Showing posts with label PAS. Show all posts
Showing posts with label PAS. Show all posts

Friday, May 19, 2017

PKR, DAP dan AMANAH Bertindak Jahat, Kejam Terhadap PAS di Selangor????


Analisis oleh Hambali Abdul Latiff

Ahad (lusa)  akan menentukan pendirian Parti Keadilan Rakyat (PKR) sama ada menyahut putus hubungan kerjasama dengan PAS.

Bermakna, jika ia benar-benar berlaku, lebih 5,000 ahli PAS di Selangor tidak akann tidur dengan lena.

Ini kerana  kerana jika PKR membuat keputusan itu, kesemua 5,000 ahli PAS yang ada jawatan dalam kerajaan Selangor sewajarnya meletakkan jawatan atau dipecat.

Laporan menyebut, PAS dijangka kehilangan 5,000 pelbagai jawatan dalam Kerajaan Selangor sekiranya meninggalkan pentadbiran kerajaan negeri itu.

Keputusan ini memang rumit,  namun kesombongan sesetengah pihak dalam PAS menangani isu ini akan menyebabkan 5,000 ahli Pas Selangor akan 'berputih mata'.

Persoalannya, apakah keesemua mereka sanggup meletakkan jawatan atau meninggalkan 'sedikit kesenangan' yang sudah dikecapi sejak selepas pilihan raya umum lalu?

Apakah mereka gembira dengan keputusan PAS membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR, tanpa mengambil kira kepentingan dari segi jawatan dan pendapatan ahli-ahlinya dalam kerajaan Selangor?


Nampak gayanya Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali sedang berusaha untuk mengekalkan PAS dalam pentdbiran Selangor bukan sekadar kerana mengekalkan kestabilan politik tetapi juga menjamin yang sedang menikmati ‘kesenangan’ sekarang tidak menjadi mangsa politik PAS.

Banyak pihak yang kurang memahami dilemma ahli PAS Selangor akan mudah meminta supaya semya Exco PAS seharusnya melepaskan jawatan di dalam Kerajaan Selangor selepas parti Islam itu memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan PKR.

Ini termasuk seruan oleh pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani yang menyebut bahawa  tiada alasan buat Exco Pas untuk kekal memegang jawatan  itu.

Ini kerana parti itu sendiri telah sebulat suara memutuskan untuk hentikan sebarang kerjasama dengan PKR yang merupakan sebahagian dari Kerajaan Selangor.

Ini bertentangan dengan kenyataan Setiausaha Agung PAS,  Datuk Takiyuddin Hassan yang memaklumkan tiga exco parti berkenaan kekal dalam Kerajaan  Selangor sehingga Menteri Besar, buat keputusan dan dapatkan perkenan Sultan Selangor.

Azizuddin berkata, PAS tidak sepatutnya menyerahkan kepada Azmin untuk membuat keputusan selepas  parti itu membuat keputusan memutuskan hubungan dengan PKR.

Malah seorang lagi penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, Exco Pas sepatutnya perlu mengikut keputusan muktamar dan Majlis Syura Ulamak yang sebelum ini memutuskan agar tahaluf siyasi itu dihentikan.

Tidak wajar untuk penganalisis politik berkenaan mengatakan sekiraya Exco terlibat tidak mengikut arahan parti, pihak terbabit boleh dikenakan tindakan disiplin kerana masih menjalinkan hubungan kerjasama dalam Kerajaan Selangor.

Anaiis politik dengan kepentingan politik dan merasai 'laba politik' semasa jauh bezanya.

Nampaknya di pihak PAS juga sudah ada nada lembut bahawa selepas memutuskan untuk kekal dalam kerajaan negeri Selangor dan menyerahkan kedudukan tiga Exconya kepada istana dan menteri besar, PAS sudah mengumumkan hasrat untuk bertemu Menteri Besar Selangor bagi membincang pelbagai isu yang melibatkan Kerajaan Negeri Selangor dalam masa terdekat.


Keputusan itu, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dicapai pada mesyuarat jawatankuasa parti itu hari ini.

"PAS akan diwakili oleh Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Setiausaha Agung," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan ringkas.

Bagaimanapun tarikh dan waktu pertemuan akan diputuskan kemudian.

Hakikatnya, jika PKR mahu membandingkan ‘keuntungan jawatan dan kesenangan hidup’ antara pemimpin politik PAS di Selangor dengan pemimpin PKR di Kelantan, perbezaaan kedua-duanya amat ketara.

Di Kelantan, PKR akan hanya kehilangan 45 jawatan dalam Kerajaan Kelantan setelah Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengarahkan semua ahlinya yang menerima lantikan jawatan dalam pentadbiran Kerajaan Kelantan meletak jawatan.

Oriental Daily yang memetik sumber mengatakan, di Kelantan, PKR ada 39 ahli majlis daerah, tiga penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Jumlah keseluruhannya adalah 45.

Sebaliknya, PAS Selangor akan berada di pihak paling merugikan sekiranya parti itu berhasrat meninggalkan Kerajaan Selangor.

Kenapa sedemikian?

Ini kerana setakat hari ini, hampir 5,000 ahli Pas memegang pelbagai jawatan yang dilantik oleh Kerajaan Selangor, termasuklah ketua kampung, ahli jawatan kuasa masjid, ahli majlis perbandaran dan ahli majlis daerah.

Malah, seramai sekurang-kurangnya 500 ketua kampung di seluruh Kelantan, namun tidak ada seorang pun ahli PKR dilantik memegang jawatan berkenaan.


Sebaliknya, tiada seorang pun ahli PKR dilantik sebagai ketua kampung di Kelantan.

Apakah kerajaan Selangor yang dipimpin oleh PKR, termasuk gabungan mereka, DAP dan AMANAH, bertindak jahat dan kejam kepada pemimpin PAS di Selangor?

Apakah untungnya kerjasama PKR dan PAS sebenarnya? Ada mengatakan sebenarnya selepas PRU13, PKR tidak banyak dapat faedah hasil kerjasama antara PKR dan PAS.

Yang nyata di kalangan pemimpin  PKR, mereka anggap arahan Wan Azizah yang meminta semua ahlinya meletakkan jawatan dalam pentadbiran Kerajaan Kelantan adalah tepat.

Ia bagi mengelak akar umbi parti itu tidak lagi rasa keliru dengan pendirian parti.

Namun di pihak PAS, jika benar-benar PAS putuskan hubungan dengan PKR dan ahli PAS tidak menyertai gabungan kerajaan pembangkang di Selangor, apa akan jadi kepada 5,000 ahli PAS berkenaan.

Berputih mata, hilang pekerjaaan dan hilang sumber kehidupan, gara-gara mainan pemimpin atasan PAS yang kononnya ‘berperinsip’.

Bersediakah PAS mengorbankan pemimpin dan ahlinya di Selangor?

"Dengan keputusan yang dibuat ini, sudah tentu semua ahli PKR faham dan jelas mengenai hala tuju yang ingin dibawa oleh parti mereka di Kelantan," katanya. 

Tuesday, May 9, 2017

Kasihan...Merah Padam Muka Pemimpin. Penyokong Najib Razak

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 3 April lalu memberi bayangan kemungkinan akan berlaku peralihan kuasa pemerintahan di Selangor.

Ia dibuat ketika desas-desus mengenai usaha ke arah itu makin kencang kedengaran.

Masa ramailah penyokong UMNO termasuk cytro yang dibiayai oleh Najib Razak dan Dr Ahmad Zahid Hamidi berteriak dan melalak terutamanya di Facebook bahawa kerajaan Selangor akan bertukar.

Malah tanpa segan silu mereka mengatakan Istana Selangor turut bersedia menerima calon Menteri Besar baru daripada UMNO.

Portal Utusan Malaysia Online turut menghangatkan keadaan apabila memetik Hadi mengenai kemungkinan peralihan kuasa susulan perkembangan terbaru setelah Muktamar PAS ke-63 di Alor Setar, Kedah, minggu lalu yang  bersetuju meminta Majlis Syura Ulama membuat ketetapan memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR yang menerajui negeri itu, ia bagaikan isyarat untuk menggulingkan kerajaan campuran PKR, DAP, PAS dan AMANAH itu.

"Biasalah, kemungkinan (boleh) berlaku," katanya yang dipetik portal milik UMNO itu.

Juak-juak Najib begitu teruja bahawa Selangor akan kembali kepada kerajaan bukan Pakatan Harapan (PH) dengan kononnya UMNO dan PAS bergabung.

Bagi mereka, ia boleh dilakukan dengan bantuan beberapa ADUN PKR dan Bebas yang menyertai mereka.

Malah, pada 3 Mei lalu Malaysiakini melaporkan, empat ADUN PKR dan dua ADUN Bebas menghadap Sultan Selangor kononnya menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali.

Bagaimanapun seorang daripada nama yang disebut-sebut itu, Rodziah Ismail, menafikan spekulasi berkenaan.

Namun apa yang diramalkan oleh juak Najib berasaskan kenyataan Hadi,  tidak menjadi.

PH  kekal menguasai 29 kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor dengan 14 daripadanya adalah wakil DAP, 13 PKR dan dua Parti Amanah Negara (AMANAH).

PAS pula menguasai 13 kerusi manakala UMNO 12.
              
Jika Hadi benar-benar  mahu menggulingkan kerajaan negeri dan jika PAS berpakat dengan UMNO, PAS dan UMNO sudah mempunyai 25 kerusi yang tersedia dan memerlukan beberapa ADUN PKR sahaja untuk melompat dan menterbalikkan pemerintahan PKR di Selangor

Namun sedikit pelik ialah kenapa jika benar PAS mahu merobohkan kerajaan pembangkang Selangor kerana marahkan AMANAH dan DAP, ‘arahan Hadi’ tidak dipatuhi oleh ADUN PAS sendiri?

Mengejutkan lagi,  walaupun Hadi mengatakan semua pemimpin PAS Selangor akan patuh pada arahan Pusat PAS, semuanya kini sejuk kembali.

Patuh apa yang dimaksudkan Hadi? Patuh gulingkan kerajaan PH sekarang atau ‘guling hajat UMNO Selangor yang berkobar-kobar”?

Kenyataan Hadi itu dibaca dalam berbagai sudut dan ada pihak mengatakan Hadi turut memasang cita-cita tinggi untuk melingkupkan kerajaan campuran di Selangor yag diterajui oleh pakatan harapan dan PAS sendiri.

Malah, Hadi yang bertanggungjawab untuk membolehkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjadi Menteri Besar selepas ‘menolak Wan Azizah’ memainkan kata-kata dan wajahnya yang asyik bertukar rupa.

Apabila PAS bermain politik sebelum ini dengan sebulat suara meluluskan usul untuk menggesa agar Majlis Syura Ulama PAS memutuskan hubungan dengan PKR, jelas Hadi mempunyai perancangan tertentu untuk Selangor.

Namun, apa yang diharapkan oleh UMNO Selangor nyata  tidak menjadi.

Maka ramai yang muka merah padam dan kenyataan Hadi jelas tidak ‘boleh dipakai’ dan menjadi harapan palsu kepada penyokong Najib dan Zahid.


Ketua Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mungkin orang paling kecewa!!!

Harapan mereka tidak menjadi apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri PAS yang dilantik EXCO tidak mahu meninggalkan kerajaan negeri.

Lebih mengejutkan kelmarin, selepas gagal menumbangkan kerajaan pembangkang di Selangor, UMNO negeri itu menuduh kononnya ada wakil rakyat PKR akan berpaling tadah beberapa hari lalu sengaja direka parti itu untuk mengalih perhatian ramai daripada masalah yang melanda mereka.

Tan Sri Noh Omar mendakwa helah itu memang menjadi kegemaran PKR sebagai cara untuk melupakan sementara kemelut yang melanda ketika ini.

Noh menegaskan, khabar angin empat wakil rakyat PKR bercadang melompat parti itu adalah salah satu contoh bagaimana parti terbabit sengaja mencipta isu.

Selepas gagal untuk menumbangkan kerajaan pakatan pembangkang itu, Noh meletakkan kesalahan di bahu PKR dan sama sekali membebaskan PAS daripada kemelut berkenaan.

"Siapa yang mulakan (khabar angin itu)? (Ia dimulakan) sesama mereka. Akhirnya di Selangor - dari dulu - lebih banyak politik," katanya.

Noh jelas melepaskan kekecewaannya dengan mengatakan  memang menjadi rahsia umum wujud dua kem berbeza dalam PKR ketika ini. Antara lain, katanya, disebabkan penahanan dan pendakwaan pemimpin pemuda parti itu, Datuk Adam Rosly Abdullah baru-baru ini.

"Dalam PKR tidak dapat dinafikan, ada dua kem. Mereka sesama mereka bertelagah, lepas tu mereka cipta satu masalah baru," katanya.

Lebih memalkan Noh dan penyokong Najib dan Dr Ahmad Zahid ialah apabila semalam, Exco kerajaan Selangor daripada PAS menegaskan bahawa mereka masih bersama pentadbiran negeri itu kerana ia adalah mandat yang diberi rakyat pada Pilihan Raya Umum 2013.


Exco Kanan PAS Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, langkah itu adalah demi memastikan kestabilan kerajaan Selangor susulan timbul banyak khabar angin mengenai kedudukan parti Islam berkenaan dalam pentadbiran pimpinan Azmin..

Beliau berkata exco PAS juga akan menjalankan tugas seperti biasa dan memastikan semua program kerajaan negeri seperti Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) terlaksana dengan jayanya.

"Barisan exco PAS akan terus memainkan peranan aktif dan berkesan selari dengan komitmen yang telah diberikan untuk mendukung prinsip serta dasar kerajaan negeri sejak Mac 2008.

"Dengan itu, kami memberi sokongan kepada kerjasama serta persefahaman kepada kepimpinan sedia ada untuk memastikan rakyat Selangor dapat menikmati kestabilan dan pembelaan yang berterusan," katanya dalam kenyataan, semalam.

Nyata sekali kerajaan Selangor  yang dipimpin Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR dengan komposisi tiga exco daripada PKR, tiga DAP dan tiga PAS terus berkuasa hingga pilihan raya umum akan datang.

Kedudukan ini turut melenyapkan haraan UMNO Selangor yang mengharapkan bantuan PAS dan beberapa ADUN PKR dan Bebas yang diharapkan berpihak kepada mereka.

Apakah pengekalan kerajaan PH yang ada ini sebagai isyarat bahawa di Selangor, PAS sama sekali tidak akan mengkhianati perjanjian dengan PH, walaupun ada DAP dan AMANAH?


Atau dengan kata lain Hadi tidak akan menggangu Selangor dan biarkan kerajaan PH terus kekal>

Juga tidakkah ini menunjukkan bahawa PAS sama sekali tidak rela untuk hilang kuasa yang ada padanya – walaupun terpaksa berkongsi dengan musuhnya, DAP dan AMANAH – agar ADUNnya turut mendapat kedudukan dalam pentadbiran negeri.


Jadi janganlah UMNO berharap sangat kepada PAS untuk membentuk kerajaan campuran kerana seperti juga UMNO, PAS juga melihat kuasa dan kedudukan dalam sesebuah kerajaan, sama ada peringkat negeri, apa lagi jika Putrajaya, sebagai caranya kekal wujud dan turut bekuasa.

Tuesday, April 4, 2017

Razali Sertai PAS Terengganu, Gurauan Politik Apa Ini?


Permainan atau gurauan politik apa sedang dilakukan oleh pihak tertentu yang cuba menganggu-gugat kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Terengganu apabila mengatakan ketuanya, Datuk Razali Idris akan menyertai PAS.

Jangan kalutkan keadaan apabila PAS dan PKR sedang ‘berselisih’ sekarang sedangkan PPBM tidak ada kena mengena.

Hal perbalahan PAS dengan AMANAH dan permintaan pemimpin PAS agar digugurkan kerjasama dengan PKR tiada kena mengena dengan PPBM ‘baik yang hidup atau yang mati’.

Itu hal mereka.

Jangan pula kemarahan oleh pihak tertentu dalam dua parti berkenaan kepada PAS menyulitkan PPBM yang masih mahu bekerjasama dengan PAS, apa lagi di Terengganu tidak wajar dilakukan.

PPBM tidak kacau parti lain dalam hubungannya dengan PAS dan jika PAS mahu bekerjasama dengan PPBM, itu adalah sebaik-baiknya.

Lagipun kepimpinan tinggi PPBM belum buat keputusan mengenai kemungkinan kerjasama dengan PAS dan itulah sebaliknya.

Muktamar PAS di Kedah nanti akan membincangkan hubungannya dengan PKR dan tidak PPBM. Jadi janganlah dikalutkan dengan kerjasama PPBM dan PAS.

Semalam ditularkan bahawa Ketua Badan Pimpinan PPBM Negeri Terengganu – Datuk Razali Idris – akan menyertai PAS pada 7 April ini, gara-gara beliau akan berceramah sepentas dengan pemimpin PAS.

Apa salahnya, pemimpin PPBM, termasuk Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin  pun melakukan perkara sama. Juga Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz juga melakukan perkara yang sama, mengikut keperluan.

Tular tersebut berbunyi:


Jelas sekali perbuatan ini menentang kehadiran Razali ke Paka dan amatlah tidak adil sekiranya tanggapan dibuat sedemikian.

Juga mana ada berlaku PPBM Terengganu terbahagi kepada dua kumpulan iaitu kumpulan Razali dan satu lagi dipimpin oleh Ketua Pendaftar (ahli) PPBM Terengganu?

Mereka elok sahaja pada mesyuarat pertama Badan Pimpinan PPBM Negeri Terengganu semalam dan sedang merancang program PPBM di Dungun dan bahagian-bahagian lain.
Kenapa ada fitnah sedemikian?

Jangan kerana ada ‘kemarahan’ dan ‘dendam lama’ terhadap seseorang di kalangan pihak tertentu, Razali mahu dijadikan.’kambing hitam’?

Razali dipilih oleh pucuk pimpinan PPBM bagi mengetuai Terengganu dan beliau mendapat sokongan semua bahagian.

Sewajarnya semua pihak – di kalangan penyokong pembangkang – memberikan sokongan kepada Razali demi menggerakkan PPBM untuk sama-sama menolak dan menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Mesyuarat pertama Badan Pimpinan PPBM Terengganu, semalam.
Tidak ada yang goyah atau rapuh dalam PPBM Terengganu dan sejak program BERANI BERUBAH di Ajil 16 Februari lalu, momentum PPBM semakin melonjak.

Alasan Razali yang mempunyai latarbelakang agama, dan turut menyertai Himpunan RUU355 di Kuala Lumpur dikatakan lebih yakin sekiranya PPBM bersama PAS di Terengganu dan tidak diterima pandangan itu tidak timbul sama sekali.

Apakah kononnya alasan sekecil ini akan merubah hati Razali untuk mengumumkan penyertaan beliau ke dalam PAS Jumaat ini?

Juga amatlah cetek kenyataan bahawa PAS juga tidak menolak untuk memberi ruang kepada bekas tokoh agama dari UMNO itu untuk bertanding diatas tiket PAS pada PRU yang akan datang.

Sumber dalaman PAS mana yang dipetik oleh mereka yang memulakan tular berkenaan sedangkan hakikatnya Razali bukan ‘syok sendiri’ ke majlis anjuran PAS berkenaan.

“Pesuruhjaya PAS Terengganu yang jemput saya beceramah dan saya sudah dapatkan kebenaran dari PPBM Pusat.

“Minggu lepas  saya jawab bersetuju tapi pagi tadi (semalam) saya dapat info yg gambar saya di letak sebagai bekas pimpinan UMNO. Saya minta mereka tukar kepada jawatan yangg saya diamanahkan sekarang oleh PPBM,” katanya.

Beliau tidak pasti pihak mana yang membuat tularan itu dan berharap ia tidak menjadi salah faham kepada penyokong PPBM dan PAS.

“Ia hanya jemputan untuk berceramah dan tidaklah sehingga masuk PAS,” tegas Razali.

Friday, March 31, 2017

Umrah Guru - ADUN BN Cuba Lindungi Seseorang Atau Kumpulan Menipu?

 

Berkesempatan mengikuti perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu melalui media sosial semalam sangat menarik, terutamanya isu penipuan umrah oleh sebuah yayasan di Terengganu.

Projek yang dinamakan 'Umrah Guru' sepatutnya tidak dilepas tangan oleh kerajaan Terengganu walaupun ia tiada kaitan secara langsung dengan skim itu.

Guru-guru mengharapkan kerajaan membantu mereka dalam isu ini, bukan lepas tangan atau buat-buat tidak tahu mengenainya.

Benarkah kerajaan negeri ppimpinan Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman atau Ahmad Razif sendiri tidak tahu mengenai pergerakan yayasan berkenaan.

Namun ternyata, di pihak Ahli Dewan Undangan (ADUN) Barisan Nasional, mereka terlalu sensitif dengan isu berkenaan.

Kerana itu, terima kasih wakil Bukit Payong (PAS) Mohd Nor Hamzah kerana menimbulkan isu Umrah Guru walaupun cuba diganggu dan dihalang oleh ADUN  Barisan Nasional (BN), Mohd Iskandar Jaafar.

Amat nyata ADUN BN (Jabi) itu berusaha menenggelamkan isu Umrah Guru ini dengan mengatakan ia tiada kaitan dengan kerajaan negeri.

Sedangkan ia sudah menjadi ‘barah’ dan kemarahan guru kepada pihak yang berkaitan dan Mohd Nor meminta kerajaan negeri campur tangan untuk membantu guru-guru mendapatkan hak dan keadilan untuk mereka.

Persoalannya kenapa Iskandar jadi ‘tidak ketentuan’ dan ‘meroyan’ apabila isu ini diketengahkan?
  
Pada 29 Disember 2016 lalu, Polis Terengganu membongkar kegiatan penipuan pakej umrah yang dijalankan sebuah yayasan di Terengganu  melibatkan kerugian kira-kira RM14.2 juta.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata jumlah itu melibatkan kira-kira 4,800 mangsa yang terdiri dalam kalangan guru dan berikutan itu pihaknya telah mendapatkan perintah tahanan reman terhadap pengarah dan akauntan yayasan terbabit.

Pada 14 Disember 2016 lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mendedahkan, pihaknya pernah menolak tawaran mengadakan usaha sama dengan Yayasan Bakti Negara Terengganu (YBNT) sebelum ini.

Apakah ADUN Jabi itu cuba melindungi seseorang atau kumpulan yang terlibat dalam kes menipu yang sedang dalam siasatan ini?

Semalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu menyaksikan adegan agak panas yang sengaja dicipta oleh ADUN BN itu kerana mengganggu ucapan wakil PAS pada sebelah sesi petang.


Kejadian berlaku apabila Mohd Nor menyampaikan  ucapan menjunjung kasih kepada ucapan perasmian pembukaan Dun oleh DYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Ketika Mohd Nor menyentuh berkenaan penipuan Umrah Guru yang menganianya sebahagian guru di Terengganu dan pada ketika masih belum menghabiskan seluruh tujuan ucapan beliau, wakil Jabi (BN) bangun mencelah.

Beliau yang terus mengkritik ucapan  Mohd Nor itu tanpa meminta laluan dan terus bercakap seperti seorang yang tidak tahu peraturan sidang DUN.

Malah, Iskandar mendakwa ADUN Bukit Payong itu cuba mengheret kerajaan dalam isu itu.

Sedangkan ucapan sepenuhnya oleh Ketua Penerangan PAS Terengganu itu hanyalah sebagai rayuan memohon jasa baik agar kerajaan Negeri untuk membantu guru-guru terlibat disamping mengenakan langkah ketat bagi mengelak ianya berulang.

Akibat daripada sikap gelojoh wakil Jabi itu keadaan menjadi tegang dengan campur tangan dari beberapa lagi ADUN  lain yang akhirnya menyebabkan perang mulut berlaku.

ADUN  Jabi itu kemudiannya duduk setelah diarahkan Speaker DUN, Datuk Zubir Embong tanpa beliau meminta maaf diatas perbuatan beliau itu.

Mohd Nor kemudiannya dibenarkan menyambung ucapan yang di dalamnya ada memuji kehebatan guru di Terengganu yang menjulang kecemerlangan pendidikan anak-anak Terengganu dan sewajarnya mereka dibela.

Kes Umrah Guru ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Hasil pemeriksaan di dalam satu akaun milik anak syarikat yayasan berkenaan oleh  pihak polis mengesan terdapat kemasukan wang sebanyak RM14.2 juta ke dalam akaun tersebut.

Yayasan berkenaan menggunakan modus operandi dengan mengeluarkan surat tawaran untuk menarik perhatian guru-guru di negeri ini menyertai pakej umrah yang ditawarkan mereka menerusi Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

Pengarah Pelajaran Negeri turut disoal.
Katanya pakej berkenaan bernilai RM6,990 seorang namun mereka hanya perlu membayar kira-kira RM3,000 sahaja manakala baki selebihnya dikatakan akan dibiayai oleh syarikat yang membuat tajaan.

Rosli berkata sehingga kini pihaknya telah menerima sebanyak 47 laporan, daripada mangsa manakala satu laporan oleh syarikat agensi pelancongan.

Malah, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu turut dipanggil bagi membantu siasatan berhubung pakej penipuan pakej umrah yang melibatkan guru.

Polis turut memanggil seorang lagi pegawainya bagi membantu siasatan.


Sehingga kini tiada perkembangan terbaru mengenai siasatan itu.

Sunday, March 12, 2017

Sokongan Kepada RUU 355 Buka Jalan Ke Arah Rundingan PAS-PPBM?


Apakah faktor sokongan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terhadap cadangan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (ruu 355) yang dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang DI Dewan Rakyat akan menjadikan PAS semakin mesra dengan PPBM?

Dengan kedudukan di mana PAS melihat isu RUU 355 ini sebagai sesuatu yang ‘tersangat penting bagi mereka’, sokongan PPBM kepada perkara ini mungkin akan memudahkan kepada perbincangan agihan kerusi kedua-dua parti berkenaan.

Kemesaraan kedua-dua parti ini semakin jelas, apalagi jika benar PPBM menyokong RUU 355 berkenaan.

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pada 8 Mac lalu bahawa PAS sudah menjemput PPBM  berbincang mengenai pembahagian kerusi menghadapi pilihan raya.

Ia dianggap sebagai satu kemajuan yang baik dan ia akan dibincangkan dalam satu pertemuan yang akan diadakan pada masa terdekat.

“ Kalau dulu awalnya tak ada. Sebagai parti baharu, memang minat kami untuk (bekerjasama) dengan semua pihak. Kami tak nak menolak minat sebegitu,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden di ibu pejabat parti itu di Petaling Jaya.

Hari ini dilaporkan oleh FMT bajawa Timbalan presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai berkata berkata Presiden PPBM itu menyokong cadangan pindaan RUU 355 berkenaan.

RUU 355 yang dibawa presiden PAS itu bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dan ia dijadualkan dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Ia dibaca kali kedua di Dewan Rakyat tahun lalu, tetapi Hadi menangguhkannya dan berkata beliau mahu memastikan masyarakat faham yang pindaan itu tidak terpakai kepada bukan Islam.

RUU 355 itu bertujuan meningkatkan hukuman sedia ada untuk kesalahan syariah tertentu, termasuk hukuman penjara kepada 30 tahun, denda RM100,000 dan 100 sebatan.

Muhyiddin, dikatakan dalam suatu mesyuarat bersama PAS, pernah  menyatakan PPBM akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam isu yang berbangkit di Dewan Rakyat termasuk isu yang dikenali sebagai RUU 355 itu.


“Sebenarnya perkara kita bincang dan dia (Muhyiddin) secara prinsipnya bersetuju dengan RUU 355, tidak ada apa-apa masalah. Dalam perbincangan mesyuarat kami, kita sudah ada dan bicarakan isu ini.

“Apa-apa isu yang berbangkit di Dewan Rakyat, dia tidak ada masalah untuk sokong,” katanya kepada pemberita pada majlis makan malam dan dialog politik di Dewan Seri Iskandar, Setiawangsa malam tadi.

Tuan Ibrahim bagaimanapun berkata sehingga ke saat ini isu pembahagian kerusi dengan PPBM masih belum dibincangkan, malah dianggap sebagai belum tiba masanya lagi.

“Rundingan kerusi belum lagi. Cuma, jawatankuasa teknikal akan adakan perbincangan untuk lihat macam mana. Kita akan tengok, lagipun pilihan raya belum tahu bila lagi,” katanya.

Sebelum ini, PAS dan PPBM mengadakan beberapa pertemuan awal dalam usaha mencari serta memperhalus rangka kerjasama persefahaman politik antara kedua-dua parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Tindakan PPBM itu sekali gus dilihat sebagai cubaan parti itu menjadi orang tengah dalam perbalahan yang wujud antara parti komponen Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP dan AMANAH.

Muhyiddin pula merupakan satu-satunya ahli Parlimen yang mewakili PPBM.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata perbincangan mengenai kerusi pilihan raya dengan PAS adalah perkembangan yang baik tetapi pihaknya berpendapat kerangka kerjasama dengan parti Islam itu perlu jelas.

“Perlu juga mengambil kira hubungan kerjasama yang sudah kita jalinkan dengan Pakatan Harapan,” katanya.

Perbincangan antara PPBM dan PAS ini tidak melibatkan PK seperti dijelaskan oleh Muhyiddin sebelum ini bahawa: “Ini peringkat PPBM dan PAS saja.”

Muhyiddin mengakui hubungan parti itu dengan PAS semakin mesra dan parti itu juga hampir dijemput setiap hari untuk mengadakan ceramah bersama.

“Tahap makin mesra. Kami dijemput hampir setiap hari. Datuk Seri Mukhriz dijemput oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yaakob. Saya hadir majlis dengan Tuan Ibrahim, menyatakan kesediaan berunding di peringkat negeri,” katanya.

Tuesday, February 28, 2017

Beza Pas Versi Nik Aziz Berbanding Hadi Daripada Kacamata Kit Siang


Sepanjang tempoh 48 jam lalu, kita diperlihatkan dengan satu lagi aspek perbezaan ketara antara PAS versi Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan PAS versi Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Suatu sandiwara penyebaran berita palsu dan fitnah telah berlangsung dalam penyampaian memorandum kononnya oleh akar umbi PAS kepada Ketua Penerangan PAS, Nasarudin Hassan yang meminta Jawatankuasa Pusat PAS supaya memutuskan hubungan dengan mana-mana pihak yang mempunyai pertalian dengan DAP dan AMANAH, diiringi beberapa poster menyerang pimpinan Pakatan Harapan dan Bersatu.

Banner yang mahal dan berwarna-warni, menyerang pemimpin Pakatan Harapan dan Bersatu – termasuk satu yang memaparkan wajah saya dan menyerang saya sebagai ‘Musuh Melayu/Islan (Rasis)’ – dipamerkan di luar Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur bagi menyampaikan rasa tidak suka dan benci yang bersangatan terhadap pimpinan DAP, AMANAH dan Bersatu seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan saya sendiri.

Ini adalah sesuatu yang tidak akan terjadi dalam PAS versi Nik Aziz, kerana tidak akan ada Ketua Penerangan PAS yang akan berani mengatur dan menjalankan aksi politik nakal sedemikian, kerana PAStinya akan mengundang kemarahan Nik Aziz.

Tetapi Nik Aziz sudah tiada dan apa yang ada hari ini ialah PAS versi Abdul Hadi.

Nik Aziz tidak akan merelakan sebarang muslihat atau pengkhianatan politik, terutamanya oleh pemimpin PAS.

Jika DAP dan pemimpin DAP adalah anti-Melayu dan anti-Islam, kenapa PAS menganggotai Pakatan Rakyat sepanjang 2008 ke 2013 dan mendapat sokongan majoriti undi popular pada PRU13 dan hampir menghalau UMNO/BN keluar dari Putrajaya?

Sekiranya sistem pilihan raya adalah benar-benar adil dan demokratik; daripada membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri?

Kalau DAP dan pemimpin DAP anti-Melayu dan anti-Islam, adakah Nik Aziz akan menziarahi bekas Pengerusi Kebangsaan DAP, mendiang Karpal Singh, di kediamannya di Pulau Pinang semasa perayaan Thaipusam pada Januari 2013, di mana hari jadi Nik Aziz yang ke-82 turut disambut dengan kek ‘Pakatan Rakyat’?

Kenapa begitu banyak sekali perubahan terhadap PAS setelah kematian Nik Aziz pada Februari 2015?


Sekiranya Nik Aziz masih hidup, saya tidak fikir PAS akan teragak-agak untuk menyertai pergerakan patriotik parti-parti politik dan NGO untuk menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah kleptokrasi global dan menuju nasib sebuah negara gagal.

Malah, sekiranya Nik Aziz masih hidup, PAS akan berada di barisan paling hadapan mendesak kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam skandal kleptokratik pengubahan wang berbilion dolar 1MDB, berbanding melihat Presiden PAS semakin selesa dengan Presiden UMNO.

Walaupun sandiwara 48 jam lalu didakwa berpunca dari akar umbi PAS Selangor yang menyerahkan memorandum kepada pimpinan PAS bagi memutuskan hubungan dengan mana-mana parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan AMANAH.

Serangan terhadap DAP, AMANAH dan Bersatu adalah suatu deklarasi perang oleh kepimpinan PAS terhadap DAP, Pakatan Harapan dan Bersatu.

Walaupun sandiwara serangan kepimpinan PAS terhadap DAP, AMANAH dan Bersatu itu cuba dialas, kononnya berpunca dari akar umbi PAS Selangor, senario sebenar adalah sangat berbeza.

Hakikatnya, akar umbi PAS Selangor sudah sangat tidak berpuas hati dan bergolak ekoran pendirian garis keras PAS versi Abdul Hadi yang selesa bersama UMNO.

Ini menjelaskan kenyataan Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad, sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS minggu lalu bahawa kalau pun Jawatankuasa Pusat PAS dan Majlis Syura memutuskan untuk berpisah dengan PKR, Exco-exco PAS di Selangor, anggota GLC, ahli majlis dan ketua kampung tidak akan meletakkan jawatan sehinggalah keputusan dibuat dalam Muktamar PAS pada bulan April nanti.

PAS Selangor berkemungkinan tewas kesemua 15 kerusi Dun yang dimenanginya dalam PRU13 pada PRU akan datang, memandangkan para pengundi Islam dan bukan-Islam kecewa dengan hala tuju baru PAS.

Saya percaya Nik Aziz tidak akan mempunyai masalah menyokong kenyataan dan aspirasi saya bahawa rakyat Malaysia tidak boleh bersifat anti-Melayu, atau anti-Cina, anti-India, anti-Kadazan atau anti-Iban atau anti mana-mana agama, lantas mengkhianati aspirasi Malaysia yang menyifatkan setiap warga Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, wilayah, kelas, gender atau usia sebagai sebuah bangsa Malaysia.

Tetapi Abdul Hadi sangat berbeza dan saya akan sangat terkejut sekiranya beliau mampu menyokong kenyataan dan aspirasi tersebut secara terbuka.


Lim Kit Siang ialah Ahli Parlimen Gelang Patah dan bekas Setiausaha Agung DAP (27 Februari 2017)

Monday, January 16, 2017

Mahfuz Memang ‘Spy’ PAS Dalam Strategi Rapat Dengan UMNO?


Kenapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor,  Datuk Husam Musa yang mengkritik kepimpinan PAS Kelantan mudah dipecat daripada parti?

Tetapi dalam kes bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar parti itu bertindak sebaliknya.

Bukan sekali beliau ‘menentang arus’ malah tindak tanduknya menjadi persoalan kenapa PAS berlembut dengan beliau.

Pucuk pimpinan PAS, jelas terlalu sangat sayang kepada beliau.

Malah dengan terus kekal dalam PAS tetapi sering ‘menyibukkan diri’ dengan berbagai kegiatan Pakatan Harapan (PH) seperti dalam dalam pembentangan Bajet olok-olok PH turut di persoalkan.

Ada yang marah dan meminta Mahfuz agar masuk parti AMANAH. Malah kalau sayang sangat dengan Tun  Dr Mahathir Mohamad, beliau meminta supaya supaya masuk sahaja ‘Parti Cap Bunga Raya’.

Amaran demi amaran diberikan, termasuk oleh Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang, termasuk mengatakan PAS akan mengambil tindakan terhadap anggota parti yang didapati menyertai perhimpunan Bersih 5.0 di Kuala Lumpur.

Namun, Mahfuz dengan tidak berselindung dan berani mengatakan bersedia berhadapan tindakan disiplin kerana menghadiri perhimpunan Bersih 5.0 pada 19 November itu.


Mahfuz yang terus bebas turut memboikot ucapan Bajet 2017 oleh Datuk Seri Najib Razak dengan keluar dari Dewan Rakyat pada 21 Oktober lalu.

Ketika undian mengenai Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di peringkat dasar diadakan di Dewan Rakyat pada 7 November lalu, Mahfuz (PAS-Pokok Sena) merupakan satu-satunya wakil PAS yang mengundi menolak RUU itu, yang bertujuan memperuntukkan RM260.8 bilion yang disediakan Bajet 2017.

Mahfuz dilihat rapat dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, malah kadang-kadang beliau dilihat ‘berlebih-lebih’ berbanding pemimpin pembangkang lain, termasuk Penasihat DAP, Lim Kit Siang atau Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Kritikan Mahfuz terhadap pemimpin PAS, walaupun  tidak disebut nama secara khusus, namun sebagai ahli, beliau wajar diberikan surat tunjuk sebab apalagi seperti melawan arahan Presiden PAS sendiri.

Mahfuz turut membuat tuduhan terhadap partinbya apabila menganggap  PAS sebagai ‘makan keliling’ di mana pada 25 Disember lalu, beliau membidas PAS menggunakan strtaegi itu yang menyebabkan parti Islam itu dianggap sebagai parti yang oportunis, tidak berprinsip dan tidak boleh dipercayai.

Strategi itu, menurutnya akan menyebabkan rakyat dan ahli PAS akan menjarakkan diri daripada parti itu apabila menyedari PAS hanya mahukan undi mereka untuk dijadikan 'alat tawar menawar' dengan mana-mana pakatan politik yang menang.

Mahfuz turut boikot ucapan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri.
Kemarahan penyokong PAS kepada Mahfuz turut menuduh beliau yang sebenarnya menjadi 'double agent' umpama mempelam harumanis, ‘hijau di luar, oren di dalam’.

Kenapa dibiarkan begitu sahaja?

Apakah Mahfuz sengaja dipasang sebagai ‘pengintip dalam PH  untuk memaklumkan kepada Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional mengenai kegiatan pembangkang?

Mahfuz menjadi ‘spy PAS’ yang akan membolehkan PAS lebih rapat dengan UMNO?

Semalam, yang terbaru Mahfuz mengkritik tindakan partinya yang tidak menghantar wakil ke majlis perasmian Bersatu di Stadium Malawati, Shah Alam, malam kelmarin.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menyifatkan, tindakan partinya itu seolah-olah memberi gambaran enggan menjalinkan kerjasama bersama gabungan pembangkang seperti diinginkan rakyat.

“Tidak wajar PAS tidak menghantar wakil mereka pada majlis pelancaran ini kerana masyarakat akan melihat seolah-olah PAS mahu memencilkan diri daripada satu kelompok ‘grand coalition’ dalam kalangan parti pembangkang yang ada ini,” katanya.

Bagi Mahfuz tidak menghantar wakil kepimpinan tertinggi parti adalah langkah yang silap.

Mahfuz mempersoalkan apakah itu menunjukkan ketidaksediaan PAS untuk menjalin apa-apa kerjasama Pakatan Harapan atau dengan Bersatu?

Mahfuz satu-satunya pemimpin PAS yang hadir, meskipun Bersatu dilihat menyediakan beberapa kerusi untuk pemimpin PAS pada majlis itu. Beliau berkata  kehadirannya kerana mendapat jemputan daripada pihak Bersatu.


Beliau mengakui tidak maklumkan kehadirannya kepada kepimpinan PAS.

Berikutan itu, PAS perlu melihat tindak tanduk Mahfuz sebagai menentang arus walaupun beliau menganggap  tidak menjadi kesalahan untuknya menghadiri apa juga program anjuran PH.

Biarpun dikatakan kehadrinnya atas kapasiti  rakyat Malaysia, namun ia bertentangan dengan sikap parti.

Pertanyaan ialah apakah Mahfuz sekali lagi terlepas walaupun kritikannya itu ditujukan kepada pucuk pimpinan?

Jika demikian, apakah keistimewaan yang dinikmati oelh Mahfuz berbanding kes Husam?

Juga apakah keistimewaan itu sebagai memberikan ruang untuk Mahfuz mengumpul maklumat gerakan PH untuk PAS untuk ‘dijual kepada UMNO’ demi ganjaran.

Ganjaran apa? Itu hanya Presiden PAS sahaja yang tahu.

Apapun, semuanya kerana sumbangan Mahfuz yang 'bebas bergerak' tanpa akan adanya tindakan keras seperti ke atas Husam.

Sunday, June 5, 2016

Budiman Kata PAS Berebut ‘Hati Azmin’, Mujahid Pula PAS Tengah ‘Mabuk’


Calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi menganggap PAS dan Parti Amanah Negara (AMANAH) sebagai dua kekasih yang bergelut untuk merebut 'sekeping hati' yang sama.

Kata ADUN Sungai Panjang itu, keadaan berkenaan menyebabkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bingung dan "pening kepala".

Pada masa sama, Budiman menganggap PAS yang akan menentangnya dalam pilihan raya kecil 18 Jun ini sebagai "kekasih gelap" Azmin.

Naib Presiden AMANAH Datuk Mujahid Yusof Rawa pula menuduh parti lamanya PAS, jadi mabuk dengan perkauman UMNO dan mengetepikan kepercayaan parti terhadap universalisme Islam.

Mujahid berkata bapanya, Yusof Rawa, pengasas PAS menegakkan prinsip Islam sepanjang hidupnya.

Bagaimanapun, PAS kini menjadi perkauman selepas “mabuk dengan doktrin UMNO, kenyataan perkauman dan fitnah terhadap masyarakat Cina dan DAP”.

Kenapa Budiman anggap PAS kekasih gelap?

"Pada masa yang sama dia (Azmin yang mewakili PKR) ada 'isteri' yang bernama PAS. Kemudian dia binkan dengan PKR. Pada masa yang sama dia ada kekasih gelap nama PAN (merujuk kepada AMANAH), bin dengan DAP.

"Kalau kita lantik (ADUN) daripada PAN, hari ini pun Azmin dah pening kepala," katanya
Budiman berucap kepada masyarakat setempat di suatu program lawatan di Homestay Batu 23, Sungai Nibong semalam.

Kata Budiman, hubungan Azmin dengan PAS dan AMANAH seperti dua kekasih gelap yang "berebut satu hati yang sama".

Mengenai calon PAS Dr Abdul Rani Osman, Budiman berkata terlalu sukar untuk ADUN Meru itu mengelola Sungai Besar jika berlaku sebarang kecemasan.

"Jika ada adinda yang dekat (merujuk kepada dirinya sebagai ADUN Sungai Besar) mengapa perlu pilih orang jauh (Rani)?" katanya.

Budiman turut menyentuh calon AMANAH Azhar Abdul Shukur yang disebut-sebut sebagai anak tempatan. "Tetapi dia mengundi pun di Temerloh," katanya.

Pilihan raya kecil Sungai Besar akan diadakan pada 18 Jun ini ekoran kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon dalam kemalangan helikopter di Sebuyau pada 5 Mei lalu.

Penamaan calon untuk pilihan raya kecil itu diadakan hari ini. Proses itu akan dijalankan serentak dengan kawasan parlimen Kuala Kangsar.



Sementara itu, Mujahid mengeluarkan kenyataan itu sebagai respon terhadap komen dibuat pemimpin Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz bahawa DAP menyediakan ahlinya dengan “arak”, hingga menyebabkan mereka keluar untuk menubuhkan AMANAH.

“Bukan kami yang mabuk, kamu yang mabuk,” kata Mujahid dan kerana itu mereka “keluar parti (PAS), dan itu semua kerana kamu yang mabuk dengan UMNO.” (baca tulisan Mujahid seperti disiarkan Malaysiakini semalam)

AMANAH, parti serpihan PAS, ditubuhkan tahun lalu selepas sekumpulan pemimpin dalam puak progresif disingkirkan oleh calon konservatif dalam pemilihan parti. Langkah itu diambil susulan perbalahan berterusan antara DAP dan PAS berikutan parti Islam itu bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan, dan ia disokong UMNO.

Perbalahan itu menyebabkan terkuburnya Pakatan Rakyat, dan kemudian AMANAH bersama DAP dan PKR membentuk Pakatan Harapan.

Mujahid juga mengkritik pemimpin PAS yang memakai baju Melayu, kain pelikat dan songkok di muktamar itu, bukan jubah putih tradisi pakaian seragam mereka, yang digambarkannya mengikut gaya pemimpin UMNO.

“Cara mereka (PAS) berpakaian menggambarkan apa yang ada dalam fikiran mereka, sedangkan UMNO pun tidak sejauh itu (membuktikan mereka Melayu),” kata Mujahid.

Katanya, tindakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggunakan keris untuk memotong kek pada muktamar itu “ejekan” kepada semua orang Islam.