Saturday, June 27, 2009

BANTUAN TERNAK ITIK TELUR

Sumber: Berita Harian

Seramai 47 keluarga miskin negeri ini berpeluang memperoleh pendapatan tambahan sehingga RM500 sebulan, apabila mereka diberi peluang menternak itik telur.

Usaha yang dilaksanakan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan dengan kos RM700,000 menerusi Program e-Kasih itu bertujuan memastikan semua keluarga terbabit mampu berdikari dan keluar dari belenggu kemiskinan.

Pengarah JPP Kelantan, Datuk Mohd Shukry Salleh, berkata setiap peserta terbabit diberi bantuan pembinaan reban untuk menempatkan antara 100 hingga 150 ekor itik.

Katanya, selain keluarga miskin, ada di kalangan peserta adalah graduan menganggur dengan mereka yang dipilih merangkumi 27 orang di sekitar Kota Bahru, Tumpat (10) dan Bachok (10).

"Selain bekalan anak itik, setiap peserta dipilih menyertai program ini, turut diberi bantuan kemudahan asas selama dua bulan berupa bahan makanan itik yang diternak itu.

"Kita jangka setiap peserta mampu memperoleh pendapatan tambahan antara RM500 hingga RM600 sebulan menerusi usaha ini. Pada peringkat awal, itik yang diternak itu mampu menghasilkan lebih 50 telur sehari sebelum meningkat apabila semuanya aktif bertelur, yang dijual secara segar atau diproses sebagai telur masin.

"Menerusi usaha ini, kita yakin ia mampu meningkatkan tahap sosio-ekonomi penduduk tempatan yang dikenal pasti memerlukan bantuan supaya mempunyai pendapatan tetap bagi menyara keluarga masing-masing," katanya.

Mohd Shukry berkata, JPP mengenal pasti 3,503 keluarga miskin tegar di negeri ini yang memerlukan bantuan dan nama mereka yang layak akan disalurkan pelbagai bantuan menerusi projek sosio-ekonomi.

Beliau berkata, sebelum ini, JPP turut menyalurkan bantuan kepada seorang lulusan Institut Veterinar (IV) negeri ini yang mengusahakan ternakan itik telur yang terbukti mampu menjana pulangan lumayan.

Katanya, anak muda terbabit, Mohd Asyrafuddin Mohd Ghazali, 24, memulakan projek menternak itik telur spesies Khaki Campbell sejak Ogos tahun lalu dan kini mampu berbangga apabila lebih 600 itik peliharaannya memberi pulangan bersih antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan hasil jualan telur segar dan masin.

"Selepas kira-kira tiga bulan, itik yang diternak beliau mula mengeluarkan hasil kira-kira 400 biji sehari yang dijual pada harga 40 sen bagi telur segar dan 58 sen sebagai telur masin menerusi peniaga pasar sekitar bandar ini," katanya.

Beliau berkata, berikutan kejayaan Mohd Asyrafuddin dalam ternakan itik itu, JPP kini menjadikannya beliau sebagai contoh dan dilantik sebagai Mentor Program e-Kasih.

Thursday, June 25, 2009

NIK AZIZ - PEMUDA UMNO BUAT LAPORAN POLIS

Sumber: Bernama

Pemuda UMNO Kelantan hari ini membuat laporan polis berhubung satu kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyamakan UMNO dengan ajaran sesat dan juga komunis yang didakwa berbaur hasutan dan boleh mewujudkan ketegangan dalam kalangan rakyat.

Laporan itu dibuat oleh ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian, di Balai Polis Kota Bharu pada 10.30 pagi tadi dengan diiringi kirakira 100 anggota pergerakan itu yang membawa beberapa sepanduk mengecam tindakan Pas bersekongkol dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Anuar berkata kenyataan Nik Aziz pada 21 Jun lepas menyamakan perjuangan UMNO seperti ajaran sesat Ayah Pin dan juga menyamakan UMNO sebagai komunis dan menolak Islam, adalah tidak berasas.

"Pemuda melihat tuduhan ini sebagai mengetepikan sejarah dan perlembagaan negara kerana sekiranya disamakan UMNO dengan Chin Peng, kita mahu bertanya Nik Aziz, berapa ramaikah yang telah dibunuh dan diperkosa oleh UMNO sejak penubuhannya.

"Sekiranya kita UMNO disamakan dengan ajaran sesat Ayah Pin berapa ramaikah yang telah disesatkan oleh UMNO, dan sekiranya kita disamakan dengan parti sosialis yang tidak percayakan agama dan kewujudan ketuhanan, kami yakin UMNOlah yang banyak membawa perubahan kepada orang Melayu dan Islam dalam negara ini," katanya.

Anuar berkata kenyataan Nik Aziz itu telah mencetuskan perasaan marah, benci dan kecewa dalam kalangan ahli UMNO dan rakyat, dan beliau perlu dikenakan tindakan.

BAGAIMANA PERUNTUKAN KEPADA JPN DIAGIHKAN?


Oleh Mohd Sayuti Omar (
msomelayu.blogspot.com) (Tuesday, June 23, 2009)

SEBENARNYA saya malas untuk menulis fasal ini, nanti timbul prasangka lain pula. Tetapi apabila lebih daripada tiga orang mengadu atau tepatnya lagi memperkatakan menyebabkan saya ingin menyinggungnya di sini dengan harapan ada yang memperbetulkan jika maklumat ini silap.

“Enta cubalah timbulkan sikit hal ini dalam blog enta, bukan apa untuk kebaikan bersama,” begitulah kata salah seorang YDP Kawasan di Kelantan beberapa hari lalu.

Ekoran itu saya bertanya kepada salah seorang ahli jawatankuasa sebuah kawasan mengenai isu ini apabila kebetulan terserampak di Kuala Lumpur kelmarin. Katanya, “elok kalau enta tulislah sikit, biar semua sedar dan kalau ia nampak nak ada penyelewengan akan diperbetulkan bila didedahkan,” begitulah katanya bila ditanya hal ini kepadanya.

Isunya ialah mengenai peruntukan sejumlah wang yang disalurkan oleh PAS Kelantan kepada Jabatan Pilihanraya Negeri (JPN).

Tujuan peruntukan ini ialah untuk digunakan bagi apa-apa perbelanjaan kegiatan berhubung dengan hal ehwal pilihan raya, memperkuat jentera pilihan raya, mesyuarat pilihan raya dan sebagainya.

Wang ini dibawah tanggungjawab JPN seratus peratus. JPNlah juga dikatakan akan mengagihkan wang ini kepada jentera peringkat kawasan dan juga menampung perbelanjaan apa-apa kegiatan berhubung dengan pilihan raya, misalnya bagi kursus pilihan raya, pemantapan pilihan raya, pemantau dan sebagainya.

Begitu juga sekiranya ada berlaku pilihan raya kecil di mana-mana saja, wang yang disalurkan oleh JPN untuk tujuan perbelanjaan dan menampung tabung pilihan raya yang diusahakan oleh PAS kawasan. Dan wang inilah juga dibelanjakan untuk menghantar pegawainya ke luar negara bagi meninjau proses pilihan raya di sesebuah negara.

Bagaimana pun pengagihan wang ini dikatakan kurang adil dan kurang saksama. Jentera pilihan raya PAS kawasan yang sepatut menerima agihan ini dikatakan tidak mendapat habuah seperti yang sepatutnya. Inilah yang menjadi isu dan menimbulkan rungutan sekurang-kurang dua YDP Kawasan dan dua orang ahli jawatankuasa kawasan dari kawasan berlainan kepada saya.

JPN PAS ini wujud di setiap negeri. Tetapi mungkin JPN di negeri lain tidak mempunyai peruntukan besar memandangkan mereka tidak memegang kerajaan negeri atau baru memegangnya menyebabkan sumber kewangannya terhad. Kelantan yang telah menguasi negeri selama hampir 20 tahun dikatakan mempunyai peruntukan yang banyak.

Apa yang difahamkan Badan Perhubungan PAS Kelantan baru-baru ini telah meluluskan peruntukan untuk JPN bernilai mencecah jutaan ringgit. Jumlah itu bukan sedikit. Persoalanya kemanakah wang ini diagih dan bagaimana ianya disalurkan. Sehingga kini difahamkan pengagihan kepada jentera pilihan raya kawasan tidak sekata.

Ada kawasan yang memperolehi banyak dan ada yang sedikit. Bukan itu saja cara wang itu dibelanjakan juga menimbulkan keraguan. Sehubungan itu ada pihak yang meminta agar wang ini diodit ataupun dipantau. Ia tidak boleh diserahkan bulat-bulat ke dalam akaun JPN dan terserah kepada mereka untuk membelanjakan wang berkenaan.

Adalah elok kalau Pesuruhjaya Pas Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta odit membuat pengoditan ke atas penggunaan wang berkenaan. Ataupun meminta supaya penyata kewangan dibentangkan dalam perhubungan untuk maklumat ahli perhubungan.

Mungkin kalau ada penyata kewangan atau butiran mengenai perbelanjaannya ia tidak akan menimbulan pertikaian yang mungkin boleh membawa persepsi yang lebih buruk lagi. Sebelum hal ini terdedah secara meluas elok kalau JPN Kelantan mengambil inisiatif memperbetul dan menjelaskan hal ini.

BN UMUM CALON AHAD, PAS HARI INI

hambali1.blogspot.com

Pada ketika PAS Kuala Krai terpaksa bermesyuarat semula pilih calonnya hari ini, UMNO pula dijangka akan mengumumkan nama calonnya Ahad ini.

Menurut laporan, mesyuarat ahli jawatankuasa PAS kawasan Kuala Krai bersetuju memilih bendahari kawasan itu, Fauzi Abdullah untuk dicadangkan kepada pucuk pimpinan untuk bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai bulan depan.

Bagaimanapun, kerana ada di kalangan ahli jawatan terbabit 'menukar fikiran' dan mahu calon lain dipertimbangkan untuk bertanding di situ.

Menurut seorang ahli jawatan PAS kawasan itu, Zulkifli Yaacob, dalam mesyuarat dua hari lalu, dua nama - Fauzi dan beliau sendiri - telah dicadangkan untuk menjadi calon PAS di Manek Urai.

Di pihak Barisan Nasional (BN), khususnya UMNO, Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan BN dijangka umum calon Ahad ini.

Perkara itu dinyatakan oleh Najib yang juga Pengerusi BN itu selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibunegara malam semalam.

Beliau yang juga perdana menteri berkata, pengumuman tersebut akan dibuat di Manek Urai.

Menurut laporan Malaysiakini, Ketua Pemuda Umno Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat dianggap calon yang paling sesuai mewakili BN dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai, bulan depan.

Beliau boleh diterima oleh majoriti pengundi dan penyokong Umno daripada kem yang bertentangan antara kumpulan ketua bahagian kini Datuk Ramzi Abdul Rahman dan tokoh yang digantikannya Datuk Wan Zaid Abdullah.

Malaysiakini diberitahu semalam, Tuan Aziz antara tiga nama yang dicadangkan oleh Umno bahagian.

Dua lagi nama ialah Naib ketua Umno bahagian Che Jalal Muda dan bekas ADUN Mengkebang, Azizuddin Hassan.

Malam semalam MT turut mendengar taklimat mengenai persiapan menghadapi pilihanraya kecil DUN Manek Urai serta mengenai dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed menyampaikan taklimat t mengenai pilihanraya kecil Manek Urai itu.

Kata Najib, maklum balasnya juga diperolehi daripada sayap-sayap - Pemuda, Wanita dan Puteri Umno - berhubung persediaan bagi pilihanraya kecil tersebut.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan penamaan calon bagi pilihanraya DUN Manek Urai pada 6 Julai dan pengundian pada 14 Julai depan.

Tuesday, June 23, 2009

AIR OH AIR....

Sumber: Berita Harian (22 Jun 2009)

Tak payah cakap banyak...inilah kemampuan Kerajaan PAS Kelantan.

Kes 1: 1,500 pelajar SMT terputus bekalan air sejak seminggu

Kira-kira 1,500 pelajar dan kakitangan Sekolah Menengah Teknik (SMT) Tanah Merah dekat sini, berdepan masalah terputus bekalan air bersih sejak seminggu lalu.

Keadaan itu menimbulkan masalah besar kepada mereka khususnya yang tinggal di asrama, kerana ketiadaan bekalan air menyukarkan urusan harian semua pelajar terbabit termasuk untuk mandi dan membasuh pakaian.

Pelajar Tingkatan Lima, Mohd Adnim Ramli, 17, berkata ketiadaan bekalan air menyebabkan di kalangan terpaksa berjimat dengan tidak mandi dan sekadar membasuh muka setiap pagi.

"Pakaian sekolah juga tidak mampu dibasuh, sebaliknya dipakai berulang kali walaupun masing-masing merasa kurang selesa dengan keadaan ini tetapi kami tiada pilihan.

"Bagi pelajar yang tinggal bersama keluarga mungkin tidak menghadapi masalah, tetapi ini cukup menyeksakan kami yang tinggal di asrama," katanya di sini, kelmarin.

Mohd Adnim mendakwa, dalam tempoh enam bulan tahun ini, sudah empat kali mereka berdepan masalah terputus bekalan air sehingga mengganggu kehidupan harian dan tumpuan belajar.

Pelajar, Wan Habsah Wan Abdul Nasir, 16, berkata gangguan bekalan air itu menyebabkan pelajar terpaksa mengangkut air menggunakan baldi dan bekas plastik sejak kira-kira 1.5 kilometer sebagai persediaan untuk berwuduk dan membersihkan diri.

"Kalau tahun lalu, setiap kali terputus bekalan air, ada lori tangki dihantar ke sini untuk menghantar bekalan sementara bagi meringankan masalah pelajar tetapi kali ini tidak ada menyebabkan ramai pelajar yang tinggal di asrama terpaksa balik ke rumah," katanya.

Penolong Kanan (Hal Ehwal Pelajar) SMT Tanah Merah, Fauzi Yussof, ketika ditemui mengakui gangguan bekalan air sering dialami di kawasan berkenaan sejak beberapa bulan lalu sehingga menimbulkan masalah kepada pelajar khususnya yang tinggal di asrama.

Kes 2:Makan beralas daun pisang gara-gara air tiada 3 bulan

Kesulitan yang dialami lebih 1,000 penduduk Kuala Gris dekat Dabong, akibat terputus bekalan air paip sejak April lalu, menyebabkan ada penduduk terpaksa menggunakan daun pisang sebagai pengganti pinggan pada majlis perkahwinan.

Ini kerana sejak masalah itu timbul, penduduk terpaksa berulang alik setiap hari sejauh dua kilometer semata-mata mengambil air dari sungai terdekat untuk memenuhi keperluan harian keluarga.

Penduduk, Yaacob Musa, 70, berkata bekalan air yang terputus menyebabkan kebanyakan penduduk hidup dalam keadaan tertekan dan mengganggu urusan harian masing-masing.

"Bekalan air terputus ini bukan sehari dua tetapi sejak dua bulan lalu. Kami terpaksa mengangkut air sungai yang terletak kira-kira dua kilometer dari kampung ini untuk bekalan kegunaan keluarga setiap hari.

"Bayangkan setiap hari, penduduk kampung berulang alik ke sungai itu dan ia lebih perit kepada warga emas dan penduduk yang tiada kemudahan pengangkutan untuk ke sungai itu.

"Lebih malang, majlis perkahwinan yang diadakan seorang penduduk kampung bulan lalu, terpaksa menggunakan daun pisang kerana ketiadaan air untuk membasuh pinggang mangkuk, " katanya yang datang ke pejabat Berita Harian di sini untuk mengadu masalah itu.
Yaacob berkata, masalah bekalan air terputus itu bagaikan tiada penyelesaian apabila aduan yang dibuat tidak mendapat sebarang tindak balas daripada pihak yang bertanggungjawab.

"Sudah banyak kali kami buat aduan berhubung masalah air, namun mereka hanya mendiamkan diri tanpa sebarang usaha dilakukan untuk memperbaiki mutu perkhidmatan.

"Mereka sepatutnya sedar air menjadi tunjang utama dalam menjalani aktiviti seharian dan perlu tindakan segera bagi mengurangkan beban ditanggung penduduk, bukannya melepaskan tanggungjawab kerana masalah itu tidak menimpa ke atas mereka," katanya.

Jirannya, Siti Minah Mamat, 80, berkata gangguan kali ini sangat perit kerana berlaku dalam masa yang lebih lama tanpa mereka tahu puncanya.
"Penduduk kampung kini bersepakat akan mengadakan tunjuk perasaan sekiranya tiada tindak balas yang dilakukan pihak Majlis Daerah Dabong," katanya.

Beliau berkata, sekolah di kampung terbabit turut terjejas apabila mengalami masalah sama hingga kebanyakan kanak-kanak berat hati untuk pergi ke sekolah kerana masalah air.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Dabong (MDD), Ghazali Mohammad, berharap syarikat utiliti, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menyegerakan kemasukan air bersih ke kampung terbabit bagi membantu penduduk mendapat bekalan yang dirawat.

TENGUK GAMBAR, DAPAT PAHALA

Betul ke dapat pahala kalau tatap gambar Nik Aziz?

Saya tidak kata tetapi Meli Kapak Jangak ada tulis satu artikel menarik bertajuk “TAKSUB MELAMPAU KONON DAPAT PAHALA TATAP GAMBAR NIK AZIZ”

Baca apa yang ditulis oleh Meli ini. Kata Meli:

BUKAN sahaja terkejut beruk, tetapi terkejut biawak saya dibuatnya apabila membaca laporan satu blog yang memetik sedikit keratan dari haramkah..(Harakah?) yang mencatatkan: "Misalnya di Manek Urai, Wan Rahim terkejut apabila ada seorang imam di masjid Mukim Manek Urai menganggap seolah-olah mendapat pahala apabila memandang poster Tuan Guru Nik Aziz.".

Kenapa boleh jadi macam tu? Jawabnya kerana taksub. Mempercayai kerana Tok Guru Nik Aziz kuatnya Pas, tanpa Tok Guru Aziz Pas akan lemah, bila Tok Guru Nik Aziz sembahyang hajat minta hujan maka hujan pun turun, membantah cakap Tok Guru Nik Aziz boleh herok mulut, kerana tangisan Tok Guru Nik Aziz PR menang di beberapa negeri pada pilihanranraya umum ke-12 dan sebagainya, bagi saya boleh menjejaskan kualiti akidah, apatah lagi apabila ada yang percaya menatap poster (gambar) Tok Guru Nik Aziz boleh dapat pahala.

Memanglah ada dikatakan oleh sesetengah pihak bahawa menatap wajah alim ulamak atau mendampingi alim ulamak mendapat pahala tetapi saya belum jumpa hadis berkaitan dengannya.

Saya akan terus mencari. Kalau ada penjengok blog saya ini ada hadis berkaitan, tolong hantar kepada saya sama ada melalui blog ini atau email saya. Saya juga difahamkan menatap wajah ibubapa boleh pahala.

Mungkin rangkai kata menatap wajah alim ulamak (bukan gambarnya) diukir kerana lazimnya bila berkawan dengan alim ulamak kita tidak akan melakukan perbuatan-perbutan yang tidak molek kerana alim ulamak akan mendorong kita melakukan sesuatu yang dihalalkan dan akan mengingatkan kita menjauhi apa yang diharamkan oleh hukum hakam.

Ertinya rangkai kata diukir supaya kita lebih mendampingi ulamak dari mendampingi kalangan yang boleh mendorong kita terjerumus kepada melakukan perkara buruk. Macam mana kita tidak bolehkan taksub.

Bagaimanapun saya tidak berani untuk komen panjang lebar tentang menatap poster Tok Guru Nik Aziz boleh pahala kerana saya tidak ada cukup dalil dan hujah menerima atau menolaknya.

Bagaimanapun secara lojik akalnya, kalau menatap poster (gambar) wajah alim ulamak boleh palaha, teramasuk gambar Tok Guru Nik Aziz, sudah tentulah menatap gambar wajah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat, lagi besar pahalanya.

Soalnya bukan sahaja gambar wajah Nabi tetapi wajah-wajah ulamak muktabar juga tidak ada untuk ditatapi supaya boleh pahala. Kalau direnung gambar Nabi dan alim ulamak boleh datangkan pahala, sudah tentuk akan ditakdirkan ada peralatan yang boleh merakam dan mengabadikan gambar Nabi, para sahabat dan alim ulamak muktabar.

Bagaimanapun saya pasung kepercayaan saya bahawa mentaksubi seseorahg tokoh atau individu, apatah lagi mempercayai akan kekeramatan dan kebolehan-kebolehan luar biasanya, boleh membawa kepada kepunahan akidah.

Justeru menjadi fardhu kifayah kepada kalangan mereka yang rapat dengan tokoh yang ditaksubi itu memerangi ketaksuban atau meminta tokoh yang ditaksubi melarang para pengikut supaya jangan taksub kepadanya.

Kalau tokoh Pas yang ditaksubi, maka menjadi fardu kifayah kepada orang Pas 'lah untuk memerangi ketaksuban itu. Jika tidak ada seorang pun yang memeranginya, maka seluruh jamaah Pas akan berdosa kerana ketaksuban itu.

Dalam konteks Tok Guru Aziz, saya tidak yakin beliau boleh bersetuju dan berlapang dada kalau ada yang mempercayai bahawa kerana beliau kuatnya Pas, tanpa beliau Pas akan lemah, bila beliau sembahyang hajat minta hujan maka hujan pun turun, membantah cakapnya boleh herok mulut dan sebagainya.

Apatah lagi yang mempercayai bahawa menatap poster (gambar)nya boleh pahala. Saya yakin beliau tidak akan gembira dengan kepercayaan dan ketaksuban begitu.

Ini adalah kerana mengkeranakan selain dari KERANA ALLAH adalah berdosa. Ketaksuban kepada sesuatu termasuk seseorang manusia secara tidak langsung membawa kepada memBERHALAkan sesama manusia. Ianya perlu dicegah.

Kalau dibiarkan dan kalau tokoh yang ditaksubi itu orang Pas, maka seluruh orang Pas akan berdosa seandainya tidak ada seorang pun yang memeranginya, kalau ianya tokoh Umno maka seluruh orang Umno akan berdosa jika tidak ada yang memerangi, kalau dianya tokoh/pemimpin kepada sebuah negara, maka seluruh rakyat di negara berkenaan akan berdosa seandainya tidak ada yang berani ambil risiko memeranginya.

Rasionallah dalam berparti politik dan berpolitik, merdekakan diri dari wabak, sindrom dan virus taksubisme !

Monday, June 22, 2009

TIADA POSTER HADI DI MANEK URAI

Kenapa sampai begitu sekali sikap orang PAS Kelantan?

PAS Kelantan dikatakan tidak menaikkan poster Abdul Hadi untuk digandingkan dengan poster Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai bahan kempen pada pilihanraya kecil kerusi negeri itu, 6 hingga 14 Julai.

Malaysiakini minggu lepas melaporkan, jentera pilihanraya PAS negeri berhasrat menonjolkan poster calon bersama Nik Aziz, yang juga menteri besar, sebagai sebahagian strategi "melokalisasi" kempen tersebut.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata hari ini beliau tidak tahu-menahu tentang ketiadaan poster presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pilihanraya kecil Manek Urai, bulan depan.

"Saya sendiri tidak mendapat maklumat secara rasmi untuk mengatakan bahawa tidak ada poster (Abdul Hadi). Saya sendiri belum mendapat gambaran yang jelas soal gambar ini.

"Bagaimanapun, segala isu yang timbul itu kita akan selesaikan dengan cara terbaik, insya Allah," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur tengah hari ini.

Turut hadir, ketua penerangan baru PAS yang menggantikannya Idris Ahmad.

Mahfuz diminta mengulas tindakan PAS Kelantan tidak menaikkan poster Abdul Hadi untuk digandingkan dengan poster Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai bahan kempen pada pilihanraya kecil kerusi negeri itu, 6 hingga 14 Julai.

Sementara Harakahdaily pula melaporkan, penasihat jentera PAS bagi DUN tersebut Datuk Wan Rahim Wan Abdullah berkata poster Nik Aziz "mempunyai nilai komersil yang tinggi" dan hanya "hanya poster beliau sahaja mempunyai nilai untuk menarik pengundi".

PAS Kelantan bagaimanapun bertegas menafikan ketiadaan poster presiden mereka mempunyai kaitan dengan pergeseran Nik Aziz dan Abdul Hadi berhubung isu kerajaan perpaduan dengan Umno.

Dalam sidang media yang sama, Mahfuz menambah, keputusan tidak menaikkan poster Abdul Hadi bukan dibuat oleh mana-mana ahli jawatankuasa pusat PAS dan berada di luar pengetahuannya.

"(Perkara) itu saya akan dapatkan penjelasan daripada mereka (jawatankuasa pilihanraya PAS Kelantan).

"Saya juga tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan nilai komersil dan sebagainya," katanya, yang juga ahli parlimen Pokok Sena.

TIGA NAMA CALON MANIK URAI

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata sekurang-kurangnya tiga nama tersenarai untuk dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai yang akan diadakan 14 Julai ini.

Katanya, nama-nama berkenaan kini sedang diteliti pucuk pimpinan parti dan akan diumumkan pada bila-bila masa.

“Senarai nama yang diserahkan Umno Kelantan itu kini di peringkat akhir penelitian, saya rasa keputusan mengenainya akan diumumkan pada bila-bila masa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelepasan Peserta Perlumbaan Eko-Budaya Kelantan 2009 di Pantai Irama, semalam.

Turut hadir, Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kelantan, Sulaiman Ismail.
PAS yang memutuskan akan meletak calon bagi mempertahan kerusi DUN berkenaan yang dimenangi mereka pada Pilihan Raya Umum 8 Mac 2008, akan mengumumkan calon mereka pada 26 Jun ini (Jumaat ini).

Penasihat jentera operasi pilihan raya Manik Urai PAS, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah berkata pengumuman itu akan dibuat bersama pemimpin pakatan pembangkang berdekatan dengan rumah penyandang kerusi tersebut, Allahyarham Ismail Yaakob, di Manik Urai.

Ditanya sama ada calon yang akan dimumkan itu memiliki ciri-ciri seperti Allahyarham Ismail, Wan Rahim berkata pemimpin seperti beliau sukar diganti dan tidak boleh ditandingi.

Bagaimanapun, beliau yakin calon yang akan diumumkan nanti akan diterima oleh pengundi di Manek Urai.

Sementara itu, Wan Rahim menggesa SPR mengarahkan majikan-majikan supaya membenarkan pekerja mengambil cuti pada hari mengundi 14 Julai nanti.

Keadaan ini katanya berpunca daripada SPR sendiri yang sengaja menetapkan hari pengundian pada hari bekerja.

"Kita betul-betul mengharapkan SPR memberi arahan kepada majikan bagi memberikan cuti satu hari," tegasnya ketika dihubungi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil itu pada 14 Julai ini dan penamaan calon pada 6 Julai.

Kerusi DUN Manek Urai kosong selepas penyandangnya, Ismail Yaakob, 60, dari PAS meninggal dunia pada 22 Mei lalu kerana masalah kesihatan.

Beliau memenangi Dun Manek Urai buat pertama kali pada pilihan raya umum 1986 dan mengekalkannya untuk lima penggal berturut-turut.

DUN Manek Urai terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Krai yang juga disandang oleh PAS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon pada 6 Julai ini.

MUSTAPA AKAN PERJELAS ISU ROYALTI

Kerajaan pusat akan memberi penjelasan kepada rakyat Kelantan berhubung isu royalti hasil pengeluaran petroleum yang sering dibangkitkan oleh kerajaan negeri tidak lama lagi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian Datuk Mustapa Mohamed berkata beliau akan mendapatkan laporan lengkap berhubung isu berkenaan terlebih dahulu bagi membolehkan penjelasan terperinci dibuat kepada rakyat agar isu itu tidak terus dikelirukan.

“Kami hendak buat persediaan terlebih dahulu bagi membolehkan penjelasan dapat diberi kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan ketua-ketua cawangan Umno dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Datuk Husam Musa yang mendakwa kerajaan pusat belum menjelaskan tunggakan royalti petroleum RM1 bilion.

Husam mendakwa tunggakan itu sepatutnya dijelaskan oleh kerajaan pusat bagi membolehkan wang itu disalurkan kepada rakyat negeri ini.

Kerajaan Kelantan akan membuat tuntutan sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan Pusat untuk bayaran royalti minyak yang didakwa tertunggak sejak 2004.

Husam berkata, mesyuarat Exco kerajaan negeri Rabu lalu bersetuju supaya Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menulis surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung perkara itu.

Beliau berkata, menurut laporan Jabatan Perdana Menteri yang diedarkan kepada pegawai kerajaan negeri, anggaran pengeluaran petroleum di Kelantan dalam satu tahun adalah RM2.5 bilion.
"Kelantan mula menjadi negeri pengeluar minyak sejak 2004 dan sepatutnya mendapat royalti sepertimana negeri pengeluar minyak yang lain iaitu Sabah, Sarawak dan Terengganu," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan berkata ia bukan kali pertama PAS mengeluarkan kenyataan berhubung isu itu, malah pada pilihan raya lepas isu yang sama turut dibangkitkan.