Tuesday, February 9, 2010

DI MANA KEIKHLASAN NIK AZIZ

TIADA angin masakan pokok bergoyang. Tetapi ada masanya, pokok tidak perlu menunggu angin untuk bergoyang. Jika ada tangan-tangan kasar menggoncang, maka bergoyang juga pokok. Jika ada monyet-monyet nakal melompat dari dahan ke dahan pokok, maka akan bergoyang juga pokok itu.

Lebih daripada itu, pembangunan pesat menyaksikan jentolak bukan setakat menggoyangkan pokok malah mampu mencabut hingga ke akar.

Begitu halnya dalam kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kelmarin. Biarpun tidak diketahui apa puncanya beliau sekonyong-konyong inginkan Pas dan UMNO berbincang - tetapi tidak boleh dinafikan ada muslihat di sebalik pendirian terbaru itu.

Semestinya punca kenyataan tersebut bukan sekadar angin, atau tangan-tangan kasar, jauh sekali monyet-monyet nakal.

Tetapi ada kemungkinan ia disebabkan oleh jentolak yang semakin mara 'merebahkan' satu demi satu kekuatan dalam Pas tanpa menoleh kebelakang lagi.

Senario itu pasti membimbangkan. Sebuah parti yang satu ketika dulu dihormati kerana konsistensi perjuangannya dan barisan pemimpin yang bulat tekadnya, kini semakin hilang arah.

Krisis dalaman tidak mampu disembunyikan daripada pengetahuan umum, apatah lagi konflik yang secara terang-terangan dipertontonkan umpama wayang pacak yang masih mempunyai peminat biarpun dalam era teknologi maklumat.

Di Selangor, pertentangan di kalangan barisan kepimpinan Pas negeri sangat jelas. Di Kelantan begitu juga.

Di peringkat pusat pun sama - konflik antara Dewan Ulama dan barisan kepimpinan muda menjadi rahsia terbuka sejak beberapa tahun lalu. Istilah kronisme yang satu ketika dulu ditujukan khas kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) kini dikongsi parti itu. Tidak terhenti setakat itu, tali yang mengikat hubungan Pas dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP juga semakin longgar memburukkan lagi krisis dalaman parti itu.

Antara Pas dan DAP sememangnya tidak pernah ada titik pertemuan. Pertentangan antara cita-cita penubuhan negara Islam dan gagasan Malaysian Malaysia amat diketahui. Secara prinsipnya, perjuangan kedua-dua tidak akan pernah boleh menjadi satu aliran. Sehingga sekarang pemimpin DAP, Karpal Singh masih tega dengan kata-kata 'over my dead body' jika Pas mahu melaksanakan penubuhan negara Islam.

Begitu juga Lim Kit Siang. Tidak pernah ada kata-lata aluan tentang matlamat suci Pas itu. Pendirian serta matlamat DAP jelas dan tidak pernah berganjak sedikit pun. Bagi mereka Malaysia tidak akan menjadi negara Islam selama-lamanya. Hukum-hakam Islam tidak akan menjadi teras Perlembagaan negara jika nasib menyebelahi pakatan pembangkang untuk menubuhkan kerajaan.

Meskipun Lim Guan Eng menjadikan Khalifah Umar Al-Aziz idolanya, namun untuk menerima idea penubuhan negara Islam tidak sama sekali. Dalam banyak hal kedudukan pemimpin Islam sendiri tidak dihargai. Percanggahan itu nyata dan tidak boleh dinafikan biar pun barisan pemimpin Pas berwajah manis memberitahu antara Pas, DAP, PKR sepakat tetapi hakikatnya tidak begitu.

Alasan

Atas alasan itulah, ada kumpulan dalam Pas yang menyanggah idea bekerjasama atau membentuk pakatan dengan DAP. Ada kumpulan yang lantang bersuara supaya dikaji semula hubungan sulit Pas-DAP. Mengapa Pas (yang memperjuangkan Islam) bermati-matian mahu bekerjasama dengan DAP?

Nik Abdul Aziz ada jawapannya. DAP tidak tahu mengenai Islam maka segala-galanya menjadi wajar, berbanding UMNO yang sememangnya Islam tetapi menurut beliau tidak melaksanakan Islam, justeru sewajarnya ditentang.

Penjelasan itu dibuat ketika cakap-cakap mengenai adanya perbincangan antara segelintir pemimpin Pas dan UMNO mengenai masa depan orang Melayu dan umat Islam.

Ketika itu apa saja idea mahu mempertemukan pemimpin Pas dan UMNO ditentang, disanggah dan ditolak mentah-mentah. Bagi Mursyidul Am Pas itu, UMNO tidak selayaknya duduk semeja dengan parti itu. Pas hanya layak bekerjasama, berpakat dan bergabung dengan DAP dan PKR - tetapi tidak dengan UMNO.

Pas boleh bersekongkol dengan bukan Melayu dan bukan Islam tetapi tidak boleh semeja rundingan dengan Melayu dan Islam yang berbeza parti dengan mereka. Itu pendirian jelas Nik Abdul Aziz. Mukadimah untuk membentuk perpaduan Melayu yang diterajui oleh dua parti terbesar mewakili bangsa Melayu dan umat Islam ditutup dengan kata penyudah yang amat muktamad - tidak akan ada masa depan untuk rundingan antara Pas-UMNO.

Penutup itu menyaksikan Pas biar pun kelihatan sangat kekok dan janggal meneruskan kerjasama dengan DAP sambil cuba mengukuhkan ikatan dengan PKR. Biar pun amat jelas pakatan yang dijalin semakin rapuh disebabkan konflik dalaman dan percanggahan terang-terangan di kalangan barisan kepimpinan masing-masing.

Terlalu banyak percanggahan berbanding persamaan. Ketiga-tiga entiti itu hanya bersatu matlamat - untuk menumbangkan kerajaan BN, tetapi pada masa yang sama tidak ada jalan sehala demi mengorbankan prinsip perjuangan masing-masing.

Sebab itu, apabila Nik Abdul Aziz membangkitkan perihal sudah tiba masanya Pas dan UMNO duduk semeja berbincang, pasti ayat-ayat itu dilontarkan dalam sedar. Bukan bermimpi atau mengigau jauh sekali ajak-ajak ayam. Pasti ada puncanya apabila secara tiba-tiba perseteruan Pas-UMNO yang menurut Mursyidul Am Pas itu telah berlarutan 50 tahun mahu ditemukan di meja rundingan.

Maka hanya sekarang? Mengapa tidak dua atau tiga tahun lepas atau sekurang-kurangnya bernada positif ketika orang kuat parti itu memulakan mukadimah perpaduan dengan UMNO sedikit masa dulu?

Adakah keikhlasan di sebalik pelawaan itu? Jika ada, di mana tahapnya? Sekadar ajak-ajak ayam? Atau mahu mempermainkan perasaan dan memperlekehkan usaha menyatukan orang Melayu di bawah platform dacing dan bulan? Ini kerana Mursyidul Am itu sebelum ini tidak pernah kisah perseteruan antara Pas-UMNO. Tidak pernah ada nada positif apabila bercakap mengenai kerjasama antara kedua-dua parti - sedangkan bersama bukan untuk bergabung parti sebaliknya memperkukuhkan usaha memartabatkan kedudukan Islam dan Melayu.

Semestinya usaha itu tidak disenangi rakan sebantal - DAP. Untuk menjaga hati DAP, apa salahnya dikorbankan Melayu. Apa salahnya ditolak tepi agenda duduk semeja dengan UMNO seperti sebelum ini? Itukah pendirian yang sedang cuba dikendurkan oleh Nik Abdul Aziz?

Persoalan itu mesti dijawab secara ikhlas oleh pemimpin Pas. Jika Mursyidul Am itu menentang hebat idea Datuk Seri Hadi Awang untuk bermuzakarah dengan UMNO, mengapa sekarang muncul pula gesaan di pihaknya supaya dua seteru itu duduk semeja?

Bukankah kedengaran pelik dan janggal? Penjelasan lanjut Nik Abdul Aziz semalam menceritakan paras keikhlasan menimbulkan idea mengajak pemimpin UMNO duduk berbincang.

Menteri Besar Kelantan itu mahu rakan-rakannya - DAP dan PKR turut dilibatkan. Maknanya perbincangan yang melangkaui isu Melayu dan Islam itu mesti mendapat restu sekutu Pas. Di meja mana rundingan seperti itu boleh dilaksanakan? Bukankah DAP tidak akan bersetuju manakala PKR yang penasihatnya memusuhi UMNO, pasti menolak sama sekali untuk duduk di meja yang sama.

Perlukah perbincangan mengenai Islam dan Melayu melibatkan pemimpin DAP yang semestinya menentang keras apa sahaja agenda berkaitan perkara itu?

Dalam hal ini, barisan kepimpinan Pas perlu ikhlas, jelas dan tegas. Jangan disentuh soal pertemuan dan perbincangan jika ia hanya bertujuan mencetuskan reaksi dan keterujaan.

Goyang

Jangan juga diajukan cadangan seumpama itu hanya kerana kedudukan serta sokongan terhadap Pas dilihat semakin goyang. Maka untuk mengalih tumpuan dan isu, UMNO menjadi sasaran dan diumpan. Pemimpin Pas mungkin menjangkakan sambutan memberangsangkan di pihak UMNO. Selepas itu hasrat tersebut dibatalkan, silap-silap haribulan UMNO pula ditempelak dan dipersalahkan.

Perihal Melayu dan Islam bukan saja melingkari ahli-ahli Pas-UMNO. Ia melibatkan rakyat majoriti, justeru setiap cetusan idea untuk menyatukan parti-parti yang terlibat ke arah memartabatkan Melayu dan Islam sememangnya ditunggu-tunggu.

Perjuangan itu bukan bersifat bermain pondok-pondok. Hari ini bina pondok, esok dirobohkan dan bina pondok lain. Hari ini merajuk, esok dipujuk, boleh berbaik semula. Perihal penyatuan bangsa dan memartabatkan agama menuntut kesungguhan. Ini kerana jika Melayu dan Islam tidak lagi percaya kepada parti-parti yang mendakwa berjuang ke arah itu, sukar untuk mengembalikan keyakinan mereka.

Pas pernah meneroka kerjasama UMNO demi memperkukuhkan kedudukan bangsa dan agama. Biarpun tidak bertahan lama tetapi percubaan itu cukup terpahat di hati orang Melayu dan umat Islam. Ia bukan mustahil dilaksanakan sekali lagi - mesti ada kesungguhan, paling penting keikhlasan. Kedua-dua nilai itu semakin menyusut dan hanya boleh dikembalikan oleh barisan pemimpin Pas-UMNO jika mereka benar-benar serius mahu mengangkat kedudukan bangsa Melayu dan umat Islam.

Utusan Malaysia

PISANG AKAN BERBUAH DUA KALI?













Yang mana satu ni?

PAS mula nak klu-klek semula dengan UMNO?

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam berkata PAS bersedia berbincang dengan UMNO dalam perkara yang parti pembangkang tersebut dapat bekerjasama.

Ini termasuklah isu-isu yang berkaitan dengan keselamatan negara, ekonomi, agama dan politik.

"Kita tidak berperang. Kita berhujah, berdebat dan berbincang namum kita akan tegur kerajaan dalam perkara yang kita tidak bekerjasama,” katanya di Kuching semalam.

Semalam Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat mahu UMNO dan PAS menghentikan pertelagahan mengenai politik, sebaliknya duduk semeja bagi membincangkan isu-isu berkaitan agama Islam.

Nik Aziz boleh berubah seperti cuaca – sekejab cerah, sekejab mendung. Kemudian mungkin hujan dan petir terus. Yang basah kelak ialah UMNO!

Lagipun, semalam Nik Aziz awal-awal lagi sudah menetapkan syarat, iaitu tidak melampaui isu-isu yang hanya berkaitan Islam.

Maksudnya, isu lain tidak ada dan tidak boleh!

Walaupun Hadi membuka ruang, pengalaman lalu sudah jelas menunjukkan Hadi terpaksa tunduk dengan kehendak Nik Aziz.

Kata-kata Nik Aziz bahawa UMNO menghabiskan masa lebih 50 tahun untuk menyerang pergerakan Islam seperti PAS, menunjukkan sikap Nik Aziz yang marahkan UMNO.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Najib menafikannya dan berkata UMNO adalah parti sebenar yang membangunkan Islam di negara ini.

Umum tahu UMNO pernah menyatakan kesediaan berbincang dengan PAS mengenai kepentingan umat Islam selepas idea mengenainya dicetuskan oleh Hadi Awang pada muktamar parti itu tahun lePAS.

Bagaimanapun cadangan itu mendapat tentangan Nik Aziz.

UMNO pastinya masih ingat bagaimana Hadi dan beberapa pemimpin PAS yang menyokong kerajaan perpaduan terpaksa berpusing 360 darjah daripada menyokong Hadi – akhirnya tutup mulut.

Mungkin kerana inilah Najib mengatakan PAS perlu lebih tegas dalam pendiriannya sebelum membuat tawaran untuk berbincang dengan UMNO mengenai sebarang isu.

Kenapa Najib katakan demikian?

Presiden UMNO itu sebenarnya sudah masak dengan sikap PAS. Kerana itulah bagi Najib, pendirian tegas PAS amat diperlukan sebelum sebarang keputusan dibuat kerana pengalaman sebelum ini membuktikan PAS tidak konsisten dan selalu berdolak-dalik.

"Saya tak tau nak kata apa sebab pendirian dia (Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) ni bertukar macam cuaca, ada masa dia setuju, ada masa tak setuju.

"Saya nak tunggu pendirian yang tegas oleh PAS, jadi bila dia bersikap dolak-dalik ni susah nak cerita," katanya semalam.

Najib berkata, pendirian tidak tegas dan sikap berdolak-dalik pemimpin PAS membuatkan UMNO tidak boleh membuat keputusan atas pelawaan itu ketika ini.

Melihat kepada sikap Nik Aziz semalam dan kenyataan Hadi yang terlalu terbuka, rasanya apa yang diperkatakan ini akan hanya tinggal kaa-kata.

Benar juga kata Najib, PAS yang mencadangkan dan dialah sepatutnya menentukan pendirian dan apa yang patut dibincangkan.

UMNO sebagai parti yang menerima pelawaan sepatutnya boleh menentukan tajuk atau bidang apa tetapi sebaliknya PAS melalui Nik Aziz sudah menetap awal-awal tajuknya.

Jika Nik Aziz tidak berganjak, rasanya UMNO tidak usahlah membuang masa, nanti kelak pisang akan berbuah dua kali!