Friday, March 19, 2010

APA KESUDAHANNYA PEMIMPIN NEGERI & ISTANA KELANTAN

Oleh Hambali Abdul Latiff (www.hambali1.blogspot.com, 17 Mac 2009)

Harap-harap ‘pertelingkahan ‘ pemimpin PAS Kelantan dan istana boleh selesai.

Namun tunggu reaksi dan jawapan daripada PAS terhadap kenyataan Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid kelmarin yang dukacita dengan kerajaan Kelantan- habuk pun tarak.

Mungkin juga sudah diperjelaskan apabila rombongan Menteri Besar menghadap Sultan Kelantan kelmarin. Tetapi kalau selesai, sudah pasti dicanangkan. Hingga kini tiada apa-apa berita pun.

Tengku Anis secara terbuka menyatakan dukacita dengan sikap kerajaan negeri sepanjang Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra menerima rawatan di Pusat Perubatan Mount Elizabeth, Singapura.

Dengan suara sedikit tersekat, baginda yang menahan sebak bertitah, sikap kerajaan negeri ternyata berlainan dengan Kerajaan Pusat sejak baginda berada di sana mulai 24 Mei tahun lalu.
Tidak berani? Nafilah kalau tidak benar!

Kenapa diam saja? Mana orang yang selalu ‘kerah keng’ dalam setiap perkara terutamanya isu royalti, kenapa tidak jawab?

Titah baginda, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan menteri Kabinet malah mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew juga kerap datang.

‘‘Saya ambil kesempatan ini untuk ucap banyak-banyak terima kasih kepada Perdana Menteri dan isteri serta anggota Kabinet yang selalu bertanya khabar,’’ ujar baginda semasa bertitah di Majlis Kesyukuran dan Sambutan Maulidur Rasul 1431H di Kompleks Islam Jubli Perak, Panji semalam.

Pemimpin PAS Kelantan mana?

Kenapa dalam soal ini tidak ada yang mempertahankan Menteri Besar atau sesiapa juga ketua pentadbiran Kelantan?

Play safe? Sungguh menyedihkan apabila semua terkena ‘pukulan’ daripada Menteri Besar Kelantan, Exconya hinggalah kepada anggota pentadbiran seolah-olah semuanya layu dan mengiakan semuanya.

Atau ada pihak sengaja berdiam dengan harapan jika berlaku apa-apa, dialah yang akan muncul ke hadapan menjadi juara. Menjadi Menteri Besar baru?

Kotroversi antara kerajaan PAS Kelantan dan istana bermula pada 2 Disember tahun lalu apabila kerajaan negeri memohon Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Ismail Petra supaya memindahkan Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra mendapatkan rawatan dalam negara.

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, cadangan itu mendapat kelulusan exco dalam mesyuaratnya hari berkenaan. Ketika itu Sultan Kelantan sudah dirawat di Hospital Mount Elizabeth, Singapura. Tuanku dirawat sejak 24 Mei 2009 oleh doktor pakar.

Kata Nik Aziz: "Memandangkan keadaan kesihatan Sultan Kelantan sekarang ini dan di atas hasrat dan kepentingan rakyat, kita mencadangkan supaya Pemangku Raja membawa Sultan Ismail Petra yang sedang gering mendapatkan rawatan di mana-mana hospital dalam negara,” katanya namun enggan menjelaskan kenapa kerajaan negeri membuat cadangan itu.

Empat hari kemudian, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Dr. Awang Adek Husin berkata, kenyataan yang dibuat oleh Nik Abdul Aziz boleh memberi gambaran yang tidak baik dan mungkin 'mengguris' pihak istana. Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan percaya permohonan dibuat mungkin kerana kos perubatan baginda yang dianggap besar.

"Disebabkan oleh kedudukan kewangan yang meruncing, beliau (Nik Abdul Aziz) sanggup berbuat demikian tanpa berfikir panjang," katanya.

Ekoran daripada itu pada 18 Disember, Ketua Penerangan UMNO negeri, Dali Hussin meminta Kerajaan negeri diminta memberi penjelasan berhubung desas-desus yang bayaran kos rawatan Sultan Kelantan di Singapura tertunggak lebih RM1 juta. Kata Dali, sekiranya benar masalah itu berbangkit adalah wajar kepimpinan negeri yang diterajui Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyelesaikannya.

Isu kesihatan Sultan Kelantan tidak terhenti di situ kerana pada 4 Januari lalu, Menteri Besar Kelantan berkata panel perubatan yang dilantik kerajaan negeri mengesahkan tahap kesihatan Sultan Kelantan yang dirawat di Singapura kini stabil dan boleh dibawa pulang untuk mendapatkan rawatan selanjutnya. Panel yang dianggotai enam pakar itu mengesyorkan agar Tuanku Ismail Petra dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau berkata, panel yang dilantik pada 18 November tahun lalu dibarisi pakar dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian; Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ); Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur dan HKL. Panel itu dalam surat bertarikh 24 Disember lalu merumuskan baginda telah menunjukkan kemajuan hasil rawatan intensif yang diterima.

Mengejutkan, pada hari yang sama Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra mempersoalkan laporan panel kesihatan yang merumuskan tahap kesihatan ayahandanya tanpa melawat dan memeriksa baginda. Beliau yang menyangkal laporan panel yang dibentuk oleh kerajaan negeri itu, percaya ada motif tertentu di sebalik laporan itu yang diumumkan Nik Aziz itu.

Lebih menggemparkan pada 7 Januari, laporan perubatan yang dikemukakan oleh Menteri Besar Kelantan lu mencetuskan tanda tanya berhubung kesahihannya apabila Pengarah Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Zaininah Mohd. Zain menjelaskan pihaknya tidak pernah menerima permohonan daripada kerajaan Kelantan untuk menggunakan kepakaran mereka bagi membarisi panel yang mengeluarkan laporan itu.

Jika panel perubatan itu ditubuhkan secara rasmi, ia perlu mendapat kebenaran daripada Kementerian Kesihatan terlebih dahulu sebelum diluluskan penubuhannya.

Selain isu panel, isu lain ialah Menteri Besar tidak menghadap Sultan Kelantan walaupun dititahkan dua kali seperti yang dinyatakan Tengku Muhammad Fakhry yang dikatakan amat dikesali dan mengecewakan rakyat negeri ini. Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata pada 5 Januari lalu , sebagai seorang Menteri Besar, Nik Abdul Aziz sewajarnya mentaati perintah tersebut dan perlu sentiasa berada di sisi sultan yang sedang dirawat.

Dalam kedudukan kontroversi mengenai tiga perkara di Kelantan yang belum selesai – perbalahan mengenai takhta, isu kos rawatan Sultan dan pembesar negeri yang tidak datang menghadap walaupun dititahkan – pada 4 Mac lalu, kira-kira 10,000 rakyat negeri itu membanjiri perkarangan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra bagi menyambut keberangkatan pulang Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra.

Kebanyakan rakyat jelata mula hadir seawal pukul lapan pagi ini dengan berpakaian kuning dan membawa sepanduk sebagai tanda sokongan kepada banginda.

Dan petang kelmarin khabarnya Menteri Besar, bersama rombongan Exco kerajaan negeri menghadap Sultan Kelantan di Istana Mahkota dan inilah kali pertama pimpinan negeri menghadap sejak Tuanku Ismail Petra yang menerima rawatan di Singapura pada 24 Mei tahun lalu berangkat pulang ke tanah air pada 4 Mac.

Setakat ini tiada kenyataan lanjut mengenai perbincangan keadua-dua pihak dan kerajaan PAS Kelantan terus membisu.

Apapun, pada kemunculan pertama Tengku Anis di khalayak umum selepas mengiringi kepulangan Tuanku Ismail Petra pada 4 Mac lalu Tengku Anis menyampaikan pesanan Sultan yang berterima kasih kepada rakyat kerana bersusah payah membuat solat hajat dan membaca surah Yasin untuk kesejahteraan baginda.

Menurut Tengku Anis, semasa di Singapura, baginda bersama ustaz sentiasa bersolat hajat dan membacakan ayat-ayat al-Quran termasuk surah Yasin di sisi.

Baginda yakin berkat daripada amalan tersebut, ia telah berjaya membuat sultan walaupun koma kembali sedar dan menafikan ramalan doktor yang tidak meletakkan harapan.

Bagaimanapun, Tengku Anis hanya sempat bertitah kira-kira tiga minit apabila sebak dan kekanda Sultan Kelantan, Tengku Merjan Almarhum Sultan Yahya Petra yang turut nhadir menyambung ucapan.

Tengku Merjan menyatakan kehairanan dengan sikap pimpinan negeri masa kini berbanding semasa Almarhum Sultan Yahya Petra gering dan dirawat di Kuala Lumpur.

Beliau turut kesal dengan penubuhan panel perubatan oleh kerajaan negeri kerana Tuanku Ismail Petra bukannya pegawai kerajaan yang memerlukan pengesahan pakar untuk menentukan kemampuan baginda.

‘‘Sampai hati sekali ada orang buat Tuanku macam itu. Marilah kita berdoa agar Tuanku cepat sembuh, pulih dan dapat memerintah seperti dulu,’’ katanya.

Amat jelas walaupun di Kelantan, kerajaan Persekutuan dan pemimpinnya sering diburukkan tetapi ternyata istana tahu siapa yang ‘diperlukan’ dalam keadaan-keadaan tertentu.

Ternyata Perdana Menteri dan menteri Kabinet tidak pernah melupakan istana – bukan seperti pemimpin PAS yang sanggup ‘membelakangkan istana’ apabila setelah berkuasa

No comments: