Thursday, May 6, 2010

SULTAN KELANTAN, RAJA PEREMPUAN KENA CULIK?

Daripada mStar

Dua peguam yang mendakwa mewakili Sultan Kelantan, Sultan Ismail Petra dan Raja Perempuan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid berkata semalam, polis telah menghalang mereka daripada bertemu dengan anak guam mereka.

Pada satu sidang media yang diadakan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Datuk Mohd Haaziq Pillay dan Gobind Singh Deo mendakwa mereka telah tiba di hospital berkenaan pada pukul 4.35 petang namun mereka tidak dibenarkan masuk ke wad diraja selepas mengadakan perbincangan dengan pihak polis selama 15 minit.

Kedua-dua peguam berkenaan mendakwa mereka mempunyai bukti bahawa Baginda Sultan dan Raja Perempuan telah ditempatkan di Wad Diraja berkenaan tanpa kerelaan Baginda.

Gobind berkata pertemuan dengan anak guamnya itu penting bagi mendapatkan fakta dan mengumpulkan bukti sebelum membawa kes itu ke mahkamah.
Beliau menjelaskan bahawa butiran mengenai tindakan susulan yang akan diambil akan didedahkan pada satu sidang media yang akan diadakan di Kuala Lumpur hari ini.

“Saya tidak faham mengapa pihak polis menolak permintaan kami. Apa yang kami mahukan ialah hanya mahu bertemu dengan anak guam kami,” katanya.
Gobind mendakwa pihak polis juga tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku kepada pasangan diraja itu.

Tambahnya, mereka difahamkan bahawa tiada sesiapa pun yang dibenarkan bertemu dengan Sultan Kelantan dan Raja Perempuan kecuali mereka mendapat lampu hijau daripada pihak atasan istana.

Semalam, pesawat yang disewa khas untuk membawa Sultan Kelantan ke Singapura telah tidak diberikan kebenaran untuk mendarat oleh pihak berkuasa Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Pengkalan Chepa.

Sebaliknya, Sultan yang sedang menunggu di lapangan terbang itu telah dibawa olehpasukan keselamatan untuk menjalani rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian.

Bagaimanapun tiada siapa yang mengetahui pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan arahan supaya Baginda Sultan tidak boleh meninggalkan Kelantan.
Jabatan Penerbangan Awam ketika dihubungi hari ini bagaimanapun enggan mengulas mengenai arahan yang tidak membenarkan jet persendirian untuk membawa Sultan Kelantan ke Singapura mendarat di lapangan terbang di sini semalam.

Rombongan yang membawa Sultan Kelantan dan Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Hamid bersama-sama doktor peribadi Baginda dijadualkan berlepas ke Singapura pada pukul 11.30 pagi kelmarin.
Bagaimanapun, cubaan kedua untuk membawa Baginda meninggalkan Kelantan pada pukul 7.30 malam juga tidak berjaya kerana Baginda diletakkan di bawah kawalan keselamatan yang ketat di Hospital Kubang Kerian.

Difahamkan, Baginda Sultan sepatutnya mendapatkan rawatan susulan selama sepuluh hari di Singapura.

Sultan Kelantan sebelum ini dirawat di Hospital Mount Elizabeth selama sembilan bulan sejak 24 Mei tahun lalu dan baru sahaja kembali ke Kelantan sejak 4 Mac lepas.

Gobind menanmbah, tindakan polis menghalang beliau berjumpa dengan anak guamnya akan di bawa ke mahkamah atas kesalahan melanggar hak asasi manusia yang mahu mempertahankan dirinya sendiri.

“Perkara pokok dalam isu ini ialah menjadi hak seseorang individu untuk membawa perkara itu ke mahkamah dan tujuan kami datang adalah untuk mendapatkan dokumen-dokumen berkaitan untuk memulakan proses menuntut keadilan.

“Oleh kerana kami dihalang bertemu dengan anak guam, kami akan menggunakan cara lain untuk berbuat demikian dan ada kemungkinan kami akan memfailkan kes ini dalam tempoh beberapa hari lagi,” katanya.

Tambah Gobind, mereka akan menyerahkan perkara itu kepada mahkamah untuk menentukan sama ada pihak polis mempunyai hak untuk menghalang peguam daripada berjumpa dengan anak guamnya.

Ketika ditanya sama ada kes itu boleh diklasifikasikan sebagai kes penculikan, Gobind berkata: “ Saya tidak mempunyai kuasa untuk mengulas mengenainya tetapi sekiranya siasatan dijalankan tidak sukar untuk membuat kesimpulan berdasarkan penilaian dan pemerhatian yang dijalankan.”

“Kamu (wartawan) tahu faktanya dan seperti yang saya katakan sebelum ini, biarlah mahkamah yang menentukannya,” kata beliau.

Gobind berkata, beliau dan Hazziq akan mencari jalan untuk membawa Baginda Sultan dan pengiringnya pulang ke Istana Mahkota dengan menggunakan cara yang sah.

No comments: