Tuesday, April 11, 2017

Pindahan Dana Ke Korea Utara – Pemimpin UMNO Bahagian Terlibat?


Semalam  Reuters memetik seorang pembelot Korea Utara Lee Chol-ho sebagai berkata Han Hun-il, pengasas dan ketua eksekutif Malaysian Korea Partners (MKP) menyalurkan wang kepada kepimpinan di Pyongyang sejak lebih dua dekad.

Cawangan bank MKP di Pyongyang turut disiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai larangan syarikat asing atau kerjasama asing dengan firma Korea Utara memiliki cawangan kewangan di negara itu.

Lebih mengejutkan, ia dikatakan ada kaitan rapat dengan seorang ketua Umno bahagian.

Kerajaan mengatakan akan menyiasat  pendedahan ini dan apakah ia tinggal kenyataan semata-mata seperti penyerahan sebuah memorandum kepada Ketua Polis Negara sebelum ini?

Kenyataan ini membawa kepada AMANAH mengulangi desakannya agar kerajaan mengeluarkan laporan lengkap berhubung dakwaan syarikat menjual senjata dari Korea Utara di negara ini.


Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub membuat desakan itu selepas tiada sebarang jawapan dikeluarkan kerajaan dan polis berhubung isu berkenaan walaupun satu memorandum diserahkan kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 15 Mac lalu.

Laporan sebelum ini juga mendedahkan terdapat individu dan syarikat di negara ini dikesan menjual senjata dan peralatan ketenteraan di sebuah premis di Bangsar yang dikatakan pemiliknya seorang ketua Umno bahagian.

“Media antarabangsa melaporkannya dan memburukkan imej negara, jadi saya bertindak menghantar memorandum kepada ketua polis negara,” katanya pada sidang media di ibu pejabat AMANAH hari ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed menegaskan Malaysia perlu menyiasat dakwaan ketua eksekutif sebuah konglomerat Malaysia didakwa menyalurkan wang kepada kepimpinan Korea Utara.

Nur Jazlan berkata dakwaan tersebut menjejaskan reputasi Kuala Lumpur sebagai pusat kewangan.

Pada 15 Mac lalu, AMANAH melalui satu memorandum menggesa Khalid memberi penjelasan segera berhubung dakwaan terdapat syarikat dan individu yang menjual senjata dari Korea Utara.

“Saya bimbang jika tiada tindakan pantas menyebabkan negara kita menjadi seperti Mexico atau bandar di Amerika Selatan yang penuh dengan jenayah terancang.

Nur Jazlan...polis perlu siasat.
Beliau mendakwa ada aktiviti penjualan senjata oleh Global Communications Company (Golcom) yang kemudiannya menukar identiti kepada International Golden Services (IGS).

Dalam memorandum itu, Salahuddin memberi tempoh dua minggu kepada Khalid mengeluarkan kenyataan rasmi dan memulakan siasatan tetapi sehingga hari ini tidak ada sebarang maklum balas diterima pihaknya.

Salahuddin juga mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi membentang laporan lengkap melibatkan isu ini pada sidang Parlimen akan datang.

Pemimpin AMANAH itu, pada sama menggesa Bank Negara untuk menyiasat jika terdapat sebarang penyalahgunaan dalam sistem perbankan negara.

"Kita perlu siasat sekiranya antara lain Korea Utara menggunakan hubungan dengan Malaysia sebagai saluran untuk melakukan kegiatan haram," katanya.

Bank Negara juga diketakan masih belum memberi maklum balas kepada Reuters berhubung permintaan untuk mengulas mengenai perkara itu.


Nur Jazlan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu menjalankan siasatan mereka terhadap MKP dan Han untuk menentukan sama ada jenayah telah dilakukan.

Bulan lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihak berkuasa akan membantu PBB dalam siasatan terhadap MKP.