Monday, November 16, 2015

Hadi, PAS Selangor Turut Bertanggungjawab Terhadap Judi, Arak & Maksiat…

Malulah sikit Hadi (Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang)!
Kenyataan anda mengatakan parti Islam itu tidak akan membenarkan bandar yang dikuasai DAP menghalalkan arak dan judi kepada umat Islam, boleh dipersoalkan.

Kita semua tahu bahawa tiada agama yang  membenarkan maksiat, judi dan jenayah.

Namun PAS yang berada dalam kerajaan Selangor nampaknya gagl untuk menyekat perkara yang dilarang oleh Islam itu daripada berkembang, apa lagi kepada umat Islam.

Usaha menentang ‘pelbagai kejahatan’ itu tidak disuarakan oleh PAS sebaliknya oleh UMNO Selangor.

Shahrum Mohd Sharif, ADUN Dengkil
Pembabitan orang Islam, termasuk remaja Islam dalam pelbagai kegiatan judi, arak dan ‘kejahatan lain’ bukan berkurangan malah bertambah.

Ada statistik daripada operasi oihak berkuasa mengenai perkara ini. Dengan memiliki 15 kerusi DUN di negeri Selangor, PAS nampaknya gagal ‘mengIslamkan dasar-dasar seperti ini di Selangor’.

Amat nyata PAS pusat. khususnya Hadi gagal mengawal pemimpin PAS Selangor, sedangkan mereka menegakkan bendera PAS di Selangor.

Apakah Hadi pun boleh dipalit atau disabitkan dengan ‘kejahatan ini’ dengan membiarkan ADUN Selangor ‘menikus demi kedudukan’ sedangkan jelas, maksiat dan ‘pelbagai kejahatan’ sedang berlaku di Selangor yang sebahagian pemerintahnya adalah mereka yang melabelkan mereka ‘pemimpin Islam.

Contohnya,  Ahli Dewan Undangan (BN-Dengkil), Shahrum Mohd Sharif pernah menimbulkan perkara ini apabila mengatakan hasil kutipan cukai hiburan di Selangor sentiasa menunjukkan kenaikan ketara setiap tahun.

Shamsuddin Alias, ADUN Sungai Burong
Bagi  tahun 2015 sahaja kutipan cukai itu mencecah RM51 juta berbanding RM21 juta sahaja pada tahun 2007.

Dengan hasil kutipan cukai hiburan di Selangor sentiasa menunjukkan kenaikan ketara setiap tahun jelas membuktikan wakil PAS dalam kerajaan tidak melakukan sesuatu memerangi perkara ini.

Persoalan yang timbul, ke mana perginya slogan untuk menjadikan Selangor bersih daripada hasil maksiat?

Seperti kata Ahli Dewan Undangan Dengkil, Shahrum Mohd. Sharif, kerajaan negeri hanya pandai bercakap, tetapi pelaksanaannya langsung tidak dipraktikkan. “Apa sudah jadi? Hasil cukai hiburan semakin banyak menunjukkan pertambahan pusat hiburan setiap tahun.”

Pada Bajet Selangor 2013, kerajaan negeri ada menyebut akan menggubal enakmen baharu yang akan memperkasakan pihak berkuasa tempatan dalam usaha membendung premis hiburan dan judi haram.

“Apa sudah jadi? Hasil cukai hiburan semakin banyak menunjukkan pertambahan pusat hiburan setiap tahun.

Selain itu malang sekali jawapan yang diterima daripada sidang DUN lepas menyatakan kerajaan negeri tidak bercadang untuk menggubal sebarang enakmen untuk menangani permasalahan ini,” katanya pada sidang media di Lobi Dewan Undangan Negeri Selangor pada 4 November lalu.

PAS Selangor bagaikan tidak sensitif kepada pusat judi haram, judi internet, pusat hiburan dan pusat maksiat yang berselindung di sebalik nama pusat urut atau refleksologi yang semakin menjadi kerisauan ramai di Selangor.

Pada 15 Januari lalu, Adun Sungai Burong, Datuk Shamsuddin Lias berkata, angka besar yang dilaporkan itu membuktikan kegagalan kerajaan negeri untuk menurunkan angka premis pelacuran dan sarang maksiat yang meningkat seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Shamsuddin menjelaskan peningkatan bilangan premis  pelacuran mungkin kerana kerjaaan PKR yang terlalu memfokuskan hal politik sehingga mengabaikan masalah semasa di negeri tersebut.

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar turut berkata sebelum ini, PAS sebagai rakan gabungan PKR dalam kerajaan Selangor  seharusnya memainkan peranan yang penting dalam mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan yang berlaku.

“Dalam hal ini, PAS tak boleh duduk diam sebab mereka adalah rakan gabungan dengan PKR, kalau dalam hal ini dia tak boleh nak bersuara, susahlah. Tapi sebenanya ia tetap akan menjadi masalah kepada kerajaan negeri sebab selagi PKR bergabung dengan parti DAP, angka ini akan terus meningkat dan masalah memang susah nak ditangani,” katanya.

Untuk rekod, sebelum pakatan rakyat mengambil alih Selangor pada 2008, bilangan pusat hiburan di negeri itu hanya di bawah 700 premis sahaja selepas operasi mengapuskan pusat-pusat hiburan tanpa lesen oleh kerajaan BN terdahulu.

Namun, awal tahun ini, Polis Selangor berkata, ada  2,067 premis yang dikenalpasti  menjalankan kegiatan pelacuran termasuk dii pusat hiburan, rumah urut, pub, spa, salon dan hotel.

Menurut laporan, ia bercambah dengan meluasnya bagaikan cendewan tumbuh selepas hujan di kebanyakan bandar sedia ada atau bandar baru, pusat ini bercambah.

Memang PBT mengeluarkan permit kepada sebahagian kecilnya saja manakala selebihnya adalah tidak berlesen dan dibangunkan secara haram. Walaupun sudah banyak serbuan oleh pihak berkuasa, namun ia tetap tumbuh semula.

Sebenarnya, di sinilah berpuncanya segala macam masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat. Ia bukan saja melibatkan orang dewasa dan mereka yang sudah berkeluarga, tetapi turut melibatkan golongan remaja dan murid-murid sekolah.

Pertumbuhannya, sama ada yang berlesen atau haram, nyata membimbangkan ramai ibu bapa yang merasakan semakin sukar untuk mengawal ahli keluarga masing-masing daripada terjebak dalam kancah tidak sihat itu.

Ternyata kerajaan Selangor yang turut didokong oleh PAS hanya pandai bercakap, tetapi pelaksanaannya langsung tidak dipraktikkan.

Juga apakah kerana perkara-perkara ini, PAS Selangor tidak mahu Hadi campurtangan dalam isu pentadbiran negeri Selangor dan membiarkan mereka terus ‘berkuasa’?

Kegagalan ini membuktikan PAS bukanlah perjuangkan Islam tetapi hanya mengejar kuasa menggunakan platform Islam.

Apabila berjaya mereka ‘melupakan niat awal’ sebaliknya berusaha untuk terus mencengkam kuasa di Selangor.

Malang, seribu kali malang apabila Hadi terus merepek menegaskan PAS tidak akan membenarkan DAP menghalalkan arak dan judi kepada umat Islam.

Segala jenis maksiat yang berlaku secara ‘terbuka’ kini akan hanya mengundang umat Islam mendekatinya kerana penawaran banyak sekali di depan mata.

Apakah pemimpin PAS di Selangor yang bernaung di bawah Hadi akan terus mendiamkan diri dan memerhatikan sahaja apa yang berlaku?