Tuesday, May 24, 2016

Tuduhan Rasuah Kerajaan Selangor - Kenapa Ke PKR Bukan SPRM?


Negara dan khususnya Selangor digemparkan dengan isu kononnya terdapat amalan rasuah dalam pentadbiran kerajaan negeri Selangor beberapa hari lalu.

Laporan itu dibuat berikutan pendedahan perbualan aplikasi WhatsApp Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang didakwa mendedahkan wujud permintaan "untuk mendapatkan wanita" sebagai habuan dalam urusan dengan kerajaan negeri.

Laporan ini hanya beberapa bulan selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 12 Disember tahun lalu mengingatkan kerajaan negeri dan agensi di bawahnya agar tidak menyalahgunakan kuasa sekaligus terlibat dalam kegiatan rasuah.

Titah baginda, sekiranya rasuah berlaku ia akan mendorong kepada kemerosotan ekonomi, ketidakstabilan politik dan wujud ketidakpuasan hati dalam kalangan rakyat.

“Jika tidak dibendung gejala rasuah ini dengan serius, maka akan timbul ketidakpuasan hati rakyat, yang mana ekonomi negeri akan menurun dan timbul pula kemiskinan serta berlaku politik yang tidak stabil.


“Apabila rasuah ini dibiarkan berleluasa, maka hasil negeri akan disalahgunakan dan pendapatan negeri akan lesap … justeru rakyat tidak akan berpuas hati, negeri akan menjadi kacau bilau dan rakyat tidak dapat hidup dengan selesa dan harmoni,” titah Sultan Sharafuddin pada Istiadat Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran Negeri Selangor bersempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-70 yang disambut semalam, di Istana Alam Shah.

Menurut laporan, Rafizi dalam perbualan itu didakwa mengatakan menerima aduan bahawa selain wang yang diminta untuk urusan dengan kerajaan negeri, terdapat juga permintaan untuk mendapatkan wanita.

Namun, hairan juga apabila Rafizi mahu menyerahkan bukti berlakunya rasuah kepada pemimpin tertinggi PKR, bukannya terus kepada Suruhanjaya Pencegahan rasuah Malaysia (SPRM).

Apakah Rafizi melihat isu ini sebagai isu parti atau kepemimpinan dalam PKR semata-mata atau menyelamatkan pentadbiran pembangkang negeri Selangor?

Atau apakah Rafizi melihat kepentingan menyelamatkan parti PKR di Selangor lebih penting daripada mendedahkan berlakunya rasuah di negeri yang ditadbirkan oleh antara pemimpin tertinggi PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali?

Setiausaha Agung PKR itu berkata semalam , dia akan mengemukakan bukti berhubung dakwaan rasuah dalam kerajaan Selangor kepada presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada mesyuarat PKR hari ini.

Rafizi berkata, setiap kes berkaitan disiplin akan dibawa kepada biro disiplin parti dan tindakan selanjutnya akan diambil terhadap mereka yang didapati bersalah.

"Saya akan menyerahkan segala bukti kepada beliau (presiden) dan kita akan menunggu perbincangan dalam parti sebelum membuat keputusan untuk melaporkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen semalam.


Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dalam kenyataan 20 Mei lalu menafikan tuduhan salahlaku membabitkan pentadbirannya susulan pendedahan transkrip perbualan WhatsApp Rafizi itu.

Azmin menyifatkan tindakan tersebut sebagai kempen cubaan memburukkan pentadbirannya yang diusahakan oleh pihak tertentu.

“Ini merupakan satu tuduhan jijik yang tidak disokong oleh sebarang bukti. Ia juga satu kempen fitnah yang terancang terhadap kerajaan serta kakitangan awam di Selangor.

“Dalam melaksanakan serangan jahat dan semberono ini, orang yang menuduh sebenarnya telah mencemarkan nama baik, maruah serta integriti perkhidmatan awam negeri,” kata Azmin.

Hendaknya jika benar-benar Rafizi atau yang ‘sewaktu’ dengannya mempunyai maklumat, rasuah perlu dibanteraskan.


Bukankah ini akan membawa keyakinan kepada rakyat Selangor dan Malaysia amnya bahawa partin dan pemimpin PKR tidak akan bertolak ansutr dengan rasuah?