Friday, September 25, 2015

MCA Dah Makin Kurang Ajar Dalam Isu Melayu


Orang Melayu UMNO sekarang tak boleh cakap isu Melayu?

Jika mereka mengetengahkan isu Melayu ia dianggap retorik dan untuk kepentingan politik semata-mata?

Siapa bagi arahan ini?

Jawapannya ialah MCA, sekutu UMNO dalam Barisan Nasional (BN).

Sejak bila? Dah bermula pun tapi lebih spesifik, pada Perhimpunan Agong UMNO Disember ini.

Menurut laporan, ahli Umno diingatkan supaya tidak mengetengahkan isu perkauman secara retorik untuk kepentingan politik pada perhimpunan tahunan parti itu, Disember ini.

Pengerusi Biro Publisiti MCA, Datuk Chai Kim Sen berkata, peringatan itu bagi mengelak keharmonian kaum di negara musnah.

Katanya, ia juga bagi memastikan Perlembagaan Persekutuan diingkari apabila kebebasan bersuara disalah guna.

"Pada Perhimpunan Agung Umno, rakyat bimbang jika sekali lagi perwakilan akan membuat kenyataan bersifat perkauman," katanya menerusi kenyataan hari ini (25 September 2015).

Beliau berkata, kepimpinan Umno sama ada di peringkat Pusat atau bahagian perlu memastikan tiada perwakilan yang  bersifat ekstrem serta menggugat keharmonian masyarakat.

"Sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) terbesar, Umno bertanggungjawab untuk memastikan ia seiring dengan semangat BN untuk melindungi semua kumpulan etnik seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Sebarang keruntuhan dalam hubungan etnik termasuk tindakan mencemar semangat BN dan Perlembagaan perlu dikutuk," katanya.

Kata Kim Sen lagi, jurucakap himpunan baju merah pada 16 September yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos telah mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya memperuntukkan 50 peratus gerai di Jalan Petaling untuk peniaga Melayu, selain mengugut untuk merusuh jika tiada sebarang tindakan diambil berhubung perkara itu.

"Malangnya, ahli Umno tidak dengan serta merta menegur atau mengambil langkah untuk meyakinkan rakyat," katanya.

Itu sahajakah isu yang dijadikan rujukan oleh MCA? Amat cetek kerana ramai pemimpin UMNO dan ahli UMNO yang tidak bersetuju dengan tindakan Jamal itu.

Lagipun Jamal kini bersendirian selepas polis, DBKL dan beberapa pihak lain menuntut beliau jangan buat pasal.