Monday, July 6, 2009

MANEK URAI: 6,000 PELAJAR DAPAT UNIFORM, BEG SEKOLAH

Sumber: Malaysiakini

Seramai 6,142 pelajar sekolah rendah, menengah dan sekolah Arab di Manek Urai mendapat perhatian Kementerian Pelajaran yang akan memberikan mereka bantuan uniform dan beg sekolah secara percuma.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Mustapa Mohamed berkata pemberian itu telah dinyatakan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada beliau beberapa hari lalu sebagai tanda ingatan kementerian berkenaan.

"Tan Sri Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran telah menyatakan kepada saya untuk memberikan bantuan itu kepada semua pelajar di Manek Urai tanpa seorang pun terkecuali.

"Ini sebagai tanda ingatan daripada kementerian dan juga dapat meringankan beban rakyat di sini," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Pusat Operasi BN di Manek Urai hari ini, lapor Bernama.

Mustapa berkata sebagai permulaan 300 pelajar telah menerima bantuan itu mulai hari ini dan kesemua bakinya akan menerima secara berperingkat.

Sebelum itu Mustapa sendiri telah menyampaikan bantuan itu bagi mewakili Muhyiddin di Sekolah Kebangsaan Manek Urai Baru.

Terdapat 10 buah sekolah rendah, 12 menengah dan sebuah sekolah aliran Arab di Manek Urai.

Sementara itu Mustapa meminta majikan baik di sektor kerajaan dan swasta membenarkan kakitangan mereka untuk pulang mengundi memilih wakil rakyat baru DUN Manek Urai pada 14 Julai ini.

"Jangan nafikan hak pengundi dan ini merupakan kesalahan," katanya.

Beliau mengulas kenyataan pengarah pilihanraya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun hari ini yang mendakwa mendapat laporan ada majikan yang tidak akan membenarkan pengundi di Manek Urai untuk pulang menunaikan tanggungjawab itu.

Selain itu Mustapa berkata fasa kedua kempen pilihanraya Manek Urai akan bermula esok yang merupakan hari penamaan calon DUN itu.

Esok Muhyiddin dijangka mengetuai perarakan lebih 10,000 penyokong BN ke pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1.

BN menamakan Ketua Pemuda Umno Kuala Krai Tuan Aziz Tuan Mat, 39, sebagai calonnya manakala PAS meletakkan harapan kepada Bendahari PAS Kuala Krai, Fauzi Abdullah, 50, bagi mempertahankan kerusi DUN itu.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat daripada
PAS, Ismail Yaakob pada 22 Mei lalu akibat sakit jantung.

Dalam pilihanraya umum 2008, Ismail menang kerusi DUN Manek Urai dengan majoriti 1,352 undi, menewaskan calon BN Mohamed Zulkepli Omar.

No comments: