Daripada http://hambali1.blogspot.com
Isu air di Selangor kini sudah sampai ke peringkat menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
Kerajaan Selangor melalui Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim semalam menyerahkan memorandum itu pada ketika dua pihak – Baju Merah dan Baju Hitam - mengadakan demonstrasi mengenai isu air dan isu penyelewengan kerajaan Selangor.
Persoalannya, pada ketika Sultan Selangor turut mengambil berat isu ini kenapa Menteri Besar Selangor tidak menghadap atau memohon perkenan Baginda membantu mengatasi masalah ini - sebaliknya terus kepada Yang di-Pertuan Agong?
Apakah Khalid merasakan Sultan Selangor tidak mengambil berat isu ini? Atau apakah Khalid merasakan Sultan Selangor tidak mempunyai ‘pengaruh’ dalam membantu mengatasi isu air di Selangor?
Semalam dalam temubual yang disiarkan The Star, Sultan Selangor memberi amaran negeri Selangor akan berdepan masalah air yang serius jika krisis air yang diakibatkan pertelingkahan antara kerajaan negeri dan Persekutuan (Pusat) berlanjutan.
Baginda bukan sekadar bimbang air paip ‘akan kering’ tetapi juga akan melibatkan bekalan kepada kilang. Jika keadaan ini berlaku apa jadi dengan industri di Selangor?
Apakah Selangor akan menerima nasib seperti Kelantan apabila pelabur enggan melabur di negeri berkenaan yang antara puncanya kerana beberapa kemudahan asas seperti bekalan air sentiasa tergencat
Rasional yang dinyatakan Sultan Selangor itu ada logiknya ketika kerajaan pimpinan Khalid merasakan bekalan air di negeri itu cukup sehingga 2019.
Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa kerana isu ini dipolitikkan, sedangkan Baginda tidak mahu rakyat Selangor menjadi mangsa jika ‘paip tidak lagi menitiskan airnya’.
“Isu ini sudah berlanjutan. Halangan perlu diatasi, “ titah Baginda dan menurut pembantu Sultan Selangor, Baginda begitu risau dengan masalah ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sumber istana, menurut The Star memaklumkan bahawa Sultan Selangor sudah menulis beberapa surat kepada pemimpin Pusat dan negeri agar isu air ini diselesaikan. Baginda mahukan kepentingan negeri dan rakyat diberikan keutamaan.
“Beta bimbang, jika politik menguasai isu ini, Selangor terpaksa membayar harga yang mahal kerana pertelingkahan ini,” titah Baginda.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam berkata kepentingan rakyat merupakan keutamaan pokok apabila menyelesaikan masalah penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor.
Dalam hal itu, katanya, semua pihak perlu mengenepikan kepentingan politik masing-masing kerana isu air merupakan masalah serius. "Kita perlu kerana masalahnya ialah kerajaan negeri dan ia mengambil pendirian berbeza mengenai masalah air. Ianya masalah amat serius," kata Najib.
"Kita harus mengenepikan isu-isu politik dan melihat lebih kepada
kepentingan rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar bahawa Sultan Sharafuddin melahirkan kekecewaan dengan isu air di
negeri itu dipolitikkan.
Laporan Kajian Sumber Air Kebangsaan 2000-2050 meramalkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya akan menghadapi masalah kekurangan bekalan air menjelang akhir 2014. Laporan diterbitkan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU).
Pertelingkahan membabitkan cadangan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor iaitu bekalan air yang belum dirawat oleh Pahang kepada Selangor. Baca di sini untuk lebih jelas.
Di pihak Kerajaan Pahang, negeri itu sudah memulakan projek bagi kerja menghantar air sejak April. Apabila siap pada 2014, 1,890 juta liter air yang belum dibersihkan akan dipam dari Sungai Semantan ke pusat merawat (loji) air di Hulu Langat.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui berkata Julai lalu, Kerajaan Pusat meminta Selangor memberikan kebenaran untuk membina loji merawat air Projek Langat 2 bernilai RM8.65 bilion.
Khalid dalam kenyataannya September lalu mengatakan Selangor tidak pernah menentang kepada projek Langat 2 sebaliknya mengatakan tidak perlu tergesa-gesa kerana Selangor meramalkan cukup air untuk memenuhi permintaan di negeri itu sehingga 2019.
Banyak pihak tertanya-tanya dengan sikap Khalid ini (baca di sini).
Pada 26 November lalu,Presiden Gabungan Persatuan- Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu meminta Kerajaan Selangor dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) berbincang dan mencapai kata sepakat secepat mungkin bagi memastikan negeri itu tidak berdepan dengan krisis air pada masa depan.
Katanya, pertikaian demi pertikaian yang berlaku sejak akhir-akhir ini tidak menguntungkan sesiapa, sebaliknya merugikan rakyat.
"Ini bukan isu siapa menang siapa kalah dalam perlawanan melibatkan Menteri Besar dengan Pengerusi Syabas. Ini isu rakyat Selangor sebagai pengguna air di negeri ini. Ia juga tentang kepercayaan. Jika kita tidak percaya kepada orang sendiri, kepada siapa kita hendak percaya," katanya.
Marimuthu menambah, cadangan Syabas untuk menaikkan tarif air tidak perlu dipolitikkan kerana ia merupakan satu keperluan yang harus disegerakan.
Kenaikan kadar tarif air ini, jelasnya, perlu dilaksanakan demi menampung kos operasi untuk menjamin pembekalan air yang berkualiti serta berterusan di Selangor.
"Jika benar kerajaan negeri pentingkan rakyat, selesaikan masalah ini secepat mungkin supaya krisis air yang dijangka berlaku pada 2012 tidak akan berlaku," katanya.
Pada demonstrasi baju merah semalam, polis terpaksa melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air ketika penyokong Kerajaan Selangor berarak ke Istana Negara.
Ini kerana beberapa orang dikatakan bertindak ganas terhadap anggota polis ketika cuba melepasi kawalan pihak keselamatan.
Khalid menyerahkan memorandum membantah kenaikan bayaran air di Selangor kepada Yang di-Pertuan Agong. Difahamkan juga, Menteri Besar Selangor itu menaiki kereta yang diiringi oleh pihak polis menuju ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum tersebut.
Sebelum itu, Khalid membaca kandungan memorandum yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong.
Antara kandungan memorandum itu memohon Tuanku Mizan menitahkan hak air, yang kini dikendali Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), dikembalikan kepada kerajaan negeri Selangor.
"Saya akan membuat offer-document menawarkan pembelian tersebut yang bernilai melebihi RM6 bilion kepada konsesi-konsesi yang menguruskan air," katanya.
Selain itu, memorandum berkenaan turut memohon Tuanku Mizan meneliti semula matlamat Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bagi memahami keperluan untuk penstrukturan semula Industri Perkhidmatan Air secara holistik.
Penyelaras perhimpunan tersebut, Badrul Amin memberitahu yang menteri besar Selangor itu akan diiringi polis ke Istana Negara.
Khalid kemudiannya menyerahkan memorandum serta 150,000 tandatangan kepada wakil Istana Negara. Menurut exco kerajaan Selangor, Teresa Kok, pihak polis tidak membenarkan mereka mengambil gambar.
Pada kira-kira jam 2.45 petang, polis mengarahkan kira-kira 2,000 penyokong baju merah yang masih berhimpun di Masjid Negara supaya bersurai. Apabila mereka tidak bergerak, kira-kira 300 anggota polis bergerak ke arah masjid untuk menyuraikan mereka.
Sebelum itu, penyokong baju merah mula berhimpun di Masjid Negara mulai jam 11 pagi dan sehingga jam 1 tengahari tadi, lebih 1,000 orang yang memakai baju merah di lihat di sekitar kawasan masjid.
Turut kelihatan ialah beberapa pemimpin Pakatan, antaranya timbalan presiden PKR, Azmin Ali; pengarah strategik PKR, Tian Chua dan pemimpn PAS, Dr Zulkefly Ahmad serta timbalan ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin.
Pada satu lagi perhimpunan oleh kira-kira 200 penyokong Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) atau kumpulan baju hitam bagi menyerahkan memorandum mengenai penyelewengan kerajaan Selangor di Stadium Merdeka, berakhir dengan suasana aman.
Perhimpunan bermula jam 11.40 pagi Dan berakhir kira-kira jam 12.15 tengah hari tanpa kejadian tidak diingini berlaku.
Polis yang mengawal keadaan sehinggalah wakil kumpulan terbabit menyerahkan memorandum itu ke pejabat Istana Negara sebelum bersurai. Mereka yang berkumpul itu kebanyakannya wanita dan golongan muda dengan berbaju hitam sambil melaungkan `1Malaysia' dan 'Daulat Tuanku'.
Namun rancangan awal mereka untuk bersama ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum mengandungi dakwaan penyelewengan oleh kerajaan Selangor dibatalkan dipercayai atas nasihat polis.
Pengerusi Gaps, Hamidzun Khairuddin pada sidang akhbarnya berkata pihaknya menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong meminta supaya dapat dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja agar kepincangan itu dapat diatasi.
Apakah Yang di-Pertuan Agong akan melayani memorandum Khalid itu tanpa merujuk kepada Sultan Selangor?
Juga apakah Sultan Selangor akan membiarkan Khalid bertindak tanpa merujuk kepada Baginda dalam isu ini sedangkan Baginda amat prihatin terhadap masalah air ini?
No comments:
Post a Comment