Tuesday, December 7, 2010

DAKWAAN TERHADAP DR KHIR GIMIK POLITIK

PAS sudah mula permainkan isu dakwaan terhadap Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo sebagai gimik pilihan raya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, ia hanya gimik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kelihatan sedang mencari-cari waktu yang memberi kelebihan kepadanya untuk mengadakan pilihan raya.

Beliau mendakwa dakwaan ke atas Dr Khir membuktikan keengganan kerajaan memerangi rasuah.

"Walaupun bekas Menteri Besar Selangor didakwa atas tuduhan rasuah, ia hakikatnya membuktikan keengganan kerajaan memerangi rasuah.

"Tuduhan ke atas Khir adalah yang paling lemah dari begitu banyak pendedahan kes rasuah ke atasnya.

"Ia hanya gimik (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Tun Razak) yang kelihatan sedang mencari-cari waktu yang memberi kelebihan kepadanya untuk mengadakan pilihan raya," kata Mahfuz.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu, keengganan kerajaan Najib memberi jalan supaya siasatan dapat dibuat ke atas pelbagai kes lain menguatkan lagi keyakinan bahawa ia bukan sahaja tidak mahu memerangi rasuah malah begitu selesa dengan rasuah.

"Sekatan apa yang dibuat oleh pihak kerajaan sehingga tidak boleh disiasat kes-kes seperti penyalahgunaan kuasa dalam pembunuhan Altantuya Shaariibuu, penyerahan medan minyak Blok L dan M, pembelian senjata dengan harga yang luar biasa mahal di Kementerian Pertahanan, penggunaan wang ihsan kepada Terengganu dari 2004 hingga 2008 dan terlalu banyak kes lain kalau disenaraikan sepenuhnya," kata Mahfuz.

Malah, katanya, ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, beliau lebih berani bertindak walaupun pemerintahannya disepakati sebagai paling buruk termasuk oleh sebahagian besar orang-orang Umno sendiri.

"Sekurang-kurangnya di zaman Abdullah, mata yang diperolehi Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) tidak merudum ke peringkat paling buruk dan beliau berani bertindak ke atas mereka yang masih berkuasa dan memegang jawatan tinggi seperti Tan Sri Kasitah Gadam.

"Najib hanya berani memperalatkan orang yang tidak ada kuasa seperti Khir untuk menunjuk-nunjuk kepada rakyat kononnya beliau juga bertindak ke atas kes rasuah.
"Setakat itu sahaja keberanian Najib untuk gimik pilihan raya," kata beliau.

Khir sendiri tidak menolak tindakan terhadapnya itu ada kaitan dengan pilihan raya.
"Saya tidak tahu, sebagai seorang ahli politik, saya mungkin berfikir begitu," kata bekas Menteri Besar Selangor itu.

Mahfuz juga mempersoalkan adakah sudah ada "kira-bicara" dibuat sebelum Khir didakwa di mahakmah memandangkan beliau begitu yakin perbicaraan di mahkamah nanti akan membersihkan namanya.

Khir berkata, kes mahkamah terhadapnya akan dapat membersihkan namanya berhubung isu kediaman mewahnya di Shah Alam.

No comments: