Monday, July 13, 2009

PAS TERGUGAT DI MANIK URAI?

Sumber: Bernama

Lagi 24 jam, lebih 12,000 pengundi di Manik Urai akan menentukan wakil rakyat dan parti pilihan mereka Selasa ini selepas berada di bawah PAS.

Kalau sebelum penamaan calon, PAS mendahului dengan 60 peratus sokongan manakala 40 peratus pengundi memihak kepada Barisan Nasional (BN), namun jurang itu kini semakin rapat sehinggakan ada yang berpendapat BN boleh menggugat kedudukan PAS.

Ini kerana beberapa kawasan kubu kuat PAS misalnya di Chuchoh Puteri, Sungai Sok dan Lata Rek kini boleh dimasuki jentera BN. Perkara itu adalah mustahil sebelum ini.

Faktor generasi muda yang dahagakan pembangunan juga menyumbang ke arah itu.

Tumpuan juga diberi kepada kawasan peti undi yang mempunyai populasi pengundi yang tinggi seperti di Sungai Perial dengan 2,019 pengundi, yang juga peti undi tertinggi daripada sembilan peti undi di Manik Urai.

Pemerhati politik melihat keadaan itu sebagai pengukur kepada kematangan politik pengundi selain tiada isu tempatan yang mendesak dibangkitkan kecuali kedua-dua pihak cuba memainkan isu yang dekat dengan pemikiran "Melayu Pantai Timur".

PAS masih bersandar pada isu Islam dan dakwaan kerajaan persekutuan menganaktiri rakyat negeri itu melalui tuntutan royalti minyak, manakala BN pula berjanji untuk membawa pembangunan dan menjadikan kawasan itu "anak emas" kerajaan persekutuan.

Sentimen pengundi pula dikatakan tidak "sehebat" ketika pilihan raya kecil Bukit Gantang sebelum ini yang "panas" dengan isu krisis perlembagaan selain demografi pengundinya yang berbilang bangsa.

Demografi pengundi yang bersifat "homogenus" dengan 99.2 peratus pengundi adalah Melayu, kebanyakannya daripada kelas bawahan seperti pekebun kecil dan penoreh getah menghadkan spektrum isu yang boleh dimanipulasikan di Manik Urai.

Anggota Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli mengakui persaingan sengit di Chuchoh Puteri, Laloh dan Manik Urai Lama, kawasan yang dipercayai mempunyai pengundi di atas pagar.

"Tough fight (persaingan sengit)," kata Bendahari PAS itu walaupun optimis partinya mampu mengekalkan Manik Urai yang dimenangi sejak 1959.
Kawasan itu pernah jatuh ke tangan BN pada 2004 ketika Ismail Yaakob, yang meninggal dunia 22 Mei lepas, tidak bertanding.

Di atas kertas PAS hanya mempunyai kira-kira 700 ahli di Manik Urai dengan Umno mempunyai lebih 4,000 ahli, namun angka itu tidak menjanjikan laluan mudah buat calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, bekas pegawai Kesedar.

"Ahli kita sikit tapi penyokong kita ramai," kata seorang pemimpin PAS tempatan yang optimis pengundi luar kawasan, dianggar lebih 1,000 orang, akan mengundi Mohd Fauzi Abdullah, 50, seorang pemborong ikan.

Sungguhpun bilangan pengundi Cina dan India kecil, masing-masing 52 dan 28 orang, kedua-dua parti yang bertanding turut bersaha mendapatkan sokongan mereka melalui parti komponen serta kelab penyokong parti.

Kempen kedua pihak dilihat semakin intensif dengan beberapa kejutan diumum. BN hari ini mengumum akan membina jambatan baru di Manik Urai Lama jika parti itu menang selain mahu menjadikan kawasan yang didominasi pekebun kecil, penoreh getah dan peneroka itu sebagai "kota agropolitan".

"Kejutan" PAS dijangka diumumkan esok, kata pengarah pilihan raya PAS Kelantan Abdul Fattah Harun.
Semalam menyaksikan penceramah "heavyweight" pembangkang, termasuk Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan turun berkempen.

Persoalannya, mampukan kejutan PAS itu mengekalkan "status quo" di Manik Urai, 14 Julai ini, atau pengundi membuat pilihan sebaliknya selepas menjadi saksi kepada apa dilakukan parti itu yang memerintah Kelantan, sejak 19 tahun lepas.

No comments: