Thursday, September 3, 2009

WUJUD DISKRIMINASI DALAM TAKAFUL KIFALAH?

Ketua UMNO Bachok tidak akan bersuara jika segalanya beres.

Datuk Dr. Awang Adek Hussin yang juga Timbalan Menteri Kewangan, berkata kerajaan negeri sewajarnya melindungi seluruh golongan tua di negeri ini di bawah program Takaful Kifalah Warga Emas tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Katanya, dengan peruntukan kerajaan, semua rakyat yang berada di paras usia yang ditetapkan sepatutnya menerima faedah melalui skim yang perlu menjadi program kebajikan umum.

Justeru, katanya, pelaksanaan mesti dilakukan secara lebih telus dan adil agar tiada yang tercicir dengan tidak menjadikannya sebagai kepentingan politik.

"Perubahan perlu dilakukan yang mana seluruh rakyat perlu dibanci semula untuk mengagihkan skim Takaful Kifalah tanpa menjadikan perbezaan politik sebagai halangan untuk pelaksanaan yang lebih adil dan saksama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis berbuka puasa di Kampung Perupuk dekat sini baru-baru ini.

Takaful berkenaan ditubuhkan oleh kerajaan Pas sebelum pilihan raya umum lepas bagi meringankan beban keluarga yang meninggal dunia untuk menguruskan jenazah termasuk mengadakan majlis tahlil.

Berdasarkan skim itu, pada awalnya individu berdaftar yang yang meninggal dunia diberi sumbangan sebanyak RM2,500.

Namun, ia dikurangkan sebanyak RM1,500 pada masa ini kerana bebanan kewangan yang semakin tinggi.

Awang yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, UMNO pernah menubuhkan program seumpama itu sebelum pilihan raya umum yang lalu dengan nama Kifalah Merdeka.

Beliau berkata, program itu hanya berbentuk sementara kerana peruntukan mengenainya berasaskan derma daripada orang ramai dan sumbangan syarikat-syarikat swasta.

"Bagaimanapun, UMNO berhasrat akan meneruskan program itu sekiranya diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah Kelantan dengan menggunakan peruntukan kerajaan negeri.

"Apabila kita kalah ke mana hendak cari peruntukan yang membabitkan jutaan ringgit setahun itu bagi membiayainya sedangkan kutipan derma hanya dibenar sekali sahaja," katanya.

Monday, August 31, 2009

Gua Musang bakal muncul bandar kedua terbesar Kelantan

Kerajaan pusat merancang untuk membangunkan bandar Gua Musang sehingga menjadi bandar kedua terbesar di Kelantan selepas Kota Baharu, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kemajuan ke arah itu semakin kelihatan terutama tumpuan kerajaan dalam melaksanakan banyak projek pembangunan khususnya jalan perhubungan di Gua Musang.

“Rakyat di jajahan ini bukan sahaja dapat menikmati jalan perhubungan ke Kota Baharu, malah boleh berhubung dengan negeri lain termasuk Pahang, Perak dan Terengganu seperti yang dirancangkan di dalam pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) pada 2007,” katanya.

Beliau turut meminta pengurusan Kesedar agar mengatur perancangan lebih tersusun untuk dilaksanakan di Gua Musang dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

“Kita mahu penyusunan perancangan ini dibuat sebaik-baiknya bagi mendapatkan peruntukan lebih besar dalam RMK-10 kerana kerajaan mahu lihat kemajuan lebih pesat berlaku di Kelantan khususnya Gua Musang,” katanya pada majlis perjumpaan dengan kakitangan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) semalam.

Mustapa yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan berkata matlamat utama kerajaan memfokuskan kemajuan itu ialah bagi menarik ramai penduduk di utara ke Kelantan Selatan.

Kata beliau, ini bersesuaian dengan keadaan kawasan Gua Musang yang mempunyai banyak peluang pekerjaan dan mampu menampung lebih ramai penduduk.

"Kerajaan tidak mahu penduduk di utara Kelantan terus dengan kemelut kemiskinan berikutan terlalu padat dengan penduduk dan adalah lebih baik mereka berhijrah ke Gua Musang. “Kita lihat suasananya strategik dalam menarik pelabur dan sekali gus memberi banyak peluang pekerjaan di pelbagai sektor,” katanya.

MOMENTUM KEBANGKITAN UMNO KELANTAN DITERUSKAN

UMNO Kelantan akan meneruskan usaha mengekalkan momentum kebangkitannya seperti yang tercetus dalam pilihan raya kecil Manek Urai, bulan lalu, bagi mengukuhkan kedudukannya sebagai parti yang menjadi ejen perpaduan rakyat berbilang kaum di negeri ini.

Pengerusinya, Datuk Mustapa Mohamed, berkata berdasarkan keputusan pilihan raya kecil berkenaan, pengundi khususnya di kawasan kubu kuat parti lawan, jelas memberi isyarat mereka mahukan perpaduan dan menolak retorik politik yang memecah belahkan rakyat.

Sehubungan itu, katanya, bagi menjayakan hasrat itu, semua ahli UMNO di semua peringkat perlu mengeratkan perpaduan dan hubungan silaturahim terutama ketika umat Islam menyambut Ramadan bagi memastikan kedudukan parti terus kukuh.

“Rakyat sekarang ini inginkan perpaduan dan melihat UMNO sebagai ejen perpaduan dan parti yang mampu membawa orang Melayu dan rakyat Malaysia di bawah satu bumbung.

“Petanda itu dapat dilihat dengan jelas pada pilihan raya kecil Manek Urai dan usaha berterusan yang kita lakukan sekarang adalah momentum daripada apa yang sudah dimulakan di Manek Urai bagi memastikan UMNO semakin kukuh,” katanya selepas menerima borang keahlian menyertai UMNO daripada 27 penyokong dan ahli Pas di Kampung Chekak 2, Paloh Rawa, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua UMNO bahagian Machang, Ahmad Jazlan Yaakub.

Mengulas penyertaan 27 penyokong dan ahli Pas itu ke dalam UMNO, Mustapa berkata, ia jelas menunjukkan rakyat Kelantan semakin menerima UMNO kerana ingin melihat perpaduan di kalangan masyarakat serta pembangunan dilaksanakan di negeri ini.

“Ini bukti jelas rakyat Kelantan semakin menerima perjuangan UMNO. Memang kita kalah dalam pilihan raya umum tahun lalu, tetapi kita sedang bekerja keras untuk membuktikan kemampuan dan saya bersyukur kerana sudah ada petanda perubahan di kalangan rakyat.

“Namun begitu, kita akan meneruskan usaha merapatkan perpaduan dan silaturahim di kalangan orang Melayu serta berusaha memastikan mereka bersatu di bawah UMNO,” katanya.
Sementara itu, penduduk Kampung Chekak 2, Mokhtar Che Harun, 63, berkata beliau menyertai UMNO kerana yakin dengan perjuangan parti itu yang sentiasa membantu rakyat.

Beliau yang sebelum ini menjadi ahli Pas selama 40 tahun berkata, keputusan itu juga dibuat selepas melihat tiada perubahan dan pembangunan dilakukan di kampungnya sejak Pas memerintah negeri ini, hampir 20 tahun lalu.

“Cukuplah 40 tahun saya jadi ahli Pas dan sekarang saya ahli UMNO. Ini semua berlaku atas kehendak Ilahi,” katanya.