Tuesday, July 7, 2009

MANEK URAI: TIGA FAKTOR BN DITERIMA RAKYAT

Sumber: Berita Harian Online/Bernama
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed, berkata beliau yakin Barisan Nasional (BN) akan diterima penduduk di Manek Urai berdasarkan tiga faktor utama.

Faktor-faktor itu, ialah kelebihan calon BN berbanding calon Pas, sokongan daripada penyokong wakil rakyat Pas yang terdahulu di Manek Urai dan perubahan yang sedang dilakukan kerajaan BN di peringkat nasional, katanya selepas proses penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan di SMK Sultan Yahya Petra 1, di sini, hari ini.

Pilihan raya kecil itu pada 14 Julai ini membabitkan pertandingan satu lawan satu antara calon BN dan Pas.

Mustapa, yang juga pengarah jentera pilihan raya kecil BN Manek Urai, berkata calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, adalah bekas seorang pegawai Kesedar, manakala lawannya Mohd Fauzi Abdullah dari Pas adalah seorang pemborong ikan.

Bagi faktor kedua, katanya, wakil rakyat di situ sebelum ini, Ismail Yaakob daripada Pas, yang meninggal dunia pada 22 Mei lalu, mempunyai ramai pengikut peribadi yang mungkin mengalihkan sokongan mereka kepada BN.

"Satu lagi faktor ialah penduduk Manek Urai akan menilai perubahan di peringkat nasional. Ini akan beri tiupan semangat kepada kita," katanya merujuk kepada perubahan pada pucuk pimpinan negara yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata apa yang lebih penting pada masa ini ialah jentera parti perlu bekerja keras meyakinkan pengundi terutama pengundi atas pagar.

"Ini bukan kerusi mustahil (untuk BN menang) dengan syarat semua kerja keras," katanya.

Seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata Tuan Aziz mempunyai kelebihan dalam pengurusan berdasarkan pengalamannya selaku pegawai Kesedar.

"Saya yakin beliau akan diterima baik oleh pengundi. Masalah yang dihadapi pakatan pembangkang di beberapa negeri yang diperintahnya juga mungkin menjejaskan keyakinan pengundi," katanya.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin pula berkata, pergerakan itu akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan calon BN, terutama dalam mengembalikan sokongan golongan muda.

"Tuan Aziz selain anak tempatan, adalah Ketua Pemuda Umno Kuala Krai dan ini memberi kelebihan kepada jentera Pemuda untuk bekerja dengan lebih gigih lagi," katanya.

Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata rakyat kini dapat menilai bahawa Pas lebih banyak beretorik daripada membangunkan negeri dan kawasan yang diwakili parti itu.

"Dalam tinjauan Wanita di Manek Urai, mereka (pengundi) sudah menyatakan sudah bosan dengan cara Pas mentadbir dan membuat janji kosong semata-mata," katanya.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, yakin Tuan Aziz bakal mencatat kemenangan kerana calon BN itu diterima rakyat di Manek Urai.

No comments: