Thursday, March 12, 2009

HARAKAHDAILY CUBA BERSIHKAN IMEJ WAN ISMAIL?

Tertulis di Harakahdaily 12 Mac 2009 bahawa bekas Imam Mukim Bukit Marak, Abdul Ghani Ismail, 56 tidak segan datang meminta bantuan daripada Adun Melor kerana kehidupan agak terdesak setelah lumpuh sebelah tangan dan rabun mata.

Kata Abdul Ghani, biar pun tinggal berhampiran dengan rumah Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa namun sukar untuk mendapat bantuan bagi mengubat penyakitnya daripada pemimpin terbabit.

Baginya Ustaz Wan Ismail Wan Jusoh atau Ustaz Wan tempatnya bergantung harap. Begitu juga bagi penduduk miskin lain di DUN terbabit.

Dengan memperkecilkan Annuar, Harakardaily cuba memulihkan nama Wan Ismail. Apa agenda Harakahdaily dan Wan Ismail sendiri?

Selepas nama Wan Ismail begitu tercemar kerana kesnya dengan bekas isterinya dari Kemboja, usaha menaikkan semula nama Wan Ismail kini diusahakan pihak tertentu di Kelantan.

Inilah antara berita yang dikatakan mencemarkan nama Wan Ismail:


ADUN PAS DIPERINTAH SARA DUA ANAK RM500 SEBULAN
Oleh Betty Subaryati (bhkb@bharian.com.my)

Mahkamah tegur Wan Ismail gagal hadir perbicaraan nafkah

KOTA BHARU:
Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam, mengeluarkan perintah sementara mengarahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor dari Pas, Wan Ismail Wan Jusoh membayar nafkah RM500 sebulan mulai bulan ini untuk dua anak hasil perkahwinannya dengan seorang wanita Kemboja yang diceraikan tahun lalu. Selain itu, Hakim Syarie, Nik Najib Che Hassan, turut menegur Wan Ismail, 54, kerana gagal hadir perbicaraan dan mahu dia memberi perhatian serius terhadap kes terbabit.

Kes tuntutan nafkah anak itu difailkan bekas isteri kedua Adun terbabit, Siti Aishah Chou Abdullah, 24, selaku plaintif, selepas pasangan itu bercerai pada 16 April tahun lalu dan disahkan di mahkamah sama pada 18 November lalu.
Hasil perkongsian hidup selepas berkahwin pada 2004, mereka dikurniakan sepasang anak yang kini berusia tiga dan empat tahun.

Dalam tuntutan yang difailkan pada 4 Januari lalu itu, Siti Aishah yang kini menyara hidup secara berniaga kain tudung, menuntut bekas suaminya itu membayar nafkah keperluan asas dua anak terbabit masing-masing RM900 sebulan.
Ketika prosiding berlangsung semalam, Siti Aishah yang hadir bersama bapa dan dua saudara lelakinya, diwakili peguam syarie, Mohd Sibri Ismail, manakala Wan Ismail selaku defendan yang tidak hadir, hanya diwakili Mohd Zaki Zainal Abidin.

Mohd Zaki dalam hujahnya berkata, defendan tidak bersetuju dengan tuntutan RM1,800 sebulan dengan alasan jumlah itu tidak wajar bagi kanak-kanak di bawah usia empat tahun. "Defendan tidak bersetuju dengan tuntutan itu dan menawarkan RM500 sebulan untuk kedua-duanya," katanya.


Menghairan sekali tiba-tiba ada tajuk “Wan Ismail bangkit selepas kecundang pilihan raya 2004” ditulis oleh Mohd Nor Yahya melalui Harakahdaily semalam (12 Mac 2009).

Ia seolah-olah usaha untuk mengaburkan mata rakyat, khususnya di Melor mengenai tingkah laku Wan Ismail itu.

Harakahdaily memaparkan biodata Wan Ismail yang memulakan kerjaya sebagai pensyarah kini berkhidmat sepenuh masa kepada rakyat. Pernah bertugas sebagai pegawai penyelidik di Pusat Kajian Strategik (PKS) Negeri Kelantan pada 1993-1995.

Beliau makin dikenali selepas berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kelantan tahun 1995 - 1999. Ustaz Wan kini 54, juga Yang Dipertua PAS Ketereh. Beliau menerajui kawasan itu sejak 1997.

Berkelulusan sarjana dalam bidang komunikasi pada 1993 daripada Universiti Putra Malaysia, sebelum kembali ke Kelantan, bertugas sebagai pensyarah di UiTM, Shah Alam.
Isterinya Nurizan Yusuf, 48 bertugas sebagai pensyarah di UiTM Cawangan Kelantan di Machang.

Mempunyai lima anak yang berjaya dalam bidang akademik. Wan Abdul Falah, 24 belajar di Cape Town Afrika Selatan, Wan Nur Fatihah, 21 (UiTM), Wan Nurul Aiman, 20 belajar bidang perubatan di Universiti A'isam Kaherah Mesir. Selain itu, Wan Nur Aliya, 19 (UiTM) dan Wan Abdul Hakim, 17 pelajar di Maahad Tahfiz Wal-Qiraat Pulai Chondong.

Manakala empat orang lagi masih di bangku sekolah rendah.

Wan Ismail juga mempunyai dua lagi anak hasil perkongsian hidup dengan wanita Kemboja, Siti Aisyah Abdullah.

Isteri keduanya sekarang, Siti Madinah Ilyas Khan.

Tidak diketahui kenapa dan sejauh mana usaha membersihkan imej Wan Ismail ini dilakukan.
Apakah usaha ini berjaya dan mampu melonjakkan semula nama Wan Ismail dalam konteks PAS Kelantan?

Sama-sama kita tunggu!