Sunday, May 2, 2010

TOK PA, TOLONG BREK SIKIT…

Oleh Hambali Abdul Latiff (www.hambali1.blogspot.com)

Jangan marah kepada PAS kerana membelanjakan RM4 juta bagi memburuk-burukkan pentadbiran bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan memastikan PAS kekal memerintah Kelantan.

Tapi UMNO Kelantan sepatutnya bertanya kepada diri sendiri berapa banyak pula dibelanjakan untuk tujuan publisiti dan perang saraf bagi memenangkan UMNO Kelantan dan pertahankan kepimpinan Perdana Menteri.


Antara poster Nik Aziz yang dipasang di perhentian bas sekitar Kota Bharu pada 2007

Saya berharap pada musim ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd najib Razak tidak diberikan ‘kepercayaan palsu’ lagi mengenai politik Kelantan.

Najib perlu diberikan gambaran jelas apakah boleh menang atau kalah di kerusi negeri dan Parlimen.

Benar, kekalahan Barisan Nasional dan UMNO Kelantan tidak boleh disalahkan kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri ketika itu, Tan Sri Annuar Musa semata-mata tetapi kerja-kerja seperti yang dilakukan PAS Kelantan sepatutnya dilakukan oleh UMNO, malah lebih daripada itu.

Lagi-lagilah pada masa ini ketika tidak lama lagi pilihan raya umum ke 13 akan diadakan, apakah persiapan UMNO Kelantan bagi tujuan publisiti dan perang saraf ini?

Apakah UMNO Kelantan memperuntukan lebih banyak daripada PAS kerana UMNO Kelantan mendapat sokongan UMNO Pusat. Siapa bertanggungjawab terhadapnya?

Kerana itu saya minta Datuk Seri Mustapa Mohamed jangan cepat melatah dan tolonglah brek sikit dalam mengulas hal ehwal orang lain.

Biarlah penulis blog Kickdefella nak tulis apa pun. Syed Azidi mendakwa beliau membelanjakan wang itu bagi membiayai pelbagai aktiviti termasuk membeli aset, peralatan, pembayaran upah operatif dan lain-lain yang bertujuan menggerakkan satu Operasi Gerak Saraf bgi mewujudkan persepsi buruk ke atas Abdullah dan memudahkan PAS kekal memerintah Kelantan.

Penulis blog itu turut mencabar pihak-pihak terbabit supaya menjalankan siasatan berhubung pendedahan itu dan dari mana sumber peruntukan yang disalurkan kepadanya diperoleh.

Malah semalam penulis blog berkenaan menyahut cabaran Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari untuk mendedahkan individu yang memberikan wang lebih RM 4juta itu.

Bekas Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) turut menempelak Ahmad Fadhli yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan kerana membuat kenyataan mendahului kepimpinan parti tersebut.

Tok Pa atau pemimpin UMNO Kelantan lain jangan terjerat dengan isu dalaman PAS ini kerana jelas Kickdefella mengatakan "Isu pokok di sini ialah golongan ini mempertikaikan sumbangan saya selepas tiga tahun berkhidmat dengan kerajaan Kelantan dan saya akan dedahkan siapa yang memberi dan bagaimana wang ini digunakan apabila tiba masanya nanti."

Kenyataan yang jelas dan bersuluh itu tidak wajar disahut oleh UMNO kerana silap haribulan ia terpalit ke muka sendiri.

Bagi yang yang penting ialah bukan kenyataan ‘menangguk di air keruh’ seperti kenyataan Mustapa bahawa pihaknya juga kesal dengan sikap kerajaan negeri yang sanggup menggunakan RM4 juta semata-mata untuk menaburkan fitnah tanpa bukti kepada BN sedangkan wang sebanyak itu dapat disalurkan kepada rakyat yang lebih memerlukan.

Walau apa juga pendapat Mustapa, sepatutnya, kita tanya berapa duit diperuntukkan untuk tujuan perang saraf daripada UMNO Kelantan antara misalnya 2005 – Mac 2008 dan ketika ini?
Kalau saya katakan kosong atau zero, nanti kata melampau. Lihatlah bagaimana UMNO Kelantan menyediakan peralatan untuk tujuan ‘perang saraf’ berkenaan dan apa kesannya?

Rasanya malu untuk mengatakan di sini. Menurut maklumat, UMNO Kelantan tidak meletakkan sebarang bajet untuk tujuan publisiti dan perang saraf pada pilihan raya umum lalu.

Sehingga beberapa hari dekat pilihan raya umum pun, peruntukan itu tetap zero.

Peruntukan diberikan kepada Penyelaras dan calon untuk mereka ‘pandai-pandailah buat kerja’, bukannya satu koordinasi UMNO Kelantan menyusun dan menggerakan usaha itu.

Yang banyak dibelanjakan ialah untuk tujuan ‘gegak gumpita’ atau ‘perang banner’ dan sebagainya yang kurang mendatangkan kesan besar.

Kebanyakan peruntukan lalu diberikan keutamaan kepada menyediakan poster, backdrop, banner besar dan bunting yang dipasang di tiang-tiang elektrik dan lampu.

Ia lebih kepada bersaing dengan PAS. Kemudian kita tanya pula siapa dapat kontrak untuk tujuan itu?

Ada antara pemimpin UMNO Kelantan termasuk Penyeleras DUN yang jelas hidup atas kerja-kerja seperti ini dan tidak kisah kalau kalah bertanding pilihan raya pun.

Apakah pemimpin seperti ini boleh membawa kesan besar kepada UMNO Kelantan?

Tidak payahlah ikut rentak Kickdefella agar mendesak kerajaan negeri mendedahkan sumber peruntukan RM4 juta selama tiga tahun yang didedahkan blog berkenaan.

Tok Pa boleh menyifatkan tindakan itu sebagai keji, dan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan beliau boleh mengatakan Umno Kelantan kesal.

Tetapi apa yang dibuat oleh UMNO Kelantan untuk menentang usaha itu?

PAS bijak untuk memburuk-burukkan BN melalui pelbagai kaedah termasuk laman blog semata-mata untuk kekal berkuasa di Kelantan.

Isunya, berapa banyak UMNO Kelantan berbelanja untuk mewujudkan blog-blog menentang PAS?
Secara ikhlas, untuk mewujudkan blog ‘Guanodemo’ pun, difahamkan penggendalinya bagai ‘minta sedekah’ dengan UMNO Kelantan.

Ada sahaja halangan dan ada beberapa pemimpin UMNO Kelantan yang mengatakan blog sebagai tidak berkesan. “Siapa nak baca?’ tanya mereka.

Malah lebih teruk, beberapa pemimpin berkenaan lebih berminat dan kadang kala memaksa Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan sebelum Tok Pa supaya bersetuju dengan cadangan mereka menaikkan beberapa banner besar untuk tujuan ‘poket sendiri’.

Tok Pa yang juga Menteri Perdagangan Antabangsa dan Industri tidak usah mempersoalkan moral kepimpinan PAS dalam usaha menjatuhkan BN itu kerana itu memang strategi politik.

Yang penting, apa moral pemimpin UMNO Kelantan yang merasakan ‘lebih baik kalah’ daripada menang kerana kalau kalah pun ‘duit mencurah-curah juga’ ke Kelantan untuk UMNO Kelantan.
Dengan kata lain – kalah demi kalah dan kalah seterusnya – UMNO Kelantan tetap mendapat perhatian UMNO Pusat. Wang tetap mencurah turun.

Persoalan, apakah semua duit yang ‘mencurah turun’ itu diaudit kerana ada cakap-cakap mengatakan lepas pilihan raya umum Mac 2008 ada kalangan pemimpin Kelantan yang boleh beli Mercedes, langsai hutang dan sebagainya.

Tidak payah cerita siapa, pemimpin UMNO Kelantan yang makan cili akan rasa pedas dan di kalangan pemimpin UMNO Kelantan sendiri mereka tahu antara satu sama lain siapa yang mendapat untung daripada peruntukan parti.

Tok Pa juga meminta kerajaan negeri supaya mendedahkan dari mana sumber kewangan RM4 juta itu kerana rakyat Kelantan berhak untuk mengetahuinya.

"Ini satu perbuatan yang keji. PAS perlu dedahkan dari mana sumber kewangan mereka sama ada mereka daripada hasil balak, atau hasil lain mahupun daripada sumbangan individu tertentu. Rakyat berhak tahu," katanya.

Tanya diri kita kembali – apakah ahli UMNO Kelantan yang juga rakyat Kelantan tidak wajar diberitahu bagaimana duit parti dibelanjakan?

Duit parti tidak sama dengan peruntukan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang antara 2004-2009 ditadbirkan oleh Datuk Shukri Salleh yang kini menjadi Pengarah Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

Juga jangan cepat meminta supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan terhadap dakwaan laporan blog Kickdefella itu.

Silap haribulan kalau UMNO Kelantan disiasat, mungkin ada pemimpin yang tidak boleh tidur malam!

No comments: