Monday, May 10, 2010

DOKTOR PERIBADI SULTAN KELANTAN PERTIKAI KEWIBAWAAN PANEL PERUBATAN

Daripada mStar

Penilaian tahap kesihatan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra yang sedang dilakukan oleh panel perubatan dikuatiri tidak tepat kerana ia dijalankan dalam keadaan tertekan.

Doktor peribadi Sultan Kelantan, Dr Amir Ramli yang mempertikaikan kewibawaan 10 pakar perubatan yang menggotai panel itu berkata, ini kerana pemeriksaan berkenaan dilakukan secara mengejut selepas beberapa insiden yang berlaku sejak Selasa lalu.

"Pemeriksaan yang dibuat secara mengejut itu tidak kena pada masanya ketika baginda masih berada dalam trauma.

"Dari segi etika memang tidak boleh buat laporan perubatan tanpa kerelaan dan keadaan pesakit yang tertekan, saya dapat tahu baginda tidak dapat rehat yang cukup sejak dua tiga hari lalu," katanya ketika dihubungi.

Bermula semalam, panel terdiri 10 pakar perubatan dilantik Kerajaan Negeri Kelantan dengan perkenan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra buat pertama kali berpeluang melakukan pemeriksaan terhadap kesihatan Sultan Kelantan sejak dibawa pulang ke negeri ini pada 4 Mac lalu.

Sultan Kelantan dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini Selasa lalu untuk rawatan susulan masalah jantung.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, berkata panel pakar perubatan itu bertanggungjawab melakukan pemeriksaan rapi terhadap kesihatan Tuanku Ismail Petra.

Selain itu Dr. Amir yang juga pakar perubatan dalaman berkata, beliau tidak menolak kemungkinan pada masa ini tahap kesihatan Sultan Kelantan semakin menurun jika dibandingkan sebelum ini iaitu sejak pulang pulang menjalani rawatan di Singapura.

"Sebelum ini Tuanku okay, rasional, sentiasa senyum dan gelak.

"Sekarang pasukan pakar perubatan di Istana Mahkota mengajar tuanku untuk bangun dan berjalan, boleh saya katakan perubahan dalam peringkat 80 peratus," kata doktor peribadi Sultan Kelantan sejak baginda pulang dari Hospital Mount Elizabeth.

Menurut Dr. Amir, sebelum Sultan Kelantan dirawat di HUSM, seramai tujuh pakar perubatan menjalankan pemantauan kesihatan baginda.

Jelas beliau, empat daripada mereka ialah pakar dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) manakala selebihnya daripada Kuala Lumpur.

"Pemeriksaan pakar-pakar itu dilakukan seminggu sekali tetapi dalam keadaan kes-kes tertentu mereka akan dihubungi pada bila-bila masa.

"Bukan itu sahaja, pakar terbabit juga dibantu oleh lapan orang doktor perubatan lain yang bertugas secara bergilir selama 24 jam di Istana Mahkota, malah sebuah ambulan disediakan oleh HRPZ II" katanya.

Katanya lagi, rawatan yang dilakukan di Istana Mahkota adalah lebih baik dan tersusun jika dibandingkan dengan HUSM.

"Ia dilakukan dalam persekitaran yang relaks dan tenteram, ia lebih baik untuk proses penyembuhan Tuanku," katanya.

No comments: