Saturday, May 14, 2016

Wakil Rakyat DAP Bangkit Kelemahan Pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang


Slogan 'Pulau Pinang Bersih, Hijau dan Selamat' serta 'Cekap, Amanah, Telus' yang sering dilaungkan kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini dipersoalkan oleh anggota Dewan Undangan Negeri daripada DAP.

Ong Kok Fooi (DAP-Bukit Berapit) mempersoalkan adakah Pulau Pinang mencapai apa yang dilaungkan dalam dasar itu sedangkan dakwanya pelbagai kemudahan dan infrastruktur antara pulau dan seberang tidak serata.

"Soalan saya adakah Pulau Pinang mencapai polisi CAT (Cekap, Amanah, Telus) kerana jika dibandingkan antara pulau dan Seberang Perai, ternyata kerajaan tempatan di Seberang Perai tidak berprestasi seperti yang diharapkan.

"Penduduk banyak (buat) aduan kepada saya ... saya perlu perjelaskan isu ini kepada rakyat di kawasan (Dewan Undangan Negeri) saya," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Georgetown semalam.

Ong yang jelas kelihatan tidak berpuas hati dengan prestasi penjawat awam di kawasan Seberang Perai, berkata agensi kerajaan negeri seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) tidak menunjukkan prestasi seperti yang diharapkan rakyat.

"Kebersihan di kawasan itu juga tidak dijaga," katanya.

Menjawab persoalan yang ditimbulkan itu, Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohd Rashid Hasnon hanya berkata kerajaan negeri akan mengambil maklum mengenai perkara itu dan penambahbaikan akan dibuat di Bukit Berapit.


Sementara itu, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Datuk Jahara Hamid menyarankan kerajaan DAP Pulau Pinang mewujudkan satu dasar bagi memastikan kampung tradisi yang mempunyai sejarah di negeri ini tidak boleh dibangunkan.

Beliau berkata kampung-kampung tradisi itu perlu dikekalkan untuk generasi akan datang, selain dapat mengekalkan identiti Pulau Pinang yang sebenar.

Katanya, daripada keseluruhan 662 buah kampung yang terdapat di negeri ini, hanya 48 kampung disenaraikan dalam Rancangan Struktur Negeri (RSN) Pulau Pinang.

"Kumpulan kampung-kampung ini perlu kita kategorikan, ada kampung-kampung merupakan kampung tradisional yang mempunyai sejarah yang perlu dikekalkan dan ditambah baik dengan kemudahan infrastruktur.

"Hanya 48 kampung yang disenaraikan, bagaimana dengan kampung-kampung yang lain. Perkara ini harus dipertimbangkan. Kita bimbang jika tidak dipelihara akan menghapuskan kampung-kampung itu semua," katanya ketika membahaskan usul terima kasih ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas pada persidangan DUN, di sini hari ini.

Jahara yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Air Tawar berkata pembangunan yang dilaksanakan juga tidak seharusnya bersifat 'eurocentric' sehingga menenggelamkan warisan negeri ini.

"Kita nak asaskan nama-nama jalan, kampung, bangunan mesti ada asal usul, tak boleh ambil sahaja dan bubuh ... ambil kira persekitaran. Seperti Seberang Perai, ambil nama-nama ikan begitu juga dengan Bukit Mertajam menggunakan nama buah-buahan," katanya.

Dalam pada itu, persidangan DUN kecoh apabila Datuk Roslan Saidin (BN-Pinang Tunggal) membangkitkan isu tindakan yang diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan terhadap penjaja kecil kaum tertentu yang berniaga di tepi jalan termasuk di kawasan diwakilinya.

Kenyataan itu menimbulkan rasa kurang senang RSN Rayer (DAP-Seri Delima) yang tidak bersetuju bahawa tindakan hanya dikenakan terhadap kaum tertentu.

"Saya rasa kenyataan tidak tepat (tindakan) hanya kepada kaum tertentu... tak adil membuat kenyataan sebegitu," katanya.

Speaker Datuk Law Choo Kiang kemudiannya mengarahkan kedua-dua wakil rakyat itu duduk.

No comments: