Tuesday, July 7, 2009

KHAIRY - RAMAI PEMUDA PAS KECEWA DAN MAHU BERALIH SOKONGAN

Pergerakan Pemuda Umno mendedahkan bahawa ramai anggota Pemuda PAS yang kecewa dengan krisis kepimpinan parti pembangkang itu, terutama dalam berkaitan isu kerajaan perpaduan, yang "memberi isyarat" akan beralih arah menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Manik Urai 14 Julai ini.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata Isnin, beliau baru sahaja mendapat maklumat berhubung kewujudan kumpulan itu yang cukup ramai bilangannya, dan akan mengatur perjumpaan segera dengan mereka.

Katanya beliau memandang serius perkara itu dan akan berusaha mendapatkan maklumat lanjut mengenainya untuk mengetahui sekiranya sokongan kumpulan itu kepada BN akan dibuat secara senyap atau secara terbuka.

"Saya tidak mahu dedahkan perkara ini secara terperinci kerana ia masih di peringkat awal perbincangan dengan kumpulan ini," katanya pada persidangan media di Pusat Operasi BN Manik Urai.

Katanya Pemuda BN akan bergerak seiring untuk menarik lebih 3,000 pengundi muda di kawasan berkenaan, yang sudah didekati semasa perlaksanaan Program Pemuda Masuk Kampung baru-baru ini.

Pilihan raya kecil Manik Urai pada 14 Julai ini yang diadakan berikutan kematian wakil rakyat dari PAS Ismail Yaacob pada 22 Mei lepas, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Tuan Aziz Tuan Mat dan calon PAS Mohd Fauzi Abdullah.

MANEK URAI: TIGA FAKTOR BN DITERIMA RAKYAT

Sumber: Berita Harian Online/Bernama
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed, berkata beliau yakin Barisan Nasional (BN) akan diterima penduduk di Manek Urai berdasarkan tiga faktor utama.

Faktor-faktor itu, ialah kelebihan calon BN berbanding calon Pas, sokongan daripada penyokong wakil rakyat Pas yang terdahulu di Manek Urai dan perubahan yang sedang dilakukan kerajaan BN di peringkat nasional, katanya selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan di SMK Sultan Yahya Petra 1, di sini, hari ini.

Pilihan raya kecil itu pada 14 Julai ini membabitkan pertandingan satu lawan satu antara calon BN dan Pas.

Mustapa, yang juga pengarah jentera pilihan raya kecil BN Manek Urai, berkata calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, adalah bekas seorang pegawai Kesedar, manakala lawannya Mohd Fauzi Abdullah dari Pas adalah seorang pemborong ikan.

Bagi faktor kedua, katanya, wakil rakyat di situ sebelum ini, Ismail Yaakob daripada Pas, yang meninggal dunia pada 22 Mei lalu, mempunyai ramai pengikut peribadi yang mungkin mengalihkan sokongan mereka kepada BN.

"Satu lagi faktor ialah penduduk Manek Urai akan menilai perubahan di peringkat nasional. Ini akan beri tiupan semangat kepada kita," katanya merujuk kepada perubahan pada pucuk pimpinan negara yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata apa yang lebih penting pada masa ini ialah jentera parti perlu bekerja keras meyakinkan pengundi terutama pengundi atas pagar.

"Ini bukan kerusi mustahil (untuk BN menang) dengan syarat semua kerja keras," katanya.

Seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata Tuan Aziz mempunyai kelebihan dalam pengurusan berdasarkan pengalamannya selaku pegawai Kesedar.

"Saya yakin beliau akan diterima baik oleh pengundi. Masalah yang dihadapi pakatan pembangkang di beberapa negeri yang diperintahnya juga mungkin menjejaskan keyakinan pengundi," katanya.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pula berkata, pergerakan itu akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan calon BN, terutama dalam mengembalikan sokongan golongan muda.

"Tuan Aziz selain anak tempatan, adalah Ketua Pemuda Umno Kuala Krai dan ini memberi kelebihan kepada jentera Pemuda untuk bekerja dengan lebih gigih lagi," katanya.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata rakyat kini dapat menilai bahawa Pas lebih banyak beretorik daripada membangunkan negeri dan kawasan yang diwakili parti itu.

"Dalam tinjauan Wanita di Manek Urai, mereka (pengundi) sudah menyatakan sudah bosan dengan cara Pas mentadbir dan membuat janji kosong semata-mata," katanya.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, yakin Tuan Aziz bakal mencatat kemenangan kerana calon BN itu diterima rakyat di Manek Urai.

CIKGU RAHIM, TAK GUNA KALAU SETAKAT FAHAM SAJA

Hari ni sebelum kamek nak citer pasal 20 sifat Nik Ajis, kamek nak citer pasal 2 orang pemimpin PAS yang mengarut dalam akhbar Sinar Harian hari ini.

Pertama, citer pasal Dato Wan Rahim"Cikgu Rahim"(bekas ahli parlimen kuala krai dan bekas speaker Dun kelantan) yang bagitahu bahawa calon Pas(Puji ikan) adalah seorang yang memahami kesusahan rakyat Manek Urai.. Kedua hasrat Ketua Pemuda PAS Kelantan yang suruh Ketua Pemuda UMNO masuk pondok sebab tak faham pemikiran Nik Ajiz..

Kamek nak bagitahu bahawa dulu masa Cikgu Rahim jadi Ahli Parlimen Kuala Krai pun dia hanya faham je kehendak rakyat....Setakat faham tapi tak pernah pikir nak bantu rakyat..PAS ni memang cari calon yang faham sahaja bukan cari calon yang mampu tolong rakyat..jadi tak kisah la cari calon yang hanya ada sijil PMR je..

Kamek rasa nak jadi pemimpin ni kena ada ilmu kerana ilmu lah yang akan menaikkan imej agama.Kalau setakat memahami je Kamek rasa orang Manek Urai pun patut memahami je calon tu...jangan pangkah..Kalau calon tu bagitahu ape-ape pada rakyat Manek Urai maka haruslah rakyat Manek Urai jawab"faham ustaz"tapi tak payah pangkah...

calon BN Tuan Aziz Tuan Mat lagi memahami kehandak rakyat dan kesusahan rakyat tapi apa yang beliau buat adalah bantu rakyat manek urai...Ramai dah orang Pas dan atas pagar di Manek Urai dah bagitahu bahawa mereka akan pangkah Tuan Aziz kali ni kerana beliau(Tuan Aziz )bantu mereka dahulu pun tak ikut fahaman politik...

Jadi kamek nak bagitahu kalau setakat nak cari calon yang hanya faham sahaja kesusahan rakyat baik tak payah pangkah la .Kerja wakil rakyat bukan sahaja wakil kepada rakyat tapi bantu dan bela keperluan rakyat...

Keduanya pasal Ketua Pemuda Pas Kelantan suruh Ketua Pemuda UMNO Kelantan masuk pondok...Kamek nak bagitahu pada orang Manek Urai bahawa tu la kerja Pas..sikit-sikit cabar,sikit-sikit debat.Kamek rasa baik suruh calon pas tu dulu masuk pondok..tak pun ajak la ust Karpal,ust Lim Kit Siang dan anaknya masuk pondok dulu..ajar la mereka dulu biar mereka faham apa erti Islam yang sebenar..kalau setakat masuk pondok pastu tak amal apa yang dalam kitab kamek rasa Allah pun marah..

Apa lebihnya pondok? dulu pondok adalah institusi yang suci dan tempat manusia mencari ilmu samada fardhu ain mahupun kifayah akan tetapi bila Pas memerintah maka Nik ajiz lah yang mempengaruhi tok guru -tok guru pondok agar bermain politik maka sekarang lihatla..

tok guru pondok mengeluarkan fatwa mengikut hati dan jiwa mereka ..agama di permainkan.Kadang-kadang kamek tengok Nik Ajiz ni anggap agama ni macam baju dia..sekejap pakai,sekejap buang,sekejap basuh,sekejap jemur..Betul la kalau Sdr Anuar Safian tak faham pun,bukan setakat beliau(Anuar Safian)yang tak faham pasal pemikiran Nik Ajiz malah Haji Hadi dan Nasharuddin Mat Isa (H1N1) pun tak faham pemikiran Nik Ajiz

Kamek harap kita semua pakat pikir la..

Islam bukan terletak diatas pokok,bukan diatas langit dan bukan di bawah laut akan tetapi Islam terletak dalam jiwa dan hati manusia itu sendiri..Bila kita nak Islam itu maju maka hati dan jiwa kita dulu perlu maju.Bila nak Islam itu gemilang maka jiwa dan hati kita dulu kena gemilang...

(tajuk asal - Sebelum ayam berkokok)

Monday, July 6, 2009

KERAJAAN NEGERI KELANTAN CUAI JAGA KEBAJIKAN RAKYAT

Sumber:Utusan Online

Pengundi di Manik Urai perlu menolak calon PAS dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sebagai isyarat bahawa mereka tidak mahu terus hidup dalam serba kekurangan di bawah kerajaan negeri Kelantan yang tidak mampu menjaga kebajikan rakyat negeri itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata pengundi Manik Urai perlu mengambil peluang ini memandangkan kerajaan negeri itu juga gagal menyelesaikan masalah kemiskinan tegar yang melingkari kebanyakan penduduknya sejak hampir 20 tahun menguasai Kelantan dan hanya bergantung kepada peruntukan yang diberi kerajaan pusat.

“Pusing-pusing saja di Kelantan, lihat sendiri, Manik Urai lagi teruk.

Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manik Urai ini peluang untuk rakyat beri isyarat bahawa mereka tidak mahu lagi berterusan begini,” katanya.

Beliau berkata tanpa peruntukan yang disalurkan kerajaan Barisan Nasional (BN) masalah kemiskinan tegar di Kelantan akan bertambah parah.

“Jika tiada bantuan dari kerajaan BN, (kerajaan Kelantan) dah tutup kedai lama dah. Pada tahun 2007 kita belanja dekat RM27 juta. Perbelanjaan negeri hanya RM10 juta.

“Tahun lepas kita belanja RM41 juta, dia hanya RM11 juta.

Tahun ini saja kita dah belanja RM21 juta dia, dia baru RM2 juta tapi riuh rendah cerita dalam ceramah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada 106 penerima yang terdiri daripada kumpulan sasar kementerian berkenaan di Kampung Laloh, di Manek Urai.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lepas. Penamaan calon akan diadakan esok dan jika ada pertandingan hari pengundian pada 14 Julai.

MANEK URAI: 6,000 PELAJAR DAPAT UNIFORM, BEG SEKOLAH

Sumber: Malaysiakini

Seramai 6,142 pelajar sekolah rendah, menengah dan sekolah Arab di Manek Urai mendapat perhatian Kementerian Pelajaran yang akan memberikan mereka bantuan uniform dan beg sekolah secara percuma.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata pemberian itu telah dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada beliau beberapa hari lalu sebagai tanda ingatan kementerian berkenaan.

"Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran telah menyatakan kepada saya untuk memberikan bantuan itu kepada semua pelajar di Manek Urai tanpa seorang pun terkecuali.

"Ini sebagai tanda ingatan daripada kementerian dan juga dapat meringankan beban rakyat di sini," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Pusat Operasi BN di Manek Urai hari ini, lapor Bernama.

Mustapa berkata sebagai permulaan 300 pelajar telah menerima bantuan itu mulai hari ini dan kesemua bakinya akan menerima secara berperingkat.

Sebelum itu Mustapa sendiri telah menyampaikan bantuan itu bagi mewakili Muhyiddin di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru.

Terdapat 10 buah sekolah rendah, 12 menengah dan sebuah sekolah aliran Arab di Manek Urai.

Sementara itu Mustapa meminta majikan baik di sektor kerajaan dan swasta membenarkan kakitangan mereka untuk pulang mengundi memilih wakil rakyat baru DUN Manek Urai pada 14 Julai ini.

"Jangan nafikan hak pengundi dan ini merupakan kesalahan," katanya.

Beliau mengulas kenyataan pengarah pilihanraya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun hari ini yang mendakwa mendapat laporan ada majikan yang tidak akan membenarkan pengundi di Manek Urai untuk pulang menunaikan tanggungjawab itu.

Selain itu Mustapa berkata fasa kedua kempen pilihanraya Manek Urai akan bermula esok yang merupakan hari penamaan calon DUN itu.

Esok Muhyiddin dijangka mengetuai perarakan lebih 10,000 penyokong BN ke pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1.

BN menamakan Ketua Pemuda Umno Kuala Krai Tuan Aziz Tuan Mat, 39, sebagai calonnya manakala PAS meletakkan harapan kepada Bendahari PAS Kuala Krai, Fauzi Abdullah, 50, bagi mempertahankan kerusi DUN itu.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat daripada
PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lalu akibat sakit jantung.

Dalam pilihanraya umum 2008, Ismail menang kerusi DUN Manek Urai dengan majoriti 1,352 undi, menewaskan calon BN Mohamed Zulkepli Omar.

Sunday, July 5, 2009

DALIL TUAN AZIZ KALAH - TAKTIK TERDESAK PENYOKONG PAS


Oleh Bicara Manek Urai


JAHAT 1

Seperti yang telah diketahui ramai calon-calon yang bertanding untuk mewakili pihat BN dan PAS telahpun diumumkan. Tuan Aziz Tuan Mat, 39, diumumkan sebagai calon BN dan tauke ikan tersohor Fauzi Abdullah mewakili PAS. Seperti juga yang telahpun diagak perang saraf terhadap kedua-dua calon ini telahpun bermula dalam dunia maya.

Saya sendiri adalah anak jati Kuala Krai. Semasa meluangkan masa selama 4 hari di Manek Urai dua minggu yang lepas kedua-dua nama ini menjadi sebutan ramai sebagai calon yang paling layak mewakili parti masing-masing untuk bertanding.

Fauzi Abdullah sendiri bagi saya adalah calon pilihan tepat PAS, penjual ikan tersohor yang sememangnya telahpun dikenali ramai. Tiada apa lagi yang saya boleh katakan mengenai Fauzi kerana jika saya menulis berdasarkan cakap-cakap orang tanpa sebarang bukti nyata, maka itu adalah fitnah belaka.

Begitu juga dengan Tuan Aziz, telahpun ada kata-kata fitnah yang dilemparkan terhadap beliau seperti yang ditulis dalam laman web Satu Malaysia. Adakah fitnah ini dilemparkan berdasarkan bukti yang nyata. Satu yakin bahawa penulis yang melemparkan fitnah tersebut tidak sama sekali mengenali Tuan Aziz dengan lebih dekat.

Fitnah 1:
Tuan Aziz didakwa menyalahgunakan kuasanya dan terbabit dalam rasuah

Ini adalah satu kenyataan yang "ambigious" bertujuan hanya untuk mengaburkan mata pembaca.


Fitnah 2:
Tuan Aziz hidup mewah melebihi kemampuannya ketika menjadi CEO Kesedar Perkilangan Sdn Bhd (KPSB). Jawatan ini disandangnya sebelum dilantik menjadi pengurus di Kesedar

Setahu saya Tuan Aziz hidup secara sederhana. Walaupun berjawatan sebagai CEO Kesedar, beliau hanya mempunyai rumah papan satu tingkat di Kuala Krai. Isteri beliau bertugas sebagai guru. Pasal kereta pula, beliau memandu Proton Perdana second hand dan isteri beliau memandu Perodua MyV.


Fitnah 3: Beliau melakukan lawatan yang “meragukan” bersama pegawai-pegawai yang tidak berkaitan ke negara Asean seperti Vietnam dan Thailad untuk tujuan pemasaran

Lawatan itu dilakukan secara rotation oleh pegawai-pegawai Kesedar selepas mencapai kejayaan memasarkan minyak masak di negara-negara Asean. Tuan Aziz sendiri tidak pernah mengikut serta dalam lawatan tersebut.


Fitnah 4:
Beliau menyalahgunakan kuasanya dalam pemberian kontrak-kontrak KPSB dan melobi untuk pembekal baja sewaktu bertanding untuk jawatan Ketua Pemuda Umno Kuala Krai

Keputusan akhir pemberian kontrak tersebut bukan terletak di tangan Tuan Aziz. Lagipun Tuan Aziz tidak perlu melobi untuk medapat sokongan semasa pertandingan jawatan Ketua Pemuda Bahagian. Sokongan beliau pada peringkat akar umbi adalah padu. Lawan Tuan Aziz untuk jawatan Ketua Pemuda Bahagian adalah juga kenalan rapat beliau, Salihin Ismail.
Tambahan pula, dari sumber yang telahpun disahkan, Tuan Aziz juga meminta beberapa cawangan memilih lawannya Salihin sebagai calon Ketua Pemuda Bahagian supaya nanti Salihin cukup bilangan pencalonan. Maka tidak mungkin wujud aksi lobi-melobi seperti dinyatakan.

Kesimpulan:

Perlembagaan menuntut parti-parti yang bertanding supaya berlawan secara demokrasi. Tetapi tidak pula tertulis bahawa demi demokrasi parti-parti berlawan mestilah menabur fitnah untuk mewujudkan perasaan saling membenci. Tambahan pula teramatlah hina jika fitnah itu dilemparkan oleh pendokong-pendokong parti yang memperjuangkan agama Islam, kerana Islam tidak meminta umatnya saling membenci, tetapi saling menyayangi.

Oleh kerana kedua-kedua calon tersebut adalah pilihan terbaik parti, maka sesiapa yang menang sememangnya akan membawa kebaikan kepada penduduk Manek Urai sendiri. Dengan itu tidak perlulah memfitnah atau menceritakan keaiban sesama manusia, sama ada dari pihak PAS. atau UMNO.

JAHAT2

Menjadi kemusykilan kerana fitnah dan tohmahan terhadap Tuan Aziz bukannya datang dari blogger PAS yang bertapak di sekitar Manek Urai, seperti prk-dun-manek-urai dan pemuda-krai.

Sebaliknya fitnah dan tohmahan ini ditulis dalam laman web pro PAKATAN yang bertapak di luar Kelantan. Jika benar Tuan Aziz mempunyai liabiliti, maka blogger tempatan terlebih dahulu akan ketahui dan seterusnya akan mengambil peluang memburukkan Tuan Aziz.

Apa yang saya perhatikan ialah kedua-dua blog PAS tempatan yang tadi dinyatakan sehingga kini langsung tidak mepersoalkan kredibiliti Tuan Aziz. Itu satu petanda bahawa mereka tidak mempunyai bahan yang konkrit untuk membunuh karakter Tuan Aziz.

Sepeti yang telahpun dibincangkan, fitnah dan tohmahan terhadap Tuan Aziz bukannya datang dari blog tempat. Contohnya, saya menemui satu blog bernama MarGeeMar yang semestinya bukan bertapak di Manek Urai. Blog tersebut menggaris 11 dalil UMNO akan menemui kekalahan di Manek Urai. Apa yang menarik ialah di penghujung artikel tersebut penulis menggalakkan para pendokong PAKATAN supaya membuat salinan untuk diedarkan kepada penduduk tempatan Manek Urai, dan saya petik:

Kebenaran diberikan kepada sesiapa jua untuk menyalin blog posting ini ke dalam blog mereka. Tolong juga buat sebeberapa banyak salinan fotostat 11 Dalil ini dan sebarkan kepada warga Manek Urai yang tidak celik komputer sebagai jihad menegakkan Demokrasi dan Kebenaran di Malaysia.

Memang telahpun diagak, permainan kotor sebegini menjadi lumrah pendokong PAKATAN dan PAS. Lagi menyedihkan apabila bahan-bahan fitnah dan tohmahan diedar atas nama jihad dan Islam.

Berbalik kepada 11 dalil, adakah ianya satu petunjuk besar bahawa BN langsung tiada harapan untuk menang, ataupun ianya satu taktik terdesak untuk memburukkan calon lawan. Eloklah kita ikuti kesemua dalil tersebut:


Dalil 1:
Tuan Aziz dikatakan antara calon yang terjempit dalam kemelut masalah Umno di Kuala Krai.
Dalil 2:
Tuan Aziz dikatakan bukan orang yang direstui oleh Ketua Bahagian, Ramzli Abdul Rahman.
Dalil 3:
Budaya ‘cah keting’ yang sinonim dengan UMNO Kelantan juga mungkin akan ‘membantutkan’ peluang BN.

Dalil 1, 2 dan 3 di atas hanya menggunakan perkataan "dikatakan" dan "mungkin" tanpa sebarang kepastian. Setahu saya Tuan Aziz merupakan calon yang menjadi sebutan oleh kedua-dua pihak sejak awal bulan Jun lagi. Sumber dalaman PAS juga menyatakan bahawa PAS sendiri akan menghadapi kesukaran jika Tuan Aziz diletakkan sebagai calon BN.

Dalil 4:
Jentera kempen BN Umno Manek Urai telah berpecah kepada dua kumpulan kerana perebutan kuasa.

Dalil ke-4 ini adalah ulangan kepada dalil ke-3, iaitu budaya "cah keting". Perlu diingatkan bahawa Tuan Aziz diberi sokongan padu pada peringkat cawangan dalam proses pencalonan Ketua Pemuda Bahagian Kuala Krai. Tuan Aziz pernah dengan rendah diri meminta beberapa cawangan tidak mencalonkan beliau supaya lawannya Salihin Ismail memperolehi cukup bilangan pencalonan.

Dalil 5:
Umno sama ada di peringkat Manek Urai mahupun di peringkat negeri berada dalam keadaan yang amat lemah.

Dalil 6:
Umno berhempas pulas merayu simpati pengundi, namun rakyat di Manek Urai terus memperlihatkan sikap dingin terhadap Umno.

UMNO Kelantan diberi nafas baru oleh kepimpinan Tok Pa. Perwatakan Tok Pa yang sederhana dan rendah disegani oleh ramai, sama ada dari penyokong PAS dan UMNO. Saya was-was sama ada penulis dalil ini tahu akan jentera pilihan raya parti, kerana dalam jentera tersebut ada individu tertentu yang bertugas sebagai perayu undi.

Dalil 7:
Tuan Aziz berumur 39 tahun semasa dia meletak jawatan sebagai Pengurus KESEDAR tetapi layak mendapat pencen.

Perkara ini saya belum mendapat kepastian. Seperti yang saya nyatakan, saya hanya berbincang pada fakta, bukannya spekulasi semata-mata.
Dalil 8:
Dilihat sebagai ‘Orang’ Najib Razak dan masyarakat di Manek Urai pada hakikatnya tidak menyukai Najib dan isterinya Rosmah Mansor.

Saf kepimpinan UMNO kembali ampuh selepas Tun Abdullah Badawi meletakkan jawatan. Melihat kepada barisan pemimpin UMNO yang menang jawatan tertinggi, wujud satu persefahaman untuk memberi sokongan padu dan penuh kepada DS Najib. Oleh itu kalau Tuan Aziz bukan orang DS Najib, maka orang siapa lagi?
Dalil 9:
Lawan Tuan Aziz dari PAS Fauzi Abdullah seorang yang amat-amat cakna pada masyarakat sekeliling.

Dalil 10:
Tuan Aziz tidak faham akan keperitan masyarakat Manek Urai kerana dia berkolar putih berbanding dengan lawannya yang berkolar biru seperti majoriti pengundi Manek Urai.

Sebelum dipindahkan ke ibu pejabat Kesedar Gua Musang, Tuan Aziz bertugas di Pejabat Kesedar Kuala Krai yang bertempat di Kampung Pria, dalam DUN Manek Urai. Bidang tugas Tuan Aziz semasa di Kuala Krai pula ialah sebagai Pengurus Kawasan, di mana beliau mendengar rintihan dan keperluan rakyat dan bertindak dengan membawa masuk projek-projek Kesedar ke kawasan pedalaman.

Maka adalah satu tuduhan yang tidak tepat jika dikatakan bahawa Tuan Aziz adalah calon berkolar putih yang tidak cakna kepada rakyat.
Dalil 11:
Fauzi Abdullah mempunyai sebuah Van persendirian yang diwakafkan sebagai Van Jenazah kepada penduduk Kuala Krai. sesiapa sahaja boleh menggunakan Van Jenazah tersebut jika mahu dan tiada bayaran dikenakan.

Keikhlasan Abe Uji mewakafkan Van Jenazah amatlah dipuji. Tetapi jangan pula keikhlasan itu terhakis apabila Van Jenazah yang diwakaf dengan ikhlas telah menjadi bahan politik pula. Tambahan pula sejak bila Van Jenazah menjadi dalil kemenangan atau kekalahan parti.
Kesimpulan:

Pendokong PAKATAN seolah-olah lesu dan tidak bermodal dalam permainan politik fitnah mereka. Seperti yang saya nyata pada awal lagi, pendokong PAKATAN tidak mempunyai sebarang isu yang konkrit untuk memburukkan Tuan Aziz. Kerana jika benar Tuan Aziz merupakan calon berliabiliti kepada UMNO, mereka tidak mungkin hanya menulis 11 dalil sahaja yang maksudnya hampir sama. Ini menunjukkan mereka sebenarnya dalam keadaan terdesak.

RAMZI IKRAR USAHA MENANGKAN BN DI MANEK URAI

Oleh: LUKMAN ABDULLAH (Agendadaily)

Percaturan politik dalaman UMNO sering dikatakan antara punca calon BN bertanding pilihan raya kecil (PRK) kecundang di tangan calon parti pembangkang.

Kalau di Parlimen Permatang Pauh, kita dibisik-bisikkan dengan masalah dalaman kepimpinan UMNO Bahagian tersebut, PRK Kuala Terengganu pula, biarpun calonnya adalah Ketua UMNO Bahagian itu sendiri, pun ada saja yang tidak kena.

Kemudian, PRK Bukit Gantang juga tidak kurang yang bercakap tentang kewibawaan calon dan mempersoalkan calon bukan dari barisan kepimpinan UMNO Bahagian.

Menyelak tabir UMNO Bahagian Kuala Krai di mana akan berlakunya PRK DUN N41 Manek Urai pada 14 Julai ini apakah persoalan sama wujud di situ?.

Semua orang di Kuala Krai tahu, apatah lagi rakyat di DUN Manek Urai tidak menafikan wujudnya calon pilihan puak-puak tertentu, ia telah menjadi perbualan umum.

Calon pilihan pimpinan UMNO Bahagian yang bermula dengan nama Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai Datuk Mohd Ramzi Abdul Rahman, Naib Ketua UMNO Bahagian Che Jalal Muda, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Rohani Abdul Majid dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tuan Aziz Tuan Mat.

Manakala calon ‘swasta’ yang disebut-sebut adalah bekas Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai Datuk Haji Wan Zaid Wan Abdullah, bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Datuk Sayed Ali Saifudin dan bekas calon BN PRU 11 tahun 2004 dan beliau menang dengan majoriti 53 undi, Zulkepli Omar.

Maka wujudlah lobi melobi untuk calon pilihan masing-masing.

Namun akhirnya, pucuk pimpinan UMNO Malaysia membuat keputusan setelah membuat penilaian berasaskan kepentingan ‘Mesra Rakyat’ kerana motto kempen BN di Manek Urai adalah ‘Rakyat didahulukan, Manek Urai diutamakan’ dengan memilih Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Krai Tuan Aziz Tuan Mat@Hamat, 39 tahun sebagai calon DUN N41 Manek Urai.

Adakah suasana ribut taufan dalam cawan akan reda dan kiambang kembali bertaut…persoalan ini dikupas Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai Datuk Mohd Ramzi Abdul Rahman, 51, dalam pertemuan ekslusif bersama Agendadaily baru-baru ini di Pejabat UMNO Bahagian Kuala Krai, Kelantan.

Menyedari hakikat bahawa Manek Urai telah dipilih sebagai tapak titik tolak kebangkitan semula UMNO Kelantan mahupun UMNO Malaysia, Datuk Mohd Ramzi melahirkan rasa amat dihormati oleh pucuk pimpinan malah menganggapnya satu tanggungjawab berat yang terpaksa dipikul bagi membuktikan bahawa segala keburukkan yang digambarkan pada UMNO pada setiap PRK adalah tidak benar belaka.

Sebagai gambaran awal bagi mengenepikan segala titik bengit dan percaturan politik dalaman, Ramzi meluahkan isihatinya di depan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan Datuk Mustapa Mohamed dan lebih 3000 khalayak umum semasa hari pengumuman Tuan Aziz sebagai calon di Pusat Operasi Bersepadu PRK DUN Manek Urai di Kampung Sungai Sok Luar.

Antara petikan ucapan komitmen beliau sebagai pucuk pimpinan UMNO Bahagian Kua Krai;

“Saya selaku kepimpinan UMNO Bahagian Kuala Krai, kita berikrar kepada Tan Sri Muhyiddin dan pucuk pimpinan parti bahawa sesiapa sahaja yang diumumkan sebagai calon, kita tetap memberi sokongan…kerana yang penting adalah kemenangan UMNO pada 14 Julai ini”
“Kita hendak sapu arang yang diconteng di muka kita, oleh itu dengan berkat kerjasama, perpaduan, kita kena meletakkan kepentingan parti melebihi segala-galanya, Alhamdulillah dengan semangat yang ditunjukkan semua penyokong pada petang ini, saya percaya, InsyaAllah, dengan semangat dan komitmen serta perpaduan kerja kuat kita semua, pada 14 Julai nanti kita akan mencapai kemenangan dan DUN Manek Urai akan menjadi milik kita”.

“Calon mana tidak penting, siapa saja yang diumumkan oleh Tan Sri Muhyddin…itulah calon kita, kita akan bekerja kuat, saya mohon kerjasama daripada semua pekerja-pekerja dan pengundi agar kita memberi sokongan padu pada BN…kita tidak mahu 90 peratus tapi kita mahu 100 peratus”

Berikut adalah transkrip penuh temubual Agendadaily dengan Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai Datuk Mohd Ramzi Abdul Rahman…

AGENDADAILY : Sebagai Ketua UMNO Bahagian, apa pandangan Datuk tentang pemilihan calon DUN Manek Urai yang diumumkan.

DATUK MOHD RAMZI ABDUL RAHMAN : Kita sudah umum calon, menjadi tanggungjawab UMNO Bahagian Kuala Krai untuk memikul tanggungjawab itu terutama untuk memenangkan calon BN.

Ini tidak ada ‘compromise’… kita mesti ‘go all out’ untuk memenangkan calon kita.
Sekarang ini calon (Tuan Aziz) adalah imej kita, imej UMNO Malaysia, UMNO Kelantan dan juga imej UMNO Kuala Krai.

Itulah yang saya jelaskan depan semua kepimpinan, jentera dan ahli parti bahawa soal calon ‘STOP’…saya tidak mahu bincang, sekarang apa yang penting kita mesti ‘all out’ untuk kita menang PRK Manek Urai ini.

Mungkin ada yang tidak puashati serba sedikit tetapi kita kena ‘perbaiki’ perkara seumpama ini…tetapi apa yang penting ialah peluang di PRK Manek Urai memang ada, semangat di kalangan rakyat untuk berubah pun ada, ianya nampak berbeza ‘mood’nya berbanding semasa PRU 2008.

Tapi kita kena ‘go all out’…dari segi pemimpin dan jentera UMNO kena benar-benar fokus bekerja untuk memenangkan calon parti kita,

PRK Manek Urai ini, ‘result’nya akan beri kesannya bukan sahaja pada UMNO/BN negeri tetapi keseluruhan Malaysia.

AGENDADAILY : Datuk ulas tentang calon Tuan Aziz yang dikatakan bukan pilihan utama Datuk.

DATUK MOHD RAMZI ABDUL RAHMAN : Sekarang tidak timbul soal pilihan utama saya. Tak perlu dibangkitkan lagi dan saya sudah kata kepada umum supaya ‘STOP’.

Pucuk pimpinan sudah putuskan, sekarang masa kita kerja kuat…’all out’. Saya sudah nyatakan sikap bahawa kita kena patuh kepada keputusan pucuk pimpinan parti, itu lebih penting.

Semasa berceramah di Kampung Manjoi, saya sendiri mula memperkenalkan calon Tuan Aziz, kerana saya percaya dengan latarbelakang pendidikan dan ditambah lagi beliau adalah pegawai saya di Kesedar.

Saya rasa Tuan Aziz berkemampuan menunaikan tanggungjawabnya sekiranya rakyat pilih beliau sebagai Wakil Rakyat di Manek Urai.

Saya mahu semua jentera seluruh peti undi yang terdiri dari Wanita, Pemuda dan Puteri kena fokus sekarang ini untuk memenangkan calon kita, tidak timbul perkara lain kecuali calon kita ialah Tuan Aziz, kita kena menangkan, kita kena pikul amanah dan tanggungjawab supaya calon kita menang.

Saya sendiri akan bawa Tuan Aziz untuk diperkenalkan kepada rakyat Manek Urai. Kita harapkan ialah kemenangan.

AGENDADAILY : Bila pucuk pimpinan UMNO negeri Datuk Mustapa Mohamed meletakkan suatu harapan tinggi di PRK Manek Urai. Beliau letakkan Manek Urai merupakan tapak titik tolak kebangkitan semula semangat UMNO Kelantan dan UMNO Malaysia, apakah Datuk merasakan ianya suatu beban dan tanggungjawab besar bagi Datuk untuk melaksanakannya.

DATUK MOHD RAMZI ABDUL RAHMAN : Ianya merupakan satu tanggungjawab besar kerana dalam suasana PRU 12, banyak negeri kita kalah dan beberapa PRK yang melibatkan UMNO, rakyat seolah-olah menolak BN.

Permatang Pauh, kita kalah dan majoriti kita menurun. Parlimen Kuala Terengganu yang kita menang semasa PRU 12 tapi kita kalah pada PRK, begitu juga di Bukit Gantang pun kita menerima kekalahan.

Saya anggap, ianya merupakan satu tanggungjawab besar, bahawa untuk jaga dan menebus maruah parti, kita kena bekerja kuat dan menangkan parti.

Kalau kita hendak berjuang dalam parti, kita kena berjiwa besar.

AGENDADAILY : Di beberapa tempat PRK yang mana UMNO terlibat, dikatakan antara punca kekalahan adalah masalah dalam parti. Masalah calon tidak dapat sokongan dikalangan pemimpin kerana bukan pilihan pucuk pimpinan bahagian, bagaimana di Kuala Krai.

DATUK MOHD RAMZI ABDUL RAHMAN : Di Kuala Krai sebelum ini mempunyai pandangan tertentu tetapi sebagai ahli politik, pucuk pimpinan mempunyai pelbagai sumber dalam menilai dan memilih calon yang sesuai.

Kita perlu mengenepikan perbezaan pandangan dan pendapat dalam soal calon kerana pucuk pimpinan ada perkiraan yang menjurus pada kehendak akar umbi.

Peranan kita ialah mengarahkan semua jentera bekerja kuat sepenuh tenaga untuk pastikan calon pilihan parti kita menang. Ini imej kita, jentera dan semua pihak dalaman parti perlu bersatu dan bekerjasama.

AGENDADAILY : Selepas penamaan calon nanti, corak kempen yang Datuk utamakan.

DATUK MOHD RAMZI ABDUL RAHMAN : Sekarang ini kita fokus pada pengundi, saya tidak mahu terkeliru atau rasa ‘syok’ dengan pihak-pihak yang mewar-warkan bahawa akan menang besar, apatah lagi mereka yang tidak mengundi.

Kita dengan melihat pada fakta terutama dari segi jumlah atau angka kajian sikap berapa menyokong UMNO…berapa jumlah penyokong ‘atas pagar’ dan berapa ramai pula penyokong pembangkang.

Kemudian gerak kerja, saya bersetuju dengan pandangan Datuk Mustapa (Tok Pa) bahawa kita kena fokus pada pengundi dengan ‘direct’ pada pengundi dengan lawatan rumah ke rumah, ianya cukup berkesan.

Ceramah-ceramah besar kurang memberi kesan kerana belum tentu pengundi yang hadir.

Sekarang kita beri tumpuan pada konsep rumah ke rumah, kalau menteri dating pun kita lebih suka di bawa ke rumah untuk menemui pengundi berkenal mesra.

Masyarakat Melayu Kelantan terutama di luar bandar akan merasakan amat dihargai dan dihormati bila menteri datang ke rumah, inilah cara yang lebih berkesan.

Banyak PRK yang diadakan, ceramah besar diadakan…ianya dilihat tidak menepati sasaran, usaha kita dengan gerakan Wanita telah menampakkan hasil kerana mereka telah berjalan dengan baik, Puteri telah mula aktiviti dan Pemuda juga mulakan dengan program masuk kampong.

Saya berterima kasih dengan Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Naib Ketua Datuk Razal Ibrahim sudah turun, Ketua Wanita UMNO Malaysia Datuk Seri Shahrizat dan Ketua Puteri Datuk Rosnah pun dah turun padang.

Kita harap tidak ada masalah besar dan kita fokus dengan tugas yang diamanahkan.

AGENDADAILY : Bagaimana dengan jentera parti, apakah mereka telah mendapat sokongan dan bantuan keperluan logistik serta perbelanjaan.

DATUK MOHD RAMZI ABDUL RAHMAN : Jentera parti telah diberi suntikan semangat dan menyediakan segala keperluan asas lebih awal lagi, dua minggu sebelum umum calon kita sudah siap sedia terutama dalam usaha menyediakan bilik gerakan.

Semuanya berjalan baik.

Bagi saya, paling penting dalam menghadapi PRK Manek Urai ini adalah ahli UMNO kena bersatu, kalau tidak bersatu, kita tidak akan capai kejayaan ini.

Lupakan kepentingan peribadi dan fokus pada kehendak parti untuk berjaya dalam pilihan raya ini.

Fokus, bersatu, kerja kuat amat penting.

Dalam PAS bukan calang-calang…mereka ada kerajaan negeri, kita kalah bukan sikit, penyatuan dan perpaduan merupakan tanggungjawab besar dalam menghadapi PRK Manek Urai ini.

''Saya menyeru ke arah bersatupadu untuk memastikan calon kita menang.

Bagi yang berpuak-puak kenalah lupakan, kita tengoklah orang PAS, mereka berbalah macamanapun, bila tiba musim pilihan raya, mereka akan bersatu.

Kita jangan emosi dan terbawa-bawa terutama dalam usaha untuk menangkan calon parti kita,'' katanya.















Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed (kiri) bersama Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan, Datuk Shukry Mohd Salleh (kanan) mendengar pelajar membaca Al-Quran pada Majlis Khatam Al-Quran bagi Parlimen Kuala Krai di Dewan Utama SMK Laloh. Seramai 1,000 orang termasuk 730 pelajar menyertai majlis Khatam Al-Quran itu, --fotoBERNAMA