Saturday, March 27, 2010

Cubaan rampas kuasa di Kelantan?

Tajuk mStar ‘Tengku Muhammad Faris tenang Biarpun Ada Cubaan Rampas Kuasa’ mengejutkan!

Laporan online The Star itu menyebut Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ismail Petra tenang dan mampu tersenyum walaupun dalam keadaan kemelut cubaan "merampas kuasa" melibatkan kerabat diraja Sultan Kelantan.

Siapa yang mahu merampas kuasa dan siapa dalangnya?

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta semua rakyat mematuhi undang-undang yang ditetapkan dalam perlembagaan bagi menyelesaikan kemelut Istana Kelantan sekarang.

Beliau tidak mahu rakyat terikut-ikut dengan mana-mana-mana kumpulan dalam isu itu, tetapi mengikut apa yang dikehendaki oleh perlembagaan kerana kerajaan negeri mempunyai perlembagaan tubuhnya sendiri.

"Saya nasihatkan kepada rakyat semua, masa kekecohan ini supaya patuh kepada perlembagaan, jangan dengar A dengar B, tetapi ikut perlembagaan," katanya.

Turut mengejutkan semalam ialah penahanan 'Setiausaha Sulit' Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang mengumumkan mengenai pemecatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja Kelantan pagi ini, dipercayai ditahan polis malam semalam. Difahamkan, bekas Setiausaha Kerajaan Negeri itu ditahan di rumahnya di Taman Seri Aman kira-kira pukul 8.40 malam untuk siasatan.

Beliau kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri. Bagaimanapun setakat tengah malam ini, belum ada pengesahan rasmi daripada pihak polis berhubung penahanan itu.
Utusan Malaysia difahamkan, penahanannya dibuat bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu mengenai penipuan dengan jalan penyamaran.

Pelantikan Wan Hashim yang didakwa diputuskan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra dan kenyataannya sejak seminggu lalu dilihat merumitkan lagi krisis Istana Kelantan apabila beliau mula menyampaikan 'titah' baginda.

Pada 18 Mac lalu, beliau mula mencetuskan kontroversi yang mendapat perhatian umum apabila mengadakan sidang media dengan mendakwa Sultan Kelantan telah menitahkan semua sambutan Hari Keputeraan baginda yang ke-60 pada 30 Mac ini dibatalkan. Walaupun pelantikannya tidak diiktiraf dan 'titah' itu telah dinafikan kerajaan negeri, Wan Hashim mempertahankan pelantikan dan kenyataannya tersebut.

Pagi semalam, beliau membuat kenyataan lebih mengejutkan dengan mendakwa Tengku Muhammad Faris Petra telah dipecat dan digantikan oleh Pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN), Tengku Abdul Aziz Tengku Hamzah berkuat kuasa serta-merta.

Baginda yang tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada 6 petang semalam dari Singapura, mampu melemparkan senyuman dan lambaian kepada rakyat dengan disambut pembesar Istana serta beberapa anggota exco Kerajaan Negeri Kelantan termasuk Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakub.

Sewaktu berjalan menuju ke kenderaan rasminya, baginda dihampiri para wartawan yang ingin bertanyakan reaksi baginda mengenai pengumuman Setiausaha Sulit Sultan Kelantan, Datuk Wan Hashim Wan Daud bahawa Pengerusi Majlis Perajaan Negeri (MPN), Tengku Abdul Aziz Hamzah telah mendakwa Sultan Kelantan melantik beliau sebagai Pemangku Raja yang baru menggantikan baginda berkuat kuasa serta merta.

Tengku Muhammad Faris Petra hanya sempat menjawab sambil berjalan: "Tokleh (tidak boleh),Tokleh (tidak boleh), nanti biar sudah. Ginilah kirim salam kat semua orang," katanya dengan tersenyum dan berlalu menaiki kenderaan baginda.

Laporan awal kelmarin menyatakan bahawa Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra didakwa telah melucutkan jawatan anakandanya, Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja berkuat kuasa serta-merta.

Titah tersebut didakwa disampaikan baginda kepada Tengku Abdul Aziz dan dibacakan oleh Wan Hashim di Istana Mahkota di sini hari ini.

Bagaimanapun, susulan daripada pengumuman itu yang dihebahkan di laman web media utama,Setiausaha Majlis Perajaan Negeri (MPN), Datuk Mohd Aiseri Alias berkata, Tengku Muhammad Faris Petra Tengku Ismail Petra kekal sebagai Pemangku Raja kerana pelantikannya mengikut dua pertiga daripada 17 anggota majlis MPN pada 29 Mei tahun lalu.

Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan berkata, pengumuman Wan Hashim semalam mengenai pemecatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja dan digantikan Pengerusi MPN, Tengku Abdul Aziz Hamzah berkuatkuasa serta merta adalah tidak terpakai kerana ia tidak mewakili MPN.

"Ia adalah sama sekali tidak mewakili keputusan Majlis Perajaan Negeri Perkara 11 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan memperuntukkan mana-mana keputusan majlis (MPN) tidak akan sah dan terpakai kecuali sekurang-kurangnya dua pertiga daripada anggota yang hadir dan mengundi bersetuju dengan keputusan itu," katanya dalam sidang media di sini semalam.

Beliau berkata, Tengku Abdul Aziz, abang kepada Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telah bertindak secara berseorangan tanpa memanggil MPN bersidang.

Mohd Aiseri berkata, oleh kerana Tengku Muhammad Faris Petra dilantik ekoran Sultan Kelantan tidak boleh menjalankan tugas hal ehwal negeri mengikut Perkara 22A (1) (b) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan Bahagian yang kedua, maka Tengku Muhammad Faris Petra akan terus menjalankan tugas-tugas sebagai Pemangku Raja yang sah sehingga MPN membuat keputusan seterusnya mengikut undang-undang.

Pada sidang media yang sama, Ahmad berkata, pendirian kerajaan negeri adalah mengikut Perlembagaan negeri.

"Kita tetap dengan undang-undang dalam Perlembagaan. Apapun yang berlaku kita merujuk kepada Perlembagaan negeri iaitu Tengku Muhammad Faris Petra kekal sebagai Pemangku Raja. Pemangku Raja masih lagi pemangku walaupun ada pihak lain isytihar pemangku telah digugurkan," katanya.

Beliau berkata, perkara itu tidak perlu lagi dibincangkan dan tidak perlu dilakukan pindaan perlembagaan serta tidak perlu diadakan Sidang Dewan Undangan Negeri tergempar.

Ahmad berkata, sebagai usaha kerajaan negeri menghentikan kemelut Istana, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shafie Ismail telah membuat laporan polis berhubung kenyataan Wan Hashim berhubung mengenai pelantikan Tengku Abdul Aziz sebagai Pemangku Raja.

Siapa rakus dengan balak Kelantan?

Mana satu ni Wan Ubaidah?

Kata ada pihak rakus menebang balak.

Pada ketika yang sama mengatakan pada 2009, sebanyak RM52 juta hasil melalui perhutanan berjaya dikutip termasuk cukai dan royalti.

Beliau juga meminta semua pihak membanteras penerokaan hutan.

Di Kelantan, siapa yang rakus dan mendapat untung dari balak?

Cakap tu pandang-pandang jangan nanti air didulang yang ditepuk memercik ke muka sendiri.
Pengerusi Jawatan Kuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan, Kerajaan Negeri Kelantan, Wan Ubaidah Omar semalam mencadangkan rakyat di negeri ini menanam semula pokok kekal (balak).

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kijang berkata, dengan menjadikan konsep ‘1 Bayi 1 Balak’, ia mungkin dapat memberi kesan terhadap penanaman semula pokok balak yang rakus diterokai sekarang ini.

“Saya merayu rakyat di negeri ini supaya sama-sama membanteras penerokaan hutan dan usaha menyemai minat menanam pokok kekal boleh disemai di kala-ngan kanak-kanak.

“Jika rakyat di negeri ini menanam pokok kekal ini sekarang, bayangkan keadaan sekeliling bumi hijau dalam tempoh lima hingga 30 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Perhutanan Sedunia Ke-39 Peringkat Negeri Kelantan di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan, di sini, semalam.

Beliau berkata, melalui Program Penanaman Pokok Hutan (ru dan bakau) sejak tahun 2000 hingga tahun lalu di Kelantan iaitu sebanyak lebih 31,000 pokok ru ditanam di persisiran pantai, ia membantu mengurangkan pemanasan global yang berlaku sekarang.

Menurutnya, Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan terhadap jabatan perhutanan memandangkan ia turut memberi kutipan hasil terhadap sumber ekonomi di negeri ini.

“Pada 2009, sebanyak RM52 juta hasil melalui perhutanan berjaya dikutip termasuk cukai dan royalti dan ia menunjukkan sumber hutan memainkan peranan utama,” katanya.

Katanya, usaha pemuliharaan dan pemeliharaan hutan di negeri ini penting, malahan rakyat turut digesa supaya tidak menerokai hutan sewenang-wenangnya bagi kepentingan diri.

Tengku Abdul Halim Dilantik YDP MPN Kelantan Yang Baru

Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan pada Jumaat mengumumkan pelantikan Tengku Laksamana Kelantan Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim sebagai Yang Dipertua (YDP) MPN yang baru bagi menggantikan Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd Hamzah.

Setiausaha MPN Datuk Mohd Aiseri Alias berkata pelantikan Tengku Abdul Halim itu berkuatkuasa pada Khamis selepas pembatalan pelantikan Tengku Abdul Aziz yang juga berkuatkuasa Khamis.

"Bagi menjunjung titah perintah Yang Maha Mulia Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra, Pemangku Raja Kelantan dengan ini saya memaklumkan bahawa Yang Mulia Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd Hamzah dibatalkan pelantikan dan dilepaskan menjadi YDP MPN berkuatkuasa 25 Mac 2010 (semalam)," katanya dalam sidang akhbar di Kota Bharu.

Turut hadir pada sidang akhbar itu Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan Shafie Ismail.

Mohd Aiseri berkata pelantikan Tengku Abdul Halim sebagai YDPM MPN yang baru itu juga telah mendapat perkenan Pemangku Raja Kelantan.

Pada Khamis Tengku Abdul Aziz yang bergelar Tengku Seri Utama Raja telah diumumkan sebagai Pemangku Raja Kelantan selepas apa yang didakwa bahawa Sultan Kelantan Sultan Ismail Petra telah melucutkan jawatan anakandanya Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja berkuatkuasa serta-merta.

Titah tersebut didakwa disampaikan baginda kepada Tengku Abdul Aziz dan dibacakan oleh Setiausaha Sulit Sultan Kelantan Datuk Wan Hashim Wan Daud di Istana Mahkota di sini.

Bagaimanapun susulan daripada pengumuman itu yang dihebahkan di laman web media utama, Mohd Aiseri berkata Tengku Muhammad Faris Petra terus kekal sebagai Pemangku Raja kerana pelantikannya mengikut dua pertiga daripada 17 anggota majlis MPN pada 29 Mei tahun lalu.

Mohd Aiseri, yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, berkata pengumuman Wan Hashim mengenai pemecatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja dan digantikan Pengerusi MPN, Tengku Abdul Aziz Hamzah berkuatkuasa serta merta adalah tidak terpakai kerana ia tidak mewakili MPN.

Tengku Abdul Aziz iaitu abang kepada Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah juga telah bertindak secara berseorangan tanpa memanggil MPN bersidang.

Sementara itu satu laporan polis terhadap Wan Hashim telah dibuat di Balai Polis Kota Baharu di sini sebaik selesai sidang akhbar berkenaan.

Laporan polis itu dibuat oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shafie pada pukul 10.20 pagi berikutan tindakan Wan Hashim itu pada Khamis.

Pada pukul 9 malam Khamis, polis dilaporkan telah menahan Wan Hashim yang bergelar Datuk di kediamannya, di Taman Sri Aman, Kubang Kerian di sini dipercayai berhubung pengumuman pemecatan jawatan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Pemangku Raja Kelantan itu.

Sumber polis berkata penahanan lelaki itu disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu melakukan penipuan.

Wednesday, March 24, 2010

ISTANA KELANTAN DIKAWAL RAPI 30 MAC


Siapakah yang nak ‘bertikam keris’ di Istana Kelantan pada 30 Mac ini?

Apakah akan ada episod seperti ‘Tuah dan Jebat’?

Kalau tidak tak kanlah polis mahu meningkatkan kawalan keselamatan di Istana Kelantan.

Kata polis ia bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku semasa sambutan Hari Keputeraan Ke-60 Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra yang dijadualkan berlangsung pada 30 Mac ini.

Kejadian tidak diingini? Apakah itu? Polis sudah dapat mengesan kemungkinan-kemungkinannya?

Antara siapa?

Di Kelantan kini jelas ada tiga pihak ‘sedang bertelagah’.

Pertama antara dua putera Sultan Kelantan; kedua antara dua isteri Sultan Kelantan; dan ketiga antara dua ‘pegawai’ istana yang mendakwa mereka adalah pegawai penting Sultan Kelantan.
Yang mana satu ni?

Atau rakyat yang akan menyerbu istana?

Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata arahan berhubung perkara itu telah dikeluarkan kepada Ketua Polis Kelantan Datuk Abd Rahim Hanafi supaya persiapan rapi sepanjang istiadat penganugerahan darjah kebesaran itu berjalan secara aman dan tidak diganggu gugat oleh mana-mana pihak.

"Kawalan keselamatan akan dipertingkatkan di semua jalan menuju ke istana dan kawasan sekitar. Arahan untuk dipertingkatkan kawalan keselamatan itu telah dititahkan oleh Pemangku Raja Kelantan (Tengku Muhammad Faris Petra) dalam satu perintah bertulis bertarikh 20 Mac lepas," kata Musa kelmarin.

Beliau berkata beberapa anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan di luar perkarangan istana dan beberapa kawasan lain berhampiran Istana Kelantan pada hari sambutan itu nanti.

Kelmarin, Istana Kelantan memaklumkan akan meneruskan tradisi penganugerahan darjah kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan.

Pengelola Istana Diraja Kelantan Datuk Abdul Halim Hamad berkata majlis diadakan atas perkenan Pemangku Raja. Pemangku Raja boleh melaksanakan kurniaan itu seperti kuasa diperuntukkan mengikut Perlembagaan Kerajaan Kelantan.

Jumaat lalu, akhbar tempatan melaporkan Sultan Kelantan menitahkan semua acara sempena Hari Keputeraan Ke-60 baginda tahun ini tidak dilangsungkan termasuk pengurniaan gelaran, darjah dan pingat kebesaran.

Titah perkara itu disampaikan menerusi Datuk Wan Hashim Wan Daud yang mengaku Setiausaha Sulit baginda di Istana Mahkota Kelantan.

Menurut laporan itu, Wan Hashim berkata surat memaklumkan keputusan yang diambil baginda itu sudah dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 Feb lalu dan perkara yang sama juga turut disampaikan kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat serta Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan.

Arahan keselamatan ini sedikit mengejutkan kerana seolah-olah akan ada sesuatu atau kemungkinan tertentu akan berlaku.

Apapun kita berdoa Istana Kelantan dilindungi sebarang masalah dan berharap Sultan Kelantan akan cepat sembuh.

Segala-galanya dijangka akan baik dan terurus semuanya apabila Sultan Kelantan kembali sihat.

ANNUAR MUSA, RAMZI MAHU DIGANTI?


Datuk Seri Mohd Najib Razak jangan terikut-ikut dengan permainan kotor PAS dan Harakahdaily.

PAS yang mendakwa parti Islam dan suara rasminya Harakahdaily jelas memainkan politik kotor bertentengan dengan Islam apabila membuat spekulasi liar mengenai Pengerusi baru Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Dengan memetik hanya satu sumber dan tidak berani pula mendedahkan sumber berkenaan, berkemungkinn besar Harakahdaily memetik sumber ciptaan sendiri yang langsung tiada kredibiliti.

Kita maklum bahawa sejauh ini kdua-dua pengerusi Kada dan Kesedar memainkan peranan mereka dengan berkesan dan PAS bimbang jika kedua-duanya terus memegang jawatan, PAS Kelantan aka hadapi masalah.

Kerana itu PAS Kelantan mahu kedua-duanya digantikan dengan orang baru agar mudah bagi PAS membaca gerakan mereka.

Tan Sri Annuar Musa bukan calang-calang tokoh dan begitu juga Datuk Ramzi Abdul Rahman yang berpengalaman.

Kalaupun mahu melantik orang baru, biarlah dilihat mempunyai kepentingan UMNO dan menyumbang kepada parti di Kelantan.

Jika Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO termakan úmpan’ PAS ini, jika tersilap jalan akan menyebabkan keadaan makin parah.

Yang nyata dalam kepimpinan UMNO Kelantn hari ini, peneraju utamanya sudah mempunyai jawatan penting di peringkat pusat.

Dan, di peringkat negeri, biarkan individu berkenaan mempunyai ketokohan dan mampu menggerakkan masyarakat di negeri berkenaan.

Apapun, ia keputusan Najib dan beliaulah yang mampu menentukan siapa yang beliau berkenaan dan merasakan mampu memainkan peranan sepatutnya di Kelantan.
Ikuti juga entri dalam Harakahdaily ini:
Kedudukan Annuar Musa di Kada tergugat

Harakahdaily

KOTA BHARU, 21 Mac: Biar pun hampir setahun Datuk Seri Najib Razak menerajui pentadbiran negara, namun orang harapannya di Kelantan dikatakan belum mampu menguasai agensi kerajaan pusat di sini.

Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) merupakan dua agensi pusat masih lagi diterajui orang Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Kada sehingga kini masih lagi di bawah Tan Sri Annuar Musa, manakala Kesedar kekal di bawah Datuk Ramzi Abdul Rahman.

Kedua-dua agensi itu biar pun bertanggungjawab membangunkan industri pertanian di Kelantan, namun ada peranan sampingan berkaitan politik tidak dapat dinafikan.

Ini dapat dilihat apabila bantuan di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dikendalikan di bawah kedua-dua agensi itu mempunyai kaitan rapat dengan Umno.
Malah, setiap permohonan untuk mendapatkan bantuan melalui agensi terbabit akan dipantau pemimpin Umno dan pemohonnya perlu mempunyai keahlian parti tersebut.

Begitu juga pada pilihan raya kecil Dun Manek Urai pada Julai tahun lepas, Kesedar mempunyai peranan penting bagi membantu calon Barisan Nasional (BN).

“Ekoran kegagalan Najib meletak orangnya di Kada dan Kesedar sehingga kini menyebabkan perancangan politiknya di sini tidak meluas.

“Lagi pun kedua-dua pengerusi yang menerajui agensi terbabit sudah ditolak rakyat pada pilihan raya umum lalu. Annuar misalnya hanya sibuk dengan bola sepak dan seperti sudah melupai dunia politik,” kata sumber Umno di sini.

Oleh itu, beliau mendesak Najib meletak muka baru di Kada dan Kesedar bagi memastikan perancangan Perdana Menteri untuk membangunkan sektor pertanian Kelantan lebih berkesan.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan difahamkan Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Datuk Fatmi Che Salleh disebut-sebut bakal menggantikan Annuar di Kada dalam masa terdekat ini.

Kata satu sumber, Fatmi baru-baru ini difahamkan meletak jawatan sebagai Setiausaha Politik Najib untuk membolehkan dia menerima jawatan baru di Kada.

Begitu juga katanya, di Kesedar pemimpin baru yang rapat dengan perdana menteri akan dibawa bagi menggantikan Ramzi.

Ramzi yang juga Ketua Umno Kuala Krai merupakan bekas Setiausaha Politik Abdullah.

Begitu juga Annuar mempunyai hubungan rapat dengan Abdullah apabila dilantik sebagai pengerusi Perhubungan Umno Kelantan ketika eranya sebelum digantikan Datuk Seri Mustapa Mohamed oleh Najib.

Monday, March 22, 2010

SULTAN KELANTAN BERKEMAMPUAN LAFAZ TALAK KEPADA ISTERI KEDUA

Isteri kedua Sultan Kelantan, Cik Puan Elia Suhana Ahmad berasa amat sedih apabila beliau tidak dibenarkan berjumpa dengan suaminya. Beliau berkata demikian selepas selesai kes sebutan semula permohonan pengesahan lafaz cerai oleh Sultan Ismail Petra terhadapnya yang difailkan oleh Rorhana Wan Abd Rahman di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, semalam. – Gambar BERITA HARIAN

Demikian Mahkamah Tinggi Syarikah Kota Bharu diberitahu.

Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra, didakwa berkemampuan membuat keputusan termasuk melafazkan perkataan cerai talak tiga terhadap isteri kedua baginda, Cik Puan Elia Suhana Ahmad.

Peguam Syarie Zainul Rijal Abu Bakar, yang berhujah di hadapan Hakim Syarie Abdullah Man di Mahkamah Tinggi Syariah di Kota Bharu semalam, berkata ini berdasarkan keterangan tiga doktor pakar dari Hospital Mount Elizabeth, Singapura melalui surat bertarikh 1 Februari lalu kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra.

"Berdasarkan kepada surat itu, Baginda Sultan berkemampuan membuat keputusan sendiri," katanya ketika berhujah menafikan dakwaan defendan melalui peguamnya, Fakhrul Azman Abu Hassan. Zainul Rijal berkata, Sultan Kelantan didakwa sudah menjatuhkan talak itu kepada Elia Suhana pada 12 Februari lalu.

Beliau juga turut membacakan satu perenggan daripada surat itu yang berbunyi "His Royal Highness (HRH), Sultan of Kelantan Sultan Ismail Petra is currently capable of making his own decision".

Sebelum itu, Fakhrul Azman berkata, pihaknya memfailkan permohonan interlokutori (permohonan dalam permohonan) pada pagi ini untuk membatalkan permohonan lafaz cerai Sultan Kelantan terhadap Elia Suhana yang difailkan seorang wanita, Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60, sebelum ini.

Beliau berkata, permohonan pembatalan itu menyebut tidak sepatutnya ada pihak ketiga yang membuat permohonan lafaz cerai itu, apatah lagi Nik Rorhana bukanlah suami kepada defendan.
Selain itu, defendan turut memohon satu pemeriksaan kesihatan dilakukan terhadap baginda kerana meragui kedudukan kesihatan baginda yang kini dilaporkan dalam keadaan gering.

Zainul Rijal kemudiannya berhujah mendakwa permohonan membuat pemeriksaan itu tidak relevan, yang sepatutnya perlu dilakukan sebelum berlakunya lafaz cerai oleh baginda.

Beliau kemudiannya berkata, pada prosiding selepas ini, pihak plaintif akan menerangkan secara terperinci mengenai penggunaan pihak ketiga dalam membuat permohonan lafaz cerai itu.

"Pihak kami (plaintif) akan berhujah mengikut undang-undang syariah kenapa pihak ketiga yang membuat permohonan cerai ini," katanya.

Abdullah kemudiannya menetapkan 4 April ini sebagai tarikh sebutan semula bagi membolehkan pihak plaintif menerima salinan permohonan pembatalan lafaz cerai itu.

Abdullah juga bersetuju supaya kes itu didengar bersama tuntutan defendan yang meminta pihak Istana akur terhadap keputusan mahkamah yang sama membenarkan beliau melawat baginda seperti yang diputuskan.

Pada 4 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini membenarkan Elia Suhana secara rasmi melawat Sultan Kelantan selama tiga hari seminggu iaitu dari jam 7 pagi Sabtu sehingga 7 pagi Isnin, namun perintah itu gagal dipatuhi.

Pada 21 Februari pula, mahkamah yang sama mengeluarkan notis tunjuk sebab terhadap Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid dan dua kakitangan istana yang lain mengapa tindakan tidak boleh diambil kerana mengingkari perintah itu.

Pada prosiding semalam Elia Suhana dan Nik Rorhana turut hadir dan galeri awam mahkamah juga sesak dengan orang ramai yang mahu mendengar kes berkenaan.

JANGAN BIARKAN PEGAWAI KUSUTKAN LAGI KEMELUT

Kemelut yang melanda Istana Kelantan seperti tiada penghujungnya.

Hanya kenyataan daripada Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra sendiri atau Pemangku Raja akan mengendurkan kemelut ini.

Kemelut adalah daripada isu Hari Keputeraan hinggalah kepada soal kedudukan Datuk Wan Hashim Wan Daud sebagai Setiausaha Sulit Sultan Kelantan.

Kenyataan Pengelola Istana Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad yang tidak mengiktiraf Wan Hashim menghangatkan lagi kontroversi kedua-dua isu berkenaan.

Abdul Halim menegaskan semalam Sambutan Hari Keputeraan ke-60 Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra diteruskan dengan acara penganugerahan diadakan pada 30 Mac ini.

Beliau berkata, penganugerahan itu akan diteruskan sempena sambutan tersebut tetapi acara perayaan tidak dijalankan dan ia digantikan dengan solat hajat dan doa selamat di semua masjid di negeri berkenaan.

"Penganugerahan akan diteruskan dan Pemangku Raja, Tuanku Tengku Muhammad Faris Petra Ismail Petra akan menentukan siapa yang berhak menerima anugerah,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu semalam.

Beliau berkata, selain acara penganugerahan, acara solat hajat dan majlis hari hol Almarhum Sultan Yahya Petra diadakan pada 25 Mac ini.

Sebelum ini, Datuk Wan Hashim Wan Daud yang mendakwa dirinya, Setiausaha Sulit Sultan Kelantan dalam satu kenyataan menyatakan bahawa Tuanku Ismail Petra menitahkan semua perayaan dan penganugerahan sempena Hari Keputeraan Baginda yang ke-60 pada 30 Mac ini tidak dilangsungkan.

Berikutan itu, Abdul Halim telah membuat laporan polis tiga hari lepas kerana mempertikaikan kesahihan kenyataan dan pelantikan Wan Hashim kerana pelantikan itu tidak melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN).

Akhbar semalam melaporkan Wan Hashim mendakwa pelantikannya tidak tertakluk di bawah SPN kerana pelantikannya di bawah bidang kuasa Sultan Ismail Petra.

Dakwaan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan itu bahawa Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra telah melantik beliau sebagai Setiausaha Sulit baginda tidak boleh diterima pakai, kata Abdul Halim.

Bagi Wan Hashim, kedudukan beliau tidak tertakluk di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) kerana pelantikannya di bawah bidang kuasa Tuanku Ismail Petra.

Beliau berkata, baginda mempunyai kuasa mutlak untuk menitahkan pelantikan mana-mana pegawainya tanpa melalui SPN.

Katanya, laporan polis dan kenyataan akhbar yang dibuat oleh Pengelola Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad tidak tepat sama sekali disebabkan baginda masih berkuasa di negeri ini.

''Saya memulakan tugas rasmi sebagai Setiausaha Sulit Sultan bermula Khamis lalu tetapi telah dimaklumkan kira-kira seminggu sebelumnya. Pelantikan saya tidak boleh disamakan dengan Setiausaha Sulit sebelum ini, Engku Rajhan Engku Ismail kerana beliau adalah pegawai kerajaan yang ditugaskan di istana dan tertakluk di bawah skim perkhidmatan SPN.

''Sebagai bekas Setiausaha Kerajaan Negeri saya maklum mengenai perkara ini dan perlu dijelaskan bahawa saya dilantik di bawah bidang kuasa tuanku dan bukannya orang yang berkhidmat di bawah perkhidmatan kerajaan,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di Kota Bharu.

Utusan Malaysia kelmarin turut melaporkan kerajaan negeri tidak mengiktiraf kenyataan Wan Hashim bahawa Tuanku Ismail Petra menitahkan semua perayaan dan penganugerahan sempena Hari Keputeraan Baginda yang Ke-60 pada 30 Mac ini tidak dilangsungkan.

Wan Hashim menegaskan, Tuanku Ismail Petra tidak perlu menunggu pengesahan daripada Majlis Perajaan untuk kembali berkuasa kerana baginda telah pulang ke negeri ini.

''Alasan yang diberikan sebelum ini baginda keluar negara disebabkan gering dan sehingga sekarang tidak boleh melaksanakan tugasnya. Tetapi saya ingin jelaskan bahawa baginda semakin pulih, jika baginda mengalami gering yang serius kenapa tidak dirawat di hospital sekarang, memang baginda gering sekarang tetapi ia tidak begitu serius,'' katanya.

Mengulas mengenai penggunaan kepala surat Pejabat Istana Kelantan, kata Wan Hashim, ia tidak sepatutnya menjadi isu kerana Tuanku Ismail Petra telah memberikan kebenaran untuk menggunakannya.

''Kepala surat ini disediakan di pejabat saya di istana baginda. Saya hanya menyediakan kenyataan akhbar seperti yang dititahkan oleh baginda kepada saya. Mengenai laporan polis saya tidak mahu komen, saya hanya menyampaikan perintah baginda tuanku,'' katanya.

Ditanya mengenai khabar angin yang menyatakan 'kumpulan Abdul Halim' mempunyai agenda tertentu kerana beria-ia untuk mengadakan sambutan Hari Keputeraan dan majlis penganugerahan darjah kebesaran, beliau enggan mengulas.

Difahamkan surat penganugerahan darjah tersebut telah dikeluarkan kepada penerimanya dan menggunakan nama Tuanku Ismail.

Sementara itu Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz berkata, dakwaan Wan Hashim bahawa Sultan Kelantan melantik beliau sebagai Setiausaha Sulit baginda tidak boleh diterima pakai.

Ini kerana pemerintah yang sah di negeri itu pada masa kini ialah Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra.

Katanya, pelantikan Tengku Muhammad Faris yang dilakukan melalui Majlis Perajaan Negeri (MPN) adalah sah dan mengikut Undang-undang Tubuh Perlembagaan Kerajaan Kelantan.

Sham Rahayu berkata, pelantikan Tengku Muhammad Faris dan segala keputusan atau titah perintah baginda yang dibuat melalui MPN adalah terpakai dan tidak boleh dipertikaikan.

''Setakat ini Pemangku Raja adalah pemerintah yang sah sehingga MPN dan kerajaan negeri memutuskan Sultan Kelantan sudah sembuh dan boleh menerajui negeri itu semula.

''Jadi, apa saja keputusan atau kenyataan mana-mana pihak berhubung titah perintah Sultan Kelantan tidak terpakai memandangkan kuasa tidak terletak pada baginda pada masa ini," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas krisis Istana Kelantan yang terus berlarutan apabila Wan Hashim mendakwa beliau dilantik oleh Sultan Kelantan sebagai Setiausaha Sulit baginda.

Sultan Kelantan pulang dari Singapura 4 Mac lalu setelah mendapat rawatan di Hospital Mount Elizabeth sejak 24 Mei 2009.

Putera sulung baginda, Tengku Muhammad Faris dilantik sebagai Pemangku Raja bagi memikul tanggungjawab mentadbir negeri.

UMNO PASIR PUTEH BANTAH TENGKU RAZALEIGH

Umno Bahagian Pasir Puteh menghantar surat bantahan kepada Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah kerana kecewa dengan pendirian pemimpin veteran Umno itu berhubung isu royalti minyak.

Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh Zawawi Othman berkata pihaknya kecewa dengan tindakan Tengku Razaleigh yang menyatakan pendiriannya bertentangan dengan kerajaan pusat kerana hakikatnya Kelantan tidak layak menerima bayaran royalti minyak lima peratus itu.

"Satu surat bantahan berkaitan kehadiran Tengku Razaleigh pada majlis ceramah khas pada 28 Jan lepas telah dihantar semalam kepada Tengku Razaleigh," katanya semalam.

Zawawi berkata salinan surat itu juga dihantar kepada Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak serta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk tindakan lanjut.

KES PERKAHWINAN RAKYAT KELANTAN,WARGA ASING MENINGKAT

Jumlah rakyat Kelantan sama ada lelaki atau wanita yang berkahwin dengan warga asing didapati meningkat setiap tahun dengan warga Thailand dan Indonesia menjadi pilihan utama.

Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Che Bahrom Hamzah berkata melalui rekod pihaknya, seramai 4,342 orang lelaki dan wanita Kelantan berkahwin dengan warganegara asing pada 2007 dan 4,971 orang pada 2008.

Pada tahun lepas pula, 4,804 kes dilaporkan, katanya kepada Bernama.

"Walaupun jumlah perkahwinan menurun tahun lalu, namun ia hanya sedikit dan masih menunjukkan rakyat Kelantan meminati pasangan hidup daripada warganegara asing," katanya.

Che Bahrom berkata warga Thailand dan Indonesia menjadi pilihan kerana selain soal rupa paras yang dimiliki wanita asing, kemungkinan faktor kedudukan negara yang berjiran dan berhampiran turut menjadi puncanya.

Bagaimanapun beliau berkata kes perkahwinan wanita Kelantan dengan lelaki asing lebih banyak menimbulkan risiko ekoran terdapat warga asing yang semata-mata mahu mendapatkan taraf kerakyatan negara ini.

"Walaupun bukan merupakan kes tertinggi, tetapi banyak kes yang dilaporkan berlaku di mana lelaki warga asing menghilangkan diri selepas tiga bulan berkahwin.

"Ini berlaku apabila lelaki asing yang muda berkahwin dengan wanita tempatan yang sudah berusia di mana apabila perkahwninan sudah mencecah tiga bulan dan lelaki asing berjaya memiliki taraf kerakyatan, dia akan terus menghilangkan diri," katanya.

Che Bahrom berkata terdapat juga kes warga asing pulang ke negara asal mereka apabila berlaku pergaduhan suami isteri.

"Mereka akan meninggal isteri atau suami tempatan mereka," katanya.

Namun beliau berkata ramai juga perkahwinan rakyat tempatan dengan warga asing kekal bahagia.