Saturday, July 9, 2016

Ada Yang Sesatkan Umat Islam Dengan Keganasan - Dr Zakir Naik


Pendakwah Islam tersohor Dr Zakir Naik hari ini terus mempertahankan dirinya terhadap dakwaan beliau memberi inspirasi kepada serangan pengganas di Dhaka, Bangladesh Sabtu lalu.

Sambil mengakui "memberi inspirasi kepada ratusan ribu, berjuta-juta," orang mendekati Islam, Zakir berkata tidak semua "pengikutnya" mematuhi apa yang diperkatakannya.

"Apabila seseorang datang mendekati Islam ada kemungkinan mereka mendengar daripada pendakwah lain.

"Dan hari ini, kita sedar, terdapat orang yang menyesatkan umat Islam, dan atas nama Islam mereka menggalakkan pembunuhan orang yang tidak bersalah, manusia yang tidak berdosa yang bertentangan sama sekali dengan al-Quran," kata Zakir menerusi sebuah rakaman video di YouTube hari ini .


Zakir juga menafikan beliau pernah berceramah menggalakan keganasan dan berkata laporan media yang mengatakan sebaliknya adalah "setan".

Bercakap dari Makkah, dengan berlatar belakangkan Kaabah, Dr Zakir turut menafikan pernah menggalakkan keganasan pada ceramahnya sebelum ini.

"Saya kutuk semua bentuk keganasan."

Sabtu lalu, sekumpulan lelaki bersenjata menyerang sebuah kafe mewah di ibu negara Bangladesh dan membunuh 20 orang, sebelum polis menyerbu bangunan itu dan menyelamatkan 13 tebusan.

Dilaporkan bahawa enam lelaki bersenjata itu terbunuh dalam operasi berkenaan dan polis berjaya menawan seorang daripada mereka.


Dua daripada lelaki bersenjata itu kemudian dilaporkan adalah pengikut media sosial Dr Zakir.