Monday, May 10, 2010

PERMOHONAN HABEAS CORPUS SULTAN KELANTAN DITERUSKAN HARI INI

Daripada mStar

Barisan peguam Sultan Kelantan akan meneruskan proses mahkamah bagi mendengar permohonan habeas corpus Tuanku Ismail Petra walaupun baginda kini sudah kembali ke Istana Mahkota, Kubang Kerian dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Salah seorang peguam yang mewakili Sultan Kelantan, Gobind Singh Deo berkata, proses berkenaan masih perlu diteruskan kerana terdapat beberapa isu penting yang perlu diselesaikan.

"Isu ini adalah lebih jauh daripada habis kerana ada beberapa tuduhan serius yang perlu dicari jalan penyelesaian," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai perkembangan terbaru Istana Kelantan apabila Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra memberi perkenan supaya Tuanku Ismail dipindahkan kembali ke Istana Mahkota.

Sultan Kelantan berangkat meninggalkan HUSM kira-kira pukul 5 petang semalam dan tiba di Istana Mahkota sepuluh minit kemudian.

Turut sama mengiringi baginda ialah Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.

Mahkamah Khas dijadualkan bersidang hari ini untuk mendengar permohonan habeas corpus Sultan Kelantan bagi mendapatkan kebenaran supaya dibawa keluar dari HUSM di mana baginda menerima rawatan sejak Selasa lepas.

Writ itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Khas di sini kira-kira 11.45 pagi tiga hari lalu menerusi tetuan J.S. Pillay & Mohd Haaziq.

Afidavit bagi menyokong writ itu dibuat oleh Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra Sultan Ismail, putera ketiga Sultan.

Sultan Kelantan dinamakan sebagai pemohon.

Writ itu menamakan lima responden iaitu Ketua Polis Kelantan, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah HUSM, Ketua Pengarah Kesihatan dan Kerajaan Malaysia.

Kata Gobind lagi, pihaknya akan berada di Mahkamah Persekutuan pada pukul 9 pagi hari ini bagi meneruskan prosedur berkenaan.

Pihaknya telah melakukan persediaan rapi bagi tujuan berkenaan.

"Kami bekerja siang dan malam untuk menyediakan proses perundangan ini," katanya.

No comments: