Sunday, March 14, 2010
SULTAN KELANTAN TIDAK FAIL PERMOHONAN SAH CERAI ISTERI KEDUA?
Daripada www.hambali1.blogspot com
Tuanku Sultan Kelantan TIDAK failkan kes perceraian talak tiga baginda terhadap isteri keduanya, Che Puan Elia Suhana Ahmad?
Jika kes berkenaan bukan difailkan oleh baginda, siapa pula yang melakukannya?
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan bahawa Elia Suhana, 31, musykil dengan kesahihan lafaz cerai yang difailkan oleh peguam suaminya kelmarin kerana beliau mendakwa pada ketika itu Tuanku Ismail Petra sedang gering.
Utusan memetik peguam Elia Suhana - Fakhrul Azman Abu Hasan - sebagai berkata, perkara tersebut disampaikan oleh anak guamnya itu selepas permohonan pengesahan lafaz cerai Sultan dilaporkan secara meluas oleh media semalam.
Katanya, beliau telah memberitahu anak guamnya mengenai permohonan itu selepas membaca laporan akhbar.
Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Rayuan Syariah Kelantan, Abu Bakar Abdullah Kutty berkata kes itu difailkan oleh seorang wanita, Nik Rorhana Wan Abdul Rahman, 60, yang bertindak sebagai plaintif.
Siapakah Nik Rorhana dan apa pertalian hubungan beliau dengan Sultan Kelantan bagi membolehkan beliau bertindak memfailkan permohonan cerai itu?
Abu Bakar enggan mengulas status kes tuntutan perceraian talak tiga yang didakwa difailkan oleh Sultan Kelantan di Mahkamah Tinggi Syariah, Selasa lalu.
Peguam Sultan Kelantan, Zainul Rijal Abu Bakar, ketika dihubungi Bernama, pada hari berkenaan berkata beliau dan rakannya Abdul Halim Bahari telah memfailkan permohonan itu pada jam 3.30 petang.
Zainul Rijal dalam kenyataan itu berkata baginda tuanku telah melafazkan sendiri cerai talak tiga tersebut terhadap Elia Suhana pada 12 Februari 2010 di hadapan beberapa saksi dan mahkamah menetapkan 21 Mac ini bagi mendengar permohonan berkenaan.
"Kami telah dititahkan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ismail Petra supaya memfailkan permohonan pengesahan cerai antara Tuanku dan Elia Suhana binti Ahmad yang dilafazkan sendiri oleh baginda Tuanku terhadap Elia Suhana pada 12 Feb 2010 di hadapan beberapa orang saksi," katanya.
Beberapa hari lalu, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid mengemukakan bantahan di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu terhadap arahan tunjuk sebab kerana ingkar perintah mahkamah membenarkan hak melawat baginda yang dikeluarkan kepada Elia Suhana.
Bantahan itu dikemukakan oleh peguam yang mewakili Raja Perempuan Kelantan, Zainul Rijal Abu Bakar dan Abdul Halim Bahari.
Bagaimanapun Raja Perempuan Kelantan dan dua pengawal peribadinya Muhammad Shahrizan Zainal dan Zaiton Husin Merican, yang ketiga-tiga mereka telah diperintahkan untuk tunjuk sebab itu, tidak hadir di mahkamah.
Zainul Rijal kemukakan bantahan itu setelah membangkitkan dua isu berhubung penyerahan saman kes induk hak lawatan bertarikh 4 Februari lepas, yang dipohon oleh Che Puan Elia Suhana dan perintah tunjuk sebab ex-parte perintah hak lawatan pada 21 Februari lepas.
Peguam yang mewakili Che Puan Elia Suhana, Fakhrul Azman Abu Hassan pula mempersoalkan ketidakhadiran ketiga-tiga defendan di mahkamah hari ini kerana menurutnya mana-mana pihak perlu hadir jika diperintah oleh mahkamah.
Hakim Syarie Mohd Yusof Awan menetapkan 4 April sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Pada 4 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu membenarkan Elia Suhana, 31, melawat Sultan Kelantan yang ketika itu menerima rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura bagi setiap Sabtu sehingga pagi Isnin setiap minggu.
Bagaimanapun Elia Suhana mendakwa dihalang daripada bertemu suaminya dan pada 21 Februari lalu mahkamah telah mengarahkan Raja Perempuan Kelantan bersama dua pengawal peribadinya hadir untuk tunjuk sebab.
Mahkamah menetapkan 4 April sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.
Pada 4 Mac lalu, Sultan Kelantan telah berangkat pulang ke Kelantan setelah hampir 10 bulan dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura.
Menggemparkan sebelum ini kerana pada 29 Disember 2009, Utusan Malaysia dengan tajuk “JHEAIK sahkan perkahwinan kedua Sultan Kelantan” turut memaparkan gambar hari persandingan mereka berdua.
Malah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) pada hari itu, mengesahkan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra Almarhum Sultan Yahya Petra telah berkahwin dengan isteri keduanya, Elia Suhana Ahmad, 30, pada 31 Disember 2007.
Pernikahan itu disahkan oleh Ketua Pendaftar, Nikah, Cerai, Rujuk JHEAIK, Hasnan Ramli ketika dihubungi Utusan Malaysia .
“Saya hanya boleh mengesahkan perkahwinan Sultan Kelantan dengan isteri kedua baginda itu,’’ katanya.
Sebelum itu akhbar The Malay Mail dalam versi online melaporkan misteri identiti salah seorang daripada dua wanita yang dibawa melawat Sultan Ismail Petra yang gering di Hospital Mount Elizabeth, Singapura pada pukul 4.20 pagi 8 Oktober lalu.
Laman web tersebut semalam melaporkan pengakuan Elia Suhana sebagai isteri kedua Sultan Kelantan.
Elia Suhana dalam laman web tersebut mendakwa terpaksa mendedahkan kedudukan sebenar dirinya bagi memperbetulkan laporan akhbar Malay Mail pada 21 Disember lalu yang menyiarkan berita dua wanita dibawa secara senyap-senyap ke hospital itu bagi melawat Sultan Kelantan.
Penyiaran berita yang bertajuk Police Ruckus In Royal Ward dalam akhbar itu didakwa Elia Suhana telah menimbulkan pandangan negatif terhadap baginda, institusi kesultanan dan polis istana.
Utusan Malaysia hari ini turut menerima kenyataan akhbar setebal lima muka surat melalui faks yang ditandatangani Elia Suhana dan dikatakan turut dihantar kepada semua media untuk membuat penjelasan itu.
Turut dilampirkan salinan sijil perkahwinan serta kad perakuan nikahnya.
Mengenai Nik Rorhana ini, Abu Bakar berkata wanita itu dari Taman Petranis, Jalan Sultanah Zainab II, Kota Baharu, bertindak selaku plaintif manakala Elia Suhana dinamakan defendan.
Abu Bakar berkata, dari segi prosedur, pendaftaran itu sah dan pihak pendaftar mahkamah boleh menerima permohonan memfailkan kes perceraian itu tanpa mengira siapakah individu berkenaan.
"Soal keputusan sama ada perceraian itu sah atau tidak mengikut undang-undang Islam, bergantung kepada keputusan Mahkamah yang akan mendengar kes berkenaan.
"Saya hanya boleh mengesahkan menerima permohonan untuk mendaftar kes penceraian antara Sultan Kelantan dengan isteri keduanya, Che Puan Elia... berdasarkan dokumen dan fail yang ada pada saya... itu saja," katanya kepada pemberita, di Kota Bharu, semalam.
"Tuanku bukan sebagai pihak yang mendakwa, tidak sebagaimana yang laporkan dalam media sebelum ini.
"Dari prosedur, kita boleh terima pendaftaran ini, sekiranya ada dalam peruntukan dan tidak dihalang oleh Perlembagaan," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment