Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid didakwa menggunakan bomoh untuk 'merawat' Sultan Kelantan - Tuanku Ismail Petra Tuanku Yahya Petra.
Keraguan ini timbul apabila "barang-barang yang diragui dari segi hukumnya" ditemui dekat baginda ketika dirawat di Singapura.
Tengku Rozan Almarhum Sultan Yahya Petra (kanan dalam foto) mendakwa semalam ada sebab-sebab untuk mempercayai bahawa Raja Perempuan telah menggunakan bomoh untuk 'merawat' sultan dengan "barang-barang yang diragui dari segi hukumnya" ditemui dekat baginda di Singapura.
Beliau menyatakan demikian bercakap dalam satu sidang akhbar di Rumah Kelantan di ibunegara semalam bersama adiknya Tengku Salwani Almarhum Sultan Yahya Petra (kanan dalam foto).
Laporan Malaysiakini menyebut, kedua-dua mereka mendakwa bahawa Raja Perempuan, Tengku Anis yang mengawal ketat sultan.
Mereka mendakwa, Tengku Anis yang mengawal siapa yang boleh menziarahi sultan, dan polis, doktor serta kakitangan hospital menjadi sasaran gangguan pembantunya.
Menurut Tengku Salwani, beliau difahamkan seorang kakitangan hospital telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut. Sidang akhbar tersebut merupakan perkembangan terbaru dalam pergolakan keluarga diraja Kelantan antara Tengku Fakhry Petra dengan abangnya, Tengku Faris Petra, berhubung takhta kerajaan negeri.
Tengku Rozan berkata, beliau dan Tengku Salwani dilarang Raja Perempuan daripada menziarahi sultan ketika baginda dirawat di Singapura sebelum ini.
Beliau mendakwa, mereka dilarang berbuat demikian selama sembilan bulan mereka berada di republik itu.
Pelawat lain, katanya, termasuk pakar perubatan dan pakar agama dari Malaysia, juga turut dilarang daripada menemui baginda.
Dakwanya lagi, hanya mereka yang menyokong Raja Perempuan dibenarkan melawat baginda.
Sementara itu, Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Sultan Yahya Petra dibawa pulang dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) pada jam 5.15 petang ini.
Baginda diiringi Raja Perempuan, Tengku Anis Tengku Hamid dan doktor peribadi, Dr Amir Ramli.
Tuanku Ismail Petra dibawa pulang ke Istana Mahkota selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kota Bharu semalam. – Gambar Utusan
Semalam, Sultan Kelantan berangkat pulang ke Istana setelah tahap kesihatan Baginda di dalam keadaan stabil dan mendapat perkenan Pemangku Raja Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra.
Mereka bertolak dari kawasan hospital di Kubang Kerian, di tengah-tengah kawalan keselamatan yang ketat, menuju ke Istana Mahkota yang terletak kira-kira 900 meter dari situ.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, berkata Sultan Kelantan dibawa pulang setelah lima hari menjalani rawatan susulan masalah jantung di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan setelah panel 10 pakar perubatan menjalankan pemeriksaan ke atas status kesihatan baginda.
"Tuanku Al-Sultan dibawa keluar menerusi perkenaan Pemangku Raja Kelantan yang memberi titah membenarkan Tuanku Al-Sultan dibawa pulang ke Istana Mahkota.
"Titah itu dibuat selepas tahap kesihatan Tuanku Al-Sultan berada dalam keadaan
stabil.
"Tuanku Al-Sultan akan berehat di Istana Mahkota dan baginda kini dalam keadaan stabil serta berada di bawah pengawasan doktor," katanya ketika dihubungi wartawan di Kota Bharu.
Kelmarin, Dr Amir berkata penilaian tahap kesihatan Tuanku Ismail Petra yang sedang dilakukan oleh panel perubatan dikuatiri tidak tepat kerana ia dijalankan dalam keadaan tertekan.
Beliau mempertikaikan kewibawaan 10 pakar perubatan yang menggotai panel itu berkata, ini kerana pemeriksaan berkenaan dilakukan secara mengejut selepas beberapa insiden yang berlaku sejak Selasa lalu.
"Pemeriksaan yang dibuat secara mengejut itu tidak kena pada masanya ketika baginda masih berada dalam trauma.
"Dari segi etika memang tidak boleh buat laporan perubatan tanpa kerelaan dan keadaan pesakit yang tertekan, saya dapat tahu baginda tidak dapat rehat yang cukup sejak dua tiga hari lalu," katanya.
Dr. Amir yang juga pakar perubatan dalaman berkata, beliau tidak menolak kemungkinan pada masa ini tahap kesihatan Sultan Kelantan semakin menurun jika dibandingkan sebelum ini iaitu sejak pulang pulang menjalani rawatan di Singapura.
"Sebelum ini Tuanku okay, rasional, sentiasa senyum dan gelak.
"Sekarang pasukan pakar perubatan di Istana Mahkota mengajar tuanku untuk bangun dan berjalan, boleh saya katakan perubahan dalam peringkat 80 peratus," kata doktor peribadi Sultan Kelantan sejak baginda pulang dari Hospital Mount Elizabeth.
Menurut Dr. Amir, sebelum Sultan Kelantan dirawat di HUSM, seramai tujuh pakar perubatan menjalankan pemantauan kesihatan baginda.
Jelas beliau, empat daripada mereka ialah pakar dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) manakala selebihnya daripada Kuala Lumpur.
"Pemeriksaan pakar-pakar itu dilakukan seminggu sekali tetapi dalam keadaan kes-kes tertentu mereka akan dihubungi pada bila-bila masa. Bukan itu sahaja, pakar terbabit juga dibantu oleh lapan orang doktor perubatan lain yang bertugas secara bergilir selama 24 jam di Istana Mahkota, malah sebuah ambulan disediakan oleh HRPZ II" katanya.
Katanya lagi, rawatan yang dilakukan di Istana Mahkota adalah lebih baik dan tersusun jika dibandingkan dengan HUSM.
"Ia dilakukan dalam persekitaran yang relaks dan tenteram, ia lebih baik untuk proses penyembuhan Tuanku," katanya.
Sementara itu., peguam Gobind Singh Deo mengesahkannya dan berkata beliau akan berbincang dengan pasangan diraja itu sebelum memutuskan tindakan udang-undang selanjutnya.
Gobind adalah salah seorang peguam yang memfailkan writ habeas corpus di Mahkamah Khas Putrajaya Jumaat lalu untuk "membebaskan" sultan dan membolehkan baginda mendapatkan rawatan perubatan pilihannya.
Mahkamah akan mendengar permohonan tersebut hari ini.
Pada malam Selasa lalu, Sultan Kelantan dibawa ke HUSM atas pilihan Pemangku Raja Kelantan untuk baginda menjalani rawatan susulan di situ.
Kerajaan Negeri dan Kementerian Kesihatan telah melantik panel 10 pakar
perubatan untuk memeriksa tahap kesihatan Sultan Kelantan dan mereka menjalankan pemeriksaan itu sejak dua hari lalu.
No comments:
Post a Comment