Tuesday, August 1, 2017

Sogokan Scorpene - Razak Baginda Didakwa Di Perancis


Rakan rapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak didakwa di Perancis berhubung dakwaan menerima sogokan dalam penjualan japal selam kepada Malaysia pada 2002, menurut sumber badan kehakiman kepada AFP hari ini.

Abdul Razak Baginda menasihatkan Najib semasa beliau menjadi menteri pertahanan antara 2000 dan 2008.

Najib menyelia urusjanji bernilai hampir €1 billion (RM5.06 bilion) untuk membeli 2 kapal selam kelas Scorpene dan 1 kapal selam kelas Agosta dari unit limbungan tentera laut Perancis, DCN, yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pertahanan Perancis, Thales.

Siasatan ke atas urusjanji itu dilancarkan pada 2010 sebagai respon kepada aduan daripada kumpulan hak asasi Malaysia, Suaram.

Sebahagian daripada urusjanji itu, DCN bersetuju untuk membayar €30 juta (RM151.81 juta) kepada unit Thales di Asia, Thales International Asia (Thint Asia).

Siasatan mendedahkan sebuah syarikat lain, Terasasi, di mana pemegang utama syarikat itu ialah Razak, menerima bayaran untuk kerja perundingan, tetapi penyiasat percaya ia sebenarnya sogokan.

Razak didakwa di Perancis pada 18 Julai dengan tuduhan “persubahatan secara aktif dan pasif dalam rasuah” dan “penggelapan aset korporat”, kata sumber badan kehakiman Perancis.

Empat eksekutif pertahanan Perancis sudah didakwa sejak siasatan bermula.

Mereka adalah 2 bekas pengerusi DCNI, Philippe Japiot dan Dominique Castellan, dan dua bekas ketua Thint Asia, Bernard Baiocco dan Jean-Paul Perrier.

Keempat-empat lelaki mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terhadap mereka.
Penyiasat Perancis juga sedang melihat dakwaan €114 juta (RM576.86 juta) dibayar kepada syarikat kosong yang berpangkapan di Malaysia, Perimekar, dalam urusjanji itu. 

Syarikat tersebut ketika itu dikawal isteri Razak.

Bagaimanapun, pembayaran itu mungkin di luar bidang kuasa penyiasatan itu kerana ia tidak dibuat kepada sebuah syarikat Perancis.

Hal ini muncul secara hebat pada 2006, apabila seorang perempuan Mongolia yang dikenali Razak – yang dikatakan menuntut bayaran untuk kerja sebagai penterjemah bahasa dalam urusjanji itu – ditembak mati dan tubuhnya diletupkan dengan bahan peledak plastik berhampiran Kuala Lumpur.

Mahkamah Malaysia kemudian membebaskan Razak daripada tuduhan membantu pembunuhan itu, mengundang kecaman dan dakwaan menutup kebenaran oleh pembangkang.

Najib sedang bergelut dengan skandal penggubahan wang melibatkan dana pembangunan ekonomi negara 1MDB yang diasaskannya. 

Tuesday, July 25, 2017

Peneroka Berhutang - Shahrir Tidak Dapat Gambaran Tepat?


Persatuan Anak Peneroka `FELDA Kebangsaan (ANAK) kesal dengan penafian Pengerusi `FELDA, Tan Sri Shahrir Samad berhubung jumlah sebenar hutang peneroka tidak diberikan kedudukan sebenar peneroka `FELDA?

Jumlahnya bukan sahaja mencecah RM100,000 seperti disebut mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Kota Tinggi pada 15 julai lalu, bahkan NGO berakitan FELDA itu boleh membuktikan di sesetengah FELDA hutang peeneroka menghampiri RM170,000

Presiden ANAK, Mazlan Aliman berkata, selaku pengerusi FELDA, Shahrir sepatutnya memperoleh gambaran tepat mengenai jumlah hutang seramai 94,956 peneroka yang masih bersama agensi itu.

"Isu timbunan hutang peneroka adalah sesuatu yang diketahui umum,” katanya.

Shahrir baru-baru ini dilapor menafikan kenyataan Pengerusi Parti Peribumi Bersatu (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa ramai peneroka menanggung hutang lebih RM100,000 seorang.

Menafikan perkara itu, Shahrir  berkata: “Itu tidak benar, sudah dijawab di Parlimen (jumlah hutang keseluruhan peneroka) RM5.1 bilion.

“Jika pemimpin utama bercakap pun tak betul, bagaimana anda nak meraih sokongan di `FELDA.

Bagaimana anda kata berjuang untuk peneroka dan boleh (berkhidmat) dengan lebih baik tetapi tidak tahu situasinya?” soal Shahrir.


Mazlan bagaimanapun menafikan kenyataan Shahrir sambil menyatakan insentif yang diumumkan Datuk Seri Najib Razak kelmarin  tidak akan menyelesaikan sengsara peneroka `FELDA akibat beban hutang terlalu tinggi.

Antara insentif diumumkan Najib termasuk melupuskan hutang bernilai RM5,000 setiap peneroka dan dana khas pelupusan lebihan hutang tanam semula berjumlah RM300 juta bagi tempoh lima tahun antara 2017 hingga 2021.

"Adakah Shahrir maklum, kes yang diadukan kepada saya beserta penyata yang dilampirkan, ada peneroka yang terpaksa menanggung kos faedah atas pinjaman sahaja bernilai RM47,000.

Mazlan berkata, selagi isu hutang peneroka tidak diselesaikan, gesaan agar kira-kira 17,000 peneroka kembali bersama `FELDA dalam tempoh enam bulan ini tidak akan berkesan.

Pada masa ini, terdapat seramai 17,679 peneroka mengusahakan ladang mereka secara bersendirian tanpa dikawal dan berhutang dengan FELDA.

"Jika mereka bebas daripada hutang dan beroleh pendapatan lebih baik, apa alasan untuk mereka bersama FELDA?

Seharusnya, kerajaan berterima kasih kepada 17,000 orang peneroka ini yang hakikatnya memenuhi hasrat dan dasar `FELDA ditubuhkan, tegasnya.
Selain itu, tindakan mengasingkan mereka dan dinafikan daripada mendapat sebarang insentif adalah suatu diskriminasi.

“Ia tindakan kejam yang bertentangan dengan ajaran Islam dan hak asasi yang dijamin perlembagaan persekutuan," katanya. 

Wednesday, July 5, 2017

Subky Latif - 'Haji 1MDB' Itu ‘Haji Robin Hood’?


Oleh Subky Latif
(Tulisan ini disiarkan kali pertama di Harakahdaily)

Bertuahnya sekitar 5,711 orang sejak tahun 2011 dapat menunaikan fardu haji atas tajaan 1MDB. Agaknya tidak termasuk musim haji ini.

Hitung panjang dalam masa enam musim haji yang lalu sekitar 952 dapat jadi haji 1MDB. Untuk itu 1MDB telah berbelanja sebanyak RM56 juta.

Peruntukan itu dikira besar tetapi dibandingkan dengan duit 1MDB yang lesap, ia sekitar beberapa peratus saja. Ibarat nasi yang tersangkut di gigi.

Bergeliga otak pentadbir 1MDB berjaya membantu sewajarnya mereka yang tidak mampu atau yang belum cukup simpanan di Tabung Haji untuk menunaikan rukun Islam itu.


Jika semua badan GLC dapat mengikut kemurahan hati 1MDB itu nescaya lebih ramai umat Malaysia yang bertuah. Mungkin KWSP, PNB, Amanah Raya, TNB, PKNS, Bank Negara, Bank Rakyat dan lain-lain dapat mencontohi 1MDB.

Jika tidak sampai menaja 200 orang setahun, sekurang-kurangnya 100 setahun pun amat digalakkan.

Tidak ada curang

Ketika PAS memerintah Terengganu antara 1999 hingga 2004 ia menyewa hotel di Mekah, menganjurkan pemergian haji.

Kerana penganjuran di bawah syarikat TDM - badan perladangan sawit kerajaan negeri - ramai pekerja yang lama berkhidmat dihantar naik haji percuma. Ia tutup selepas BN mengambil semula kuasa.

Memandangkan 1MDB adalah syarikat pelaburan kementerian kewangan yang dipercayai melesapkan berguni-guni duitnya, maka apa agaknya pandangan panel syariyah badan itu jika ia ada panel syariahnya?

Jika orang naik haji dengan duit loteri dipercayai sah haji, tetapi yang terpilih ke Mekah itu tidak ada curang dengan tadbir 1MDB, kerana yang berangkara ialah 1MDB sendiri.

Mungkin tidak timbul sah atau tidaknya. Dengan duit apa orang bertuah itu naik haji, usah ditanya. Cuma ia dapat haji mabrur atau tidak, mungkin berbangkit.

Jika yang naik haji secara sah pun belum tentu dapat mabrur, yang punca membiayai mereka yang ditakwil itu mungkin baliknya dengan Haji 1MDB saja.

Moga-moga mereka dapat haji mabrur, tetapi yang nyata bagi orang bertuah itu ialah Haji 1MDB.

Sekalipun 1MDB mengeluarkan peruntukan RM56 juta, tetapi ia tidak dapat membasuh debu dan daki yang dihadapinya.

Pada tahun 1970-an ada seorang perompak di Kuala Lumpur bernama Botak Chin. Hasil rompakannya dicurahkan kepada kaum gelandangan.

Ali Baba dan 40 penyamun

Sekalipun dia membuat kebajikan besar tetapi dia tetap diburu kerana jenayahnya. Robin Hood Malaysia itu akhirnya dibunuh.

Robin Hood terkenal sebagai penyamun yang menggunakan hasil rompakannaya bagi membela golongan idak berada, tetapi undang-undang tidak dapat memihak kepadanya.
Sekalipun berjuta dan berbilion diperuntukan 1MDB untuk ribuan haji, tetapi ia tidak dapat menutup angkara lesapnya duit yang diambil daripada kerajaan itu.

Nawaitu 1MDB itu justeru apa?

Lillah-kah atau bagi menghalalkan rompakannya?

Yang berkebajikan dan berpahala ialah yang dibuat kerana Allah. Sebarang amalan yang kerana Allah itu mestilah sumbernya bersih.

Jika berniat seperti Robin Hood tidak dapat diterima bersih nawaitunya, apa lagilah kalau rompakan bernawaitu seperti Ali Baba dengan 40 penyamun.

Memang dalam dunia ini ada orang menggunakan duit syarikat atas nama agama, tapi ia sebagai perisai bagi mengelabui pandangan orang ramai.

1MDB mungkin selepas ini mengadakan alumni haji-haji 1MDB dan setiap haji itu tidak percaya duit 1MDB dirompak.


Untuk lebih glamor, haji yang bertuah itu jadi Haji Robin Hood.

Thursday, June 29, 2017

Berjayakan Cubaan Putrajaya Batal Saman RM100 Juta Keluarga Altantuya?


Segala-galanya dijangka ditentukan pada akhir Julai depan.

Pada 22 Jun lalu ada laporan mengatakan Putrajaya cuba membatalkan saman RM100 juta yang difailkan keluarga Altantuya Shaariibuu yang dibunuh 2 anggota polis.
Kenapa kerajaan mahu membatalkannya? Dan kenapa dibuat selepas lebih 10 tahun kes ini berlegar di mahkamah Malaysia?
Persoalan juga, kenapa Sirul Azhar Umar yang disabitkan kesalahan membunuh Altantuya masih tidak diekstradisi ke Malaysia, sehingga kini?
Malah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut digesa mengesahkan jika kerajaan bercadang mengekstradisi Sirul Azhar ke Malaysia.
Perkara ini disifatkan menjadi kepentingan awam dan memerlukan perhatian segera kerana sudah dua  tahun sejak Sirul didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Persekutuan.
Berkaitan hasrat Putrajaya membatalkan sama itu, di pihak keluarga Altantuya, mereka menyifatkan permohonan kerajaan itu sebagai melampau, remeh dan menyusahkan.
Ini kerana bagi mereka kerajaan Malaysia turut bertanggungjawab kerana ia adalah majikan kepada polis terbabit.
Menurut peguam keluarga Altantuya, Ramkarpal Singh, liabiliti defendan hanya boleh ditentukan selepas perbicaraan penuh, di mana bukti akan diserahkan.
Ramkarpal berkata, kerajaan akan membalas afidavit Shaariibuu dan kedua-dua pihak akan terus memfailkan penghujahan bertulis.

“Hakim Mahkamah Tinggi (Ahmad Nasfy Yasin) dijangka membuat keputusannya pada 26 Julai ini,” katanya.
Kerajaan dikatakan memfailkan permohonan itu pada Mac lalu atas alasan saman itu tidak mendedahkan tindakan betul terhadap mereka.
Kerajaan yang merupakan defendan ke-4 dalam afidavitnya berkata, plaintif gagal menyatakan ia bertanggungjawab terhadap tindakan anggota polis, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri.
Peguam bagi pihak keluarga Altantuya, Ramkarpal Singh berkata bapa Altantuya (Shaariibuu Setev) memfailkan 1 afidavit untuk membantah permohonan itu pada minggu lalu.
Shaariibuu berkata, saman yang mula difailkan pada 6 Jun 2007 mempunyai asas dan merit.
“Selain kuasa tindakan dalam tort, saman itu juga terdiri daripada tuntutan tanggungan dan ganti rugi oleh semua defendan,” katanya dalam afidavit yang dilihat FMT.
Shaariibuu bersama isterinya, Altantsetseg Sanjaa dan dua  cucu menyaman kerajaan, penganalisis politik Abdul Razak Baginda, Sirul dan Azilah yang disabitkan kesalahan membunuh.
Keluarga itu mendakwa wujud konspirasi dalam pembunuhan Altantuya.
Perbicaraan saman itu ditangguhkan sementara menunggu penyelesaian kes pembunuhan berkenaan di Mahkamah Tinggi. Selain itu, ada rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Sirul dan Azilah disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 2009 kerana membunuh Altantuya yang dikatakan ialah penterjemah dan model.
Mereka berjaya membatalkan sabitan itu di Mahkamah Rayuan pada 2013, tetapi Mahkamah Persekutuan pada awal 2015 mengembalikan sabitan itu dan menjatuhkan hukuman mati kepada kedua-duanya.
Sirul tidak muncul untuk mendengar keputusan akhir itu dan kemudiannya dia didapati sudah meninggalkan Malaysia. Mahkamah Persekutuan kemudiannya mengeluarkan waran tangkap ke atasnya.
Razak yang merupakan kekasih Altantuya, dituduh bersubahat dalam pembunuhan itu dan dibebaskan pada akhir kes pendakwaan.
Mahkamah memutuskan pertuduhan terhadapnya tidak dapat dibuktikan dan kerajaan bagaimanapun tidak membuat rayuan, tindakan yang mengundang kritikan awam.
Ramkarpal berkata, Sirul yang kini ditahan di sebuah pusat tahanan Australia dan Azilah pula menunggu hukuman mati di Penjara Kajang, tidak mencabar saman itu.

Katanya, peguam mereka sudah menarik diri daripada saman sivil itu, manakala Razak melantik peguam untuk mencabar saman berkenaan.

Tuesday, June 27, 2017

Isu DoJ: Surat Terbuka Kepada Abdul Hadi Hadi Awang


Oleh Ulya Aqamah Husamudin
(Ketua Penerangan ARMADA, Parti Pribumi Bersatu Malaysia)

Surat ini adalah respons kepada surat terbuka Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disiarkan di laman Facebook rasmi beliau.

Pada dasarnya saya setuju bahawa campur tangan asing tidak diperlukan dalam mengendalikan isu negara. Namun begitu, isu 1MDB tidak boleh dipukul sama rata seperti kes-kes yang lain.

Ini kerana skandal 1MDB telah melibatkan banyak negara termasuklah Singapura, Switzerland, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain.

Tindakan badan undang-undang Amerika Syarikat atau disebut sebagai Jabatan Kehakiman (DoJ) adalah kerana wang 1MDB telah diselewengkan di dalam negara mereka dan melanggar undang-undang mereka.

Oleh itu mereka mempunyai hak untuk bertindak dalam kerangka dan bidang kuasa mereka kerana kesalahan telah dilakukan dalam tanah Amerika Syarikat.

Ini bukan isu campur tangan. Ini isu hak Amerika Syarikat mengambil tindakan dalam negara demi memastikan kemungkaran tidak merebak di dalam negara mereka.

Tindakan undang-undang juga telah dilaksanakan ke atas individu-individu yang terlibat dengan penyelewengan wang 1MDB di Switzerland dan Singapura.

Jelas negara-negara ini tidak berkompromi dengan penyelewengan.

Sepatutnya Malaysia sebagai negara Islam mengambil tindakan yang sama bagi mencegah kemungkaran daripada berleluasa. Namun begitu, sewaktu kes 1MDB dibuka, peguam negara. Bagaimana keadilan hendak diangkat?

Maka, saya pohon Abdul Hadi untuk bersama rakan pembangkang yang lain untuk mendesak pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini sendiri seperti saranan Abdul Hadi.

Saya juga berharap dan bersangka baik yang kenyataan Abdul Hadi ini bukan dicetuskan kerana tuduhan blogger pro-BN Raja Petra Kamarudin yang menuduh Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama-sama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Daim Zainuddin membayar DoJ untuk mengeluarkan laporan. Ini kerana perkara ini telah kami nafikan pada sidang media baru-baru ini.

Semoga Allah memberkati Abdul Hadi.

Maaf Zahir Batin, Salam permulaan Syawal.


(Disiarkan oleh FMT, 24 Jun 2017)

Wednesday, June 21, 2017

Isu FGV - SPRM Panggil Isa Hari ini, 60 Sudah DiRakam Percakapan


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakamkan percakapan 60 orang saksi dalam siasatan terhadap Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) setakat ini.

Ketua Pesuruhjayanya Datuk Dzulkifli Ahmad berkata SPRM cuba menyelesaikan siasatan itu secepat mungkin agar kertas siasatan dapat dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan seterusnya dalam masa terdekat.

Hari ini SPRM turut memanggil bekas Pengerusi FGV Tan Sri Isa untuk direkodkan keterangan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki mengesahkan bahawa Mohd Isa dan isterinya Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid akan berada di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada pukul 10 pagi ini (Rabu).

Kemelut FGV mendapat perhatian apabila Mohd Isa dan lembaga pengarahnya mengarahkan  Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Datuk Zakaria Arshad dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan (CFO), Ahmad Tifli Mohd Talha, bercuti bermula 6 Jun lalu.

Selain Zakaria dan Ahmad Tifli, dua lagi eksekutif yang turut diarah bercuti adalah Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim dan CEO FGV Trading, Ahmad Salman Omar.

Susulan itu, SPRM juga memulakan siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam syarikat senaraian awam itu.

Pada 19 Jun, Mohd Isa meletakkan jawatan. Beliau 'berhenti daripada pelantikannya sebagai pengarah yang dilantik kerajaan untuk memberi perhatian kepada tanggungjawab peribadinya.

Sementara itu, Dzulkifli juga menegaskan bahawa siasatan badan bebas itu tidak terikat dengan sebarang keputusan yang dilakukan oleh kerajaan mahupun FGV berhubung penstrukturan semula syarikat berkenaan.


"Siasatan SPRM bebas daripada arrangement (percaturan) kerajaan dan FGV. Kita tidak terikat. Siasatan dibuat mengikut bukti yang ada kerana kita bukan hanya menyiasat tentang Delima Oil Products (anak syarikat FGV) tetapi ada enam isu lain," katanya.

Dzulkifli berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Kerajaan Negeri Pahang yang diketuai Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob di Wisma Sri Pahang di Kuantan, semalam.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, semua exco kerajaan negeri dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki.


Pada Selasa FGV mengumumkan pengunduran Tan Sri Isa Samad selaku Pengerusi syarikat berkuat kuasa serta-merta dan jawatan itu kini dipangku oleh Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

Saturday, June 17, 2017

Baca Dahulu 10 Perenggan Maut DoJ Sebelum 'Bebaskan Najib'...


Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang belum habis membaca keseluruhan 251 muka surat pemfailan mahkamah terbaru oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat berhubung dengan skandal 1MDB.

Walau bagaimanapun, setakat ini beliau telah menemui "10 perenggan maut" dan tertanya-tanya sama ada Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah membaca keseluruhannya sebelum mengisytiharkan tiada apa perkara baru dalam dokumen berkenaan.

"Saya merujuk kepada perenggan 339-348 di bawah tajuk '$681 juta dipindahkan dari akaun Tanore ke akaun milik Malaysian Official 1,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemimpin DAP itu berkata perenggan berkenaan secara langsung mengaitkan wang RM2.6 bilion dalam akaun bank Najib dengan 1MDB tetapi digambarkan sebagai derma dari keluarga diraja Arab Saudi.

Lim juga membetulkan kenyataan Apandi berhubung rasal kesal peguam negara itu terhadap sindiran DoJ terhadap Perdana Menteri.


Apandi semalam membidas DoJ atas "sindiran" terhadap perdana menteri dalam saman sivil pelucuthakan terbaru yang difailkannya minggu ini.

"Kami ingin menyuarakan keprihatinan yang amat sangat terhadap sindiran salah laku jenayah terhadap perdana menteri.

"Tidak ada langsung dalam saman sivil itu perdana menteri dinamakan sebagai defendan atau telah didakwa melakukan sebarang salah laku jenayah," kata Apandi dalam satu kenyataan semalam.

Apandi bertegas bahawa pihak berkuasa Malaysia mendapati tiada salah laku berkaitan dengan 1MDB seperti yang didakwa dalam saman pelucuthakan itu.

Menurut beliau, pihaknya mengambil perhatian bahawa tidak ada bukti dari sebarang penyiasatan yang dijalankan oleh mana-mana agensi penguatkuasaan undang-undang dalam pelbagai bidang kuasa yang menunjukkan bahawa wang telah disalahgunakan dari 1MDB, dan bahawa tidak ada sebarang tuduhan jenayah terhadap mana-mana individu berhubung dakwaan penyelewengan dana dari 1MDB.

"1MDB adalah sebuah syarikat Malaysia dan telah menjadi subjek beberapa siasatan dalam Malaysia, termasuk oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"Selepas semakan, kami mendapati bahawa tidak ada jenayah  dilakukan.

"Pada masa ini masih terdapat penyiasatan yang sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai 1MDB," kata Apandi.

Peguam Negara menyatakan "kekecewaan bahawa sekali lagi Jabatan Peguam Negara tidak diberitahu atau dimaklumkan oleh DOJ berhubung tindakan itu."
  


Lim menegaskan, maklumat DoJ itu menyatakan perdana menteri berbohong mengenai wang RM2.6 bilion yang heboh diperkatakan sebelum ini.

"Untuk maklumat Apandi, DoJ bukan menyindir tetapi secara terbuka dan langsung, kerajaan kerajaan AS berkata perdana menteri telah berbohong apabila mendakwa wang RM2.6 bilion itu sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi," katanya.

"Saya belum selesai membaca semua 251 muka surat saman kleptocratik DOJ itu yang bertujuan untuk merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion berkaitan 1MDB, tetapi saya boleh berkata, bahawa Apandi pastinya salah ketika beliau mengatakan bahawa tiada apa yang baru dalam saman itu.

"Selain daripada maklumat yang menggiurkan tentang apa yang dilakukan oleh Jho Low dengan AS$ 620 juta yang sepatutnya dikembalikan Najib kepada penderma Arab Saudi itu, Apandi harus menyoal sama ada Najib boleh terus menjadi pebagai perdana menteri jika beliau tidak mencabar sepuluh perenggan maut dalam saman itu," katanya.

Najib berulang kali menafikan dirinya menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi dan mendakwa pertuduhan itu dibuat oleh mereka yang mahu menggulingkannya.

Pada Januari tahun lalu, Apandi membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku.

Juga menarik, pada pemfailan kali ini, DoJ tidak lagi menggunakan rujukan “Putera Saudi” dalam saman sivil pelucuthakan 1MDB terbarunya, berbanding pemfailan tahun lalu.


Sebaliknya, pemilik akaun Bank Riyad itu dirujuk sebagai “Saudi Associate 1” dan “Saudi Associate 2”, yang dinyatakan sebagai seorang warganegara Saudi yang bersekutu, hartawan Low Taek Jho dan sekutunya Eric Tan Kim Loong.

Akaun Saudi itu didakwa digunakan untuk memindahkan dana daripada 1MDB kepada Malaysian Official 1 – pegawai kanan kerajaan Malaysia yang dikatakan Najib sendiri.

Najib sudah berulang kali menafikan sebarang salah laku.

Pemfailan terkini itu dibuat pada 7 Jun untuk mendapatkan pelucuthakan sivil sebuah emper di London yang sepatutnya diperoleh Low menggunakan dana 1MDB.

Ini susulan beberapa siri saman pelucuthakan sivil serupa difailkan pada Julai tahun lepas, untuk merampas hak harta intelek filem The Wolf of Wall Street, sebuah pesawat, lukisan-lukisan dan harta tanah yang didakwa DOJ kononnya diperoleh secara salah.

Dalam pemfailan mahkamah DOJ itu dibuat pada 20 Julai 2016, pemegang akaun di Bank Riyad itu dirujuk sebagai seorang putera Saudi yang bersama mengasaskan PetroSaudi International bersama ketua pegawai eksekutif (CEO).

Laporan media sebelum ini menamakan Putera Turki Abdullah Abdel Aziz dan bekas pegawai bank Tarek Obaid sebagai pengasas bersama PetroSaudi. Tarek kini menjadi CEO PetroSaudi.

DOJ mendakwa akaun bank itu digunakan untuk memindahkan AS$20 juta kepada akaun AmBank Malaysian Official 1 pada 2011 dan AS$681 juta lagi pada Mac 2013.

Setakat ini, masih tidak jelas siapa Saudi Associates 1 dan Saudi Associates 2 dan kenapa perubahan itu dibuat serta sama salah seorang daripada pemilik kod nama itu masih merujuk kepada putera Saudi itu.

Sementara itu, pemfailan terbaru DOJ juga menyebut lukisan Claude Monet yang lain berbanding pemfailannya pada 2016.

DOJ kini mahu merampas lukisan cat minyak atas kanvas bertajuk “Nympheas” yang bersaiz 88.5 × 100 sentimeter, berbanding “Nympheas avec Reflets de Hautes Herbes” bersaiz 130 × 200 sentimeter yang disebut sebelum ini.


Perubahan itu susulan laporan Wall Street Journal.

Sumber - Malaysiakini

Wednesday, June 14, 2017

FGV - PPBM, NGO Minta Isa Letak Jawatan, ANAK Sokong SPRM Siasat


Memorandum mendesak Tan Sri Mohd Isa Samad melepaskan jawatan Pengerusi Felda Global Ventures Holding Berhad (FGV) dibuat semalam oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pertubuhan Peneroka Rakyat Malaysia (Peneroka).

Memorandum bersama itu bertujuan mendesak Mohd Isa meletakkan jawatan serta merta tanpa perlu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jika Mohf Isa gagal berbuat demikian, Bersatu dan Peneroka akan menyerahkan satu lagi memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk mendesak beliau memecat Isa.

"Kerugian FGV sebanyak  RM13.4bilion sejak 2012 itu sudah cukup untuk Tan Sri Mohd Isa mengundurkan diri kerana gagal menguruskan FGV dan Felda dengan baik," ujar kenyataan bersama itu.

Penyerahan memprandum itu bersaksikan kehadiran lebih kurang 30 penyokong kedua pihak berkumpul di hadapan bangunan  Menara  Felda  jam 1 tengah hari semalam.

PPBM diwakili Pengerusi Task Force Felda Wan Mohd Shahrir Wan Abdul Jalil dan Presiden Peneroka Junaidy Jamaluddin yang menyerahkan memorandum itu kepada Pengarah Urusan Bahagian Komunikasi FGV Ariff Ahmad Yeop di perkarangan Menara  Felda.

Wan Mohd Shahrir berkata, Pengerusi FGV itu harus mengambil tanggungjawab sepenuhnya dalam kemelut membabitkan kerugian FGV dan anak syarikatnya Delima Oil Products Sdn Bhd bukannya mengambil keputusan mengarahkan empat pegawai kanan pengurusan bercuti.


Sementara itu, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) mengalu-alukan dan menyokong penuh siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kemelut FGV.

Presidennya, Mazlan Aliman berkata, SPRM perlu menyiasat sejauh mana kebenaran isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa membabitkan beberapa tokoh penting Felda dan FGV serta anak-anak syarikat yang tular di media sosial.

"Jika terbukti mana-mana individu didapati ada asas kepada perilaku rasuah, heret mereka ke muka pengadilan, tanpa mengira latar belakang dan kedudukan mereka.

"Tanpa prejudis, Mohd  Isa, Pengerusi FGV paling banyak dikaitkan dengan dakwaan rasuah yang tular di media sosial," tegasnya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM memberitahu Mohd Isa dan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FGV, Datuk Zakaria Arshad antara mungkin dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kemelut FGV.

Kedua-duanya antara lebih 50 individu yang telah dikenal pasti untuk dipanggil ekoran krisis FGV yang menyaksikan empat pengurusan kanan syarikat dipaksa bercuti berkuatkuasa serta-merta, 6 Jun lalu.

Siasatan awal FGV mendapati wujud unsur salah laku dan tidak mengikut prosedur berkaitan isu tunggakan bayaran syarikat Safitex bagi produk Delima Oil Products (DOP).

ANAK, ujar Mazlan, menegaskan kembali gesaan supaya Audit Pengurusan dan Suruhanjaya Bebas dibentuk bagi mengenal pasti punca 'kehilangan' berbilion wang Felda.

"Ia boleh membantu SPRM dan sekali gus memulihkan keyakinan masyarakat Felda terhadap Felda dan FGV. ANAK mencadangkan agar tokoh-tokoh seperti bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Pengerusi Felda, Tan Raja Alias dapat dilibatkan sama.

"ANAK mengharapkan pelantikan Datuk Sri Idris Jala sebagai 'orang tengah' mewakili kabinet tidak mengganggu usaha dan siasatan SPRM. Anak yakin sepertimana pepatah melayu, sepandai pandai tupai melompat, akhirnya, jatuh ke tanah jua," tegas Mazlan lagi.

Sebagai rekod pada 6 Jun lalu, empat pengurus kanannya termasuk Zakaria bercuti serta-merta bagi membolehkan siasatan dalaman dijalankan berhubung dakwaan salah laku urus niaga syarikat.

Selain Zakaria, tiga lagi individu terlibat ialah Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd. Talha; Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Sdn Bhd Kamarzaman Abd Karim.

Pada keesokannya Zakaria tampil di ibu pejabat SPRM di Putrajaya dengan berbekalkan beberapa dokumen berhubung FGV dan beliau memberi keterangan kepada suruhanjaya itu antaranya mengenai isu tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada anak syarikat FGV, Delima Oil Products.

Pada 8 Jun Idris Jala dilantik oleh kerajaan untuk membantu FGV bagi mencari penyelesaian berhubung isu arahan bercuti kepada empat pengurusan kanannya.

Pada 9 Jun sepasukan 25 pegawai SPRM menyerbu bangunan Felda dan mengambil masa selama lapan jam menyelesaikan urusan pengambilan dokumen di pejabat Zakaria yang berada di tingkat 45 bangunan Menara Felda di Ampang.


SPRM juga akan memanggil beberapa saksi termasuk pengurusan tertinggi FGV bagi melengkapkan siasatan berkaitan kemelut agensi itu.

Monday, June 5, 2017

'Isu RM9.5 Juta' Semakin Panas Selepas Spin 'Jerusalem'S Jubilee' Gagal...


Rakyat jangan terpengaruh dengan isu Jerusalem’s Jubilee di Melaka.

Ia mungkin sengaja diada-adakan, Ia cuba diperbesarkan oleh UMNO untuk menutup isu pembayaran RM9.5 juta  oleh Perdana Menteri kepada peguam kanan yang mewakili kerajaan.

Hasilnya maka kecohlah seketika dan kononnya menimbulkan kemarahan UMNO dan PAS mengenai program tiga hari yang dijangka bermula 15 Jun nanti.

Juga timbullah persoalan  kenapa Malaysia dipilih untuk sambutan ke-50 kemenangan Israel menjarah Palestin?

Ramaikah Yahudi di Malaysia? Atau kalau diadakan, mudahkah Yahudi memasuki negara ini?

Isunya apakah Putrajaya dan Kerajaan Melaka sebelum ini tidak tahu langsung mengenainya?

Jelas daripada episod ini ialah ia memang spin politik untuk menutup isu besar iaitu ‘Perdana Menteri membayar wang guaman sebanyak RM9.5 Juta dalam kes rayuan berkenaan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim’.

Kita menghargai usaha Polis Diraja Melaka yang mengadakan perbincangan dan memberikan nasihat kepada pengajur agar perhimpunan Jerusalem’s Jubilee membatalkan perhimpunan tersebut.

Dengan keputusan itu maka isu ini sudah pasti tidak dapat lagi dijadi suatu perbincangan umum yang besar. Ia dengan sendirinya menggagalkan usaha sesetengah pihak untuk mengalih daripada isu RM9.5 juta itu.

Hari ini Ketua Polis Melaka  Datuk Abd Jalil Hassan berkata pihaknya telah memanggil pihak penganjur dan hasil perbincangan, penganjur telah membuat keputusan sendiri untuk membatalkan perhimpunan itu yang dijadual di Cheng pada 15 hingga 18 Jun.

Walaupun ada sedikit keraguan apabila Kerajaan Negeri menerusi Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron menggesa penganjur perhimpunan Jerusalem Jubilee agar membatalkan hasrat untuk mengadakan perhimpunan tersebut, pembatalan itu dengan sendirinya menggagalkan usaha pihak tertentu untuk menjadikan isu ini sebagai modal ‘mengalih pendapat umum’.

.Cumanya nampak sangat mudah benar mereka yang terbabit dengan penganjuran itu mengatur dan menyediakan  tempat program berkenaan di Melaka.

‘Kemarahan rakyat’ kepada program itu jelas apabila sebanyak 32 laporan polis telah dibuat sekitar negeri itu.

Maknanya polis boleh bertindak cepat dan segera dalam sesuatu isu jika ada laporan polis. Bantahan rakyat didengari pihak bekuasa dengan serta merta.


Begitulah juga dengan laporan polis mengenai isu RM9.5 juta, apakah polis akan bertindak segera seperti isu Jerusalem;s Jubilee?

Apakah akan dilakukan siasatan segera oleh polis mendenai dakwaan yang dibuat oleh banyak pihak yang menuntut siasatan dibuat kenapa Perdana Menteri membayar yuran guaman, bukan kerajaan sendiri?

Juga siasatan perlu melibatkan perkara bagaimana dan melalui cara apa Datuk Seri Najib Razak mendapat wang daripada SRC International untuk membayar peguam terkemuka itu?

Ia sangat penting kerana dakwaan yang dibuat laman pendedah maklumat, Sarawak Report mendakwa Najib membayar wang berkenaan menggunakan dana anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd pada 11 September 2013 dan 17 Februari 2014.

Paling penting, Shafee merupakan pendakwa raya dalam kes liwat kedua yang menyaksikan Anwar dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun.

Berakhirnya episod Jerusalem's Jubilee akan menyebabkan isu pembayaran RM9.5 juta kembali panas. Diharapkan rakyat tidak dipesongkan dengan isu-isu lain kerana selagi tiada penjelasan yang konkrit daripada kerajaan mengenai perkara ini, Najib akan terus tertekan.

Pertanyaan ialah apakah Najib dan pemimpin UMNO di sekelilingnya mampu mencari jawapan pilihan kepada dakwaan kepada isu RM9.5 juta ini?

Atau Najib menmgambil jalan untuk tidak berkata apa-apa.

Atau mungkin juga akan mengatakan dia sendiri TIDAK TAHU bagaimana boleh menggunakan wang SRC International untuk membayar RM9.5 juta kepada peguam pilihannya untuk ‘membolehkan Anwar dihantar ke penjara’!

Sama-sama kita tunggu nanti. 


Saturday, June 3, 2017

Berucap Dalam Masjid - Antara 'Ustaz Kamalanathan' & 'Ustaz Sivarasa'....


Bagaimana mahu melayan tetamu bukan Islam di masjid?

Apakah ada satu peraturan khusus yang disifatkan 'boleh dan tidak boleh’ orang bukan Islam, khususnya pemimpin politik memasuki masjid untuk semua negeri?

Anggota Parlimen Subang, R Sivarasa, kelmarin dihentam malah dikatakan mencemar kesucian masjid semasa menghadiri majlis penyampaian bantuan sempena Ramadan di Masjid An Nur, Kampung Melayu Subang pada 24 Mei lalu.

Sebaliknya Ahli Parlimen BN, K Kamalanathan boleh pula menyampaikan bantuan dan berucap dalam masjid di Selangor.

Malah sebelum ini, bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dilihat bersama dengan pemimpin bukan Islam dalam masjid.

Dulu boleh, sekarang tidak boleh?

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Haris Kasim  berkata tindakan Sivarasa  itu mengundang kemurkaan Sultan Sharafuddin.

Dilaporkan Sultan Selangor murka dengan wakil rakyat PKR itu kerana menggunakan ruang solat sebagai tempat berpolitik.


Sultan Sharafuddin Idris Shah melalui setiausaha sulit menitahkan agar JAIS mengambil tindakan terhadap nazir dan jawatankuasa masjid, kata Haris.

Pada 31 Mei lalu anggota parlimen PKR itu juga menyatakan akan menulis surat secara peribadi kepada Sultan Selangor untuk memberikan penjelasan berhubung kejadian di Masjid An Nur itu.

Sivarasa turut menempelak Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kerana mendakwa dia memberikan ceramah politik di masjid terbabit.

"Saya sudah memberikan penjelasan dan Ku Nan tahu dia mengulangi kenyataan salah," katanya.

Mari sama-sama kita nilai dan berfikir secara terbuka apa yang sebenarnya berlaku. Jika Sivarasa bohong, kita akan mengutuk beliau beramai-ramai:


“Saya ingin membetulkan beberapa laporan media yang telah memberi gambaran tidak tepat saya, pada hari Rabu yang lalu, telah memberi ceramah politik di Masjid An Nur di Kampung Melayu Subang. Ada juga yang lapurkan secara tidak betul bahawa saya hadir sebagai wakil Menteri Besar Selangor.

Saya tidak memberi apa-apa ceramah, khususnya ceramah politik pada malam itu di Masjid An Nur. Perkara ini telah disalahertikan.

Malah saya tidak hadir sebagai wakil Menteri Besar seperti yang dikatakan dalam beberapa laporan media. Saya juga tidak pada bila-bila masa pun diminta untuk mewakili beliau untuk majlis tersebut.

Majlis yang saya hadiri itu adalah majlis pemberian sumbangan kepada surau-surau dan masjid-masjid di kawasan DUN Kota Damansara yang dianjurkan oleh Pejabat Penyelaras DUN Kota Damasara, En Radzlan Jalaludin. Saya hadir selepas dimaklumkan berkenaan majlis penyampaian sumbangan itu.

Penganjur tidak bila-bila pun menjadualkan saya untuk memberi apa-apa ceramah dalam majlis itu. Walaubagaimanapun, sebelum dijemput menyampaikan sumbangan bersama dengan Penyelaras DUN En Radzlan Jalaludin, saya dijemput oleh pengara majlis untuk memberi sepatah dua kata kepada lebih kurang 70 wakil-wakil surau-surau dan masjid-masjid yang akan menerima sumbangan Ramadan. En Radzlan juga telah memberi ucapan ringkas sebelum saya.

Sebagai tetamu yang dijemput memberi sepatah dua kata, tidak elok kalau saya menolak.

Justeru, saya hanya buat ucapan ringkas menyampaikan salam ramadan kareem kepada para hadirin dan menegaskan keyakinan saya kepada komitmen kerajaan negeri Selangor untuk terus bimbing institusi surau-surau dan masjid-masjid di Selangor.

Saya juga berkongsi sedikit pengalaman saya sejak 2008 sebagai Ahli Parlimen berkenaan lawatan-lawatan saya ke surau-surau dan masjid-masjid di kawasan Subang dan macam mana lawatan tersebut telah membantu saya mendalami fahaman saya berkenaan Islam dan masyarakat Islam.
 
Tidak ada apa-apa ceramah politik ataupun ceramah agama yang dibuat dalam majlis penyampaian itu.

Sumbangan yang diberikan malam itu berjumlah RM 71,000 yang diagihkan RM 1,000 setiap surau dan RM 1,500 setiap masjid

Saya hadir sebagai Ahli Parlimen kawasan Subang yang dipilih oleh majoriti pengundi Islam dan bukan Islam. Bagi saya adalah wajar untuk seorang wakil rakyat untuk memberi sokongan penuh kepada institusi agama Islam di kawasan saya.

Itu sahaja yang berlaku.

Oleh kerana isu ini telah disalaherti, dan kerana saya tidak mempunyai sebarang niat pun untuk melanggar arahan dan nasihat DYMM Tuanku Sultan Selangor, maka saya juga akan menulis sepucuk surat peribadi kepada DYMM Tuanku Sultan Selangor untuk menjelaskan tentang perkara ini.

Sivarasa Rasiah

Ahli Parlimen Subang
31 Mei 2017

Amat nyata bahawa:

1.   Beliau dijemput Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara menyampaikan sumbangan sejumlah RM71,000 untuk diagihkan kepada surau dan masjid di kawasan parlimen jagaannya.

2.  Buat ucapan ringkas menyampaikan salam Ramadan kepada hadirin dan menegaskan keyakinan beliau  kepada komitmen kerajaan Selangor terus bimbing institusi surau dan masjid di Selangor.

3.  Berkongsi sedikit pengalaman sejak 2008 sebagai ahli parlimen Subang membuat lawatan ke surau dan masjid di kawasan beliau.

4.   Hadir  bukan sebagai wakil menteri besar seperti yang dikatakan oleh beberapa pihak yang salah faham fakta kerana tidak diminta untuk mewakili Menteri Besar Selangor.

Itu sahaja yang berlaku.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata pihaknya telahpun mengadap Sultan Selangor berhubung tindakan Sivarasa, yang didakwa telah bertindak keterlaluan apabila memberi ceramah berkaitan politik di masjid berkenaan.Mohamed 

Mohd Azmin turut menjelaskan bahawa Sivarasa bukan mewakili beliau di majlis berkenaan.

Sebaliknya majlis itu adalah anjuran pejabat anggota parlimen itu sendiri.