Tiga remaja lelaki Jumaat dikhuatiri lemas dalam kejadian berasingan di Besut.
Ketua Polis Daerah Besut Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata polis menerima laporan mengenai dua kejadian tersebut masing-masing pada pukul 4.30 dan 5.15 petang.
Beliau berkata dalam kejadian pertama di pantai Beting Lintang, dekat sini, seorang remaja lelaki, Muhammad Ilyas Razali, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah dipercayai lemas selepas dilaporkan dipukul ombak ketika sedang mencari remis bersama ibu dan sepupunya di pesisiran pantai itu.
"Akibat dipukul oleh ombak yang kuat, mangsa (Muhammad Ilyas) kemudiannya terjatuh dan seterusnya diheret ke tengah laut ekoran arus yang deras dan kemudiannya hilang," katanya ketika dihubungi di sini.
Kamaruddin berkata ibu dan sepupu mangsa bagaimanapun sempat menyelamatkan diri sebelum mendapatkan bantuan.
Bagaimanapun, operasi mencari mangsa yang turut disertai oleh Jabatan Pertahanan Awam (JPA) dan Rela gagal menemui mangsa.
"Operasi terpaksa dihentikan pada pukul 7 malam tadi ekoran cuaca gelap dan operasi mencari akan disambung esok," katanya.
Sementara itu, dalam kejadian kedua di pantai Bukit Keluang, kegembiraan tujuh sekawan dari Kelantan untuk menghabiskan cuti hujung minggu dengan bermandi manda di pantai bertukar tragedi apabila dua daripadanya lemas.
Kamaruddin berkata salah seorang daripada mangsa yang lemas telah ditemui iaitu Norhisham Mohd Yaakub, 15, dari Pasir Puteh manakala seorang lagi mangsa yang masih belum diketahui identitinya masih belum dijumpai sehingga operasi mencari berakhir kira-kira 7 malam tadi berikutan cuaca gelap.
"Mereka datang dengan menaiki dua buah van untuk bermandi manda di pantai itu. Namun kesemua mereka telah dihanyutkan oleh ombak kuat ketika sedang mandi di pantai itu," katanya.
Beliau berkata, lima rakan mangsa bagaimanapun terselamat selepas diselamatkan oleh sepasukan anggota Polis Marin yang kebetulan melakukan rondaan di kawasan tersebut.
Kamaruddin berkata operasi mencari seorang lagi mangsa akan disambung hari ini.
No comments:
Post a Comment