Setelah lebih 50 tahun berlalu, perjuangan UMNO tetap utuh bagi menjaga Islam dan mengekalkan pembangunan negara untuk dinikmati seluruh rakyat berbanding PAS, yang lebih selesa dengan janji retorik.

Demikian menurut Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Mustapa Mohamed.
Beliau yang juga Pengarah Pilihan raya Kecil BN Manik Urai berkata sejak negara merdeka 1957, UMNO tetap memperjuangkan apa yang dijanjikan kepada orang Melayu dan menegakkan agama Islam sehingga kini.

"Berbeza dengan PAS, isu mewujudkan negara Islam dan isu mewujudkan hukum hudud kini menjadi kian sepi dan mengendur di kalangan pemimpin PAS sejak mereka mewujudkan kerjasama dengan pakatan pembangkang antara Keadilan dan DAP," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata dengan wujudnya pakatan pembangkang itu, PAS kini telah tidak lagi kedengaran pemimpin parti itu melaungkan perjuangan partinya untuk melaksanakan hudud dan mewujudkan negara Islam.

Katanya, bukti dapat dilihat dengan jelas terhadap perubahan dasar perjuangan PAS itu apabila negeri Kedah, negeri yang baru dimenanginya pada pilihan raya umum 2008, masih belum terlaksana dasarnya itu.

Mustapa berkata tiada lagi kedengaran suarasuara pemimpin di Kedah untuk menegakkan negara Islam serta melaksanakan hudud di negeri tersebut walaupun mereka mempunyai kuasa untuk berbuat demikian sebagai kerajaan negeri.

"Ini jelas menunjukkan mereka mudah berubah daripada perjuangan mereka mengikut keperluan dan kehendak semasa demi menjaga kepentingan kelangsungan hidup parti," katanya.

Beliau berkata tindakan itu menunjukkan PAS tidak berdiri teguh kepada perjuangan parti dan apa yang dilaungkan oleh parti sebelum ini hanyalah gimik politik untuk menarik rakyat tanpa ada pelan pelaksanaan yang praktikal terhadap apa yang mereka perjuangkan.

Katanya, UMNO lebih cekal dan teguh terhadap perjuangannya berbanding PAS yang lebih gemar bersikap retorik dan berubahubah pendiriannya.

Mengenai calon BN, beliau berkata penduduk Manek Urai terutama golongan muda memberikan respons baik dan sokongan terhadap calon untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Tuan Aziz Tuan Mat.

Beliau yang jugta Pengarah Pilihan Raya Kecil BN di Manik Urai, berkata respons yang sangat baik juga diterima daripada pengundi yang dikategorikan sebagai "pengundi di atas pagar".

"Tuan Aziz dianggap sebagai simbol kepada suara golongan muda di Manik Urai untuk menyuarakan pandangan dan membawa perubahan...penyokong Pas juga (ada) menyatakan pendirian mereka untuk menyokong calon BN," katanya.

Tuesday, June 30, 2009

KERAJAAN PAS GAGAL JAGA KEBAJIKAN RAKYAT

Kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS gagal menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat sejak memerintah negeri ini hampir 20 tahun lalu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata, berikutan kegagalan kerajaan negeri itu membawa perubahan dan pembangunan ekonomi kepada rakyat negeri itu, akhirnya yang akan menjadi mangsa adalah wanita.

"Saya amat dukacita Kerajaan PAS Kelantan mengabaikan kebajikan rakyat dan wanita menjadi mangsa utamanya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jejak Bestari di Pusat Operasi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Temalir, Manik Urai, semalam.

Menurutnya, rakyat Kelantan masih bernasib baik kerana adanya Kerajaan Barisan (BN) yang menolong mereka dalam menyediakan pelbagai kemudahan, terutama di bawah kementeriannya.

Shahrizat berkata, sejak 2007 lalu, Kerajaan Pusat menambahkan peruntukan dari setahun ke setahun menerusi kementeriannya berbanding peruntukan yang disediakan kerajaan negeri.

"Contohnya pada 2007 kerajaan Pusat membelanjakan peruntukan 26.9 juta berbanding kerajaan negeri hanya RM10 juta.

"Peruntukan yang sama bertambah RM41.2 juta pada 2008 berbanding kerajaan negeri (RM14 juta)," katanya.

Beliau berkata sepanjang tempoh lima bulan pertama tahun ini, Kerajaan Pusat membelanjakan RM21.7 juta berbanding kerajaan negeri hanya RM2.5 juta.

Menurut beliau, sebagai Menteri bertanggungjawab dan Ketua Pergerakan Wanita Umno, beliau akan meneruskan perjuangan bagi membantu kaum wanita menerusi program-program pembangunan ekonominya, seperti "Jalinan Rakyat" dan projek kepakaran teknologi maklumat (IT).

Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan pemimpin parti itu bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan pakatan pembangkang adalah berasaskan konsep kerajaan kebajikan. "Mereka hanya mengadakan projek dan masuk ke kampung-kampung apabila tiba musim pilihan raya," katanya.

TUAN AZIZ YAKIN LAKAR SEJARAH DI MANIK URAI

Sumber: Bernama

Calon Barisan Nasional (BN) Tuan Aziz Tuan Mat yakin beliau mempunyai peluang cerah untuk mencipta kemenangan pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai berdasarkan hubungan baiknya dengan masyarakat setempat.

Katanya sebagai anak tempatan yang memahami budaya dan masalah masyarakat setempat selain pernah bertugas sebagai Pengurus Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Kuala Krai, beliau menaruh keyakinan penduduk akan menyokong BN pada 14 Julai depan.

"Secara tradisi, Manik Urai memang dianggap kawasan Pas tetapi saya yakin mempunyai peluang yang cerah untuk menang di sini kerana mempunyai hubungan rapat dengan rakyat pelbagai lapisan termasuk di peringkat akar umbi.

"Apa yang penting, saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendekati rakyat dan dengan sokongan padu dan kerja keras daripada jentera parti, saya percaya kita akan memberi saingan paling sengit kepada Pas," katanya di Pusat Operasi BN Manik Urai semalam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak menaruh keyakinan kepada Tuan Aziz berdasarkan kemampuannya dalam melaksanakan tugas sebagai pegawai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan daya kepimpinan beliau selama ini yang mengatasi calon Pas berdasarkan rekod perkhidmatan dan kemampuannya.

"Calon kita ini terbukti kemampuannya sebagai pegawai Kesedar dan dia ni banyak berurusan dengan orang ramai dan orang tempatan.

"Orang tempatan kenali dia dan kalau kita lihat dari segi kemampuan dan daya kepimpinannya, saya lihat apa yang telah dia lakukan selama ini mengatasi calon Pas dari segi 'track record' dan kemampuannya.

"Maknanya kita telah menetapkan calon yang terbaik untuk para pengundi di Manek Urai," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Tuan Aziz, 39, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai calon mewakili BN pada pilihan raya kecil 14 Julai ini.

Sehubungan itu, Najib berharap pengundi di kawasan berkenaan akan memilih Tuan Aziz kerana percaya beliau berupaya menjadi seorang wakil rakyat yang dapat memberikan khidmat dengan baik dan berkesan.

"Kita berharap jika mereka (pengundi) ingin kepimpinan dia (Tuan Aziz) dapat diterjemahkan dalam bentuk seorang wakil rakyat yang boleh berkhidmat dengan baik dan berkesan, maka pilihlah calon kita sebagai wakil rakyat di Manek Urai," katanya. - Bernama
PAS sebelum ini mengumumkan seorang pemborong ikan, Mohd Fauzi Abdullah, 50, sebagai calon parti itu bagi mempertahan kerusi DUN itu.

Tuan Aziz yang juga bekas Pengurus Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan Kesedar semalam mula bertemu penduduk setempat dengan beramah-mesra dengan mereka selain mendengar masalah yang dihadapi mereka.

Beliau berkata sepanjang tempoh berkempen mulai 6 Julai ini, beliau akan mengamalkan pendekatan turun padang dari rumah ke rumah serta berusaha sedaya-upaya untuk bersemuka dengan seberapa ramai pengundi di Manik Urai.

"Bagi saya, rakyat Manik Urai memerlukan seorang pemimpin yang sensitif terhadap keperluan mereka serta seorang wakil rakyat yang mampu mengetengahkan masalah yang dihadapi mereka, insyaAllah saya akan memberi khidmat terbaik kepada semua lapisan masyarakat di sini," katanya.

Selain itu, katanya, beliau tidak akan berkempen secara menyerang peribadi mana-mana pemimpin parti lawan termasuk calon Pas, sebaliknya akan mengamalkan pendekatan mesra rakyat serta turun padang bagi menjelaskan apa yang akan dilakukannya kepada masyarakat setempat jika dipilih sebagai calon.

"Saya tidak akan menyerang peribadi atau individu dalam Pas... sebaliknya saya mahu memberitahu rakyat bahawa saya bertanding pada pilihan raya kecil ini kerana ingin berkhidmat kepada mereka," katanya.

Seorang penduduk di Kampung Sungai Sok, Yahya Seman, 45, gembira kerana BN memilih Tuan Aziz untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Katanya Tuan Aziz banyak berjasa kepada penduduk Manik Urai kerana banyak membantu meningkatkan taraf ekonomi terutama dalam sektor pertanian.

"Kalau pengundi Manik Urai tolak calon BN adalah sangat rugi kerana jasanya terhadap petani di sini memang tidak boleh dinafikan," katanya sambil diakui rakannya Abdullah Muda, 47.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat daripada PAS Ismail Yaakob pada 22 Mei lalu akibat sakit jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 6 Julai sebagai tarikh penamaan calon manakala 14 Julai sebagai hari pengundian.

Sunday, June 28, 2009

MANEK URAI - TUAN AZIZ CALON BN

Sumber: Bernama/Malaysiakini

Amat menarik apabila Ketua Pemuda Umno bahagian Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat diumumkan sebagai calon BN dalam piliharanraya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai ini.

Ini kerana sebagai pengurus, beliau akan berdepan dengan perniaga – pemborong ikan – calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah yang 11 tahun lebih tua daripada beliau.

Jumaat lalu, PAS mengumumkan calonnya, Mohd Fauzi Abdullah, 50, seorang pemborong ikan di Pasar Besar Kuala Krai yang juga bendahari PAS kawasan Kuala Krai.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Tuan Aziz mendapat restu dan sokongan padu pimpinan parti, termasuk Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga semua peringkat Umno selain diterima baik ahli akar umbi.

Tuan Aziz, 39, juga merupakan pengurus bahagian pemantauan projek Kesedar.

Muhyiddin membuat pengumuman tersebut , dibuat oleh Muhyiddin dalam satu majlis yang diadakan di Kampung Sok Luar, Manik Urai, di Kuala Krai.

"Kita beri peluang semua untuk kemuka pandangan. Susahnya kita di Manek Urai ini (untuk pilih calon), kerana ada ramai tokoh yang layak.

"Bagaimanapun, kita timbang secara halus, kita letakkan calon yang diterima pengundi," katanya.

Pilihanraya kecil DUN Manek Urai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lalu akibat serangan jantung.

Hari penamaan calon pilihanraya kecil itu diadakan pada 6 Julai dan jika ada pertandingan hari pengundian ditetapkan pada 14 Julai.

Sementara itu, Bernama melaporkan Muhyiddin berkata seluruh pimpinan parti yakin Tuan Aziz dan jentera pilihanraya dapat menebus kekalahan BN di kerusi tersebut pada
pilihanraya Umum 8 Mac tahun lalu.

"Calon kita nak bela umat Islam dan bawa obor perpaduan. Beliau seorang yang berpengalaman, ada rekod kerja yang baik di sini, bukan seorang penjual ikan, dan berkelulusan tinggi.

"Penting untuk pilih calon yang berilmu kerana dialah yang nak bimbing masyarakat di sini, tak ada ilmu bahaya kerana mungkin dia terseleweng," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata mungkin ramai yang memandang sinis jika BN menang di Manek Urai kerana wakil rakyat BN hanyalah pembangkang dalam DUN Kelantan malahan ia langsung tidak akan menjejaskan struktur kerajaan negeri yang dipimpin PAS.
Namun, tegas beliau, wakil rakyat BN di Kelantan disokong oleh kerajaan Pusat.

"Dia calon BN. Saya sendiri akan bantu jadikan Manek Urai simbol kebangkitan semula Umno dan BN. Dalam masa yang sama, kita akan lihat bagaimana kawasan ini boleh dimajukan," katanya.

Katanya sejak dari awal penubuhannya, BN yang ditunjangi Umno terbukti mampu membela nasib rakyat seluruh negara dan tradisi itu akan tetap diteruskan.

"Kita akan teruskan perjuangan pemimpin terdahulu, untuk bangunkan negara dengan dasar yang jelas, iaitu setiap lapisan masyarakat mendapat pembelaan adil dan saksama.

"Niat kita jelas, pembelaan rakyat diteruskan di bawah payung Umno dan BN. Jadi kita mahu Manek Urai dikuasi sekali lagi oleh Umno dan BN," katanya.