Tuesday, December 7, 2010

SELANGOR ABAIKAN ORANG MISKIN

Kemiskinan di Selangor membimbangkan apa lagi kerajaan negeri membelanjakan sedikit sekali wangnya untuk orang miskin.

Berikutan itu kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sewajarnya digesa meningkatkan bantuan kepada rakyat miskin dan golongan kurang bernasib baik di negeri itu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (gambar) bimbang golongan itu tidak mendapat pembelaan serta bantuan sewajarnya berdasarkan jumlah peruntukan yang dikeluarkan kerajaan negeri.

Menurutnya, setakat ini Kerajaan PKR Selangor hanya membelanjakan RM14.6 juta untuk membantu 8,007 penduduk miskin berbanding RM98.7 juta yang dibelanjakan oleh Kerajaan Persekutuan untuk membantu 35,342 keluarga miskin termasuk orang kurang upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak di negeri itu.

"Kalau kementerian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak menampung kebajikan golongan miskin di Selangor, mereka akan berada pada tahap berbahaya kerana tidak mendapat pembelaan.

"Jumlah orang miskin di Selangor amat membimbangkan tetapi pembelaan daripada kerajaan negeri terlalu kecil. Justeru saya minta supaya jumlah bantuan itu ditingkatkan.

"Sewaktu parti pembangkang mengambil alih Selangor, banyak duit ditinggalkan oleh kerajaan BN di bawah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo tetapi anehnya mengapa ia tidak diguna untuk menjaga kebajikan rakyatnya?" katanya baru-baru ini.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Sambutan Hari Raya Aidiladha dan Majlis Ibadah Qurban di Surau At-Taufiqiah, Taman Medan Cahaya.

No comments: