Sunday, July 5, 2009

DALIL TUAN AZIZ KALAH - TAKTIK TERDESAK PENYOKONG PAS


Oleh Bicara Manek Urai


JAHAT 1

Seperti yang telah diketahui ramai calon-calon yang bertanding untuk mewakili pihat BN dan PAS telahpun diumumkan. Tuan Aziz Tuan Mat, 39, diumumkan sebagai calon BN dan tauke ikan tersohor Fauzi Abdullah mewakili PAS. Seperti juga yang telahpun diagak perang saraf terhadap kedua-dua calon ini telahpun bermula dalam dunia maya.

Saya sendiri adalah anak jati Kuala Krai. Semasa meluangkan masa selama 4 hari di Manek Urai dua minggu yang lepas kedua-dua nama ini menjadi sebutan ramai sebagai calon yang paling layak mewakili parti masing-masing untuk bertanding.

Fauzi Abdullah sendiri bagi saya adalah calon pilihan tepat PAS, penjual ikan tersohor yang sememangnya telahpun dikenali ramai. Tiada apa lagi yang saya boleh katakan mengenai Fauzi kerana jika saya menulis berdasarkan cakap-cakap orang tanpa sebarang bukti nyata, maka itu adalah fitnah belaka.

Begitu juga dengan Tuan Aziz, telahpun ada kata-kata fitnah yang dilemparkan terhadap beliau seperti yang ditulis dalam laman web Satu Malaysia. Adakah fitnah ini dilemparkan berdasarkan bukti yang nyata. Satu yakin bahawa penulis yang melemparkan fitnah tersebut tidak sama sekali mengenali Tuan Aziz dengan lebih dekat.

Fitnah 1:
Tuan Aziz didakwa menyalahgunakan kuasanya dan terbabit dalam rasuah

Ini adalah satu kenyataan yang "ambigious" bertujuan hanya untuk mengaburkan mata pembaca.


Fitnah 2:
Tuan Aziz hidup mewah melebihi kemampuannya ketika menjadi CEO Kesedar Perkilangan Sdn Bhd (KPSB). Jawatan ini disandangnya sebelum dilantik menjadi pengurus di Kesedar

Setahu saya Tuan Aziz hidup secara sederhana. Walaupun berjawatan sebagai CEO Kesedar, beliau hanya mempunyai rumah papan satu tingkat di Kuala Krai. Isteri beliau bertugas sebagai guru. Pasal kereta pula, beliau memandu Proton Perdana second hand dan isteri beliau memandu Perodua MyV.


Fitnah 3: Beliau melakukan lawatan yang “meragukan” bersama pegawai-pegawai yang tidak berkaitan ke negara Asean seperti Vietnam dan Thailad untuk tujuan pemasaran

Lawatan itu dilakukan secara rotation oleh pegawai-pegawai Kesedar selepas mencapai kejayaan memasarkan minyak masak di negara-negara Asean. Tuan Aziz sendiri tidak pernah mengikut serta dalam lawatan tersebut.


Fitnah 4:
Beliau menyalahgunakan kuasanya dalam pemberian kontrak-kontrak KPSB dan melobi untuk pembekal baja sewaktu bertanding untuk jawatan Ketua Pemuda Umno Kuala Krai

Keputusan akhir pemberian kontrak tersebut bukan terletak di tangan Tuan Aziz. Lagipun Tuan Aziz tidak perlu melobi untuk medapat sokongan semasa pertandingan jawatan Ketua Pemuda Bahagian. Sokongan beliau pada peringkat akar umbi adalah padu. Lawan Tuan Aziz untuk jawatan Ketua Pemuda Bahagian adalah juga kenalan rapat beliau, Salihin Ismail.
Tambahan pula, dari sumber yang telahpun disahkan, Tuan Aziz juga meminta beberapa cawangan memilih lawannya Salihin sebagai calon Ketua Pemuda Bahagian supaya nanti Salihin cukup bilangan pencalonan. Maka tidak mungkin wujud aksi lobi-melobi seperti dinyatakan.

Kesimpulan:

Perlembagaan menuntut parti-parti yang bertanding supaya berlawan secara demokrasi. Tetapi tidak pula tertulis bahawa demi demokrasi parti-parti berlawan mestilah menabur fitnah untuk mewujudkan perasaan saling membenci. Tambahan pula teramatlah hina jika fitnah itu dilemparkan oleh pendokong-pendokong parti yang memperjuangkan agama Islam, kerana Islam tidak meminta umatnya saling membenci, tetapi saling menyayangi.

Oleh kerana kedua-kedua calon tersebut adalah pilihan terbaik parti, maka sesiapa yang menang sememangnya akan membawa kebaikan kepada penduduk Manek Urai sendiri. Dengan itu tidak perlulah memfitnah atau menceritakan keaiban sesama manusia, sama ada dari pihak PAS. atau UMNO.

JAHAT2

Menjadi kemusykilan kerana fitnah dan tohmahan terhadap Tuan Aziz bukannya datang dari blogger PAS yang bertapak di sekitar Manek Urai, seperti prk-dun-manek-urai dan pemuda-krai.

Sebaliknya fitnah dan tohmahan ini ditulis dalam laman web pro PAKATAN yang bertapak di luar Kelantan. Jika benar Tuan Aziz mempunyai liabiliti, maka blogger tempatan terlebih dahulu akan ketahui dan seterusnya akan mengambil peluang memburukkan Tuan Aziz.

Apa yang saya perhatikan ialah kedua-dua blog PAS tempatan yang tadi dinyatakan sehingga kini langsung tidak mepersoalkan kredibiliti Tuan Aziz. Itu satu petanda bahawa mereka tidak mempunyai bahan yang konkrit untuk membunuh karakter Tuan Aziz.

Sepeti yang telahpun dibincangkan, fitnah dan tohmahan terhadap Tuan Aziz bukannya datang dari blog tempat. Contohnya, saya menemui satu blog bernama MarGeeMar yang semestinya bukan bertapak di Manek Urai. Blog tersebut menggaris 11 dalil UMNO akan menemui kekalahan di Manek Urai. Apa yang menarik ialah di penghujung artikel tersebut penulis menggalakkan para pendokong PAKATAN supaya membuat salinan untuk diedarkan kepada penduduk tempatan Manek Urai, dan saya petik:

Kebenaran diberikan kepada sesiapa jua untuk menyalin blog posting ini ke dalam blog mereka. Tolong juga buat sebeberapa banyak salinan fotostat 11 Dalil ini dan sebarkan kepada warga Manek Urai yang tidak celik komputer sebagai jihad menegakkan Demokrasi dan Kebenaran di Malaysia.

Memang telahpun diagak, permainan kotor sebegini menjadi lumrah pendokong PAKATAN dan PAS. Lagi menyedihkan apabila bahan-bahan fitnah dan tohmahan diedar atas nama jihad dan Islam.

Berbalik kepada 11 dalil, adakah ianya satu petunjuk besar bahawa BN langsung tiada harapan untuk menang, ataupun ianya satu taktik terdesak untuk memburukkan calon lawan. Eloklah kita ikuti kesemua dalil tersebut:


Dalil 1:
Tuan Aziz dikatakan antara calon yang terjempit dalam kemelut masalah Umno di Kuala Krai.
Dalil 2:
Tuan Aziz dikatakan bukan orang yang direstui oleh Ketua Bahagian, Ramzli Abdul Rahman.
Dalil 3:
Budaya ‘cah keting’ yang sinonim dengan UMNO Kelantan juga mungkin akan ‘membantutkan’ peluang BN.

Dalil 1, 2 dan 3 di atas hanya menggunakan perkataan "dikatakan" dan "mungkin" tanpa sebarang kepastian. Setahu saya Tuan Aziz merupakan calon yang menjadi sebutan oleh kedua-dua pihak sejak awal bulan Jun lagi. Sumber dalaman PAS juga menyatakan bahawa PAS sendiri akan menghadapi kesukaran jika Tuan Aziz diletakkan sebagai calon BN.

Dalil 4:
Jentera kempen BN Umno Manek Urai telah berpecah kepada dua kumpulan kerana perebutan kuasa.

Dalil ke-4 ini adalah ulangan kepada dalil ke-3, iaitu budaya "cah keting". Perlu diingatkan bahawa Tuan Aziz diberi sokongan padu pada peringkat cawangan dalam proses pencalonan Ketua Pemuda Bahagian Kuala Krai. Tuan Aziz pernah dengan rendah diri meminta beberapa cawangan tidak mencalonkan beliau supaya lawannya Salihin Ismail memperolehi cukup bilangan pencalonan.

Dalil 5:
Umno sama ada di peringkat Manek Urai mahupun di peringkat negeri berada dalam keadaan yang amat lemah.

Dalil 6:
Umno berhempas pulas merayu simpati pengundi, namun rakyat di Manek Urai terus memperlihatkan sikap dingin terhadap Umno.

UMNO Kelantan diberi nafas baru oleh kepimpinan Tok Pa. Perwatakan Tok Pa yang sederhana dan rendah disegani oleh ramai, sama ada dari penyokong PAS dan UMNO. Saya was-was sama ada penulis dalil ini tahu akan jentera pilihan raya parti, kerana dalam jentera tersebut ada individu tertentu yang bertugas sebagai perayu undi.

Dalil 7:
Tuan Aziz berumur 39 tahun semasa dia meletak jawatan sebagai Pengurus KESEDAR tetapi layak mendapat pencen.

Perkara ini saya belum mendapat kepastian. Seperti yang saya nyatakan, saya hanya berbincang pada fakta, bukannya spekulasi semata-mata.
Dalil 8:
Dilihat sebagai ‘Orang’ Najib Razak dan masyarakat di Manek Urai pada hakikatnya tidak menyukai Najib dan isterinya Rosmah Mansor.

Saf kepimpinan UMNO kembali ampuh selepas Tun Abdullah Badawi meletakkan jawatan. Melihat kepada barisan pemimpin UMNO yang menang jawatan tertinggi, wujud satu persefahaman untuk memberi sokongan padu dan penuh kepada DS Najib. Oleh itu kalau Tuan Aziz bukan orang DS Najib, maka orang siapa lagi?
Dalil 9:
Lawan Tuan Aziz dari PAS Fauzi Abdullah seorang yang amat-amat cakna pada masyarakat sekeliling.

Dalil 10:
Tuan Aziz tidak faham akan keperitan masyarakat Manek Urai kerana dia berkolar putih berbanding dengan lawannya yang berkolar biru seperti majoriti pengundi Manek Urai.

Sebelum dipindahkan ke ibu pejabat Kesedar Gua Musang, Tuan Aziz bertugas di Pejabat Kesedar Kuala Krai yang bertempat di Kampung Pria, dalam DUN Manek Urai. Bidang tugas Tuan Aziz semasa di Kuala Krai pula ialah sebagai Pengurus Kawasan, di mana beliau mendengar rintihan dan keperluan rakyat dan bertindak dengan membawa masuk projek-projek Kesedar ke kawasan pedalaman.

Maka adalah satu tuduhan yang tidak tepat jika dikatakan bahawa Tuan Aziz adalah calon berkolar putih yang tidak cakna kepada rakyat.
Dalil 11:
Fauzi Abdullah mempunyai sebuah Van persendirian yang diwakafkan sebagai Van Jenazah kepada penduduk Kuala Krai. sesiapa sahaja boleh menggunakan Van Jenazah tersebut jika mahu dan tiada bayaran dikenakan.

Keikhlasan Abe Uji mewakafkan Van Jenazah amatlah dipuji. Tetapi jangan pula keikhlasan itu terhakis apabila Van Jenazah yang diwakaf dengan ikhlas telah menjadi bahan politik pula. Tambahan pula sejak bila Van Jenazah menjadi dalil kemenangan atau kekalahan parti.
Kesimpulan:

Pendokong PAKATAN seolah-olah lesu dan tidak bermodal dalam permainan politik fitnah mereka. Seperti yang saya nyata pada awal lagi, pendokong PAKATAN tidak mempunyai sebarang isu yang konkrit untuk memburukkan Tuan Aziz. Kerana jika benar Tuan Aziz merupakan calon berliabiliti kepada UMNO, mereka tidak mungkin hanya menulis 11 dalil sahaja yang maksudnya hampir sama. Ini menunjukkan mereka sebenarnya dalam keadaan terdesak.

No comments: